YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir di Majlis Penyerahan Penajaan Hadiah Insentif Milo Kepada Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik & Paralimpik Paris 2024.
Dalam majlis tersebut seramai 56 atlet Malaysia yang beraksi di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 menerima RM10,000 setiap seorang daripada Milo.
Kontinjen Malaysia membawa pulang dua pingat gangsa dalam Sukan Olimpik dan dua emas, dua perak, satu gangsa di Sukan Paralimpik.
Hadir sama YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.
YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah hadir ke sesi perkongsian bersama Khabib Nurmagomedev pada 30 September 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.
Seramai 50 orang atlet dari sukan tempur (tinju, karate, muay thai, wushu dan taekwondo) telah hadir ke sesi perkongsian tersebut.
Diharapkan dengan sesi perkongsian ini dapat memberi inspirasi dan panduan kepada semua atlet.
#PETRONASLTdL2024 Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat SUK Perlis dan Majlis Sukan Negeri Perlis diatas sokongan serta bantuan yang memainkan peranan besar dalam kejayaan acara seperti LTdL.
Sambutan ketibaan keluarga LTdL di Jeti Kuala Perlis pada hari ini sudah pasti menjadi detik yang tidak dilupakan, bukan sahaja oleh pelumba antarabangsa, tetapi juga oleh komuniti setempat yang turut merasai kemeriahannya.
Diharapkan perlumbaan peringkat kedua dari Arau ke Butterworth pada 30 September 2024 akan berjalan dengan lancar serta memberikan pengalaman indah kepada semua peserta dan pengunjung. Semoga keindahan Perlis yang damai dan menawan terus dikenang oleh semua yang menyertai LTdL tahun ini.
KUCHING – Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 secara rasminya menutup tirai malam tadi di Stadium Perpaduan, Petrajaya.
Upacara penutup yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh turut diserikan dengan persembahan unik daripada tuan rumah.
Untuk temasya kali ini, Jawatankuasa Pemilihan telah sebulat suara memilih atlet para renang dari Sabah, Shahafiq Abdullah untuk gelaran Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Sarawak 2024.
Atlet berusia 20 tahun yang meraih 4 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa itu berjaya memecahkan 4 rekod kebangsaan menerusi acara kategori S6 (kecacatan fizikal) 100M gaya bebas, 100M gaya kuak lentang, 50M gaya kuak kupu-kupu dan 50M gaya bebas.
Manakala gelaran Atlet Wanita Terbaik dianugerahkan kepada atlet para memanah Pahang, Loh Chi Hui. Chi Hui yang berusia 34 tahun berjaya meraih 4 pingat emas menerusi acara WS/ST (Berkerusi roda) Individu Recurve Kelayakan, Pusingan Olimpik, Recurve Berpasukan Terbuka dan Recurve Berpasukan WS/ST dengan 1 rekod kebangsaan dan 2 rekod temasya.
Stadium Perpaduan semakin gamat apabila Kontinjen Sarawak diumum sebagai Juara Keseluruhan Para SUKMA Edisi 2024.
Sarawak yang mengungguli carta pungutan pingat sejak hari pertama temasya berlangsung telah meraih 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa dan merampas kembali takhta juara yang diambil Sabah pada 2022 untuk mencatat kemenangan buat kali ke-14.
Pada temasya kali ini, kontinjen Negeri Di Bawah Bayu Sabah terpaksa akur di kedudukan naib juara dengan 62 emas, 42 perak dan 32 gangsa.
Debaran kian terasa dengan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 yang bakal berlangsung esok, 29 September 2024 di Pulau Langkawi. Bagi memastikan perlumbaan bertaraf Pro Series ini dapat dijalankan dengan lancar, taklimat pra perlumbaan telah diadakan seawal jam 9 pagi pada Sabtu.
Beberapa aspek utama telah diberi perhatian dan dibincangkan secara mendalam, termasuk pergerakan trafik dan konvoi, liputan media, pendaftaran pasukan, serta mesyuarat pengurus pasukan.
Semoga #PLTdL2024 tahun ini berjalan dengan lancar dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada para pelumba. Let the race begin!
Majlis pelepasan Domestique by PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Salleh bin Saidin, EXCO Pelancongan Negeri Kedah.
Kayuhan istimewa ‘Domestique by PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 telah menampilkan seramai 500 peserta dengan jarak sejauh 97.5km di Pekan Kuah, Langkawi.
Turut hadir sama, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.
Majlis Pengenalan Pasukan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 telah telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah bertempat di Dataran Lang, Langkawi.
Majlis penuh gilang-gemilang itu turut memperkenalkan 132 pelumba daripada 22 pasukan bertanding pada edisi ke-28 yang dijadualkan berlangsung mulai 28 September hingga 6 Oktober 2024.
Turut hadir sama, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.