Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong perlu berehat lagi

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ‘berperang’ dengan masa dalam usahanya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas terlepas aksi Terbuka India yang sedang berlangsung ketika ini, pemain ranking ke-14 dunia itu disahkan tidak akan menyertai dua lagi kejohanan iaitu Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari) dan Terbuka Thailand (30 Januari hingga 4 Februari).

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata keputusan itu terpaksa diambil kerana Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan otot tulang belakang dialaminya ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu.

“Ada perkembangan positif yang ditunjukkan dalam proses pemulihan yang dilalui Tze Yong tetapi pasukan perubatan tidak mahu terburu-buru untuk membenarkan dia kembali ke gelanggang.

“Jadi, kita buat keputusan untuk dia tarik diri di Masters Indonesia dan Masters Thailand bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan proses pemulihan,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Menurut Rexy, Tze Yong yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijangka kembali ke gelanggang bermula di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Selangor dari 13 hingga 18 Februari depan.

Selepas aksi di BATC, Tze Yong akan mengharungi jadual yang padat sehingga April depan apabila dia perlu menyertai kejohanan berturut-turut di Eropah dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sekurang-kurangnya dia perlu bermain empat kejohanan di Eropah dan satu Kejohanan Asia (individu) pada April. Kejohanan mana yang dia akan beraksi di Eropah nanti akan ditentukan oleh jurulatihnya (Hendrawan),” kata Rexy.

Tze Yong menerima tamparan di Terbuka Malaysia apabila terpaksa menarik diri ketika set pertama pada pertemuan menentang wakil Jepun, Koki Watanabe susulan kecederaan belakang dialaminya selepas melakukan pukulan ‘smash’.

Ketika ini, dia berada di kedudukan ke-13 dalam ranking kelayakan ke Olimpik, ketinggalan dua anak tangga di belakang pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

Setiap negara boleh mempunyai maksimum dua wakil dalam acara perseorangan lelaki sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan pada hujung April depan.-Berita harian

Peluang Irfan layak ke Paris

Kuala Lumpur: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin serta atlet lompat kijang, Andre Anura Anuar berpeluang layak ke Sukan Olimpik Paris apabila dijadual menyertai dua kejohanan jemputan di Australia bulan depan.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard berkata, dua kejohanan yang dimaksudkan itu adalah Kejohanan Jemputan Adelaide pada 10 Februari dan Kejohanan Jemputan Melbourne pada 15 Februari di mana pada congakan beliau kedua-dua atlet itu berpeluang untuk mengutip mata.

“Ini berita baik untuk mereka cuba layak beraksi di Olimpik. Kami sangat teruja kerana mereka mendapat jemputan untuk menyertai kedua-dua kejohanan itu yang mana anda perlu berada di tahap tertentu di dunia untuk terpilih.

“Kami berharap mereka berdua dapat melakukan yang terbaik di Australia. Kedua-duanya berada pada prestasi terbaik ketika ini di bawah seliaan jurulatih masing-masing,” katanya.

Jelas Ballard, berdasarkan ranking Road to Paris, Irfan dan Andre masih berpeluang layak ke Olimpik sebelum berakhirnya kejohanan bagi memungut mata pada akhir Jun depan.

“Jika mereka dapat memperbaiki kedudukan ranking, ia dapat memberikan motivasi kepada mereka apabila pulang ke Malaysia untuk menyertai Terbuka Malaysia pula. Mereka perlu pamer prestasi konsisten untuk layak ke Olimpik.

“Irfan ketika ini menduduki ranking ke-53 dunia dan dia perlu menyertai kejohanan Road to Paris. Dia perlu berada dalam kedudukan 32 terbaik pada hujung Jun. Manakala Andre pula ketika ini menduduki ranking ke-29 Road to Paris.

“Sebab itu kejohanan di Australia amat penting kerana standard kejohanan itu tidak sesukar seperti di Eropah atau Amerika, jadi mereka berpeluang untuk mengutip mata.

“Kami akan cuba memberi setiap peluang terbaik kepada mereka. Sangat sukar untuk layak ke Olimpik, hanya beberapa (atlet) sahaja yang berpeluang melakukannya, jadi kami mahu memberikan segala peluang sebaik mungkin,” katanya.-Harian Metro

Aaron-Wooi Yik bermandi peluh

KUALA LUMPUR: Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bermandi peluh sebelum lolos pada aksi pusingan pertama Terbuka India, sebentar tadi.

Pasangan negara yang menduduki ranking keempat dunia itu diheret ke set penentuan oleh Akira Koga-Taichi Saito sebelum menewaskan gandingan Jepun itu.

Walaupun melakar kemenangan mudah di set pertama 21-9 namun Koga-Saito bangkit di set kedua dengan 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tersentak dengan kebangkitan lawan, Aaron-Wooi Yik memperkemaskan rentak sebelum melakar kemenangan 21-14 ke atas beregu di tangga ke-14 dunia itu.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini menyamakan rekod kemenangan 4-4 selepas kali terakhir tewas di tangan Koga-Saito di pusingan kedua Terbuka Jepun, November tahun lalu.

Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual bertemu Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura di pusingan kedua selepas lawan dari Jepun itu menewaskan wakil India, Krishna Prasad Garaga-Sai Pratheek K 21-14, 21-11.

Turut mara ke pusingan kedua bagi saingan beregu lelaki adalah gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang menewaskan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-11, 21-5.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual bertemu pilihan kelapan kejohanan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di pusingan kedua esok selepas lawan dari China itu menewaskan beregu Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-9.-Berita Harian

Great Britain benam Speedy Tigers di Oman

KUALA LUMPUR: Peluang skuad hoki lelaki negara menamatkan kemarau 24 tahun layak ke pentas Olimpik masih samar selepas tewas 4-1 di tangan Great Britain pada saingan peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman awal pagi tadi.

Ia kekalahan kedua berturut-turut anak buah Arul Selvaraj di Stadium Hoki Oman itu selepas tewas 3-2 kepada China pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A, Isnin lalu.

Turun dengan misi sukar menentang Great Britain di ranking keempat dunia, skuad negara yang menghuni ranking ke-14 terpaksa akur dengan keampuhan jentera serangan pihak lawan yang terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Will Calnan pada minit ke-19.

Tidak mahu membiarkan Great Britain terus tersenyum, skuad hoki negara tetap memberikan tentangan apabila berhasil menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-26.

Great Britain meraih gol kedua menerusi Sam Ward yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum Zachary Wallace meledak gol ketiga pasukan selang tujuh minit kemudian.

Bagaimanapun, Ward memastikan Great Britain sukar digugat apabila beliau menjaringkan gol keempat pasukan yang juga gol keduanya pada perlawanan itu pada minit ke-58.

Keputusan dicatat pada perlawanan awal pagi tadi itu sekali gus menyaksikan Great Britain mengungguli kedudukan kumpulan dengan enam mata, manakala China di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Pakistan di tempat ketiga, manakala Malaysia di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Bagaimanapun, China, Pakistan dan skuad negara masing-masing berkongsi jumlah jaringan yang sama (tiga).

Speedy Tigers tidak mempunyai pilihan lain selain perlu menumpaskan Pakistan dengan jaringan besar serta mengharapkan Great Britain menumpaskan China pada perlawanan terakhir kumpulan Jumaat ini, sekali gus berada di dua kedudukan teratas kumpulan bagi melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024, di Muscat merupakan pentas terakhir bagi semua pasukan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya terbesar dunia itu. – BERNAMA

Malaysian Tigress tak terdaya saingi Britain

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terpaksa akur apabila menerima tamparan besar pada aksi terakhir Kumpulan B kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Valencia, Sepanyol, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim kali ini tewas 1-8 di tangan bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Britain sekali gus menghuni tangga tercorot kumpulan.

Begitupun semangat pasukan hingga wisel penamat dibunyikan tetap harus dipuji selepas Malaysia berjaya menjaringkan gol sulung mereka pada kejohanan berkenaan menerusi jaringan padang Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-56.

“Pada perlawanan hari ini, kami bermain dengan sangat baik pada permulaannya, terutama bertemu Britain, bekas juara Sukan Olimpik. Sudah tentu ini satu pengalaman berharga terutama kepada pemain muda.

“Dengan ketiadaan tonggak utama disebabkan kecederaan namun kapten pasukan Juliani (Mohd Din), pemain senior dan remaja dapat bermain dengan baik untuk mengekang Britain yang mencari banyak gol untuk muncul naib juara kumpulan.

“Beberapa pemain juga menunjukkan semangat juang tinggi pada babak kedua dan kami harus meneruskan semangat sebegitu,” kata Nasihin.

Malaysia membuka tirai kejohanan dengan langkah kiri apabila diratah Sepanyol 7-0 sebelum menjadi mangsa Kanada yang menewaskan skuad negara 3-0.-Berita Harian

Pearly-Thinaah mara pusingan kedua Terbuka India

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menebus kekecewaan pada PETRONAS Terbuka Malaysia minggu lalu apabila melangkah ke pusingan kedua Terbuka India, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang tersingkir seawal pusingan pertama di Arena Axiata, menempah tempat ke pusingan kedua di New Delhi selepas menewaskan gandingan Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun 21-12, 21-11.

Keputusan itu membolehkan beregu ranking ke-12 dunia itu kini mendahului rekod kemenangan dalam tiga pertemuan menentang Chia Sin-Chun Hsun kepada 2-1.

Berdasarkan rekod pertemuan tahun lalu, Pearly-Thinaah pernah menewaskan gandingan Taiwan itu pada kejohanan yang sama di pusingan kedua.

Pearly-Thinaah kini dijadual bertemu pilihan keempat kejohanan Nami Matsuyama-Chiharu Shida selepas gandingan Jepun itu menewaskan beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 18-21, 21-14, 21-13.

Sementara itu pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei ditunjuk jalan keluar oleh pemain Thailand, Supanida Katethong apabila tewas 10-21, 14-21.

Kekalahan itu menyaksikan Katethong kini meraih kemenangan sulungnya ke atas Jin Wei dalam tiga pertemuan antara mereka setakat ini.

Kali terakhir Jin Wei meraih kemenangan ke atas Katethong adalah pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia dan suku akhir Antarabangsa Remaja Thailand, kedua-duanya pada 2015.- Berita Harian

Pemain badminton dalam RTG masih selamat – Norza

KUALA LUMPUR: Kedudukan pemain badminton dalam program Road To Gold (RTG) tidak tergugat meskipun gagal mencapai sasaran pada Terbuka Malaysia.

Jaminan itu diberi oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang berpendapat, peluang perlu diberi kepada pemain-pemain tersebut bagi menjalani sesi kelayakan Sukan Olimpik di Paris.

“Kita tak boleh membuat analisis umum kepada pemain-pemain ini kerana fokus masing-masing berbeza, sebagai contoh beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Kalau kita tengok adakah mereka memiliki standard seperti Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae ataupun Liang Wei Keng-Wang Chang, saya rasa mereka boleh kalahkan beregu-beregu ini.

“Cuma kita perlu mencari jalan bagaimana untuk mengatasi cabaran tersebut, begitu juga dengan Pearly Tan dan M. Thinaah, ramai beregu wanita datang dari China dan Korea, jadi, kita perlu belajar bagaimana hendak kalahkan mereka,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Bersama Program RTG.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu melakukan lawatan ke bilik media yang bertugas pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena.

Norza berkata, jika melihat dari sudut lebih terperinci, pemain seperti Pearly dan Thinaah baru sahaja kembali daripada kecederaan, tetapi, masih mampu memberi tentangan sengit kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Jelasnya, untuk Aaron dan Wooi Yik, mereka masih lagi berada dalam kelompok lima terbaik dunia dan mana-mana pasangan mampu mengalahkan antara satu sama lain.

“Saya tidak bimbang dengan Aaron dan Wooi Yik kerana kita kena bagi tempoh supaya mereka dapat capai puncak prestasi di Olimpik,” ujarnya.

Mengulas beregu campuran, menurut Norza, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, baru setahun digandingkan dan belum sampai peringkat kematangan.

“Tetapi kita semua tahu kualiti mereka dan Tang Jie-Ee Wei merupakan beregu berkualiti yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala, pemain perseorangan, Ng Tze Yong, dia ditimpa malang kerana kecederaan belakang,” tambah Norza.

Tegas beliau, kesemua pemain tersebut walaupun gagal mara ke separuh akhir mahupun final pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu, tetapi, kelibat mereka dalam program RTG tidak boleh diketepikan. – UTUSAN

‘Tak guna juara di sini, tapi kalah di Paris’

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria enggan menekan butang panik susulan prestasi tidak memberangsangkan skuad negara dalam saingan Terbuka Malaysia 2024 yang menutup tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Ini kerana beliau mahu para pemain mencapai kemuncak pada Sukan Olimpik Paris Julai depan yang menjadi misi sebenar Malaysia untuk meraih podium.

Malah beliau juga mengakui ada dalam kalangan pemain yang kurang bersedia untuk mengharungi kejohanan berstatus Super 1000 tersebut.

“Kita mahu semua pemain capai kemuncak pada Olimpik. Tak guna hari ini kita lihat mereka juara tapi lepas jadi juara di sini, mereka tak jadi juara di sana (Paris).

“Saya fikir semua pemain faham. Ini baru awal tahun, tentu saja baru balik cuti, mungkin ada antara mereka kurang persediaan,” katanya ketika meninjau pusat media di Axiata Arena pada Ahad.

Perjalanan para pemain negara hanya bertahan pada peringkat suku akhir setelah beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae 16-21, 21-18, 21-13.

Nasib sama turut menimpa beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang terkandas setelah tewas kepada pilihan ketujuh, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-15, 21-9 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut meluahkan kekecewaan di atas kegagalan para pemain negara untuk sekurang-kurang mara ke pentas separuh akhir.

“Sambutan peminat sangat memberangsangkan. Kita lihat setiap hari stadium penuh. Namun agak mengecewakan dan bukan sahaja kesedihan kita tapi peminat bahawa kita masih lagi untuk dua tahun tiada wakil di separuh akhir dan final,” katanya.

Beliau turut menjelaskan prestasi sebahagian pemain negara yang masih memerlukan sokongan sains sukan, persediaan yang lebih rapi, tahap stamina dan kekuatan fizikal.

Malah tambahnya, perkara tersebut sudah dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Manaiky.

“Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) baru sahaja kembali daripada kecederaan, namun mereka telah beri saingan sengit kepada beregu China yang jadi juara hari ini (Ahad).

“Aaron-Wooi Yik pula kita berpuas hati. Saya tak bimbang, kita beri mereka masa. Mereka berada dalam kelompok lima terbaik dunia. Bila-bila masa dalam kalangan lima terbaik ini boleh kalahkan sesama mereka.

“Kita lihat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Mereka belum sampai peringkat kematangan, masih lagi terbelenggu dengan rasa gementar dan kurang fokus. Kualiti mereka 10 terbaik dunia.

“Ng Tze Yong pula kita tak sangka mengalami sakit bahagian belakang. Secara keseluruhan sebagai tuan rumah kita berasa kecewa, tapi daripada segi pencapaian mereka perlu terus diberi sokongan,” katanya.

Para emain negara kini mengalih fokus kepada Terbuka India di New Delhi yang bermula Selasa hingga hujung minggu ini.-Sinar

Usah ragu kemampuan pemain badminton negara – BAM

KUALA LUMPUR: Walaupun para pemain badminton negara menampilkan prestasi hambar pada Terbuka Malaysia 2024 yang berakhir semalam, kesemua pihak dituntut agar tidak meragui keupayaan mereka terutamanya menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan mengecewakan di laman sendiri membuka mata pihaknya untuk membuat persediaan lebih rapi dengan misi utama seterusnya lebih menjurus kepada membantu pemain negara mencapai kemuncak prestasi pada Paris 2024.
Mohamad Norza yang juga Pengerusi Bersama Road to Gold (RTG) berkata perkara itu termasuk mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berhubung langkah merapatkan jurang dengan jaguh dunia lain terutamanya sebelum ke Sukan Olimpik 2024, dijadual berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos ini.
“Hakikatnya, bila kita lakukan penganjuran bertaraf dunia seperti ini timbul kekecewaan bukan sahaja kita (BAM), namun para peminat juga bahawa buat tahun kedua berturut-turut tiada seorang pun wakil di separuh akhir dan akhir.
“Bagaimanapun, bagi saya secara keseluruhan kekecewaan itu lebih kepada status kita sebagai hos, namun dari segi pencapaian, jangan anggap mereka gagal, kita harus beri semua sokongan,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan secara individu pemain di bawah BAM, beliau berkata beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap menampilkan aksi memuaskan, namun tuah mungkin tidak memihak kepada mereka untuk melepasi peringkat suku akhir selepas tumpas kepada juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-16, 18-21, 13-21.
“Bagi Aaron dan Wooi Yik, mereka ini antara gandingan lima terbaik di dunia. Pada bila-bila masa, mereka yang berada dalam kelompok lima terbaik boleh mengalahkan satu sama lain, cuma apa yang menentukan pada hari pertandingan ialah nasib, mental atau persediaan mereka,” katanya.
Bagi beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M.Thinaah pula, keputusan dilakar mereka juga tidak begitu menghampakan memandangkan mereka berjaya memberi tentangan sengit kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tumpas pada pusingan pertama, 20-22, 15-21.
“Pearly baru sahaja (pulih) daripada kecederaan, namun mereka tetapi beri saingan sengit kepada pasangan China yang jadi juara (Terbuka Malaysia 2024). Sebelum Pearly cedera, mereka ada keupayaan main dalam tempoh panjang, saya rasa mereka berada pada kedudukan itu, hanya perlu kuatkan fizikal bagi memastikan mereka mempunyai kecergasan yang mantap dan mampu bertahan lama di gelanggang,” katanya.
Sheng Shu-Tan Ning yang turun selaku pilihan kelapan mengejutkan pilihan kelima dan rakan senegara, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18, untuk meraih gelaran sulung Super 1000, di sini.
Mengenai aksi beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Mohamad Norza berkata biarpun mempunyai kualiti setaraf pasangan 10 terbaik dunia, mereka masih belum mencapai tahap kematangan serta dibelenggu perasaan gugup ketika beraksi di gelanggang.
Tang Jie-Ee Wei ditunjuk jalan keluar pada pusingan kedua oleh beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 22-24, 14-21.
Beliau juga mengambil maklum bahawa pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, turut memerlukan masa untuk menguatkan fizikalnya biarpun menarik diri sewaktu ketinggalan 8-12 kepada pemain Jepun, Koki Watanabe pada pusingan pembukaan susulan kecederaan belakang.
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia itu berkata legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berhak menegur segelintir pemain negara yang bercuti rehat menjelang Terbuka Malaysia 2024.
Katanya, beliau menghormati pandangan disuarakan Chong Wei memandangkan figura berkenaan pernah merasai jerih perih menjadi seorang atlet serta pengorbanan terpaksa ditempuhinya sehingga berjaya menjadi antara pemain paling berjaya di dunia sebelum ini.
Baru-baru ini, media melaporkan bekas pemain nombor satu dunia itu merumuskan kegagalan pemain kebangsaan di Terbuka Malaysia adalah tidak melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan pembuka tirai musim 2024.
Malah, pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu turut mempersoalkan tindakan beberapa pemain yang bercuti di luar negara ketika sambutan Hari Krismas meskipun menyedari Terbuka Malaysia akan bermula pada 9 Jan.
— BERNAMA

Rexy perlu saji ‘ramuan baharu’ kepada pemain untuk layak Olimpik – James

KUALA LUMPUR: Barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diketuai Rexy Mainaky perlu menyajikan “ramuan baharu” kepada pemain badminton negara bagi memastikan mereka mempamerkan aksi konsisten bagi mengumpul mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bekas pemain perseorangan negara Datuk James Selvaraj mengakui gusar melihat pemain badminton negara bermula dengan langkah kiri dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila tiada kelibat pemain negara dalam aksi separuh akhir dan akhir Terbuka Malaysia 2024 yang membuka tirai Selasa lepas (9-14 Jan).
Beliau menegaskan barisan kejurulatihan dan pemain seharusnya sedar harapan menggunung rakyat Malaysia untuk menyaksikan atlet kesayangan mereka mempamerkan aksi berimpak tinggi terutamanya apabila tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 bermula Mei tahun lepas akan berakhir April ini.
“Amat mengecewakan apabila tiada wakil pemain negara dalam kejohanan anjuran kita sendiri. Bahkan mereka tidak berjaya mara ke suku akhir kerana semuanya kecundang, jadi ia tidak begitu baik. Mudah-mudahan mereka belajar dari kesilapan ini dan jurulatih dapat sama-sama ikhtiar untuk hasilkan strategi baharu.
“Mengapa pemain kalah dan cari penyelesaian, bermula dengan atasi kesilapan mereka itu sekarang. Dalam beberapa bulan akan datang, program ini harus berubah. Rexy harus pastikan perkara baharu dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.
James, ahli pasukan Piala Thomas 1976 yang memenangi pingat perak menyifatkan khidmat pakar psikologi sangat ditagih ketika ini bagi mengukuhkan kekuatan mental serta kaedah mengendalikan emosi pemain negara yang dilihat goyah dalam aksi pengejaran mata dalam gelanggang.
“Saya telah menyatakan ini berkali-kali. Adakah kita mendapat ahli psikologi? Adakah kita mempunyai ahli terapi mental untuk bercakap dengan pemain? Mereka harus berbincang dan memikirkan idea. Jika tidak apa yang perlu kita lakukan?
“Mereka tidak melakukan banyak serangan atau mereka tidak cukup terdorong untuk mendapatkan mata (merujuk kepada Terbuka Malaysia). Mereka sepatutnya lakukan apa yang telah dilakukan oleh lawan mereka. Kemudian, mereka boleh menang, tetapi sekiranya tidak (bertindak sedemikian), bagaimana mereka boleh menang?,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain beregu lelaki kebangsaan Koo Kien Keat berkata atlet negara seharusnya tidak terganggu dalam menjalani rejim latihan dalam era media sosial ini sekiranya mereka mahu menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia.
Juara Seluruh England 2007 dan pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 bersama Tan Boon Heong itu berkata kemenangan hanya dicapai bergantung kepada berapa besar kemahuan serta tanggungjawab ditonjolkan pemain ke atas kemajuan diri sendiri setiap kali menyertai kejohanan.
“Paling penting adalah kemahuan pemain untuk menang sebab kalau tidak, nasihat macam mana pun tidak akan jalan. Kemenangan itu bukan sahaja untuk Terbuka Malaysia malah kejohanan besar lain seperti Sukan Olimpik.
“Atlet boleh guna media sosial tunjuk kehidupan peribadi dan latihan tetapi mesti ingat kita bukan selebriti. Awak akan dapat viral dan perhatian orang tetapi saya rasa kena seimbangkan sebab keputusan adalah kepentingan nombor satu seorang atlet dan bukan sebab mempunyai pengikut ramai,” katanya.
Mengikut kriteria kelayakan Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan dengan sebuah negara hanya boleh mempunyai maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh akhir kelayakan Race to Paris pada 28 April.
Setiap negara mempunyai kuota maksimum dua tempat bagi acara beregu jika kedua-dua pasangan berada di kedudukan lapan terbaik pada tarikh kelayakan dan harus ada sekurang-kurangnya satu pasangan global.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia