Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Buat yang terbaik, percaya gerak hati’ – Josiah

BUAT yang terbaik dan percaya kepada gerak hati, itu mesej bekas atlet Olimpik tiga kali Josiah Ng kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Josiah, rakan sepasukan dan rakan sebilik Azizulhasni sejak 2007 percaya Pocket Rocketman itu mampu bersinar pada masa yang diperlukan.

“Saya sudah mengenalinya lama, saya pernah menjadi rakan sebilik, menjadi orang kepercayaan dan rakan sepasukannya. Jika dilihat pada data kritikal keputusan Olimpiknya, Azizulhasni yang sebenar biasanya akan muncul pada masa yang diperlukan.

“Beliau mara ke separuh akhir di Beijing 2018, final di London 2012, memenangi gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020. Jadi apa seterusnya?

“Jika anda seorang yang melihat kepada data, apa lagi? Hanya emas! Jika Azizulhasni fokus pada apa yang beliau lakukan dengan baik, iaitu percaya gerak hati, beliau akan membawa pulang emas pertama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran koleksi Malaysian Pride PMC (Pestle & Mortar Clothing) x MOM (Majlis Olimpik Malaysia) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Josiah berkata, sama ada Malaysia mempunyai seorang atau dua pelumba pada final acara keirin di Paris dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi pelumba Malaysia yang turut bertanding dalam acara pecut dan keirin, ia tidak semestinya meningkatkan peluang negara meraih pingat emas.

“Saya rasa Azizulhasni akan melakukan apa yang dia akan lakukan, dengan atau tanpa Shah. Dulu bersama Azizulhasni, kami tidak pernah merancang (apa-apa).

“Kami akan membantu antara satu sama lain tanpa merancang apa-apa kerana jika kami membuat rancangan, ia tidak akan berjaya. Terdapat begitu banyak perkara yang berlaku dalam keirin…jika anda merancang, kemungkinan besar ia tidak akan menjadi,” katanya.

Josiah, 44, juga mempunyai mesej untuk atlet Malaysia yang akan membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar itu: “Nikmatilah saat ini dan jangan biarkan tekanan menjejaskan prestasi anda”.

Malaysia menghantar 26 atlet ke Paris dengan antara yang membuat penampilan sulung ialah Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek), Bertrand Rhodict Lises (terjun) dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (memanah).

Sementara itu Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib melahirkan rasa teruja dengan ketersediaan barangan pasukan kebangsaan seperti baju, jaket dan topi yang boleh dibeli orang ramai mulai Khamis ini.

“Sebelum ini, kita tak jual baju kontinjen sebab isu penajaan tetapi kali ini kita adakan kerjasama khusus untuk produk dijual di pasaran. Kami berharap kolaborasi (bersama PMC) akan berpanjangan,” katanya.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tidak dapat tidak, atlet RTG mesti bawa pulang emas – MOM

KUALA LUMPUR: Atlet di bawah projek Road To Gold (RTG) tidak mempunyai pilihan selain memenangi emas yang diidam-idamkan Malaysia pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib menegaskan hal itu bagi mewajarkan pelaburan ketara kerajaan dalam menyiapkan atlet-atlet terlibat untuk mencipta sejarah pada temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita mesti mencapai ini (menyumbang emas)…program itu bukan untuk Paris 2024 sahaja malah menyasarkan Los Angeles 2028 (LA 2028) dengan persediaan sudah pun berjalan.

“Sama ada kita boleh capai atau tidak, ia sangat bergantung pada atlet kita ketika hari pertandingan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan penjaaan daripada Milo kepada MOM, di sini, hari ini.

Projek RTG yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan tahun lepas, bertujuan menyelaraskan usaha dalam misi membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia dengan fokus pada edisi Paris 2024 atau LA 2028.

Setakat ini, RM25 juta telah dibelanjakan untuk projek itu meliputi elaun bulanan tambahan RM3,000 berserta sokongan sains sukan, pendedahan kejohanan dan kejurulatihan.

Antara atlet RTG yang akan bertanding di Paris 2024 termasuk jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara dunia beregu lelaki 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan.

Beliau turut mengingatkan kontinjen negara, termasuk atlet, agar tidak bergaul dengan orang awam semasa Sukan Olimpik atas sebab keselamatan, susulan ketegangan politik di Perancis.

Selain itu, Mohd Nazifuddin berkata jumlah penajaan yang diterima bagi edisi kali ini melebihi Tokyo 2020.

“Saya tidak dapat memberikan angka yang tepat tetapi apa yang boleh saya katakan lebih banyak (daripada Tokyo 2020) kerana kami mempunyai penaja baru. Semasa COVID-19, tidak banyak syarikat yang berminat untuk menaja tetapi kini saya fikir minat terhadap sukan telah meningkat,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada Milo kerana terus menyokong para atlet dalam mengejar kecemerlangan sukan sejak penyertaan pertama Malaysia ke Sukan Olimpik sebagai Malaya di Melbourne 1956.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products, Lim Kerwin berkata kerjasama pihaknya dengan MOM adalah sehingga 2028 dan Milo menyediakan sokongan kewangan selain sumbangan dalam bentuk barangan untuk kontinjen negara bertanding di pelbagai temasya sukan.

— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Badminton, basikal mampu sumbang emas Olimpik

KUALA LUMPUR – Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin percaya kilauan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 mampu dijelmakan menerusi sukan badminton dan berbasikal trek.

Keyakinan itu dilaungkan berdasarkan fakta terutama kemampuan atlet negara terutama di Sukan Olimpik edisi lalu di Tokyo dan juga kejohanan-kejohanan sebelum ini.

Hamidin berpendapat jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mampu diletakkan sandaran prospek emas di temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita tak pernah dapat pingat emas jadi sasaran tidak kira mana atlet pun berpotensi untuk meraih emas negara.

“Kalau kata mengenai peluang untuk dapatkan pingat (emas), semua berpeluang tetapi dari segi faktanya seperti Datuk Azizulhasni, Aaron-Wooi Yik, Zii Jia ini adalah nama yang mungkin ada potensi. 

“Namun mungkin ada atlet yang boleh membuat kejutan, kita tak tahu, cukup untuk saya katakan, semua atlet berpeluang untuk dapatkan emas,” kata Hamidin selepas Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk kontinjen Malaysia ke Paris 2024, di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin turun mencabar atlet muda berjuang untuk memperbaiki kedudukan masa terbaiknya ketika membuat penampilan pertama di Olimpik Paris.

“Saya juga ada bercakap dengan atlet muda, bagi saya sekurang-kurangnya mereka perlu mendapatkan kedudukan lebih baik di Olimpik kali ini. 

“Kalau katakan yang dapat wildcard, sekiranya mereka boleh perbaharui masa terbaik mereka pun, itu sudah baik,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hoe Yean mahu pecah rekod kebangsaan di Paris

KUALA LUMPUR: Perenang negara, Khiew Hoe Yean menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 400 meter (m) ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya 26 Julai ini.

Demi merealisasikan impian berkenaan, atlet berusia 22 tahun itu bakal menambah baik kelajuan renangannya ketika menjalani kem latihan di Ireland minggu depan.

“Matlamat saya ialah memperbaiki masa peribadi (rekod kebangsaan). Saya sedang berusaha mengatasi masa terbaik saya 3:48.36 saat (s) supaya saya boleh terus meningkat.

“Ini adalah sebahagian dari matlamat utama di Paris. Saya sangat gembira untuk berada di sana. Saya hanya ingin melakukan persembahan yang terbaik dan meraih pengalaman di Paris,” katanya pada sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan 400 m gaya bebasnya pada Terbuka Australia di Gold Coast April lalu.

Dalam pada itu, Hoe Yean berkata melangkah ke temasya sukan beprestij itu menjadi impiannya sejak kecil dan tidak mahu mensia-siakannya.

“Telah menjadi impian saya untuk bertanding di Olimpik semenjak saya mula berenang, ketika berusia lapan tahun saya beritahu ibu bahawa saya mahu ke Olimpik suatu masa nanti, ia impian dari kecil lagi, selalu mencari idola saya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi perenang wanita negara Tan Rouxin mengakui tidak menjangka akan membuat penampilan di temasya berprestij itu pada usia 18 tahun.

Justeru, beliau akan menggunakan peluang beraksi di Olimpik itu sebagai medan untuk mengumpul pengalaman selain berharap mampu memecahkan rekod peribadinya dalam acara 100 m kuak dada.

“Saya fikir ini adalah memori yang tak akan dapat diIupakan kerana dapat menyertai Olimpik pada usia sebegini muda. Saya sangat gembira dan teruja untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin melawat kem renang bagi berjumpa Hoe Yean dan Rouxin sebelum ke kem Olahraga di Trek Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Agong tingkatkan semangat atlet negara

KONTINJEN Malaysia yang bakal berangkat ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 meraih tonik terbaik selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara di Istana Negara hari ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, Baginda mengucapkan selamat maju jaya selain menyeru rakyat Malaysia mendoakan kecemerlangan atlet-atlet kebangsaan yang akan mewakili negara ke temasya berprestij itu.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet-atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.

“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia,Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan CDM Malaysia ke Paralimpik Paris, Datuk Subramaniam Raman Nair.

Secara keseluruhan, seramai 25 atlet kebangsaan akan mengambil bahagian pada Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirainya bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini dalam misi memburu pingat emas pertama negara di pentas berkenaan.

Bagi Paralimpik Paris, seramai 20 atlet akan menggalas tanggungjawab negara pada saingan yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September depan.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jennet ‘wakil’ Malaysia di Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Meskipun tiada atlet taekwando negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, Malaysia masih akan diwakili pada temasya sukan itu.

Ini selepas bekas atlet negara Lee Jeng Yen dipilih sebagai antara 26 pengadil untuk mengadili perlawanan Kyorugi (Sparing) pada acara sukan terbesar dunia dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Ini merupakan kali kedua guru di sebuah sekolah swasta itu dipilih sebagai pengadil di sukan Olimpik selepas mengadili perlawanan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya lebih teruja kali ini kerana sukan Olimpik terakhir diadakan ketika pandemik COVID-19 tanpa kehadiran penonton.

“Venue kali ini iaitu Grand Palais dijangka menerima kehadiran penonton yang ramai dan keunikan struktur serta reka bentuknya pasti akan memberikan pengalaman luar biasa,” katanya.

Bagaimanapun perjalanan Jeng Yen yang lebih dikenali sebagai Jennet ke Sukan Olimpik tidak mudah kerana perlu melalui beberapa pusingan pemilihan selama hampir setahun termasuk sesi penilaian dan kem latihan.

Jennet yang berusia 42 tahun itu perlu bersaing dengan hampir 100 calon lain dalam pemilihan di peringkat Asia dengan menjalani ujian teori, fizikal dan pengurusan permainan.

“Hanya 16 akan ke pusingan seterusnya yang terdiri daripada 58 calon terbaik dari seluruh dunia. Saya satu-satunya dari Malaysia. Kami kemudiannya menjalani satu lagi pusingan penilaian sebelum 26 pengadil dipilih masing-masing melibatkan 13 lelaki dan 13 wanita.

“Kami telah dinilai melalui pertandingan peringkat tertinggi seperti Kejohanan Dunia dan Grand Prix Taekwando Dunia serta Kelayakan Olimpik Paris untuk Oceania dan Afrika,” katanya.

Jennet pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai pertandingan daripada Sukan SEA hingga Kejohanan Dunia antara 2009 dan 2016, selain turut berkhidmat sebagai jurulatih.

Kali terakhir atlet taekwando Malaysia layak bertanding di Olimpik ialah pada Sukan Olimpik Beijing 2008 menerusi Elaine Teo dan Che Chew Chan, masing-masing beraksi dalam kategori wanita bawah 57 kilogram (kg) dan lebih 67 kg. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
RTG hanya sasarkan emas Olimpik

KUALA LUMPUR: Menamatkan kemarau penantian pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik menjadi keutamaan kontinjen Malaysia di Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sejak program Road to Gold (RTG) dilancarkan pada Januari tahun lalu, keutamaan adalah tertumpu kepada kilauan emas dan setakat ini tiada lagi perbincangan menjurus kepada pungutan pingat yang lain ditetapkan.

“Sasaran pingat memang seperti saya nyatakan, mensasarkan untuk dapatkan emas pertama Malaysia. Itu hasrat RTG, yang lain setakat ini tak ada dalam perbincangan mengenainya kerana tahun lalu, pada Januari ketika kita wujudkan RTG, memang sasaran kita adalah emas.

“Itu yang kita nak… pingat lain itu bukan kata tak nak tetapi kita pernah dapat perak, gangsa tetapi apa yang kita nak adalah emas dan emas ini bagi saya, atlet kita di RTG memang berada dalam kelompok 10 (dunia) dan kita rasa ada peluang.

“Harap kita berjaya dapatkannya,” kata Hannah kepada media selepas menghadiri Program Subang Jaya Buddist Associations Senior Citizens Sports, hari ini.

Untuk rekod, RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu.

Selain diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan, atlet turut dibantu menerusi sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau akan bertemu dengan olimpian yang bergerak secara profesional untuk melihat bantuan diperlukan menjelang Paris 2024.

“Untuk atlet yang tidak berada dalam RTG, seperti Lee Zii Jia dan pemain golf profesional, saya akan berjumpa mereka sekiranya ada dalam negara… saya akan melihat bantuan kewangan yang MSN (Majlis Sukan Negara) boleh bantu bagi atlet di luar podium tetapi mereka layak ke Olimpik dan wakili Malaysia. Itu kita akan umumkan nanti,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS bentang kajian impak Sukan Sea 2027 sebelum Paris 2024

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal membentangkan kajian impak penganjuran Sukan Sea 2027 kepada Kabinet sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula 26 Julai ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata sesi pembentangan itu juga akan melibatkan penerangan mengenai impak kewangan serta sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat korporat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Khamis lalu.

“Kami sedang menyediakan untuk Kabinet kajian itu sekarang berdasarkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan penganjuran Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur sebelum ini. Saya tidak tahu minggu yang tepat tetapi pastinya sebelum Sukan Olimpik 2024.

“Sesi pemegang taruh pula hanya ada satu sesi sahaja dan respons daripada sesi berkenaan tempoh hari adalah positif,” katanya kepada Bernama selepas melepaskan peserta POWERMAN Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Sebelum ini Hannah berkata beliau menjangkakan perbelanjaan untuk menganjurkan Sukan Sea 2027 memakan kos melebihi RM700 juta.

Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022, sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan Sea 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei, manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029.

Sukan Sea 2027 bakal menjadi kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, selepas menjadi penganjur pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Sementara itu, POWERMAN Malaysia 2024, yang dianggap sebagai acara larian-berbasikal-larian (run-bike-run) duathlon terbesar dunia, menarik penyertaan lebih 3,000 peserta bermula umur 6 hingga 78 tahun dari 32 negara.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Kini segalanya di tangan jurulatih, atlet

Kuala Lumpur: Lebih kurang dua bulan sebelum Sukan Olimpik Paris membuka tirainya, atlet yang berada dalam Road To Gold (RTG) ketika ini semakin gigih menjalani latihan bagi memastikan impian untuk membawa pulang emas pertama negara dapat direalisasikan.

Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa mengikuti persiapan setiap atlet agar proses latihan tiada sebarang masalah dan mereka semakin gigih berlatih dengan perancangan yang sudah diatur oleh jurulatih masing-masing.

Jelasnya, pihak RTG juga akan cuba sehabis baik membantu atlet yang terbabit dan Stuart yakin semua pihak ketika ini bekerjasama dengan baik untuk melihat atlet mereka dapat menampilkan prestasi cemerlang di Paris nanti.

“Semua atlet RTG kini berada dalam fasa persediaan mereka menuju ke Paris dan sekretariat kami sedang bekerjasama rapat dengan semua jurulatih dan persatuan mengenai rancangan mereka.

“Semua sokongan daripada RTG telah disediakan dan kami percaya kini ia berada di tangan jurulatih dan atlet untuk melakukan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Setakat ini atlet dari sukan badminton paling terbaharu mengesahkan tempat untuk bersaing di temasya terbesar dunia itu iaitu Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Terdahulu, beberapa atlet sudah mengesahkan penyertaan lebih awal, antaranya Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bagi acara pecut dan keirin serta Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran).

Mereka akan bersama-sama Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun) yang terlebih dahulu melayakkan diri ke Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Mental saya lebih kuat selepas pembedahan jantung – Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yakin bahawa daya ketahanan mentalnya jauh lebih kuat berbanding sebelum ini ketika bersiap sedia menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Walaupun terdapat keraguan oleh beberapa pihak selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada tahun 2022, beliau percaya bahawa keadaan daya ketahanan mentalnya meningkat dengan ketara selepas mengharungi detik yang mencabar dalam kerjayanya.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman menetapkan sasaran untuk memenangi emas di Olimpik Paris pada penampilan terakhirnya dan kelima di temasya terbesar dunia itu..

“Kekuatan mental sudah mantap sebelum ini tetapi selepas mengharungi proses (pembedahan jantung), ia bertambah lebih mantap.

“Jika anda mempunyai minda dan badan yang kuat… sebarang kesukaran atau cabaran yang menghadapi saya sekarang bukanlah apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pelancaran menu bertemakan Olimpik di restoran Jepun terkenal Nobu di sini hari ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 36 tahun itu menjalani pembedahan jantung terbuka susulan mengalami masalah gantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari arota di posisi janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond di Melbourne, Australia pada April 2022.

Azizulhasni mengakui bahawa beliau sangat terkejut dengan prestasinya pada pertandingan semasa kerana pada mulanya menjangkakan penurunan prestasi apabila mencapai usia pertengahan 30-an.

“Semasa latihan di gimnasium, saya masih berasa kuat.. Kami mempunyai data yang boleh menjejaki segala-galanya, termasuk kuasa dan kelajuan saya dan jurulatih (John Beasley) juga terkejut (hasilnya),” katanya.

Pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin berkata sistem sokongan kuat daripada keluarga, pasukan dan rakyat Malaysia adalah sebab mengekalkannya dan menjadikannya lebih kuat apabila bersaing di trek.

Beliau juga berkongsi bahawa Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan merangkap Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon akan mengiringinya ke Paris bagi memantau kesihatannya sepanjang Sukan Olimpik 2024.

“Dr Jeffrey Jeswant akan bersiap sedia di Paris. Ia sangat penting bagi saya untuk berasa selesa dan selamat jika berlaku apa-apa perkara,” kata juara dunia keirin 2017 itu.

Dr Jeffrey, yang bekerjasama dengan pakar bedah Australia, Dr Aubrey Almeida, memainkan peranan penting dalam ‘menyelamatkan nyawa Azizulhasni’ semasa pembedahan jantung terbuka di Melbourne.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia