Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong buru 10 terbaik musim ini

KUALA LUMPUR: Setelah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik pada Jun tahun lepas, pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong kembali dengan misi lebih besar iaitu untuk mencetak nama sebagai antara 10 pemain terbaik dunia musim ini.
Bukan itu sahaja, pemain berusia 23 tahun itu juga mahu berada di landasan tepat dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
“Azam tahun baharu saya, supaya tidak mengalami kecederaan, berada dalam kelompok 10 terbaik dan layak ke Sukan Olimpik Paris,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan hari ini.
Pemain di ranking ke-15 dunia itu, kini berada pada kedudukan ke-13 dengan 57,080 mata di belakang pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia yang berada di tempat ke-11 (62,126 mata) dalam ranking Race to Paris.
Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi acara perseorangan lelaki dan wanita, setiap negara boleh mempunyai kuota maksimum dua tempat jika pemain tersebut berada pada kedudukan 16 terbaik dalam ranking Road to Paris.
Tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 yang bermula 1 Mei tahun lepas, akan berlangsung hingga 28 April 2024.
Sementara itu mengenai Terbuka Malaysia 2024, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu berkata beliau kini dalam perbincangan dengan jurulatih untuk mencari formula berdepan lawannya Koki Watanabe dari Jepun, dalam perlawanan pusingan pertama, minggu depan.
“Memang harap prestasi lebih baik tahun ini (Terbuka Malaysia). Perlawanan pertama bukan mudah namun tiada siapa yang mahu kalah,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain itu, Watanabe yang menghuni ranking ke-23 dunia mempunyai kelebihan apabila pernah menewaskan Tze Yong 21-17, 21-14 pada pusingan kedua Terbuka Jepun tahun lepas, yang merupakan satu-satunya pertemuan mereka.
Terbuka Malaysia 2024 akan berlangsung pada 9 hingga 14 Jan di Axiata Arena.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tak mustahil genggam emas Olimpik

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui cabaran untuk menggenggam pingat emas ­Olimpik pertama negara di bumi Perancis tahun depan agak sukar, namun ia tidak mustahil.

Menurut Hamidin, buat masa sekarang tiada gambaran jelas mengenai sasaran kerana semua atlet sedang giat menjalani persiapan memandangkan temasya sukan berprestij dunia itu hanya berbaki kurang lapan bulan lagi.

Justeru, Hamidin menggesa agar kesemua atlet yang kini bersiap sedia menghadapi proses kelayakan dapat memberikan ­prestasi terbaik dalam setiap sesi latihan serta kejohanan kompetitif bakal disertai nanti.

“Kita boleh tunggu pada April atau Mei depan untuk melihat gambaran jelas mengenai harapan saya (Olimpik Paris 2024).

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, bukan mudah untuk kita meraih pingat emas pada edisi 2024 kali ini dan ia lebih sukar kerana kita tidak pernah menggenggam emas.

“Semua pihak perlu berusaha sehingga hari pertandingan dan biar takdir yang menentukan. Jika dilihat mengenai potensi, (Datuk) Azizulhasni Awang yang paling dekat disusuli dengan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Cuma, Aaron-Wooi Yik belum stabil kerana sering terkandas di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini. Kita harap mereka berada di puncak prestasi pada temasya itu nanti,” katanya.

Untuk info, Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas di pentas Sukan Olimpik sejak mengambil bahagian di temasya tersebut buat kali pertama pada edisi 1956 di Melbourne, ­Australia.

Pencapaian terbaik dilakar kontinjen negara adalah pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil apabila merangkul empat pingat perak dan satu gangsa.

Sebagai rekod, temasya Sukan Olimpik 2024 dijadualkan bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.-KOSMO

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pecutan akhir atlet Malaysia layak ke Olimpik Paris 2024

PETALING JAYA: Barisan atlet negara mempunyai tempoh kurang lima bulan sahaja lagi bagi memburu slot secara merit untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) memberi gambaran sekitar 30 hingga 35 orang atlet negara akan memperkuatkan kontinjen Malaysia bagi edisi kali ini.

Namun, jumlah itu tidak termasuk dengan skuad hoki negara yang akan beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman pada Januari depan.

Skuad berbasikal trek negara yang ditunjangi Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Shahrom dan Mohd Fadhil Zonis pula terpaksa menanti sehingga 14 April depan bagi mengetahui status mereka ke temasya itu berdasarkan ranking Olimpik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Bagi skuad badminton negara, impian untuk melihat dua wakil untuk kesemua lima acara dipertandingkan akan menjadi sengit menjelang tarikh akhir kelayakan pada 28 April depan.

Ini tidak termasuk dengan acara-acara lain seperti terjun, renang, pelayaran, angkat berat, olahraga malahan ping pong juga akan mengharungi slot kelayakan ke Paris apabila mereka akan beraksi di Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2024 di Busan pada Februari depan.

“Kita boleh tunggu pada April atau Mei depan untuk melihat gambaran jelas mengenai harapan saya di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, bukan mudah untuk kita meraih pingat emas pada edisi 2024 kali ini dan ia lebih sukar kerana kita tidak pernah menggenggam emas.

“Namun, semua pihak perlu berusaha sehingga hari pertandingan dan biar takdir yang menentukan,” jelas ketua kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Setakat ini, Malaysia sudah pun mempunyai lima wakil yang telah pun mengesahkan tempat ke Paris 2024 antaranya Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).

Ditanya tentang prospek emas, Hamidin berkata, beliau masih belum dapat menamakan sandaran utama negara biarpun wujudnya Program Road to Gold (RTG) yang dikhususkan untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

“Jika dilihat mengenai potensi, Azizulhasni yang paling dekat disusuli dengan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Cuma, Aaron-Wooi Yik belum stabil kerana sering terkandas di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini dan kita harap mereka berada di puncak prestasi pada temasya itu nanti,” tambahnya.-UTUSAN

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris 2024: Sukan berbasikal dan badminton jadi sandaran

KUALA LUMPUR, 27 Disember – Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan pasukan negara akan berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan misi emas sulung pada temasya sukan berprestij itu mencapai sasaran pada tahun depan.

Beliau berkata ketika ini, jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merupakan sandaran terbaik untuk negara merealisasikan misi berkenaan.

“Dari segi rekod, Azizulhasni paling hampir, kedua mungkin Aaron-Wooi Yik tapi mereka belum stabil dan harap di Paris mereka capai kemuncak.

“Sudah tentu Road To Goal (RTG) yang mana diketuai Menteri Sukan Hannah Yeoh dan Tan Sri Norza dan saya akan bekerja keras mencuba sehabis mungkin untuk kita mendapatkan emas,” katanya.

Setakat ini, lima atlet negara sudah mengesahkan tiket ke Paris iaitu Ariana Nur Dania Zairi, Nur Aisyah Mohamad Zubir , Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohamad Latif dan atlet menembak Johnathan Wong.

Dijangka lebih ramai akan meraih tiket ke Paris antaranya Mohd Azizulhasni dan Aaron-Wooi Yik memandangkan fasa kelayakan ke temasya sukan itu masih terbuka hingga Jun tahun depan.-RTM

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Untuk menang emas kena jadi terbaik dunia’, Hamidin beri jaminan kontinjen negara usaha bersungguh-sungguh buru ‘1st gold’ Olimpik Paris 2024

KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan pasukan negara akan berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan misi emas sulung pada temasya sukan berprestij itu tahun depan, tercapai.

Beliau berkata, ketika ini, jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kedua-duanya masih memburu tempat ke Paris, merupakan sandaran terbaik untuk Malaysia memenangi emas.

“Untuk menang emas kena jadi terbaik dunia … dari segi rekod, Azizulhasni paling hampir, kedua mungkin Aaron-Wooi Yik tapi mereka belum stabil dan harap di Paris mereka capai kemuncak (prestasi).

