Majlis Sukan Negara Malaysia
Hadiah kereta buat pemenang pingat Paris 2024

KUALA LUMPUR: Ganjaran berupa sebuah kereta menanti atlet negara yang berjaya memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya mendapat komitmen daripada syarikat antarabangsa yang menawarkan ganjaran berupa kereta kepada pemenang pingat di Paris.

“Dalam persiapan RTG (Road to Gold) ke Paris, kita sudah mula menerima tawaran daripada satu syarikat yang menawarkan kereta untuk atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun Hannah berkata pihaknya turut berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat jenama Malaysia akan tampil memberi sokongan untuk memberikan ganjaran kepada atlet negara khususnya yang berjaya memenangi emas pertama Malaysia di Paris.

“Kita menjemput kalau ada GLC atau jenama Malaysia yang berminat untuk memberikan ganjaran sekiranya ada atlet yang boleh dapatkan emas Olimpik pertama Malaysia.

“Jika ada yang berminat boleh hubungi Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

“Kita mahu beri peluang kepada jenama Malaysia kerana sekarang jenama dari luar negara sudah datang untuk bagi kita tawaran,” katanya.

Ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta kepada pemenang emas Sukan Olimpik.

Bagi pemenang perak pula, mereka akan menerima ganjaran RM300,000 manakala gangsa RM100,000.

Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.-Berita Harian

RM3.53 juta sudah dibelanjakan untuk atlet RTG

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM3.53 juta sudah dibelanjakan untuk atlet di bawah program Road to Gold (RTG) sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 sepanjang tahun lalu.

Sukan badminton menerima peruntukan tertinggi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,250,731.17.

“Sebanyak RM1,182,645.93 dibelanjakan untuk pemain badminton di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan RM1,068,085.24 untuk pemain profesional.

“Sebanyak RM465,239.66 untuk berbasikal, RM458,177.45 untuk terjun, RM342,903.62 hoki dan RM20,025.44 untuk angkat berat,” kata Penyelaras Jawatankuasa Road to Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam ketika sidang media, di sini, hari ini.

Stuart berkata perbelanjaan berkenaan adalah untuk khidmat sokongan tambahan kepada atlet dan ia tidak termasuk wang dibelanjakan daripada Program Podium.

“Wang yang dibelanjakan untuk 2024 tidak termasuk dan kita akan tahu selepas tamat Sukan Olimpik Paris pada Ogos,” katanya.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan, buat pertama kalinya kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris akan menerima perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan tambahan di premis Team MAS House yang terletak di Paris.

“Usaha ini disediakan adalah untuk penjagaan dan sokongan sebanyak mungkin untuk atlet yang berada di luar Perkampungan Sukan yang mana akses yang terhad terhadap perkhidmatan yang boleh diberikan kepada atlet,” katanya.-Berita Harian

Pengguguran Pandelela, Dhabitah ikut kriteria ditetapkan RTG

KUALA LUMPUR: Dua penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada program Road to Gold (RTG).

Perkara itu diumumkan Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam dalam satu sidang media, hari ini.

Stuart berkata, kedua-dua atlet berkenaan sudah melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara sepanjang tahun tetapi malangnya mereka tidak berjaya mara ke Sukan Olimpik Paris menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang menjadi acara kelayakan terakhir baru-baru ini.

“Tetapan kriteria program RTG yang jelas, jawatankuasa membuat keputusan untuk mengeluarkan Pandelela dan Nur Dhabitah daripada program RTG.

“Bagaimanapun, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara.

“Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Pandelela dan Nur Dhabitah menerima semua sokongan untuk mereka menemui semula rentak yang diharapkan sebelum dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam program pada masa hadapan,” kata Stuart.

Turut hadir dalam sidang media itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang kedua-duanya adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG.

Menurut Stuart, dengan penyingkiran kedua-dua atlet berkenaan daripada program RTG, alatan latihan yang dibiayai oleh RTG akan menjadi pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua penerjun kebangsaan.

“Alatan latihan seperti platform latihan gim kering baharu, pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan FINA (yang akan tiba tidak lama lagi) akan menjadi pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua penerjun kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi wakil tunggal negara layak beraksi di Paris disenaraikan dalam RTG bagi membantunya melakukan persiapan menghadapi temasya terbesar itu.

Katanya, sebaik temasya di Paris berakhir, Rhodict akan terus diserapkan dalam ‘Program Fast-Track’ yang sudah diluluskan oleh Jawatankuasa RTG dengan misi membentuk atlet muda dan berbakat berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Rhodict disenaraikan dalam Program Fast Track dan Jawatankuasa RTG hari ini (semalam) memutuskan untuk memasukkan dia ke dalam Program RTG bagi memberikan sokongan segera ke Sukan Olimpik Paris.

“Dia kekal sebagai prospek kukuh untuk pingat di Sukan OlimpikLA2028. Rhodict akan disokong melalui latihan di luar negara dan perkhidmatan sokongan menjelang Sukan Olimpik Paris.

“Sebaik sahaja Olimpik Paris berakhir, Bertrand Rhodict akan ditempatkan dalam Program Fast Track,” katanya.

SenaraiAtlet RTG

Badminton

1. Aaron Chia

2. Soh Wooi Yik

3. Pearly Tan

4. M Thinaah

5. Ng Tze Yong

6. Ong Yew Sin

7. Teo Ee Yi

8. Chen Tang Jie

9. Toh Ee Wei

Berbasikal trek

1. Datuk Azizulhasni Awang

2. Muhammad Shah Firdaus Sahrom

Terjun

1. Bertrand Rhodict Lises

Angkat berat

1. Mohamad Aniq Kasdan

-Berita Harian

CHEF DE MISSION SUKAN OLIMPIK PARIS 2024 BERTEMU ATLET PELAYARAN

Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2o24, Datuk Hamidin Mohd Amin turut berkesempatan bertemu atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohd Latif.

Nur Shazrin baru tiba di ibu negara selepas menyertai Kejohanan ILCA Senior European Championship di Athens, Greece.

Shazrin layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022.

LAWATAN CHEF DE MISSION SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan lawatan dan tinjauan persiapan atlet memanah, Ariana Nur Diana Mohad Zairi di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara Nilai hari ini.

Pada lawatan tersebut, Datuk Hamidin meluangkan masa hampir sejam meninjau sesi latihan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai persiapan Ariana ke arah Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijangka berlangsung pada Julai depan.

Ariana layak ke Paris secara merit selepas memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok Thailand pada November tahun lalu.

Bertrand harap dapat baiki prestasi sebelum Paris 2024

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises menyifatkan latihan insentif yang bakal dilaluinya di luar negara dapat memperbaiki prestasinya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, Julai nanti.

Bertrand yang menjadi wakil tunggal skuad terjun di Paris 2024 berkata, dia mengharapkan latihan yang bakal diatur Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dapat membantunya meningkatkan darjah kesukaran dalam terjunan bagi membolehkan dia bersaing dengan penerjun yang lebih berpengalaman di temasya terbesar dunia itu.

Bertrand berkata, dia ditawarkan untuk menjalani latihan insentif sama ada di Amerika Syarikat, Mexico ataupun United Kingdom dan dijadual berlepas pada 14 Mac ini.

“Mengikut perancangan awal saya akan mula menjalani latihan pada 14 Mac nanti dan buat masa ini saya tidak tahu negara mana yang akan saya jalani latihan tetapi saya diberikan pilihan ke AS, Mexico ataupun United Kingdom di London.

“Saya memilih untuk jalani latihan di London kerana lebih selesa untuk berlepas ke Paris kerana perbezaan waktu tidak banyak beza. Di sana nanti, saya akan menjalani latihan bersama pasukan negara sana.

“Buat masa ini, saya hanya ingin lakukan terbaik kerana fokus saya bukan ke pada Paris 2024 tetapi saya juga meletakkan azam untuk melayakkan diri ke Olimpik seterusnya,” kata Bertrand.-Berita Harian

Hannah harap Tze Yong sempat sembuh hadapi kelayakan ke Paris

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menaruh harapan agar pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, sempat sembuh sebelum tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, berakhir April ini.

Hannah mengakui bimbang dengan situasi melanda Tze Yong yang dihimpit kecederaan tulang belakang semasa diturunkan beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, baru-baru ini.

“Saya harap Tze Yong fokus pada pemulihan. Semoga beliau cepat sembuh dan sempat untuk kelayakan (Sukan Olimpik 2024),” katanya selepas merasmikan Siri Golf Amatur Kebangsaan 2024, di sini, hari ini.

Tze Yong yang diturunkan pada perlawanan suku akhir kejohanan itu menentang pemain Singapura, Jason Teh, Jumaat lepas, hanya bertahan kira-kira tiga minit sebelum menarik diri.

Pemain berusia 23 tahun itu ketika ini berada di tempat ke-15 dalam ranking Race to Paris dengan mengumpul 58,735 mata.

Mengikut kriteria kelayakan Olimpik Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan.

Sebuah negara hanya boleh menghantar maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh kelayakan Race to Paris, dijadualkan pada 28 April ini.

Hannah pada masa sama enggan mengulas mengenai prestasi skuad lelaki negara yang muncul sebagai naib BATC 2024 sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan edisi 2022, selepas tumpas 0-3 kepada China.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan mengumpul data daripada operator lapangan golf seluruh negara dalam usaha memperkenalkan pakej mampu milik bagi memberi peluang buat golongan kurang berkemampuan merasai pengalaman bermain sukan itu.

Beliau berkata langkah memperkenalkan harga berpatutan ditawarkan dalam pakej yang bakal diumumkan kelak akan dapat menangkis persepsi bahawa sukan golf hanyalah untuk golongan elit.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 1,680 peserta bakal bersaing dalam kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan 2024 yang diadakan di 14 negeri, bermula di The Mines Resort and Golf Club pada 29 Feb dan berakhir di Forest City Golf Resort, Johor, pada 8 hingga 10 Sept ini.

Kejohanan terbuka itu menyaksikan juara berpeluang mewakili negara pada Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand, dari 26 Okt hingga 3 Nov ini. – BERNAMA

Hamidin masih tunggu tambahan kontinjen ke Paris

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin menerima dengan hati terbuka sekiranya saiz kontinjen kali ini lebih kecil berbanding edisi-edisi sebelum ini.

Hamidin berkata, saiz kontinjen bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan dan baginya, barisan atlet Malaysia di Paris nanti harus memberikan yang terbaik dan cuba mendapatkan pingat terutama emas diidamkan.

Setakat ini, hanya lima atlet sudah melayakkan diri ke Paris 2024 iaitu penerjun muda, Bertrand Rhodict Lises; Nur Shazrin Latif (pelayaran); Johnathan Wong (menembak); Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya).

Saiz kontinjen dijangka akan bertambah dengan beberapa sukan lain seperti badminton, basikal, menembak dan angkat berat masih berada dalam proses kelayakan yang dijadual diketahui seawal April ini.

Sebelum ini, skuad hoki lelaki negara gagal melayakkan diri ke Paris 2024 selepas kecundang di kejohanan kelayakan di Muscat, Oman Januari lalu.

Turut kecundang ke Paris 2024 adalah tiga penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng.

“Bukan kerisauan tetapi kita memang sudah tak layak. Itu kita kena terima untuk Olimpik kali ini. Sukar buat kami tetapi mesej saya kepada Datuk Azizulhasni (Awang)… beliau masih belum disahkan lagi (secara rasmi) dan juga pemain badminton dan semua (atlet yang dalam proses kelayakan), bagi kami sesiapa yang layak, kita kena berusaha semaksima mungkin untuk dapatkan pingat.

“Itu penting dan sudah pasti kita mahukan pingat pertama (emas) untuk cipta sejarah tetapi dalam masa sama, kita juga perlu berusaha untuk dapatkan sebanyak mana pingat yang boleh.

“Apapun, kita perlu terima (keputusan) yang tak layak. Kita kena berikan yang terbaik untuk gilap mereka sehingga ke Paris. Kita sudah tahu (saiz) dan kita kena terimanya,” kata Hamidin kepada media selepas melawat latihan dua atlet negara ke Paris 2024, Johnathan dan Bertrand di Bukit Jalil, hari ini.

Di Tokyo 2020, kontinjen negara diwakili 30 atlet dengan Malaysia membawa pulang satu perak dan satu gangsa.

Perak diraih Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki manakala beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa.-Berita Harian

Malaysia raih perak pecut berpasukan lelaki, wanita

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek negara membuka saingan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi dengan langkah kanan apabila meraih dua pingat perak, malam tadi.

Kejayaan itu masing-masing dilakar trio pecut lelaki dan wanita negara sekali gus menyaksikan mereka memperbaiki pencapaian gangsa pada edisi sebelum ini di Velodrom Nasional Nilai tahun lalu.

Pada aksi final lelaki, skuad lelaki disertai Muhammad Ridhwan Shahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Umar Hasbullah mencatatkan 44.607 saat (s) terpaksa akur selepas tewas di tangan juara bertahan dari Jepun, Yuta Obara, Kento Yamasaki dan Minato Nakaishi yang mempertahankan gelaran Asia dengan catatan 44.367s.

Dalam pada itu, skuad wanita yang diwakili Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Aliana Syafika Azizan mencatatkan 50.095s pada saingan final selepas bersaing sengit dengan trio China, Zhou Fei, Tong Menggi, Wang Lijuan (48.178s), manakala Korea Selatan membawa pulang gangsa

Pengarah Kejurulatihan Berbasikal Negara, John Beasley dalam satu hantaran di Instagram berkata, dia bangga dengan pencapaian dilakar skuad wanita yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Hari yang baik di ACC apabila barisan pelumba elit wanita negara meraih perak dan berada di belakang China.

“Elit lelaki pula berada di tempat kedua tewas kepada Jepun. Kedua-dua trio negara itu berada di belakang dua kuasa besar Asia membuat saya boleh tersenyum gembira.

“Saya gembira dengan pencapaian kedua-dua trio negara dengan usaha mereka lakukan dan juga pasukan yang berada di belakang mereka. Mereka saling bekerjasama, berusaha keras untuk memastikan kejayaan hari ini. Terima kasih semua, anda melakukan kerja yang baik,” kata Beasley.-Berita Harian

Aniq sasar angkat 305kg

KUALA LUMPUR: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan ada misi peribadi untuk mengangkat bebanan keseluruhan 305 kilogram sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan angkatan 296kg itu dijadual menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 terakhir di Phuket, Thailand pada April ini dan baginya, proses untuk melunaskan sasaran berkenaan akan dilakukan secara peringkat demi peringkat.

“Kelayakan terakhir adalah pada April nanti di Thailand. Selepas itu, baru dapat senarai 10 teratas yang akan ke Olimpik Paris. Saya mempunyai sasaran peribadi untuk melakukan 305kg. Insya-Allah saya akan cuba capai.

“Begitupun, Di Thailand nanti, saya letakkan sasaran 300kg,” kata Aniq yang berada dalam senarai atlet porgram Road To Gold (RTG) itu dan pada ketika ini, berada dalam keadaan fizikal terbaik untuk memburu kelayakan ke Paris 2024.

Katanya, dia memperoleh banyak kelebihan di RTG seperti perkhidmatan di Institut Sukan Negara, peralatan dan juga elaun tambahan.

“Semua itu dapat membantu saya untuk lebih bermotivasi. Daripada sudut pemulihan, (dengan bantuan RTG), ia lagi cepat dan pemakanan juga bagus.

“Untuk angkat berat, lebih kepada pemulihan dan pemakanan. Itu sangat penting kerana kami mengangkat bebanan berat dan boleh tercedera tetapi proses pemulihan itu akan lebih cepat (dengan bantuan khidmat RTG). Jadi itu adalah antara manfaatnya,” kata Aniq.

Aniq ketika ini di landasan tepat untuk ke temasya terbesar dunia di Paris selepas menduduki tangga ketujuh ranking kelayakan manakala seorang lagi rakan seperjuangannya, Mohamad Aznil Bidin berada di tangga ke-17 untuk senarai panjang kelayakan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

“Persaingan (dengan Aznil) sihat. Kami saling menyokong antara satu sama lain dan mana yang saya kurang pengalaman, saya akan tanya kepada dia,” kata Aniq yang turut menerima motivasi tambahan apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2023, semalam.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia