Majlis Sukan Negara Malaysia
Aira sasar kelompok 30 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Selepas tersenarai dalam Program Fast Track, pemain skuasy wanita muda negara, Aira Azman berazam untuk memperbaiki kedudukan rankingnya dengan sasaran awal menembusi kelompok 30 terbaik dunia.

Pemain berusia 20 tahun itu yang ketika ini berada di kedudukan ke-45 dunia, berkata jurang antara dirinya dengan pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia sudah tidak jauh berdasarkan aksinya dalam tiga kejohanan di Amerika Syarikat, bulan lalu – Detroit Pro Classic, Squash Open Fire dan Windy City Open.

“Dalam tempoh tiga minggu lalu, Aira sudah berdepan dengan pemain Top 20 dunia dan Aira rasa jurang permainan dengan mereka, tidak jauh, meskipun kalah, Aira tewas dalam pertarungan lima set.

“Ketika ini Aira mahu menewaskan mereka dahulu,” katanya yang kini berada dalam ranking yang baik untuk beraksi di Kejohanan Dunia dijadual Mei depan.

Menurut Aira, Kejohanan Dunia di Mesir itu bakal menjadi penampilan keduanya di peringkat senior selepas penyertaan tahun lalu di Chicago.

“Jadi dalam tempoh yang ada, kami akan menyertai beberapa kejohanan di Eropah, AS dan Mesir.

“Aira akan cuba memperbaiki ranking agar dapat tampil sebagai pemain pilihan di Kejohanan Dunia nanti,” tambahnya.

Aira antara empat pemain skuasy selain Aifa Azman, S Sivasangari dan Ng Eain Yow disenaraikan dalam Program Fast Track yang diwujudkan bagi melahirkan atlet muda berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Selain empat pemain skuasy, dua penerjun negara Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold turut berada dalam Program Fast Track untuk LA2028.-Berita Harian

Program padat buat Nur Aisyah sebelum Olimpik

NILAI: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohd Zubir bakal menjalani program latihan padat dan intensif termasuk pada Ramadan, sebagai persediaan menghadapi cabaran di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Jurulatih berbasikal lebuh raya wanita negara, Amir Mustafa Rosli berkata, persiapan sudah diatur bagi pelumba berusia 26 tahun itu menyertai dua kejohanan terdekat iaitu di Vietnam dan Thailand.

“Menjelang Ogos itu, kita ada dua pelumbaan iaitu di Vietnam dan Thailand, namun sebelum itu pelumba akan menyertai kem sepasukan di Chiang Mai selama dua minggu.

“Kemudian, mereka akan menyertai Jelajah Thailand. Sepanjang bulan Ramadan itu sememangnya padat dengan program latihan, namun kedua-dua perlumbaan berkenaan penting bagi Aisyah untuk mengukur tahap prestasi semasa,” katanya.

Beliau ditemui media selepas sesi lawatan dan perbincangan dengan Ketua Kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin di Velodrom Nasional di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Nicol David dan Naib Presiden Persekutan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Norazman Abu Samah.

Menurut Amir Mustafa, sejak memantau Aisyah selama lebih dua tahun, beliau yakin dengan keupayaan dan komitmen pelumba berasal dari Terengganu itu untuk menghadapi program latihan yang lasak dan keras.

“Aisyah sudah melalui pelbagai bentuk dan corak latihan dan setakat ini tiada masalah, cuma pada persiapan terakhir di Belgium nanti, saya nak kena pandai susun dia (Aisyah) punya pelumbaan.

“Tapi, saya juga akan berbincang dengan John Beasley (jurulatih basikal negara) mengenai sebarang perancangan dan strategi terbaik sebelum ke Paris,” kata bekas pelumba Olimpik negara itu.

Beliau menyifatkan bukan sesuatu yang mustahil buat Aisyah untuk mencipta kejutan di temasya sukan terbesar dunia itu meskipun dia bakal menghadapi perlumbaan yang mencabar dengan jarak kayuhan 267 kilometer (km).

“Tiada yang mustahil, apa yang saya alami sebelum ini, sama juga dengan Aisyah akan alami. Tapi, pada diri Aisyah ada pakej tersendiri dan saya percaya tidak mustahil bakal berlaku keajaiban, cuma yang penting perancangan itu kena betul,” kata Amir Mustafa.-Beirta Harian

Bonnie raih emas Piala Dunia Powerlifting Para di Dubai

KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila muncul juara di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya seberat 218kg pada percubaan ketiga, menurut laman sesawang World Para Powerlifting www.paralympic.org/powerlifting.

Pada percubaan pertama, atlet berusia 24 tahun kelahiran Sarawak itu berjaya melakukan angkatan seberat 210kg, diikuti 216kg pada percubaan kedua dalam kejohanan itu.

Persaingan antara 11 peserta pada kejohanan berkenaan menyaksikan atlet dari Great Britain, Mark Swan melakukan angkatan 213kg dan Hu Peng (211kg) dari China masing-masing meraih perak dan gangsa.

Ini adalah pingat emas ketiga Bonnie dalam kejohanan berprestij itu selepas memenanginya pada dua edisi pada 2021 masing-masing di Dubai dan Bangkok, Thailand. – BERNAMA

LAWATAN CHEF DE MISSION SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama timbalannya, Datuk Nicol David mengadakan lawatan dan tinjauan persiapan atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir di Velodrom Nasional Nilai.

Aisyah dipilih menggalas cabaran negara dalam acara lebuh raya wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menghabiskan perlumbaan di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas di kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

Pemilihan Aisyah yang berasal dari Terengganu menyaksikan dia mencipta sejarah menjadi pelumba wanita pertama negara yang layak beraksi di pentas Sukan Olimpik bagi acara itu.

Aisyah mahu peralatan baharu

NILAI: Pelumba berbasikal lebuh raya negara Nur Aisyah Mohamad Zubir berharap diberikan kelengkapan dan peralatan baharu bagi menghadapi saingan Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata peralatan groupset (gear, brek) dan bahagian tayar memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pada perlumbaan yang turut disertai pelumba wanita terkemuka dunia.

Aisyah, pelumba lebuh raya wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik ketika ini menggunakan kelengkapan yang dianggap sudah ketinggalan berbanding peralatan lebih canggih digunakan pencabar lain.

“Kita pun tahu nak lawan pelumba terbaik dunia, mereka pakai kelengkapan terbaik. Kalau kita pakai bawah daripada mereka, ia menyukarkan kita untuk lawan. Peralatan pun memainkan peranan… dalam 30 peratus.

“Saya harap dapat (kelengkapan baharu) sebelum bertolak ke Belgium pada Mei ini untuk kem latihan terakhir, yang turut mempunyai beberapa kejohanan peringkat Eropah kerana perlu menyesuaikan diri dengan peralatan berkenaan,” katanya kepada pemberita di Velodrom Nasional hari ini.

Dia ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David.

Menurut Aisyah, hasratnya itu sudah disampaikan kepada Hamidin ketika pertemuan hari ini dan mendapat jawapan yang positif.

Mengenai latihan menjelang temasya empat tahun sekali itu, Aisyah berkata pada masa ini tumpuan diberikan untuk meningkatkan daya ketahanan dan kekuatan sebelum menyertai Jelajah Biwase Vietnam pada 6 hingga 15 Mac, diikuti kem latihan selama dua minggu di Chiang Mai, Thailand dan Jelajah Thailand pada 8 hingga 10 April sebelum ke Belgium.

“Perlumbaan di Vietnam menjadi pengukur prestasi sebelum ke kejohanan lain kerana laluan di Paris hampir 160km dan sangat mencabar. Saya melakukan latihan agak keras untuk memberikan yang terbaik kerana Olimpik ibarat peluang sekali seumur hidup,” katanya.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia pada November lalu, mengumumkan Aisyah sebagai wakil negara ke Paris, selepas mendapat makluman daripada Kesatuan Berbasikal Dunia Malaysia mendapat satu slot sebagai wakil Asia dalam acara lebuh raya wanita berdasarkan ranking.

Aisyah pernah meraih dua perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan dan satu gangsa acara kriterium pada Sukan SEA Hanoi 2021, serta dua gangsa bagi acara lepas beramai-ramai individu dan kriterium pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

Pada Sukan Asia Hangzhou, China, Aisyah menamatkan saingan di tempat ke-11 acara lepas beramai-ramai selain konsisten dalam kedudukan 10 teratas bagi Jelajah Biwase Vietnam 2023 serta Jelajah Thailand 2022 dan 2023, selain enam emas pada Sukan Malaysia Perak 2018. – BERNAMA

Terbuka Switzerland satukan semula Roy King-Wan Arif

KUALA LUMPUR: Kejohanan badminton Terbuka Switzerland dari 19 hingga 24 Mac ini menjadi medan membentuk kembali keserasian beregu lelaki negara Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi yang digandingkan semula selepas tiga bulan ‘terpisah’.

Roy King-Wan Arif yang mula berganding pada Mac tahun lalu mencuri tumpuan selepas meraih beberapa kejuaraan termasuk muncul juara kebangsaan sebelum langkah mereka terhenti apabila Roy King mengalami kecederaan lutut pada Disember.

Roy King ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini mengakui teruja apabila dapat kembali menyertai kejohanan selepas berehat panjang, namun pada masa sama berwaspada supaya kecederaan itu tidak berulang.

“Sekarang apa boleh dikatakan keadaan saya berada pada tahap 100 peratus bersedia untuk beraksi. Ini minggu pertama saya jalani latihan, boleh dikatakan proses itu baik sekali,” katanya.

Selain turun dalam acara beregu lelaki, pemain berusia 23 tahun itu akan berpasangan dengan Valeree Siow dalam acara beregu campuran.

Sementara itu, Wan Arif yang teruja gandingannya sudah pulih dan kembali ke gelanggang berharap mereka dapat mengatur rentak secepat mungkin bagi membina semula keserasian sekali gus mencipta keputusan yang baik di kejohanan Super 300 itu.

“Perasaan itu lain sebab sejak Disember lagi kami tidak berlatih bersama dan saya turut bertukar-tukar gandingan.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu sasaran (suku akhir) itu dijadikan beban kerana apa yang penting kami hanya nak berikan persembahan terbaik setiap kali beraksi,” katanya yang tekad memperbaiki kelemahan mereka khususnya ketika detik penting menuju mata kemenangan. – BERNAMA

Skuad badminton latih di Perancis, berbasikal di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Skuad badminton kebangsaan akan berkampung selama 10 hari di wilayah Aire-sur-la-Lys, Perancis dari 10 hingga 20 Julai ini bagi menjalani kem latihan pra-Sukan Olimpik Paris 2024.

Penyelaras Program Road To Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam berkata, selain kem latihan pra-Olimpik, jawatankuasa itu turut menunaikan dua lagi permintaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menjalani kem latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan di China iaitu Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo (9 hingga 14 April) serta Piala Thomas dan Uber 2024 di Chengdu (28 April hingga 5 Mei).

“Kem latihan pertama sebelum BAC akan bermula dari 26 Mac hingga 6 April, manakala kem latihan kedua sebelum Piala Thomas dan Uber dari 15 hingga 24 April,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG semalam.

Setakat ini, tujuh pemain di bawah naungan BAM disenaraikan dalam Program RTG iaitu pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong, juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Dalam pada itu, Stuart berkata Jawatankuasa RTG memberi lampu hijau buat jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menjalani kem latihan berpusat sebelum ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Beliau berkata, kedua-dua pelumba berkenaan akan menyertai dua kem latihan di Brisbane, Australia dari 23 Mac hingga 13 April ini dan Silverstone, Britain dari 9 hingga 13 Jun ini, manakala kem latihan pra-Olimpik pula akan diadakan di Mallorca, Sepanyol dari 13 Jun hingga 1 Ogos.

Stuart pada masa sama memaklumkan pihaknya turut memantau perkembangan kesihatan Azizulhasni selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022 di Hospital Epworth Richmond, Melbourne dan terus menyokong keperluan latihan serta perubatannya dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Bersama RTG Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Tze Yong selamat menjalani pembedahan di bahagian belakang oleh Institut Sukan Negara baru-baru ini dan mendoakan pemain berusia 23 tahun itu segera sembuh.

Selain kecederaan belakang, impian Tze Yong untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2024, dijadual dari 26 Julai hingga 11 Ogos, sukar dipastikan selepas turut mengalami kecederaan otot bawah belakangnya semasa Kejohanan Terbuka Malaysia Januari lalu.

Pembedahan di bahagian belakang dijangka mengetepikan Tze Yong daripada beraksi di gelanggang selama beberapa minggu dengan tempoh kelayakan ke Paris 2024 akan berakhir pada 28 April.

Sesebuah negara hanya boleh mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada kedudukan 16 teratas dunia dalam ranking Race to Paris menjelang tempoh akhir kelayakan, dengan pemain profesional Lee Zii Jia kini menduduki ranking ke-10, sementara Tze Yong di tangga ke-15, tetapi berisiko kehilangan kedudukan itu jika dia terus tidak beraksi dalam kejohanan kelayakan. – BERNAMA

INISIATIF BARU RTG – FAST TRACK

MSN telah memulakan Program Fast-Track dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk

memenangi pingat emas di Sukan Olimpik LA2028.

Ini adalah selaras dengan pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengenai 35 sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Olimpik LA2028. Lima sukan baharu ialah besbol/softball, kriket, bola sepak bendera, lacrosse dan skuasy.

RTG telah bersetuju untuk meluluskan Program Fast Track ini dan akan bekerjasama dengan MSN untuk memastikan atlet terpilih mendapat sokongan mencukupi untuk mencapai kecemerlangan.

MESYUARAT JAWATANKUASA ROAD TO GOLD

Mesyuarat Jawatankuasa Road To Gold telah dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria yang turut dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa termasuk Chef de Mission Olimpik Paris Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, dan Timbalan Chef de Mission, Datuk Nicol David.

Jawatankuasa RTG membincangkan beberapa agenda dalam mesyuarat tersebut termasuk:

1) Keseluruhan operasi dan perbelanjaan program RTG (2023-2024).

2) Semakan atlet RTG sedia ada.

3) Khidmat sokongan kepada setiap atlet RTG dan persatuan.

4) Pelaksanaan Team MAS House pertama di Sukan Olimpik Paris.

5) Program fast track RTG.]

Program Fast Track diperkenal bagi LA2028

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memperkenalkan Program Fast Track dalam misi memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Program berkenaan turut mendapat kerjasama dan diletakkan di bawah Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

Timbalan Ketua Pengarah MSN (Pembangunan Sukan), Jefri Ngadirin berkata, program itu diwujudkan bagi melahirkan atlet muda berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul emas di LA2028.

Beliau berkata sukan yang dipilih bagi program itu setakat ini adalah terjun dan skuasy.

Katanya, setakat ini enam atlet sudah disenaraikan dalam Program Fast Track iaitu dua penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold serta empat pemain skuasy negara – Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.

“Antara kriteria ditetapkan atlet perlu memenangi pingat di Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta menghuni ranking 20 terbaik dunia.

“Jadi kami berharap prestasi semua atlet yang diserap ke dalam Program Fast Track dapat melonjak menjelang Sukan Olimpik 2028,” katanya ketika sidang media Jawatankuasa RTG di sini, hari ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia