KUALA LUMPUR: Selepas tersenarai dalam Program Fast Track, pemain skuasy wanita muda negara, Aira Azman berazam untuk memperbaiki kedudukan rankingnya dengan sasaran awal menembusi kelompok 30 terbaik dunia.
Pemain berusia 20 tahun itu yang ketika ini berada di kedudukan ke-45 dunia, berkata jurang antara dirinya dengan pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia sudah tidak jauh berdasarkan aksinya dalam tiga kejohanan di Amerika Syarikat, bulan lalu – Detroit Pro Classic, Squash Open Fire dan Windy City Open.
“Dalam tempoh tiga minggu lalu, Aira sudah berdepan dengan pemain Top 20 dunia dan Aira rasa jurang permainan dengan mereka, tidak jauh, meskipun kalah, Aira tewas dalam pertarungan lima set.
“Ketika ini Aira mahu menewaskan mereka dahulu,” katanya yang kini berada dalam ranking yang baik untuk beraksi di Kejohanan Dunia dijadual Mei depan.
Menurut Aira, Kejohanan Dunia di Mesir itu bakal menjadi penampilan keduanya di peringkat senior selepas penyertaan tahun lalu di Chicago.
“Jadi dalam tempoh yang ada, kami akan menyertai beberapa kejohanan di Eropah, AS dan Mesir.
“Aira akan cuba memperbaiki ranking agar dapat tampil sebagai pemain pilihan di Kejohanan Dunia nanti,” tambahnya.
Aira antara empat pemain skuasy selain Aifa Azman, S Sivasangari dan Ng Eain Yow disenaraikan dalam Program Fast Track yang diwujudkan bagi melahirkan atlet muda berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Selain empat pemain skuasy, dua penerjun negara Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold turut berada dalam Program Fast Track untuk LA2028.-Berita Harian