Temasya Sukan Asia yang mula diperkenalkan pada tahun 1951 di New Delhi adalah merupakan temasya yang diadakan setiap 4 tahun sekali di mana temasya ini dianjurkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA). Cetusan bagi mengadakan temasya sukan di kalangan negara-negara Asia bermula pada tahun 1948 apabila 13 buah negara perwakilan Asia mula menyertai Sukan Olimpik di London.
Sukan Asia telah berkembang dengan pesatnya sehingga menjadi temasya kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik dari segi bilangan jenis sukan yang dipertandingkan. Bermula dari 6 jenis sukan, 11 buah negara dan 489 atlet, kini ianya telah meningkat kepada 40 jenis sukan dan 45 buah negara OCA dan 11338 atlet pada Sukan Asia XVIII Jakarta/Palembang 2018.
Malaysia mula mengambil bahagian sejak tahun 1954 dan dikenali sebagai Malaya pada ketika itu. Secara amnya, di temasya Sukan Asia 1994, kontinjen negara menyertai 59 acara diikuti 93 acara di Sukan Asia 1998 daripada jumlah keseluruhan acara yang dipertandingkan. Walau bagaimanapun, pada Sukan Asia XVI, di Guangzhou 2010, Malaysia telah mengambil bahagian dalam 186 acara daripada jumlah 476 acara yang dipertandingkan dan ini adalah merupakan penyertaan acara terbesar kontinjen Malaysia ke Sukan Asia.
Walaupun Negara telah menyertai Sukan Asia pada tahun 1954, namun pungutan pingat negara hanya bermula di Sukan Asia III, 1958 di Tokyo, Jepun. Prestasi terbaik Kontinjen Negara di temasya ini adalah pada temasya Sukan Asia XVI, di Guangzhou 2010 dengan memenangi 9 pingat emas, 18 perak dan 14 pingat gangsa. Berikut adalah merupakan rumusan penyertaan dan prestasi kontinjen negara di temasya Sukan Asia.