Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pahang sasar pingat emas futsal Sukma

Kuantan: Pasukan futsal Pahang mahu membawa pulang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan.

Impian menggunung itu bagi menebus kekecewaan selepas hanya menduduki tempat ketiga pada Sukma Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Ketua jurulatihnya, Norkhairi Abd Rahman berkata, selepas mengikuti latihan pusat lebih dua bulan lalu, persefahaman dan keserasian semakin mantap dapat dilihat dalam kalangan pemain.

Menurutnya, selepas mengadakan beberapa siri pemilihan, 19 pemain terbaik dikumpul untuk mewakili Tok Gajah bagi Sukma kali ini.

“Bagi membentuk pasukan mantap, kami bekerjasama dengan Pahang Rangers FC bermula di peringkat pemilihan pemain hingga membentuk pasukan.

“Saya amat berpuas hati melihat perkembangan positif pasukan dan kesabaran menjadi kunci bagi menghasilkan pasukan bermula dari kosong apabila ramai pemain tidak pernah mendapat pendedahan di peringkat tinggi,” katanya.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SASARAN PINGAT BAGI SUKMA 2024 DITENTUKAN HUJUNG BULAN INI

KUANTAN, 08 FEBRUARI 2024 : Sasaran pingat bagi sukan-sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan ditentukan hujung bulan ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ini kerana Kerajaan Negeri Pahang akan menilai semula sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Sasaran pingat ini hanya akan diputuskan selepas saya berjumpa dengan kesemua atlet dan pegawai pada penghujung bulan ini.

“Pada masa itu saya akan tetapkan sasaran sebenar pingat untuk Pahang pada SUKMA Sarawak tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan beramah mesra bersama atlet gimnastik dan gimrama di SUKPA.

Menurut beliau, fasiliti bagi latihan para atlet juga perlu diberi perhatian dan penambahbaikan bagi memastikan mereka dapat berlatih dalam keadaan yang selesa.

“Dari segi fasiliti memang kena ada penambahbaikan sebab bila giatnya latihan, mungkin ada peralatan tertentu yang perlu kita tambah baik fasiliti dan peralatan ini.

“Kita sentiasa pantau dan nilai tahap kesiapsiagaan fasiliti, kemudahan dan peralatan kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri Pahang bersungguh-sungguh dalam memastikan prestasi para altet SUKMA dipertingkatkan.

“Saya tahu sukar apabila kita letak sasaran Top5 bagi Pahang untuk SUKMA ini sebab pada SUKMA yang lalu kita menduduki tangga ke sembilan.

“Namun tiada yang mustahil andai ada kesungguhan. Sebab itu saya turun padang untuk beri semangat kepada atlet dan juga jurulatih untuk persiapan mereka untuk ke SUKMA,” katanya. -PAHANGMEDIA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024 dijangka alami kelewatan disebabkan peperangan dunia

KUCHING, 7 Feb: Persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak dijangka akan mengalami kelewatan disebabkan peperangan dunia yang terjadi sekarang ini, demikian menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, ini kerana peralatan sukan yang diimport dari negara Eropah dibimbangi akan memberi kesan kepada jadual atlet tempatan dan pembaikan kemudahan sukan di negeri ini.

“Kita telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk Jawatankuasa Penganjur iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Hii Chang Kee menjadi penganjur SUKMA untuk menaiktaraf kemudahan kita.

“Sekarang anda tahu, untuk mendapatkan barang dari Eropah, kalau naik kapal akan menghadapi masalah, jadi pekara kecil ini boleh mengganggu kita. Itu yang saya khuatir, tetapi saya percaya sepenuhnya kepada mereka yang menguruskannya di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak di The Waterfront Hotel di sini, hari ini.

Sarawak telah dipilih menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2024 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024. – TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Effrain raja pecut remaja Pahang

Kuantan: Atlet Majlis Sukan Pahang (MSP) Kuantan B, Muhammad Effrain Feerzan Qhan dinobat sebagai raja pecut acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang 2024 di Stadium Darul Makmur, di sini kelmarin.

Dia mencatat masa terpantas 10.68 saat (s), tempat kedua perpihak pada rakan sepasukanya Muhammad Rizal Mikail yang mencatat 10.99s dan ketiga atlet, Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Cempedak (SMKTC), Mohamad Shafiq Fikri Mohamad Shafiee, (11.06s).

Dalam kategori wanita juara milik atlet Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) Gambang, Robeah Tarmizi yang mencatat masa 12.88s, naib juara Sharifah Ameesya Sabrina Syedizad Redza (13.33s) dari MSP Kuantan A dan ketiga Nuraeliah Shafiya (13.78s) dari MSP Kuantan B.

Kejohanan dua hari anjuran MSP disertai seramai 200 atlet remaja bagi memilih atlet olahraga yang terbaik untuk mewakili Pahang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak.

Pengarah MSP, Zamri Hassan berkata sejumlah 21 kontinjen terdiri daripada sekolah, majlis sukan daerah, atlet projek dan institut pengajian tinggi swasta mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 11 acara padang dan balapan kategori lelaki dan wanita dipertandingkan yang menawarkan 63 pingat keseluruhan. Hanya atlet berumur 16 hingga 21 tahun bertanding terdiri daripada rakyat Pahang serta pemastautin di negeri ini.

“Pada kejohanan kali ini kontinjen MSP Kuantan B muncul juara keseluruhan dengan menumpul lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa. Tempat kedua milik SSMP Gambang yang mendapat empat emas, dua perak dan dua gangsa. Ketiga Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) Temerloh (3-3-4).

“Atlet yang mencatat keputusan terbaik dari segi catatan masa dan jarak diberi peluang mengikuti program melangkah ke Sukma 2024 Sarawak sebelum mereka disenaraikan untuk membawa cabaran Tok Gajah,” katanya.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Melaka anjur klinik sepak takraw, cungkil bakat baharu

BANDA HILIR 5 Februari – Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bagi menganjurkan klinik sepak takraw membabitkan pelajar sekolah.

Yang Dipertua PASTAM, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, program itu bertujuan mencungkil bakat baru, sekali gus mengangkat martabat sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, kejayaan diraih skuad sepak takraw Melaka pada kejohanan Piala Emas Khir Johari Ke-57 baru-baru ini telah menunjukkan perkembangan positif dalam arena sukan tersebut di negeri ini sekali gus menjadikan pembakar semangat kepada pemain baharu untuk menaikkan nama Negeri Melaka.

Malah, ujarnya, pemain yang bertanggungjawab membawa pulang piala itu selepas 39 tahun akan dijadikan menjadi mentor kepada atlet pelapis.

“Insya-Allah saya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, kita akan mengadakan klinik sepak takraw untuk mencungkil seberapa ramai pemain baharu supaya pemain ini akan mewakili Melaka seperti mana dilakukan oleh pemain sedia ada.

“Saya sudah berbincang dengan barisan jawatankuasa, insya-Allah kerjasama itu akan dilaksanakan di peringkat daerah dan pemain sedia ada ini nanti menjadi mentor kepada generasi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan pasukan sepak takraw Melaka yang memenangi Piala Emas Khir Johari Ke-57 baru-baru ini di Menara Taming Sari.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, pada masa sama pihaknya turut mempersiapkan skuad sepak takraw yang akan mewakili negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

“Senator Datuk Mustafa Musa akan bersama-sama jurulatih Melaka, Khairul Anwar (Ibrahim) untuk membentuk skuad SUKMA.

“Saya percaya skuad itu sekurang-kurangnya berupaya meraih pingat gangsa dalam kejohanan yang akan diadakan di Miri, Sarawak nanti,” katanya.-Melaka Hari Ini

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad hoki Pahang azam pertahan emas Sukma

Kuantan: Juara bertahan pasukan hoki lelaki Pahang memberi amaran mereka akan meneruskan dominasi penguasaan pada saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan.

Dengan membariskan tiga pemain remaja kebangsaan dan empat pemain Sukma 2022 Kuala Lumpur, dapat menambahkan lagi kekuatan skuad muda bimbingan jurulatih, Mohd Sufian Mohamad.

Menurut Mohd Sufian, gandingan pemain baharu dan senior menjadi senjata utama skuad Pahang pada saingan Sukma Sarawak kali ini yang dianggap lebih mencabar berbanding Sukma Kuala Lumpur.

Katanya, tiga pemain remaja kebangsaan bersama Tok Gajah kali ini ialah Muhammad Alief Adha Akbar dan Muhammad Handzalah Abdul Hadi. Kelibat mereka diharap dapat menyuntik prestasi terbaik buat pasukan.

“Kehadiran Muhammad Harris Iskandar Osman yang menjadi penjaring terbanyak pasukan remaja kebangsaan pada saingan Piala Dunia Remaja, Disember lalu akan menjadi senjata utama merobek gawang lawan,” katanya, di sini hari ini.

Pada Sukma Kuala Lumpur, Pahang meraih pingat emas selepas menang tipis Johor 1-0 pada pentas akhir.-Utusan

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Suntik semangat buru emas di SUKMA 2024

BANDA HILIR 3 Februari – Kejayaan pasukan sepak takraw menamatkan kemarau 39 tahun menjuarai kejohanan Piala Emas Khir Johari edisi ke-57 mampu menitip inspirasi buat atlet lain dalam sukan itu untuk meraih emas dalam Sukan Malaysia 2024 di Sarawak, Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Piala Emas Khir Johari telah berlangsung selama 57 tahun dan kali ini Melaka memberikan kemenangan selepas 39 tahun kejohanan itu diadakan.

Katanya, kemenangan itu adalah hasil usaha pasukan jurulatih dan atlet yang bertungkus-lumus memastikan Melaka menamatkan penantian untuk bergelar juara.

“Ini merupakan terjemahan terbaik hasil daripada usaha pasukan dan ia menjadi pembakar semangat kepada pasukan sepak takraw Melaka untuk menghadapi SUKMA 2024 di Sarawak nanti.

“Kita mengharapkan pasukan sepak takraw Melaka meraih pingat emas, jadi teruskan daya juang demi Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri dan meraikan pasukan sepak takraw Melaka di Menara Taming Sari di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, pada 27 Januari lalu, pemain Melaka dibarisi oleh Regu A Melaka, Syahir Rosdi (tekong), Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Mohd Muqlis Borhan (apit kiri) manajala Regu B Melaka pula terdiri daripada Shakir Jamal (tekong), Arif Daniel Arifin (apit kanan) dan Raqib Effendi (apit kiri).-Melaka Hari Ini

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pasukan Hoki Wanita N. Sembilan azam pertahan pencapaian treble

SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan berazam untuk mempertahankan pencapaian merangkul tiga piala tahun lalu iaitu semasa Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023 pada pertandingan edisi tahun ini pula.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (NSHA), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kejayaan mencipta sejarah sebagai pasukan pertama di negara ini yang melakar kejuaraan `treble’ iaitu memenangi Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Wanita Malaysia dan Piala Vivian May Soars tahun lalu telah mengukuhkan semangat pasukan untuk mencatatkan pencapaian sama tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihak pengurusan pasukan telah membuat beberapa perubahan terhadap pemilihan pemain yang bakal membarisi pasukan dalam edisi 2024.

“Antara muka muka baharu yang akan menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2024 ini ialah Fazillah Sylvester Silin yang bertindak sebagai ketua pasukan, Anith Humaira Baharudin, Zati Elyani Mohd. Zubir, Qhairunisya Mohd. Zanili dan Surizan Awang Noh.

“Pasukan ini juga diperkukuhkan dengan khidmat dua pemain dari negara China, Zing Zhen Zhen dan Li Mei Ling serta gandingan para pemain yang berasal dari negeri ini,” katanya dalam ucapan pada majlis memperkenalkan Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2024 di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Presiden NSHA, Datuk Masri Razali.

Aminuddin menambah, antara anak jati Negeri Sembilan dalam pasukan itu ialah penjaga gol kebangsaan, Nur Hazlinda Zainal Abidin, kapten pasukan Piala Razak Negeri Sembilan, Nor Adilah Abdul Malik dan bekas pemain pasukan remaja Malaysia, Nurfatin Dizana Mohd. Zaidi.

Katanya, pemain termuda untuk edisi kali ini ialah Nur Zariefah Dania Mazlan, 14, yang berasal dari Tampin dan kini bersekolah di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Jelasnya, kejohanan tahun ini akan membuka tirai pada 1 Februari ini dan Negeri Sembilan akan menjadi tuan rumah menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 5 petang di Stadium Hoki Seremban 2.

“Saya pasti Negeri Sembilan akan berjaya memulakan saingan musim ini dengan langkah kanan berdasarkan persediaan rapi yang telah dibuat oleh barisan kejurulatihan pasukan itu yang diterajui jurulatih berpengalaman, K. Rajan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pasukan itu juga akan memulakan tugasan mempertahankan Piala Sumbangsih yang mula diperkenalkan pada kejohanan tahun lalu apabila bertemu pasukan Malaysian University pada 7 Februari ini di Stadium Hoki Bukit Jalil.

“Saya yakin pasukan kita akan dapat mempertahankan ketiga-tiga trofi yang dipertandingkan dalam kejohanan tahun ini,” katanya.-UTUSAN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Negeri Sembilan sasar pertahan emas ragbi Sukma

Seremban: Meskipun bakal tampil dengan sebahagian pemain baharu, pasukan ragbi tujuh sebelah Negeri Sembilan kekal fokus kepada misi mempertahankan pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos depan.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan (NSRU), Shahrulfitri Borhan berkata, pihaknya sudah membentuk pasukan mantap dibarisi 18 pemain pada peringkat awal untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi pada Sukma di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 12 pemain akan dipilih bagi menggalas cabaran di Sarawak nanti.

“Sebahagian daripada mereka adalah pemain baharu yang dicungkil dari beberapa kejohanan di peringkat akar umbi dan mereka diyakini mampu menggalas cabaran di Sukma nanti.

“Semua pemain ini sudah diuji dalam empat kejohanan tempatan dan satu peringkat antarabangsa di Sri Lanka sepanjang tahun lalu dan ternyata prestasi mereka amat memberangsangkan.

“Tumpuan kami adalah mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2022 dan akan berusaha memastikan reputasi itu tidak tercalar,” katanya.

Menurut Shahrulfitri, mereka dilatih jurulatih berpengalaman, Yusri Ramlee dan dibantu Khairul Azhar Shaarani dalam memastikan pasukan itu benar-benar dapat merealisasikan sasaran ditetapkan.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad Sukma juara Liga Hoki Perak

IPOH: Skuad Sukma Perak 2024 muncul juara Liga Hoki Perak (LHP) 2024 selepas mengalahkan SMK Anderson Ipoh 7-2 dalam aksi final di sini semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada suku pertama.

Perlawanan tersebut ibarat pertembungan ‘abang dan adik’, kerana kedua-dua pasukan mendapat bimbingan jurulatih yang sama iaitu Mohd. Nizam Mohd Hashim.

Malah, ramai pemain Sukma Perak adalah bekas pelajar SMK Anderson .

Bagaimanapun, MSK Anderson tiba-tiba bagaikan hilang tumpuan selepas jaringan mereka tidak dibenarkan oleh pengadil pada minit ke-16.

Kesempatan itu diambil oleh pemain Sukma Perak untuk meledak tiga gol dalan tempoh lima minit mulai minit ke-17.

SMK Anderson merapatkan jurang dengan dua gol melalui Ahmad Danish dan Muhammad Hidayat Mohammad Faizal untuk menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-39.

Begitupun, hanya sejauh itu perjalanan SMK Anderson apabila gawang mereka dibolosi empat gol oleh skuad abang selepas itu.

Dengan kejayaan itu, skuad Sukma Perak meraih hadiah kemenangan RM3,000 makala SMK Anderson menerima RM2,000.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menduduki tempat ketiga selepas mengecewakan UPSI. – UTUSAN

Majlis Sukan Negara Malaysia