Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENYAMPAIAN SKIM HADIAH KEMENANGAN SUKAN (SHAKAM) TEMASYA SUKAN SEA DAN SUKAN PARA ASEAN 2025

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari telah menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025.

Atlet renang, Khew Hoe Yean dan ratu wushu, Tan Cheong Min muncul penerima tertinggi kategori lelaki dan wanita bagi Temasya Sukan SEA 2025 manakala atlet para renang, Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim penerima tertinggi kategori lelaki dan wanita untuk Temasya Sukan Para ASEAN 2025.

Selain itu, Tan Cheong Min turut diumumkan sebagai atlet terbaik negara untuk Sukan SEA 2025, manakala Abdul Halim Mohammad dinobatkan sebagai atlet terbaik negara untuk Sukan Para ASEAN 2025.

MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI SUKAN PARA SUKMA BIL. 8/2026

YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Para SUKMA Bil. 8/2026 yang berlangsung di Menara KBS, Putrajaya.

Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh perancangan serta penyelarasan penganjuran Para SUKMA XXII Selangor 2026, merangkumi aspek teknikal, peraturan dan pengelolaan temasya.

Turut hadir ialah YBrs. En. Mohd Sofian Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan), MSN.

BENGKEL PERANCANGAN PROGRAM 2026–2027 BAGI SUKAN BERFASA

Bengkel Perancangan Program 2026–2027 bagi Sukan Berfasa anjuran Bahagian Atlet MSN telah berlangsung pada 27 Januari 2026 di Dewan Banquet, MSN Bukit Jalil.

Bengkel yang dihadiri 62 wakil dari Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia, Institut Sukan Negara serta barisan jurulatih kebangsaan diadakan bertujuan menyelaras perancangan program, pembangunan atlet serta strategi prestasi tinggi bagi tahun 2026 dan 2027.

MESYUARAT JAWATANKUASA PENYEDIAAN ATLET SUKAN SEA KE-34 & PARA ASEAN KE-14 MALAYSIA 2027

Mesyuarat Jawatankuasa Penyediaan Atlet Sukan SEA ke-34 dan Para ASEAN ke-14 Malaysia 2027 telah diadakan pada 16 Januari 2026 (Jumaat) bertempat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, dengan fokus utama kepada perancangan dan pelaksanaan program penyediaan atlet ke Temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027, termasuk penyelarasan peranan agensi terlibat serta hala tuju strategik pembangunan prestasi atlet.

Mesyuarat turut dihadiri wakil daripada Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Institut Sukan Negara.

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU YB MENTERI BERSAMA ATLET DAN JURULATIH

Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Belia dan Sukan Bersama Atlet dan Jurulatih, telah berlangsung di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara dengan kehadiran lebih 400 orang atlet negara.

Majlis yang disempurnakan YB Dr. Mohammed Taufiq Johari menyampaikan amanat kepada atlet dan jurulatih sebagai pembakar semangat menghadapi cabaran sukan tahun 2026.

Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan disiplin, mentaliti juara serta penyelarasan hala tuju antara atlet, jurulatih dan pengurusan sukan negara bagi memastikan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB Tuan Mordi Bimol dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara YBrs. Encik Jefri Ngadirin.

LAWATAN RASMI MENTERI BELIA DAN SUKAN KE MAJLIS SUKAN NEGARA

Sesi Lawatan Rasmi Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Anak Bimol ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini di Bukit Jalil.

Lawatan dimulakan dengan kunjungan ke Galeri Sukan yang terletak di lobi utama Bangunan Pentadbiran MSN. Galeri berkenaan berfungsi sebagai platform pameran sejarah, pencapaian serta hala tuju strategik pembangunan sukan negara, merangkumi kejayaan atlet dan program sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Delegasi kemudian dibawa melawat ke Cafe Time-Out, fasiliti pemakanan khusus yang disediakan MSN bagi menyokong keperluan nutrisi selaras dengan pendekatan sains sukan dan prestasi tinggi.

Sesi lawatan diteruskan dengan taklimat agensi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin yang merangkumi mandat, struktur organisasi, keutamaan strategik serta inisiatif semasa MSN dalam memperkasa persediaan atlet ke kejohanan dan temasya utama peringkat antarabangsa.

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MSN BAGI BULAN JANUARI 2026

Majlis Perhimpunan Bulanan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) bagi bulan Januari telah diadakan pada 9 Januari 2026 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Antara intipati utama yang diketengahkan termasuk penghargaan atas kejayaan Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025, makluman berkaitan kepimpinan baharu Kementerian Belia dan Sukan, serta penegasan terhadap hala tuju strategik MSN bagi tahun 2026 yang merangkumi persiapan temasya sukan utama, kebajikan warga kerja, transformasi digital dan pengukuhan tadbir urus organisasi.

Ketua Pengarah MSN turut menekankan kepentingan profesionalisme, integriti, akauntabiliti serta sinergi dalam kalangan warga kerja MSN bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan memastikan kecemerlangan organisasi dapat diteruskan secara berterusan.

BENGKEL PERANCANGAN STRATEGIK MSN 2026

Majlis Sukan Negara (MSN) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Strategik MSN 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 8 Januari 2025 bertempat di The Pines, Melaka.

Bengkel ini dipengerusikan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, dengan tujuan untuk menyelaraskan hala tuju organisasi melalui penilaian prestasi tahun 2025 serta merangka strategi yang lebih dinamik dan berimpak tinggi bagi menghadapi cabaran tahun 2026 demi kecemerlangan sukan negara.

Penganjuran bengkel ini diharap dapat memperkukuh perancangan strategik organisasi serta memastikan pelaksanaan program sukan negara dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan mampan.

SESI LIBAT URUS MAJLIS SUKAN NEGARA BERSAMA PERSATUAN SUKAN KEBANGSAAN DAN PERSATUAN SUKAN KEBANGSAAN PARA

Sesi Libat Urus Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Persatuan Sukan Kebangsaan dan Persatuan Sukan Kebangsaan Para telah diadakan di Dewan Banquet, Casa 4, MSN Bukit Jalil.

Sesi yang dihadiri Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin ini melibatkan 38 PSK serta 17 PSK Para yang dalam rangka persiapan ke arah Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 serta Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027.

Sesi ini bertujuan menyelaras pelaksanaan program, hala tuju prestasi serta penyampaian perkhidmatan bagi tahun 2026, khususnya dalam perancangan temasya utama antarabangsa.

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MSN BAGI BULAN NOVEMBER 2025

YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), telah menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan MSN bagi bulan November 2025 yang berlangsung di Dewan Banquet, MSN Bukit Jalil.

Perhimpunan kali ini menekankan penghargaan terhadap kejayaan kontinjen negara di peringkat antarabangsa, persediaan rapi menghadapi Sukan SEA dan Para ASEAN 2025, serta penegasan berterusan terhadap aspek integriti, tatakelola dan keselamatan dalam perkhidmatan.