KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Bumi Kenyalang Ogos ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan kira-kira 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri dan juga kontinjen jemputan Brunei pada temasya dwitahunan itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sejumlah 37 jenis sukan meliputi 490 acara bakal dipertandingkan dalam temasya yang akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak.
Menurutnya kluster sukan terlibat di selatan Sarawak iaitu Kuching berjumlah 25 jenis sukan, Samarahan (tiga), manakala Serian dan Sri Aman masing-masing satu acara sukan.
“(Wilayah tengah Sarawak) Betong mempunyai satu kluster sukan manakala Sibu dan Mukah masing-masing tiga jenis. (Di utara Sarawak) Bintulu pula mempunyai tiga jenis manakala Miri ada enam jenis sukan.
“Tujuan temasya SUKMA ke-21 diadakan di sembilan bahagian adalah supaya masyarakat di luar Kuching dapat menikmati limpahan ekonomi dan juga memberi peluang kepada atlet menikmati kekayaan budaya masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum,” katanya dalam ucapan pelancaran SUKMA dan Para SUKMA ke-21 di sini, pada Sabtu.
Teks ucapannya dibaca oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Pernah menjadi hos SUKMA pada 1990 dan 2016, Sarawak sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah penganjuran SUKMA edisi ke-21 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula pada 20 hingga 28 Sept ini.
Abang Johari berkata bagi Para SUKMA pula sebanyak 10 sukan melibatkan 361 acara akan berlangsung di Kuching dengan anggaran jumlah 1,400 atlet para dan 600 pegawai.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata temasya sukan itu perlu dijadikan contoh dalam mewujudkan persekitaran sukan yang selamat berlandaskan Kod Sukan Selamat yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 15 Mac 2023.
Beliau menyeru agar semua persatuan sukan memasukkan elemen sukan selamat dalam perlembagaan persatuan dan membangunkan polisi sukan selamat masing-masing.
“Melalui persekitaran sukan yang lebih kondusif, ia akan memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk terus memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk kekal bersaing secara berterusan.
“Kod ini juga boleh dijadikan rujukan kepada jawatankuasa pengelola untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha KBS Dr K. Nagulendran.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelancaran logo serta maskot rasmi SUKMA ke-21 yang menyaksikan kemunculan semula ‘Satria’ dan ‘Satrina’ yang berwajah baharu.
— BERNAMA