“Kalau (sekarang) kita ada lima atlet … memang semua sentiasa masuk final, (dan) peluang kita lebih cerah tetapi kita tetap akan berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Lahir Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Doa Selamat Sempena Piala Asia 2023 dan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor pada Selasa.

Setakat ini, lima atlet negara sudah mengesahkan tiket ke Paris iaitu pemanah recurve Ariana Nur Dania Zairi, Nur Aisyah Mohamad Zubir (berbasikal lebuh raya), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan atlet menembak Johnathan Wong.

Lebih ramai atlet negara dijangka meraih tiket ke Paris antaranya Mohd Azizulhasni dan Aaron-Wooi Yik memandangkan fasa kelayakan ke temasya sukan berprestij itu masih terbuka hingga Jun tahun depan.

Dalam pada itu, Hamidin komited untuk membantu kelima-lima atlet yang telah melayakkan diri ke Paris memandangkan mereka tidak berada dalam program Road To Gold (RTG).

“Januari nanti saya akan bermesyuarat dengan mereka di sini untuk mengetahui apa lagi keperluan mereka, walaupun mereka tak berada dalam RTG, kita perlu membantu dan ini tugas saya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan Nur Shazrin mampu mencipta kejutan di Paris.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Olimpik adalah pada edisi Rio 2016 dengan merangkul empat perak dan satu gangsa.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan. — Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Enam pemain jadi sandaran ke Olimpik Paris

Kuala Lumpur: Kem ping pong negara meletakkan harapan di bahu enam pemain bagi menamatkan penantian 36 tahun negara untuk kembali mempunyai wakil di Sukan Olimpik pada edisi 2024 di Paris.

Jurulatih skuad kebangsaan Beh Lee Wei berkata pemain tersebut melibatkan tiga wakil lelaki iaitu Choong Javen, Leong Chee Feng dan Wong Qi Shen, manakala selebihnya daripada skuad wanita dibarisi Alice Chang, Ho Ying serta Karen Lyne.

Lee Wei berkata peluang Malaysia untuk kembali menjejakkan kaki di pentas Olimpik masih belum tertutup memandangkan kesemua pemain tersebut boleh merebut slot untuk ke Paris 2024 menerusi kejohanan kelayakan peringkat Asia nanti.

“Peluang masih ada buat kita kerana saya difahamkan masih terdapat slot untuk pemain dari Asia Tenggara yang ditawarkan dalam kejohanan kelayakan itu nanti, namun lokasi dan tarikh pertandingan belum diumumkan,” katanya.

Secara realistiknya, bekas pemain kebangsaan itu berkata Malaysia berpotensi menghantar wakil bagi acara perseorangan lelaki, wanita mahupun beregu bercampuran pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil pada Sukan Olimpik adalah menerusi penyertaan dua pemain wanita iaitu Lau Wai Cheng dan Leong Mee Wan pada edisi 1988 di Seoul.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Selain fokus untuk layak ke temasya berprestij itu, Lee Wei berkata pihaknya juga akan menilai prestasi pemain pada Kejohanan Ping Pong Malaysia ke-58 yang bermula hari ini hingga Sabtu di Segamat, Johor.

Penerima anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan Anugerah Sukan Negara 2022 itu, berkata kejohanan di Johor akan dijadikan platform menentukan barisan akhir pemain ke Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia Akhir 2024 di Busan, Korea Selatan dijangka bermula 16 hingga 25 Feb depan.

“Kami akan umum sasaran di Korea Selatan bulan depan selepas kejohanan di Johor berakhir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata barisan kejurulatihan juga merancang memberi lebih banyak tumpuan bagi memantapkan skuad junior negara tahun depan.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik fokus aksi konsisten hadapi Paris 2024

PETALING JAYA: Beregu badminton lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan memberikan tumpuan untuk memperbaiki kelemahan yang menghalang mereka daripada beraksi secara konsisten menjelang tugasan penting dan mencabar tahun depan.
Aaron berkata antara kelemahan yang perlu ditangani terutama sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 adalah aspek mental di gelanggang selain perlu berusaha meningkatkan tahap kecergasan fizikal bagi menempuh fasa persediaan mencabar yang melibatkan sesi latihan dan siri kejohanan antarabangsa.
“Tahun depan akan jadi tahun yang mencabar untuk kami dengan banyak sasaran…jadi perlu bersedia dengan cukup baik,” kata pemain berusia 26 tahun itu ketika ditemui pada majlis 2023 Haier Media Engagement di sini, hari ini.
Wooi Yik pula berpendapat gandingan mereka berdua menunjukkan peningkatan prestasi tahun ini, namun masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki bagi menyaingi kehebatan barisan pencabar dalam memburu kilauan pingat emas di Paris.
“Kita nampak apa kelemahan kita dan apa yang membezakan kita berbanding lawan, jadi perkara itu yang harus kita perbaiki dan bersedia untuk tahun depan yang sangat penting,” kata pemain berusia 25 tahun berasal dari Kuala Lumpur itu.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan gandingan keempat dunia akan membuka musim baharu dengan menyertai kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 9 sehingga 14 Jan depan.
Tanpa mendedahkan sasaran di Terbuka Malaysia, Aaron berkata mereka yang dijadual bertemu pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama akan memberikan aksi terbaik memandangkan ia adalah kejohanan pertama di laman sendiri selepas enam bulan.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di Terbuka Malaysia adalah mara ke peringkat separuh akhir pada edisi 2022 sebelum terkandas di pusingan kedua tahun ini.
Terdahulu, pada majlis hari ini Aaron-Wooi Yik menandatangani kontrak lanjutan sebagai duta sebuah syarikat pembekal peralatan elektrik global.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MOM mahu ada kesinambungan acara Sukan SEA 2025, 2027

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mahukan acara sukan temasya Sukan SEA 2025 di Thailand mempunyai kesinambungan dengan edisi seterusnya di Kuala Lumpur pada 2027.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara tersebut akan dibawa kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) di Bangkok, Thailand pada Januari ini.
“(Setiausaha Agung MOM) Datuk Nazifuddin Najib akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkoordinasikan acara sukan yang kita nak pertahankan supaya dimasukkan ke Thailand.
“Ini kerana kita mahukan acara yang agak sama dipertandingkan pada 2027 ketika kita menjadi tuan rumah. Kita tak mahu acara sukan dipertandingkan di Thailand nanti terlalu banyak beza dengan Kuala Lumpur.
“Ia supaya program yang kita laksanakan nanti konsisten, dengan kata lain atlet pelapis yang kita perkenalkan di Thailand nanti boleh berada pada tahap prestasinya pada 2027,” katanya.
Norza berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Eksekutif Ahli Majlis MOM ke-206 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Sabtu.
Pada Sukan SEA di Kemboja tahun ini, kontinjen Malaysia menamatkan kempen di tangga ketujuh daripada 11 negara dengan meraih 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa.
Ia dianggap pencapaian terburuk buat kontinjen Malaysia dalam sejarah penyertaan dalam temasya dwitahunan itu apabila turut gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Norza membayangkan kemungkinan sasaran warna pingat akan tetap digunakan pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Ini memandangkan temasya Sukan SEA bersifat pembangunan dan persahabatan,” jelasnya. – Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Badminton: Lebih wakil beregu isi slot Olimpik 2024 Paris lagi bagus – Boon Heong

KUALA LUMPUR: Malaysia diharap mampu mempunyai sekurang-kurangnya dua wakil bagi acara beregu lelaki dalam usaha merebut slot Sukan Olimpik 2024 Paris.
Bekas pemain beregu lelaki negara Tan Boon Heong berkata memandangkan beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik hampir pasti merealisasikan sasaran mengisi slot itu, kehadiran beregu lelaki lain mampu mencerahkan peluang negara meraih pingat pada temasya empat tahun sekali itu.
Berdasarkan ranking kelayakan terkini “Race to Paris” dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Aaron-Wooi Yik kini berada di kedudukan kedua dengan hanya lapan terbaik akan meraih slot itu. Satu lagi pasangan lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yii pula berada di kedudukan ke-11.
“Bagi saya bukan senang nak masuk dua pasangan sebab mereka kena buru lapan terbaik. Namun jika ada ia merupakan peluang baik sebab boleh bagi cabaran. Jadi bila dapat masuk lapan terbaik, satu lagi pasangan boleh fokus untuk buru pingat Olimpik
Kebiasaannya kalau tengok Malaysia dulu hanya Datuk Lee Chong Wei sahaja yang mewakili Malaysia (perseorangan lelaki) sedangkan negara China dan Indonesia mereka ada lebih dari seorang pemain jadi susah sikit lah. Kalau boleh layak dua pasangan macam acara perseorangan lagi bagus,” katanya selepas ditemui pada Kejohanan Badminton Akademi Tan Boon Heong, di sini hari ini.
BWF sebelum ini mengumumkan tempoh kelayakan ke Olimpik 2024 bermula dari 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024 dan jumlah kuota bagi acara-acara badminton kekal 172 tempat melibatkan 86 lelaki dan 86 wanita.
Bagi acara beregu, setiap negara mempunyai kuota maksimum dua tempat jika kedua-dua pasangan berada di kedudukan lapan terbaik pada tarikh kelayakan dan harus ada sekurang-kurangnya satu pasangan daripada setiap lima konfederasi benua, dengan syarat mereka berada dalam ranking 50 terbaik.
Terdahulu, lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara telah menyertai kejohanan yang julung kali dianjurkan akademi badminton milik bekas pemain berumur 36 tahun itu.
Beliau berharap kejohanan yang dianjurkan khusus bagi mencungkil bakat baharu badminton dapat diperluaskan pada tahun hadapan.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kejohanan Asia peluang Nur Suryani buru tiket ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Pembidik veteran negara Nur Suryani Mohamed Taibi mempunyai dua peluang terbaik untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, bermula dengan Kejohanan Rifle/Pistol Asia 2024 di Jakarta, bulan depan.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Hayati Shamsuri berkata jika Nur Suryani memenangi kejohanan Asia yang berlangsung pada 5 hingga 18 Jan itu, beliau bakal membuat penampilan ketiganya di pentas Olimpik selepas edisi London 2012 dan Tokyo 2020.
Penembak kebangsaan berusia 41 tahun itu akan menyertai dua acara di Jakarta iaitu 50 meter (m) rifle 3 posisi individu dan 10m air rifle individu wanita.
Sekiranya gagal berbuat demikian, Hayati berkata Nur Suryani masih berpeluang menempah tiket ke Paris menerusi kejohanan kelayakan terakhir di Rio de Janeiro, Brazil pada 11 hingga 19 April, tahun depan.
“Pertandingan di Rio de Janeiro merupakan pusingan kelayakan terakhir buat penembak seluruh dunia untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 namun tugas mencabar menanti Nur Suryani memandangkan beliau bakal berdepan penembak handalan dari negara lain di Brazil.
“Disebabkan itu, peluang lebih terbuka baginya untuk ke Paris 2024 pada Kejohanan Rifle/Pistol Asia 2024 nanti kerana saingan diterima hanya dari peringkat serantau sahaja,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.
Selain Nur Suryani, Hayati berkata terdapat 15 lagi penembak lain termasuk juara 10m air pistol wanita Sukan SEA 2021 Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin dijadual menyertai Kejohanan Rifle/Pistol Asia 2024.
Setakat ini, penembak lelaki Johnathan Wong muncul wakil tunggal skuad menembak negara yang mengesahkan slot ke Paris 2024.
Selain Johnathan, tiga lagi atlet dari sukan lain telah melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu ialah atlet terjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Ariana Nur Dania Zairi (memanah).
Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia