Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Liek Hou gondol dua emas di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan para negara Cheah Liek Hou terus mencipta sensasi apabila menggondol dua pingat emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2024 Tahap 2 di Vitoria-Gasteiz, Sepanyol, hari ini.

Kecemerlangan pemain berusia 36 tahun itu bermula apabila merangkul emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) selepas menewaskan Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-13, 21-8 pada perlawanan final, demikian menurut lawan https://bwfpara.tournamentsoftware.com/.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu kemudian menambah kilauan emas selepas bergandingan dengan Muhammad Fareez Anuar pada final beregu lelaki SU5 dengan mengatasi pasangan dari India, Rajkumar-Chirag Baretha 21-16, 21-19 dalam tempoh 29 minit.

“Kami akan bertolak ke Toledo selepas ini untuk ke Kejohanan Tahap 1 seterusnya di Sepanyol juga. Saya cuma berharap saya dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan di Toledo minggu depan demi negara.

“Terima kasih banyak kepada semua yang telah menyokong saya terutamanya penaja yang sering percaya kepada saya akan cemerlang di pertandingan,” kata juara dunia 2024 itu dalam hantaran di Facebooknya. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MPM usul pakai alat pengesan di Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merancang untuk mengaplikasikan alat pengesan pada tangan kepada seluruh kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 sebagai langkah keselamatan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Malaysia akan membawa usul langkah berkenaan dalam satu mesyuarat di Paris yang dijadual berlangsung pada Jun ini dan teknologi itu mampu untuk mengesan pergerakan peserta kontinjen negara.

“Di pihak MPM, saya sudah berjumpa dengan dua syarikat yang mungkin akan menyediakan alat pengesan ini untuk memastikan pergerakan atlet kita… dari stadium ke perkampungan sukan.

“Masalah kita adalah pada atlet yang habis cepat (tewas), dan mereka mempunyai banyak masa. Bila banyak masa, mungkin nak berjalan jadi kita tak mahu perkara tak diingini berlaku (ketika di luar perkampungan sukan) dan sebab itu kita tegas dengan perkara ini.

“Ancaman itu boleh datang dari macam-macam perkara. Contohnya seperti Persatuan Keretapi Perancis yang tak nak membawa tren baru-baru ini (mogok). Bas dan juga apa semua termasuklah konflik yang sedang berlaku Israel-Palestin.

“Kadangkala ancaman itu untuk orang lain, tetapi kalau atlet kita ada di tempat itu, bagaimana?,” kata Megat kepada media selepas Majlis Penutup Projek Rimau Emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu Megat berkata, keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan mungkin hanya akan dapat diketahui sebulan sebelum temasya membuka tirainya, hujung Ogos ini.

“Bayangkan juga kalau apa-apa terjadi… tak balik, telefon tak dapat, data tak ada, tercicir dompet. Bagaimana kita nak tahu di mana atlet kita berada?. Jadi inilah satu idea yang kita nak cuba. Apapun, kita perlu dapatkan kelulusan sama ada kita boleh bawa alat itu di Paris ataupun tidak kerana ada sekatan yang mungkin digunapakai di sana.

“Sebab itulah, pada Jun ini kita akan usulkan dan dapatkan keputusan.

“Kalau boleh lebih 20 atlet kerana sebelum ini di Tokyo 2020, kita ada 23 atlet. Jadi kita sasar lebih daripada itu, 20 atlet… kita nak 20 atlet ke atas. Kalau boleh 25 itu yang kita mahukan. Seluruh kontinjen pula (dijangkakan) dalam 45 termasuk pegawai, doktor dan juga jurulatih,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN pertahan keputusan benarkan jurulatih dikaitkan kes seksual kembali bertugas

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan bahawa proses siasatan menyeluruh dan terperinci sudah dilakukan berhubung kes salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang negara dan keputusan membenarkannya kembali meneruskan tugas adalah tepat.

MSN dalam satu kenyataan, hari ini berkata keputusan itu dibuat setelah hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS) MSN mendapati tiada bukti menyokong dakwaan berkenaan.

“Sebagai makluman, Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan MSN telah menemubual 11 saksi dan meneliti keterangan dalam dokumen-dokumen berkaitan sebelum mencapai keputusan berkenaan.

“Adalah menjadi komitmen MSN untuk sentiasa mengutamakan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian MSN dan MSN tidak pernah berkompromi dengan sebarang perlakuan yang memudaratkan atlet-atlet negara,” katanya.

Pada masa sama, MSN mengingatkan semua pihak bahawa kesejahteraan mental dan fizikal atlet-atlet dan jurulatih perlu sentiasa diutamakan dan sebarang dakwaan tanpa mengemukakan bukti-bukti mampu menjejaskan mereka yang dalam persiapan untuk menghadapi temasya sukan utama dunia.

MSN sebelum ini memaklumkan dakwaan aduan salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang negara seperti yang dilaporkan media sebelum ini kini diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (Tiada Tindakan Lanjut).

Ini selepas polis yang melakukan siasatan pada 26 Mac lalu memaklumkan kepada MSN bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut kerana tiada bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

MSN turut memutuskan supaya jurulatih berkenaan dibenarkan kembali untuk melatih perenang para negara yang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua sasaran Ziyad

KUALA LUMPUR: Merampas semula status pemegang rekod dunia dan beraksi cemerlang di Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi dua misi utama jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tahun ini.

Pada tahun lalu, Ziyad terpaksa akur apabila rekod dunia dipegangnya iaitu 17.29 meter (m) dalam acara lontar peluru F20 dipadamkan pesaing dari Ukraine, Maksym Koval yang melakukan 17.57m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Paris.

Peluang itu boleh ditebus Ziyad di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun Mei depan bagi membolehkan dirinya memperoleh suntikan semangat sebelum melangkah ke temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Sudah tentu saya mahu cipta semula rekod dunia yang pernah saya pegang dulu kerana ia sudah dipecahkan. Saya perlu bekerja keras pada setiap sesi latihan untuk mencapai sasaran itu.

“Kalau boleh saya mahu berada di puncak prestasi tahun ini. Yang pertama di Kejohanan Olahraga Para Dunia… di sini saya letak sasaran untuk pecahkan rekod dunia dan keduanya di Paralimpik Paris,” kata Ziyad.

Ziyad adalah antara prospek pingat di Paris 2024 dan atlet berusia 33 tahun itu sendiri pernah membanggakan kontinjen negara dengan meraih emas di Rio 2016 dan gangsa (London 2012).

Ziyad pernah melakukan 17.94m di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 namun penyertaannya dibatalkan susulan lewat tiba ke bilik panggilan sebelum turun beraksi di Stadium Olimpik Tokyo.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya sentiasa berdoa setiap kali bertanding’

PEMANAH negara, G Daneshen berharap dibekalkan dengan set peralatan dan aksesori baharu termasuk busur, setelah mengesahkan tempat ke Sukan Paralimpik Paris 2024, untuk meningkatkan prestasi sekali gus membawa pulang pingat.

Atlet kelahiran Kedah berusia 26 tahun yang bakal membuat penampilan sulung di temasya Sukan Paralimpik 2024 dalam acara compound berkata beliau tidak memiliki set busur sendiri dan selama ini, pemanah di ranking ke-32 dunia itu menggunakan busur milik rakannya Wiro Julin, ketika pertandingan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Daneshen yang meraih dua pingat emas dan satu perak di Sukan Para ASEAN (APG) 2022 berkata, beliau perlu berwaspada setiap kali melangkah ke arena memanah kerana bimbang berikutan tidak mempunyai alat ganti tambahan jika berlaku kecemasan.

“Walaupun busur sudah lama dan retak, saya anggap ia bertuah dan mempunyai nilai sentimental kerana telah memenangi banyak pingat ketika menggunakannya.

“Bagaimanapun, saya akui sangat perlukan busur baharu untuk mencipta kejayaan lebih baik di Paris.

“Saya juga bimbang sekiranya apa-apa berlaku ketika memanah (busur atau tali putus), kita tidak mempunyai busur ganti.

“Saya sentiasa berdoa setiap kali bertanding (supaya jangan berlaku perkara tidak diingini), malah sebelum pusingan kelayakan terdapat keretakan kecil pada busur tapi masih teruskan panahan,” katanya.

Daneshen merupakan pemanah ketiga dan atlet Malaysia ke-10 yang layak ke temasya Paralimpik 2024 pada 28 Ogos hingga 8 September, selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Ranking Dunia Memanah Para Fazza kelapan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu lepas.

Sebelum ini, juara dunia memanah para 2019, S Suresh dan atlet wanita terbaik temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abd Jalil, mengesahkan tiket ke Paris pada Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand hujung tahun lepas, masing-masing sebagai juara recurve lelaki dan naib juara compound wanita.

Mengenai kejohanan Kelayakan Dubai, Daneshen mengakui berdepan saingan sengit daripada lawan kerana ia merupakan pentas terakhir untuk mendapatkan slot ke Paralimpik Paris,

“Saya memang berazam untuk memastikan dapat kelayakan (dengan menamatkan saingan di dua tempat teratas). Apabila tiba di sana saya agak gugup, manakala mata dari peserta lain agak tinggi kerana mereka memberikan bidikan berkualiti, namun saya tetap dapat capai matlamat.

“Ini merupakan Sukan Paralimpik pertama saya, tapi saya yakin dapat mencapai markah dan kedudukan yang baik di Paris,” katanya. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukan Paralimpik Paris 2024: MPM sasar empat emas

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menaruh keyakinan penuh kepada atlet para untuk mengharumkan nama negara menerusi sasaran dua digit pingat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sedia menyahut cabaran untuk meraih sekurang-kurang 10 pingat termasuk empat emas, biarpun ia agak sukar.

Beliau melihat cabaran tersebut mampu menjadi pemangkin dan menyuntik semangat para atlet untuk bekerja lebih keras bagi mencapai sasaran berkenaan.

“Sasaran keseluruhan double digit sukar, tetapi kita ambil itu sebagai cabaran. Kita mahu mereka ambil cabaran ini. Perlu ‘push’, tak mahu mereka sejuk. Itu sasaran awal MPM. Perlu letak tanda aras ke mana arah kita.

“Kalau tak letak apa-apa sasaran, maknanya kita boleh leka dan selesa. Saya tak nak seperti itu, sebab itu sasaran penting kerana itu garis panduan untuk atlet kerja keras,” katanya di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau ditemui media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman MPM dan sembilan rakan strategik TambahEmas Sukan Paralimpik Paris 2024.

Megat menjelaskan, sasaran empat emas itu juga mampu menjadi sejarah baharu untuk menjadikan jumlah keseluruhan kepada 10 emas bagi tiga edisi Sukan Paralimpik.

Kontinjen para negara menerusi edisi di Rio pada 2016 dan Tokyo (2020) masing-masing meraih tiga emas.

“Projek TambahEmas ini pastinya untuk kita hadiahkan kepada PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Dapatkan empat emas (Sukan Paralimpik Paris) bagi genapkan 10 emas untuk tiga edisi Sukan Paralimpik.

“Sasaran penting kerana itu garis panduan untuk atlet kerja keras. Kalau tiada tanda aras atau sasaran, semua akan pergi macam pergi holiday (bercuti), habiskan duit rakyat,” katanya.

Menurut Megat, seramai sembilan atlet daripada empat jenis sukan sudah mengesahkan slot ke Sukan Paralimpik dan sasaran kontinjen para pada edisi kali ini ialah melebihi 20 atlet.

“Sembilan atlet itu terdiri daripada masing-masing dua olahraga, renang dan memanah, manakala tiga atlet berbasikal. Ketika ini mereka masih berjuang di peringkat kelayakan dan jumlah keseluruhan atlet dijangka diperoleh pada Mei depan,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak menetapkan warna pingat, Megat menghormati kaedah itu, namun MPM kekal dengan pendirian sedia ada fokus kepada emas.

“Beza dengan sasaran KBS, MPM ada sasaran warna pingat. Itu dasar ditetapkan KBS, tapi kami kekal dengan pendirian di peringkat antarabangsa fokus kepada jumlah emas. Dasar itu bagus, tapi kita tengok emas, perak dan gangsa,” katanya.

Info:

Pencapaian Kontinjen Para Pada Sukan Paralimpik

  • Seoul 1988 – 1 gangsa

P Mariapan – gangsa (angkat berat-lelaki 57kg)

  • Barcelona 1992 – 1 perak, 2 gangsa

Cheok Kon Fatt – perak (angkat berat-lelaki 52kg)

P Mariapan – gangsa (angkat berat-lelaki 60kg)

Mohamad Khasseri Othman – gangsa (olahraga-lompat tinggi lelaki B)

  • Beijing 2008 – 1 gangsa

Siow Lee Chan – gangsa (powerlifting-wanita 56kg)

  • London 2012 – 1 perak, 1 gangsa

Hasihin Sanawi – perak (memanah-individu lelaki Recurve W1 / W2)

Muhammad Ziyad Zolkefli – gangsa (olahraga-lontar peluru lelaki F20)

  • Rio de Janeiro 2016 – 3 emas, 1 gangsa

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi – emas (olahraga-100m lelaki T36)

Muhammad Ziyad Zolkefli – emas (olahraga-lontar peluru lelaki F20)

Abdul Latif Romly – emas (olahraga-Lompat jauh lelaki T20)

Siti Noor Radiah Ismail – gangsa (olahraga-Lompat jauh wanita T20)

  • Tokyo 2020 – 3 emas, 2 perak

Cheah Liek Hou – emas (badminton-perseorangan lelaki SU5)

Abdul Latif Romly – emas (olahraga-lompat jauh lelaki T20)

Bonnie Bunyau Gustin – emas (powerlifting-lelaki 72kg)

Jong Yee Khie – perak (powerlifting-lelaki 107kg)

Chew Wei Lun – perak (boccia-individu campuran BC1)

-Sinar Harian

Bonnie raih emas Piala Dunia Powerlifting Para di Dubai

KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila muncul juara di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya seberat 218kg pada percubaan ketiga, menurut laman sesawang World Para Powerlifting www.paralympic.org/powerlifting.

