Kuala Lumpur: Kehadiran dua pemain naturalisasi, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru, dijangka menjadi tonik terbaik buat skuad ragbi kebangsaan menjelang aksi penting dalam play off Kejohanan Ragbi Asia 2025 menentang Sri Lanka pada 19 April ini.
Kedua-dua pemain kelahiran Fiji itu bukanlah nama asing dalam arena ragbi tempatan apabila pernah menyarung jersi negara sekitar 2016 dan 2017 selain mempunyai pengalaman luas beraksi dalam Liga Ragbi Malaysia sebelum ia tergendala beberapa tahun lalu.
Ketua jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Ahmad, mengesahkan kehadiran semula dua watak penting itu dalam sesi latihan pusat yang bermula petang ini di Universiti Malaya (UM).
“Menurut pengurusan, mereka sudah tiba dan akan menyertai latihan petang ini. Kita harap mereka berada dalam keadaan cergas dan mampu membantu memperkukuh pasukan terutama di posisi forward dan back,” katanya.
Saizul Hafifi menjelaskan, kedua-dua pemain itu memenuhi syarat naturalisasi selepas beraksi lebih tiga tahun dalam liga tempatan, sekali gus layak menyarung jersi kebangsaan mengikut peraturan Ragbi Asia.
“Walaupun liga negara tergendala sejak dua atau tiga tahun lalu, mereka tetap aktif beraksi di luar. Kini mereka kembali bersama kita untuk bantu pasukan dalam misi penting,” tambahnya.
Menurutnya lagi, fokus utama kini adalah pada aspek kecergasan, kekuatan fizikal dan gandingan pemain lama serta baharu, selain memastikan tiada kecederaan menjelang perlawanan di Colombo.
Skuad negara dijadual berlepas ke Sri Lanka pada 16 April ini, dengan misi menebus kegagalan tahun lalu apabila menduduki tangga keempat Kejohanan Ragbi Asia.
Kedudukan itu menyaksikan skuad Bunga Raya mampu tersingkir ke Divisyen satu dan aksi play off bagaikan penentu hidup mati pasukan agar tidak tersingkir ke divisyen berkenaan.