Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN semak semula elaun jurulatih, atlet para badminton

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyemak semula pemberian elaun kepada jurulatih dan atlet para badminton yang berada dalam Program Podium atas pencapaian mereka pada beberapa temasya antarabangsa yang disertai tahun ini.

Ketua Jabatan Sumber Manusia & Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) R. Ravendran berkata antara temasya yang diambil kira ialah Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Jun dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China Oktober lepas.

“… antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa (JKK) Sukan ialah semak semula elaun tiga jurulatih dan tujuh atlet di bawah Program Podium.

“Namun, perincian ada pada MSN yang akan membincangkan (bersama pihak terbabit) untuk selaraskan semua, sebab ada banyak kategori berkaitan dengan pencapaian dan pertandingan yang lepas diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat JKK Sukan di MSN di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ravendran memaklumkan pemain perseorangan SU5 (kecacatan fizikal) Muhammad Fareez Anuar masih berpeluang mewakili negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 sekiranya beliau menaiki podium pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand pada Februari depan.

Menurut Ravendran senarai akhir pemain yang layak mewakili negara pada temasya empat tahun sekali itu, bagaimanapun hanya akan diketahui pada April depan dengan mereka turut akan berpangkalan di luar negara sebagai rangka persiapan pasukan badminton para negara ke Paris.

“Buat masa ini jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou berada dalam landasan tepat ke Paris, namun Muhammad Fareez masih perlu menonjolkan aksi terbaik di Kejohanan Dunia nanti sebab mengikut peraturan hanya enam terbaik layak ke Paris.

“… tetapi andai kata Muhammad Fareez (ketujuh dunia dalam ranking ke Paris), kita perlu buat rayuan ‘wild card’ sebab setiap negara boleh hantar satu wakil sahaja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan BAM akan menambah dua jurulatih tempatan baharu dalam pasukan badminton para negara pada Februari depan.

— BERNAMA

Empat atlet karate wanita ‘naik pangkat’ ke Program Podium

KUALA LUMPUR: Skuad karate kebangsaan bakal menerima nafas baharu apabila empat atlet wanita dijangka diserapkan ke dalam Program Podium tahun depan sebagai usaha memantapkan pasukan negara.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata empat individu terbabit merupakan atlet pembangunan yang dicadang ‘naik pangkat’ ke program kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu.

Bagaimanapun, di sebalik perkembangan positif tersebut, Nur Azmi memaklumkan terdapat empat nama turut dicadang untuk digugurkan daripada Program Podium.

“Akhirnya atlet di peringkat pembangunan dinaikkan kepada Program Podium dan sekarang kita mendapat satu pasukan pembangunan yang begitu baik,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa (JKK) Sukan di MSN, di sini pada Rabu.
Menerusi senarai cadangan dikemukakan MAKAF kepada MSN, empat atlet itu membabitkan atlet wanita Lovelly Anne Robberth, Niathalia Sherawinnie Yampil, Naccy Elly Evvaferra Rojin dan Zakiah Adnan.

Katanya, pihaknya akan menilai terlebih dahulu senarai dicadang untuk digugurkan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
“Setakat ini yang digugurkan kita bagi tempoh pengesahan kepada mereka.
“Ada yang cedera, ada yang mempamerkan prestasi tidak berapa baik… jadi kita akan tunggu sehingga Kejohanan Karate Terbuka MMAKAF di Kuala Lumpur pada Februari dan Kejohanan Karate-do Asia Tenggara (SEAKAF) di Thailand pada April nanti,” katanya.
— BERNAMA

MS, MSN tidak perbaharui kontrak jurulatih renang Chris Martin

KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk tidak memperbaharui kontrak Chris Martin sebagai jurulatih kebangsaan.

Martin, yang telah bersama pasukan kebangsaan sejak 2019, akan tamat kontrak hujung tahun ini.

Setiausaha Kehormat MS Andy Low berkata jurulatih kelahiran Amerika itu maklum akan perkara tersebut malah membantu mereka mencari penggantinya.

“Memandangkan Martin akan meninggalkan kami tidak lama lagi, saya ingin berterima kasih atas khidmat dan kerja kerasnya selama ini terutama dalam membantu Khiew Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan selama 32 tahun dalam 1,500 meter gaya bebas lelaki pada Queensland Championships di Australia baru-baru ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Hoe Yean, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, mencatat 15:21.92 saat (s) untuk memadamkan rekod sebelum itu, 15:23.61s, dicipta Jeffrey Ong pada 1991.

Sementara itu, Andy berkata mereka telah menyenarai pendek beberapa calon untuk menggantikan Martin dan akan mengumumkan jurulatih kebangsaan baharu bulan depan.

“Kami mempunyai calon dari Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada. Kesemua mereka mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan di negara mereka. Kami harap dapat selesaikan (perkara ini) bulan depan.

“Kami turut berharap untuk melantik pengarah teknikal baharu bulan depan. Dua daripada calon akhir kami adalah dari Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, Andy berharap mereka mempunyai dana mencukupi untuk menghantar perenang kebangsaan menyertai kem latihan di Thailand bulan depan, sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha, Qatar, pada 2-18 Feb.

— BERNAMA

Enam pemain wakili Pahang ke Liga Jelajah Juara E-Sport Malaysia

TEMERLOH – Enam pemain terpilih mewakili Pahang untuk berentap dalam Liga Jelajah Juara Sukan Elektronik (E-Sport) di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 24 hingga 30 Disember ini.

Pemain berusia 16 tahun terdiri daripada, Nik Mohamad Faris Nik Mohd Sanusi, Ahmad Fasih Wafi Mohd Ridzuan, Ariif Irfan Rasdi, Muhammad Nur Shah Irfan Shahrul Nizam, Muhammad Irshraf Mikael Muhmaad Irsyad dan seorang berusia 15 tahun, Muhammad Ashraf Aqmal Muhamad Roshdi.

Kesemua mereka terpilih selepas 30 peserta termasuk jurulatih terlibat dalam bengkel dua hari berakhir pada Selasa sempena Jelajah Juara E-Sport Malaysia 2023 yang berlangsung di Mini Studio E-Sport Pahang dekat Lanchang di sini.

Mereka turut berpeluang menimba pengalaman selain meraih ilmu baharu dengan sentuhan pemain profesional daripada Team HaqEsports Club (THQ) serta kepakaran yang dibawa oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Wakil pemain, Muhammad Irshraf memberitahu teruja dengan bengkel itu selain melihat sendiri dan menimba ilmu daripada pemain profesional sukan itu.

“Selain itu, kami akan membuat persediaan rapi dan tidak sabar berentap dengan pemain seluruh negara di MSN nanti,” kata remaja tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan E-Sport Negeri Pahang, Husyin Abd Murat memberitahu, jelajah itu memberi manfaat kepada pemain e-sport di sini selain dapat mencungkil pelapis baharu sukan itu.

Menurutnya, jelajah itu disifatkan sangat membantu pemain dengan kepakaran serta pengalaman daripada pihak terlibat.

“Persatuan juga akan melakukan pelbagai usaha untuk mencungkil bakat-bakat baharu antaranya bakal menganjurkan mini sirkit di setiap daerah untuk melahirkan lebih ramai pemain terdiri anak jati Pahang,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengurus THQ, Muhd Aiman Nazri, 23, mengakui jelajah itu memberikan pengalaman baharu buat pemain pasukan selain gembira dengan komitmen peserta terlibat dalam jelajah tersebut.

Dalam pada itu, turut terlibat dalam bengkel tersebut, Pegawai Eksekutif MSN, Mohd Syazwan Mohd Hanafi dan Pegawai Pemakanan Sukan ISN, Foo Kai Li.

-Sinar harian

Hoki dapat talian hayat

PETALING JAYA: Skuad hoki negara mendapat talian hayat penting menuju ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris apabila dikekalkan dalam program Podium di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal selepas bersidang dengan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di MSN Bukit Jalil, semalam.

Ini bermakna skuad hoki lelaki negara akan kekal mendapat bantuan sewajarnya, baik dari segi elaun mahupun kepakaran sains sukan bagi mempersiapkan pasukan lebih ampuh menjelang aksi kelayakan yang akan berlangsung di Muscat, Oman pada 13 sehingga 21 Januari 2024.

Bukan itu sahaja, MSN juga bersetuju untuk terus melanjutkan bantuan kepada skuad hoki wanita yang turut akan mengibarkan cabaran Malaysia dalam kempen Kelayakan Sukan Olimpik Paris yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol pada 15 Januari ini.

“Jadi Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada MSN, terutamanya ketua pengarah yang baru, selepas berbincang, pasukan lelaki akan kekal dalam program podium sehingga Januari, tetapi untuk wanita, sebelum ini kontrak mereka dalam program Podium akan tamat pada Oktober sejurus selepas Sukan Asia Hangzhou, tetapi kita merayu agar mereka diberikan bantuan sehingga tamat kempen kelayakan pada Januari.

“Selepas kelayakan, keputusannya (sama ada kekal dalam program podium atau sebaliknya) akan ditentukan kemudian. Di pihak MHC, kami juga perlu menimbang dan melihat dengan terperinci daripada semua aspek, ia adalah berdasarkan kitaran empat tahun Sukan Olimpik. Segala perancangan akan ditentukan bergantung kepada keputusan kelayakan ini.

“Jadi tumpuan kami adalah kelayakan Sukan Olimpik pada Januari, skuad remaja pula untuk Piala Dunia yang akan bermula pada minggu hadapan,” kata Subahan.

Terdahulu, skuad hoki lelaki negara hilang keistimewaan setelah digugurkan dalam program sukan elit, Road to Gold (RTG) susulan kegagalan mereka menyambar pingat emas di Sukan Asia Hangzhou September lalu.

-Utusan Malaysia

KBS akan tambah baik Program Podium

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menambah baik Program Podium Sukan Elit (Program Podium) bagi meningkatkan kualiti dan prestasi atlet negara, kata Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim.

Beliau berkata, walaupun objektif utama iaitu memenangi emas pertama Sukan Olimpik belum tercapai, program itu akan diteruskan bagi menyediakan bantuan, latihan dan dana untuk atlet-atlet berpretasi tinggi.

Adam Adli berkata, antara penambahbaikan yang akan diteliti meliputi latihan, pertukaran pengetahuan, jurulatih dan fasiliti.

“Kalau kita lihat peruntukan yang diberikan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2024 untuk program podium itu akan ditambah, supaya kita dari semasa ke semasa boleh menambah baik persembahan dan pencapaian atlet-atlet kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan AEON Malaysia dan KBS, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 melaporkan objektif utama Program Podium yang dilancarkan pada 2 Februari 2016 untuk membawa pulang pingat emas Olimpik masih belum tercapai.

Menurut laporan itu, pencapaian output bagi Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) kurang memuaskan dengan dua daripada lima sasaran tidak tercapai, manakala pencapaian keberhasilan juga kurang memuaskan kerana dua tidak tercapai dan satu masih belum dicapai daripada empat sasaran ditetapkan.

Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan pencapaian output Program Podium di bawah Institut Sukan Negara (ISN) adalah baik kerana telah mencapai sasaran kemenangan pingat di tiga temasya sukan utama.

Mengenai hasrat kerajaan Kelantan yang ingin berbincang dengan KBS serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung garis panduan pakaian sukan patuh syariah bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang bakal dianjurkan di negeri itu, Adam Adli berkata perbincangan itu belum dijalankan.

“… (perbincangan) itu memang tetap akan diadakan sebab jawatankuasa penganjuran SUKMA memang akan sentiasa perlu berhubung dan merancang bersama-sama dengan kerajaan negeri jadi itu perkara dan proses biasa.

“Soal pematuhan pemakaian dan juga perkara-perkara yang tertakluk di bawah enakmen negeri itu akan dilaksanakan selaras dengan apa yang kita anggap sebagai kerjasama di antara negeri dan (kerajaan) Pusat, kita faham ada beberapa perkara yang kita perlu perincikan dan nanti kita akan datang dengan keputusan yang telah kita buat selepas jawatankuasa itu bersidang,” jelasnya.

Berkenaan majlis hari ini, Yayasan AEON Malaysia menyumbang 70 motosikal terpakai kepada Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu pelajar B40 terpilih menjalani latihan kemahiran di Institusi Latihan Kemahiran Belia (ILKBS) di seluruh negara.

Menerusi MoU itu, AEON dan KBS akan menyediakan penempatan latihan industri serta peluang pekerjaan kepada pelajar ILKBS, khidmat nasihat, penyertaan dalam Program Career Fest ILKBS dan sumbangan lain seperti latihan, peralatan, penyelenggaraan dan tenaga pakar. – BERNAMA

Sukma: Kelantan akan bincang garis panduan pakaian patuh syariah dengan MSN, KBS

Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung garis panduan pakaian sukan patuh syariah bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2028 yang bakal dianjurkan negeri itu.

“Terdapat acara-acara sensitif yang perlu dibincangkan membabitkan pemakaian secara patuh syariah seperti akuatik dan gimrama, oleh itu kerajaan negeri akan membincangkan perkara ini dengan kementerian,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Zamakhshari Muhamad.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Rodzi Ja’afar (PAS- Gaal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Rodzi mahu tahu adakah kerajaan boleh memastikan atlet-atlet daripada negeri lain yang menyertai Sukma juga patuh syariah.

Zamakhshari berkata, usaha itu turut dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memanfaatkan peruntukan RM276 juta daripada Kerajaan Pusat antaranya untuk membina enam fasiliti di Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh dan sebuah pusat akuatik di Madinah Al-Salam, Tunjong.

-Harian Metro

Angkat berat congak langkah awal ke Sukan Komanwel 2026

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) memulakan inisiatif awal dengan menubuhkan skuad pelapis pada Januari tahun depan sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2026.

Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, persetujuan dicapai bersama Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung perkara itu dengan skuad pelapis berkenaan terdiri daripada atlet yang menyerlah di peringkat kebangsaan selain memenangi pingat emas dan perak di Sukan Malaysia (Sukma).

“Tujuh atlet dan seorang jurulatih akan kita ambil untuk berada dalam skuad pelapis itu. Kebanyakan atlet pelapis dalam lingkungan umur 14 hingga 21 tahun dan setakat ini kita sudah kenal pasti dua wanita dan lima lelaki.

“PABM juga dalam proses mengenal pasti jurulatih sesuai dan ia akan dirujuk semula kepada presiden untuk berbincang mengenai rancangan dan program yang boleh disediakan buat skuad itu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan di MSN, Bukit Jalil pada Isnin.

Amirul Hamizan berkata, bilangan atlet berada dalam barisan skuad pelapis itu turut diperluaskan untuk Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Sasaran kita adalah untuk Sukan Komanwel nanti supaya tidak terlalu bergantung kepada tiga atlet senior sedia ada. Kita akan pastikan ada sandaran lain selain untuk memburu lebih pingat emas nanti.

“Bemula 1 Januari mereka akan dipanggil dan diuji. Kalau tiada masalah mereka akan kekal sehingga Sukan Komanwel 2026,” katanya.

Menurutnya, kesemua atlet tersebut akan berpangkalan di MSN dengan segala elaun makan minum serta kecederaan ditanggung pihak berkenaan.

Sukan Komanwel 2026 sepatutnya berlangsung di Victoria, Australia sebelum mereka membuat keputusan menarik diri susulan peningkatan kos penganjuran yang tinggi. – Bernama

PSM rancang perkenal Program Pembangunan Sepak Takraw Negara

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus memperkasa program pembangunan peringkat akar umbi dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu apabila merancang memperkenalkan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSDP) tahun depan.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata NSDP iaitu kesinambungan kepada program pembangunan sedia ada di pelbagai peringkat akan tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Pendidikan (KPM).

“Program pembangunan akar umbi ikutkan memang sudah berjalan namun kita mahu gabungkan kesemua elemen tersebut di bawah NSDP bagi memastikan program pembangunan ini diperkembang.

“Apa yang penting kerjasama kita lakukan ini merupakan perkara penting supaya perjalanan pembangunan betul-betul berada di landasan sama,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bengkel Program NSDP, di sini hari ini.

Menurut Mohd Sumali, badan induk sepak takraw itu sudah lama mengimpikan sukan tersebut berdiri sama hebat dengan sukan lain yang mempunyai program pembangunan tersendiri seperti hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP).

“Kali ini kita serius dan bengkel hari ini juga mendapat sambutan baik dengan kehadiran hampir semua persatuan negeri, wakil MSN dan KPM.

“MSN sedia membantu daripada sudut mana yang mereka boleh bantu baik dari segi kelengkapan, penganjuran kejohanan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, bengkel selama dua hari itu yang membincangkan penstrukturan, peranan dan kaedah pelaksanaan NSDP itu dirasmikan Pengarah Bahagian Bakat dan Pembangunan MSN, Mohd Safrushahar Yusoff mewakili Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Mohd Sumali berkata selepas memperoleh resolusi menerusi bengkel tersebut, pihaknya akan membuat rumusan selain kertas kerja yang akan dibentangkan kepada MSN serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum NSDP diperkenalkan secara rasmi.

— BERNAMA

Kaji semula gaji jurulatih, tarik minat berbakti di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti semula skim gaji jurulatih bagi menjaga kepentingan sumber industri tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tindakan itu penting selepas mengambil pengajaran terhadap perkara yang berlaku dalam sukan gimnastik negara apabila beberapa bekas atlet yang meneruskan kerjaya sebagai jurulatih di Singapura.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, nama-nama seperti Amy Kwan, Tracie Ang, Noor Hasleen Fatihin Hasnan, Jaime Yoke Jeng, Azham Afzanizam, Chau Jerman Rong, Mohd Hamzarudin Nordin, Khairul Rasul Hilmi dan Tan Fu Jie telah lama hilang dari radar kerana berhijrah ke negara jiran itu. 

Menurut Hannah, selain pengumuman kebajikan atlet yang bakal meraih caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula Januari 2024, pihaknya juga akan menambah baik skim gaji jurulatih agar barisan profesional itu sentiasa mahu berbakti untuk Malaysia.

“Dalam mesyuarat lembaga yang lepas untuk MSN, kita ada buat kelulusan secara dasar bagi mengambil langkah; satu – untuk kebajikan atlet KWSP PERKESO. Satu lagi kita teliti skim gaji untuk jurulatih kerana kita tak mahu ketinggalan.

“Hasrat saya adalah supaya jurulatih Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara, yang membantu negara lain menang, mungkin kalau kita ada skim yang lebih menarik, saya percaya hati mereka akan beri keutamaan kepada negara sendiri, Malaysia.

“Itu sebab sekarang, MSN telah diberikan mandat, mereka sedang menjalankan bengkel dan sesi libat urus untuk lihat bagaimana kita boleh buat skim gaji jurulatih ini lebih menarik. 

“Kalau tidak, kita hilang ramai jurulatih terutamanya dalam Gimnastik kepada Singapura. Mereka dilatih di sini kemudian diserap ke Singapura. 

“Itu yang kita tak nak, kita pastikan bakat kita di sini untuk bantu atlet Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan pemberita mengenai Laporan Audit Ketua Negara (LKAN) yang mengesyorkan agar adanya semakan semula Garis Panduan Kenaikan Gaji Jurulatih dilakukan bagi penentuan kadar kenaikan yang lebih teratur.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak lima orang daripada 36 jurulatih Program Podium Sukan Elit (Program Podium) dikesan menerima kenaikan gaji tanpa menggunakan pakai kriteria dalam garis panduan sedia ada. 

-Utusan Malaysia

Majlis Sukan Negara Malaysia