Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan dana RM1.5 juta setahun kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menjayakan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).
Menterinya, Hannah Yeoh percaya dengan adanya program seperti itu, PSM mampu membangunkan lebih banyak program pembangunan dan melahirkan pemain berbakat untuk memastikan skuad negara cemerlang di pentas antarabangsa.
“KBS memperuntukkan dana RM1.5 juta setahun daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pembangunan sukan sepak takraw bermula dari peringkat akar umbi.
“Dengan adanya program ini, saya percaya kita akan mempunyai bakat untuk melahirkan pemain yang lebih besar.
“Pencarian bakat itu boleh kita bermula sekarang. Sukan sepak takraw bukan sukan mahal dan wajar kita bangunkan dan perjuangkan.
“Saya lihat di kawasan luar bandar sama ada dengan komuniti Orang Asli atau golongan wanita, sukan sepak takraw sangat popular. Menerusi dana RM1.5 juta ini, mereka (PSM) boleh buat banyak program pembangunan,” katanya selepas pelancaran NSTDP, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr K Nagulendran; Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Sebelum ini, terdapat beberapa sukan lain turut melaksanakan program seperti ini antaranya hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP).
Selain itu, KBS akan sentiasa memantau dan menilai perkembangan NSTDP menerusi jawatankuasa di bawah MSN selain menyokong sepenuhnya pelan pembangunan yang dirangka untuk sepak takraw.
Terdahulu, PSM mengadakan bengkel NSTDP di sebelah pagi untuk membincangkan secara mendalam mengenai program itu bersama lebih 70 pemegang taruh.
Ia membabitkan pelbagai agensi termasuk MSN, PSM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri.