Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menggesa atlet yang tersenarai dalam Program Road To Gold (RTG), agar tidak melepaskan peluang dengan menandatangani kontrak program itu demi memastikan mereka mendapat sokongan menyeluruh dalam misi memburu emas pertama di temasya Olimpik Los Angeles 2028.
Chong Wei yang juga mentor RTG berkata, ia adalah peluang terbaik buat atlet mendapat khidmat sokongan yang akan disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak swasta demi misi emas sulung negara berjaya diraih di temasya terbesar dunia itu.
Tegasnya, ia amat berbeza dengan apa yang diterima oleh ketika dia bergelar seorang atlet dan biarpun begitu dia masih berjaya menyumbangkan tiga pingat perak di tiga temasya Olimpik bermula Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
“Kita dulu tiada peluang macam ini. Sekarang semua servis diberikan, termasuk fisioterapi dan penganalisis prestasi.
“Kalau pemain profesional macam (Lee) Zii Jia tak ada dalam BAM (Persatuan Badminton Malaysia) pun, dia tetap dapat bantuan. Jadi saya harap dia fikir betul-betul dan terima peluang ini,” kata Chong Wei, pada sidang media pertama RTG 2025 di Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.
Mengulas mengenai syarat baru kemasukan ke dalam RTG iaitu berada dalam kelompok 10 terbaik bagi tahun 2025, lapan terbaik (2026) dan empat terbaik dunia (2027-2028), Chong Wei menyifatkan ia sebagai satu penanda aras realistik untuk melahirkan pemenang pingat emas.
“Kalau kita nak pingat kita kena sasarkan atlet yang memang berpotensi. Tapi kalau ada yang cedera dan kembali dengan prestasi hebat, kita kena tengok kes demi kes,” tambahnya.
Berdasarkan senarai awal senarai nama bagi program fasa pertama RTG tahun ini, seramai 16 atlet terpilih yang mana 13 daripadanya dari sukan badminton, dua dari berbasikal trek dan satu dari angkat berat.
Sebagai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris tahun lalu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Zii Jia mengetuai senarai diikuti Pearly Tan, M Thinaah, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat, Shevon Lai, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.
Tiga lagi atlet adalah Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) serta Mohd Aniq Kasdan (angkat berat).