Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Zii Jia disenarai dalam RTG bagi LA28

Putrajaya: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, sekali lagi diberi peluang untuk disenarai dalam program Road To Gold (RTG) sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Biarpun pernah menolak pelawaan itu sebelum ini, ia bukan alasan untuk jawatankuasa RTG yang mesyuarat buat kali pertama, hari ini mengetepikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu.

Selain daripada Zii Jia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan seramai 16 atlet disenaraikan bagi fasa pertama RTG.

Daripada 16 nama itu, 13 atlet membabitkan pemain badminton manakala dua daripada sukan berbasikal iaitu Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta Aniq Kasdan (angkat berat).

Stuart menjelaskan pihaknya memerlukan tempoh dua minggu untuk menyelaras keperluan program serta menyampaikan maklumat secara terperinci kepada setiap persatuan sukan dan atlet yang terpilih sebelum mesyuarat penyelarasan berlangsung hujung Mei ini.

“Kita akan mulakan mesyuarat bersama persatuan sukan dan jurulatih bagi menyelaraskan program dan bantuan kepada atlet selepas ini.

“Kita memerlukan masa dua minggu untuk penyelarasan ini dan penyampaian program atau bajet yang diperlukan atlet.

“Itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan mesyuarat akan berlangsung hujung bulan Mei ini untuk penyelarasan atau penentuan keputusan permintaan dari semua atlet dan persatuan sukan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan pemilihan atlet adalah mengikut kriteria ditetapkan oleh jawatankuasa dan penilaian akan dibuat secara berterusan memandangkan tempoh menuju ke LA28 masih panjang.

Dalam usaha memastikan hala tuju program lebih terarah, Hannah berkata, jawatankuasa RTG akan menetapkan beberapa penanda aras tahunan bagi menilai pencapaian atlet secara konsisten sepanjang tempoh empat tahun menuju ke Sukan Olimpik.

“Program RTG akan bermula secara rasmi tahun ini dengan sasaran untuk menempatkan atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Pada 2026, atlet disasarkan berada dalam ranking lapan terbaik dunia selain mencatat prestasi terbaik di Kejohanan Dunia serta menyumbang pingat dalam Sukan Asia atau Komanwel.

“Sasaran seterusnya pada 2027 ialah memastikan atlet berada dalam kelompok empat terbaik dunia serta layak ke Olimpik secara merit, manakala tahun terakhir menjelang temasya pada 2028 akan memberi tumpuan kepada mengekalkan kedudukan dan prestasi pada tahap tertinggi dunia,” katanya.

Menurut Hannah, semua atlet yang tersenarai dalam RTG perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan dibincangkan dan dipersetujui bersama jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

Terdahulu mesyuarat pertama RTG turut disertai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa RTG bersama semua ahli jawatankuasa yang terbabit dalam merangka strategi serta pelaksanaan program itu.

Jawatankuasa turut memilih lima atlet bagi program ‘fast track’ iaitu dua daripada skuasy dan tiga daripada memanah yang berpotensi tinggi untuk meraih pingat.

MESYUARAT JAWATANKUASA ROAD TO GOLD

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Road To Gold pertama bagi tahun 2025 yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini.

Mesyuarat telah membincangkan hala tuju persiapan ke arah Sukan Olimpik LA 2028 selain menetapkan kriteria terbaru bagi pemilihan atlet untuk ke Program RTG untuk tahun 2025 iaitu pemenang pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan menduduki ranking 10 terbaik dunia.

Manakala bagi kriteria pemilihan untuk Program Fast Track pula adalah berumur 25 tahun ke bawah, menduduki ranking 20 tebaik dunia dan merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2022 untuk acara individu.

Selain itu, mesyuarat turut bersetuju menyenarai pendek atlet-atlet yang ditawarkan untuk menyertai Program Road To Gold dan Program Fast Track.

Bersyukur angkat berat kembali dalam sukan teras – Ayub

Kuala Lumpur: Selepas hampir satu dekad tersisih akibat isu doping, sukan angkat berat kini kembali mendapat pengiktirafan sebagai sukan prestasi tinggi atau sukan teras negara.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kepercayaan diberikan semula kepada sukan itu, selepas melalui pelbagai proses transformasi dan penstrukturan semula sejak 2018.

“Kami benar-benar bersyukur kerana segala usaha selama ini akhirnya membuahkan hasil.

“Demi memartabatkan kembali sukan angkat berat, PABM sudah melakukan perubahan menyeluruh termasuk pindaan perlembagaan, penstrukturan pengurusan serta penekanan terhadap aspek disiplin, integriti dan hala tuju jelas,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada transformasi itu, sukan angkat berat buat pertama kali dalam sejarah berjaya melayakkan atletnya Mohamad Aniq Kasdan ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit menerusi pencapaian yang menjadi bukti kemampuan sebenar sukan itu di pentas dunia.

“Kami percaya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, atlet kita mampu mencipta sejarah mencapai lebih banyak kejayaan dengan meraih pingat emas terutama di temasya Sukan Komanwel,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, mantan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dan Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, Institut Sukan Negara (ISN) dan Program Podium Road to Gold (RTG) yang banyak membantu dalam proses pemulihan sukan itu.

Sukan angkat berat pernah digugurkan daripada senarai sukan teras sejak 2018 susulan beberapa isu doping.

Namun, usaha berterusan PABM membuktikan sukan itu masih relevan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kejayaan buat negara.

Biar sampai tahap PSM pening pilih pemain kerana ramai bagus – Sumali

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) optimis Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) mampu melahirkan ramai pemain pelapis terbaik untuk mewakili negara dalam masa lima tahun akan datang.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui mempunyai harapan tinggi terhadap program pembangunan itu agar ia mampu mencungkil bakat pemain di seluruh Malaysia sehingga barisan jurulatih negara menghadapi kesukaran untuk memilih barisan atlet terbaik ke skuad kebangsaan.

“Dalam jangka panjang, saya mahu kita sampai ke satu tahap PSM sendiri pening nak pilih pemain sebab terlalu ramai yang bagus.

“Biar kita ada lapan ke-10 tekong bertaraf dunia yang buat kita susah nak pilih siapa patut main,” katanya.

Selain itu, Sumali menegaskan program pembangunan sukan itu tidak boleh menghasilkan kejayaan dalam masa singkat, sebaliknya ia memerlukan masa untuk mencapai sesuatu kemajuan serta matlamat ditetapkan.

“Benda ni takkan jadi setahun dua. Kita kena lihat tiga tahun ke hadapan. Apa yang kita tanam hari ini mungkin tak nampak hasil esok, tapi ia adalah titik permulaan penting untuk masa depan sepak takraw negara.

“Saya sudah beritahu dari awal, saya tak nak NSTDP ini hanya gah di atas kertas, tapi gagal dalam pelaksanaan.

“Kita akan buat pemantauan berkala dan ambil tindakan segera kalau ada kelemahan,” katanya.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan dana RM1.5 juta setahun kepada PSM untuk menjayakan NSTDP.

PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN SISTEM RAWATAN AIR KUMBAHAN DAN GREASETRAP SECARA KONTRAK BERKALA DI KOMPLEKS MSN PAGOH, JOHOR  UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Johor serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) permit IPA Jenis D) pembentungan dan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya dan bertaraf Bumiputera di bawah kod bidang seperti berikut :-

221010 – Kolam Kumbahan/Sisa Perawatan/Talian Paip/Sesalur

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/016/2025 (SPK)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN SISTEM RAWATAN AIR KUMBAHAN DAN GREASETRAP SECARA KONTRAK BERKALA DI KOMPLEKS MSN PAGOH, JOHOR UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 15 APRIL 2025 (SELASA)
TAKLIMAT : 17 APRIL 2025 (KHAMIS/10.30 PAGI)
& LAWATAN TAPAK KOMPLEKS MSN PAGOH, JOHOR
TARIKH TUTUP : 25 APRIL 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Akuan Pembida dan Borang Maklumat Penyebutharga dan dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Muhamad Faezal Md Noh ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929837

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN SISTEM RAWATAN AIR KUMBAHAN DAN GREASETRAP SECARA KONTRAK BERKALA DI KOMPLEKS MSN KUALA ROMPIN, PAHANG  UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Pahang serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) permit IPA Jenis D) pembentungan dan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya dan bertaraf Bumiputera di bawah kod bidang seperti berikut :-

221010 – Kolam Kumbahan/Sisa Perawatan/Talian Paip/Sesalur

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/015/2025 (SPK)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN SISTEM RAWATAN AIR KUMBAHAN DAN GREASETRAP SECARA KONTRAK BERKALA DI KOMPLEKS MSN KUALA ROMPIN, PAHANG UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 15 APRIL 2025 (SELASA)
TAKLIMAT : 16 APRIL 2025 (RABU/10.30 PAGI)
& LAWATAN TAPAK KOMPLEKS MSN KUALA ROMPIN, PAHANG
TARIKH TUTUP : 24 APRIL 2025 (KHAMIS)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Akuan Pembida dan Borang Maklumat Penyebutharga dan dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Muhamad Faezal Md Noh ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929837

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Giliran Rachel tersingkir

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara Rachel Arnold gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2025 di Mesir selepas tewas di tangan pemain nombor empat dunia dari Amerika Syarikat, Olivia Weaver, awal pagi tadi.

Pada pusingan kedua berlangsung di El Gouna Conference and Culture Centre, pemain ranking ke-20 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan lawan selepas tewas dengan keputusan 7-11, 4-11, 4-11 dalam tempoh 24 minit.

Ia kekalahan keempat Rachel kepada Weaver selepas empat pertemuan. Weaver akan berdepan pemain Belgium, Tinne Gilis pada suku akhir selepas pemain itu menewaskan pemain New Zealand, Joelle King.

Ahad lepas, perjalanan pemain skuasy utama wanita negara S Sivasangari juga berakhir pada pusingan kedua apabila tewas di tangan wakil tuan rumah, Salma Hany.

Kejohanan kategori platinum itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$435,000 (kira-kira RM1,921,544) buat kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN SEPAK TAKRAW NEGARA

Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) telah dilancarkan pada 14 April 2025 oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan untuk memperkasakan pembangunan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta setahun daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Dana ini akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar, bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan tradisional ini.

Turut hadir ke majlis tersebut, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu Ketua Setiausaha KBS, Encik Jefri Ngadirin Ketua Pengarah MSN dan YBhg. Dato’ Mohd Sumali Reduan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia.

Pemergian Mazlan kehilangan besar buat dunia sukan Malaysia

Kuala Lumpur: Pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad, yang meninggal dunia petang ini, adalah khabar duka yang amat dirasai oleh keluarga besar sukan negara dan disifatkan sebagai satu kehilangan besar.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh sukan yang tenang, tidak banyak berkata-kata, namun setiap pandangannya sentiasa bernas dan dihormati.

“Allahyarham bukan sahaja memberi sumbangan besar kepada MSN, malah masih terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara menerusi peranan sebagai ahli bebas dalam Jawatankuasa Pemilihan MOM.

“Jasa Allahyarham amat besar, terutamanya dalam memperkenalkan program yang melonjakkan prestasi sukan negara ke tahap lebih tinggi.

“Kita melantik beliau sebagai ahli bebas kerana yakin dengan ketelusan, kepakaran dan integritinya dalam memilih atlet terbaik mewakili negara,” katanya kepada Bernama.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap turut menyifatkan Allahyarham sebagai individu penting yang banyak menyumbang kepada landskap pembangunan sukan tanah air.

“Kita kehilangan arkitek pembangunan sukan negara yang meninggalkan legasi panjang.

“Saya pernah bersama dalam beberapa mesyuarat yang dihadiri arwah dan beliau memang seorang yang memiliki pemikiran sangat tajam.

“Walaupun pernah diserang angin ahmar dan percakapannya terbatas, namun pemikirannya kekal tajam dan peka terhadap isu atlet serta persatuan sukan,” katanya.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli pula berkata, Allahyarham antara Ketua Pengarah MSN yang sangat mesra media.

“Beliau sangat mudah didekati dan paling senang ditemu ramah walau dalam apa jua isu. Itulah keistimewaan keperibadiannya,” katanya.

Allahyarham yang menerajui MSN dari 1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005 meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 75 tahun sekitar jam 4.20 petang tadi.

Penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan 2022 itu dimasukkan ke PPUM sejak Jumaat lalu akibat serangan angin ahmar dan jangkitan pneumonia.

Mazlan dikenang sebagai arkitek utama kejayaan Program Jaya ’98 dan Gemilang 2001 yang melonjakkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 serta Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.

Sepanjang 12 tahun perkhidmatan, beliau memperkenalkan dasar pembangunan sukan jangka panjang termasuk pengukuhan program pelapis kebangsaan dan penstrukturan semula Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkasakan sokongan sains sukan kepada atlet elit.

Allahyarham turut memegang pelbagai jawatan penting dalam badan sukan kebangsaan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan pernah menjadi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea 2001.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Ehsan, Kelana Jaya pagi esok untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara.

KBS, MSN ucap takziah atas pemergian Mazlan

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan salam takziah buat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun, petang tadi.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pemergian Allahyarham sangat memberi kesan kepada dunia dan jasanya kepada pembangunan sukan amat besar.

“Bagi pihak KBS dan Institut Sukan Negara (ISN) kita mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan jasa beliau sebagai KP MSN kita hargai.

“Kita berharap ahli keluarga beliau akan tabah menghadapi dugaan inilah,” katanya selepas Majlis Peramsmian Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP), hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin turut berduka dan berkongsi sedikit pengalaman bersama Allahyarham seperti diberikan tanggungjawab untuk memimpin Unit Sukan Teras, satu ketika dahulu.

“Beliau adalah tokoh besar dalam arena sukan negara, beliau adalah arkitek kepada program pembangunan sukan negara termasuk program Jaya 98.

“Jasa beliau sangat besar dan saya rasa kehilangan beliau tidak dapat diisi oleh tokoh sukan negara yang lain,” katanya.

Allahyarham bertugas sebagai KP MSN bermula 1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005.

Allahyarham adalah antara watak penting dalam pembangunan atlet yang cemerlang seperti program Jaya 98 sebagai persiapan atlet ke Sukan Komanwel 1998 (Sukom 98).

Allahyarham dianggap arkitek di sebalik kejayaan bersejarah di Sukan Komanwel itu yang menyaksikan kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dengan 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Majlis Sukan Negara Malaysia