Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyatakan kehadiran ketua jurulatih mereka, Herry Iman Pierngadi, berjaya membawa perubahan besar dalam gaya permainan yang ditampilkan di dalam gelanggang.
Bagi Wooi Yik, Herry yang terkenal dengan gelaran ‘Naga Api’ itu adalah jurulatih yang begitu teknikal dan memberi tumpuan kepada beberapa aspek kecil, tetapi mampu membawa peningkatan sangat ketara dalam permainan.
Malah, di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China itu, mereka berjaya menerapkan segala ilmu diturunkan jurulatih kelahiran Indonesia itu sehingga berjaya muncul juara di kejohanan berkenaan.
“Dari segi latihan, sangat berbeza berbanding sebelum ini. Dia memberikan lebih perhatian kepada perkara kecil secara terperinci. Mungkin sebelum ini kami tidak begitu menyedari sesetengah perkara, tetapi bersama beliau, kami dapat mempelajari sesuatu yang baharu.
“Di BAC ini, kami juga ingin mencuba cara permainan diajarkan beliau (Herry). Saya rasa ia sangat berkesan, dan saya amat berterima kasih kepadanya kerana membawa kami ke satu arah yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Aaron turut bersetuju Herry berjaya membawa perubahan buat mereka, dan dia serta Wooi Yik akan terus belajar menyerap segala ilmu diberikan untuk meningkatkan lagi prestasi ke tahap lebih tinggi.
“Dia (Herry) jurulatih baru tiba, dan dia juga berjaya membawa satu gaya permainan agak berbeza. Walaupun kami memenangi kejuaraan (BAC), saya rasa masih ada ruang yang besar untuk kami belajar,” katanya.
Terdahulu, gandingan negara itu berjaya mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 18 tahun untuk muncul juara di BAC selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi, 21-19, 21-17 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, semalam.
Di bawah bimbingan Herry, penampilan mereka kali ini cukup berbeza apabila bermain dengan cukup cepat dan banyak melakukan serangan pantas untuk mematikan bola.
Untuk makluman, kejayaan muncul juara pada edisi 2025 itu membolehkan mereka menebus kehampaan pada edisi 2022 apabila sekadar muncul naib juara.
Dengan kemenangan itu, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$37,000 (RM163,700). Kali terakhir beregu negara muncul juara BAC adalah pada edisi 2007 menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.