Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
memperkasakan pembangunan sukan negara dengan peruntukan berjumlah RM1 juta melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi mengenalpasti dan memupuk bakat atlet-atlet di kalangan anggota badan beruniform negara.
Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh, memperakui komitmen itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Badan Beruniform yang dihadiri pegawai-pegawai tertinggi dan pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hannah berkata badan beruniform telah memainkan peranan sejak sekian lama sebagai pembekal atlet yang berjaya memenangi pingat untuk Kontinjen Malaysia dalam pelbagai temasya sukan antarabangsa.
Antara sukan yang ditunjangi badan beruniform adalah seperti memanah dan menembak yang menyaksikan pembabitan ramai atlet bertaraf dunia daripada ATM dan PDRM.
Atlet-atlet daripada ATM, PDRM, JPBM dan JPM juga aktif dalam beberapa sukan lain di peringkat kebangsaan seperti lawn bowl, sepaktakraw, berbasikal, hoki serta sukan tinju.



























