Pada percubaan pertama, atlet berusia 24 tahun kelahiran Sarawak itu berjaya melakukan angkatan seberat 210kg, diikuti 216kg pada percubaan kedua dalam kejohanan itu.

Persaingan antara 11 peserta pada kejohanan berkenaan menyaksikan atlet dari Great Britain, Mark Swan melakukan angkatan 213kg dan Hu Peng (211kg) dari China masing-masing meraih perak dan gangsa.

Ini adalah pingat emas ketiga Bonnie dalam kejohanan berprestij itu selepas memenanginya pada dua edisi pada 2021 masing-masing di Dubai dan Bangkok, Thailand. – BERNAMA

Skuad berbasikal para sambar dua emas, dua perak di India

Kuala Lumpur: Skuad berbasikal para negara mempamerkan persembahan cemerlang untuk menghadiahkan dua pingat emas serta dua pingat perak dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki dan wanita B tandem pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia 2024 di New Delhi, India hari ini.

Dua pingat emas itu hadir menerusi kayuhan pantas Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dibantu Muhd Arfy Qhairant Amran, dengan catatan 1 minit 06.256 saat (s) menerusi kategori lelaki, manakala Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais yang dibantu Farina Shawati Mohd Adnan merekodkan 1:13.350s, menurut laman sesawang https://atresults2.wixsite.com/attiming/acct2024.

Ahmad Ahlami Mohamad yang dibantu Muhammad Khairul Adha Rasol pula meraih perak bagi kategori lelaki, selepas merakamkan 1:07.362 manakala Nur Suraiya Muhamad Zamri yang dibantu Nurul Suhada Zainal mencatatkan 1:14.486s untuk memenangi perak bagi saingan wanita.

Pelumba Thailand Watcharobon Boonmalert yang dibantu Kanyarat Kesthonglang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa kategori wanita selepas mencatatkan 1:18.566s.

Tiada pemenang gangsa bagi kategori lelaki apabila hanya dua pesaing didaftarkan dalam saingan berkenaan.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Faiz raih emas Para Dunia

Kuala Lumpur: Atlet olahraga para negara Muhammad Faiz Haizat Rosdi meraih pingat emas di Kejohanan Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Para Asean 2022 itu muncul juara acara 400 meter (m) T38 (masalah koordinasi) apabila mencatatkan 56.84 saat (s) meninggalkan pesaing lain pada kejohanan berkenaan.

Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Andreas Beros dari Cyprus (58.14s) dan Antonio Kosmat dari Croatia (59.46s).

Dalam pada itu, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi turut menceriakan kem olahraga negara selepas meraih pingat perak bagi acara 400m T20 (kecacatan intelektual), dengan catatan masa 50.16s

Emas acara itu dirangkul Yovanni Philippe dari Mauritius (49.84s) manakala gangsa diraih Columba Blango dari Britain (50.52s).

Sementara itu, atlet elit olahraga Eddy Bernard turut meraih kedudukan podium di kejohanan tersebut dengan meraih gangsa acara lompat jauh (T42/T44/T61), mencatatkan lompatan sejauh 6.42m.

Wakil Sri Lanka Indika Gamage meraih emas (6.62m) manakala wakil Rusia Dzmitry Bartashevich merangkul perak (6.50m).-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Latif, Ziyad tuai emas di Dubai

JAGUH para olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli terus mempamerkan aksi baik di peringkat antarabangsa, apabila merangkul pingat emas di Dubai 2024 World Para Athletics Grand Prix, pada Selasa.

Pemenang emas Paralimpik sebanyak dua kali, Abdul Latif muncul juara acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dengan lompatan sejauh 7.11 meter (m), sekali gus berada di landasan tepat untuk hatrik emas di Paris 2024.

Athanasios Prodromou (6.81m) dari Greece dan Nikki Tang (6.74m) dari Hong Kong masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Sementara itu, Muhammad Ziyad mencatatkan lontaran sejauh 16.62m untuk ungguli acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).

Ia cukup untuk mengatasi Muhammet Atici (15.12m) dari Turkiye dan Boonkong Sanepoot (12.80m) dari Thailand, manakala seorang lagi wakil negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 12.61m.

Bagi acara lempar cakera berkerusi roda lelaki F54/55/56 (kecacatan fizikal), Muhammad Amir Abdul Raof menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan catatan 26.86m.

Wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE) unggul meraih emas dan gangsa masing-masing menerusi Abdulla Mesbahi meraih (22.90m) dan Sultan Alhamsi (23.10m). – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia