Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Siti Safiyah sasar takluk AS

KUALA LUMPUR: Atlet boling negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meletakkan sasaran lebih gemilang di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.

Siti Safiyah yang pernah muncul selaku pemain wanita pertama menjuarai Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) pada 2017 berkata, dia ada sasaran untuk memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan AS BC Queens tahun ini.

“Saya pernah menjuarai PWBA sebelum ini dan saya juga menjadi pemain wanita Malaysia pertama menjuarai PWBA, sama seperti Tun Hakim (Tun Hasnul Azam).

“Jadi tahun ini saya nak sasarkan kejohanan utama seperti Terbuka AS dan AS BC Queens kerana ia adalah kejohanan besar di sana (AS).

“Dalam pada itu, saya juga turut menyasarkan untuk cuba meraih satu lagi gelaran (di PWBA) kerana sebelum ini saya pernah memenanginya,” katanya.

Minggu lalu, Tun Hakim melakar sejarah apabila menjadi pemain Malaysia pertama memenangi gelaran di Jelajah Persatuan Pemain-pemain Boling Profesional (PBA).

Pemain 26 tahun itu menjuarai Kejuaraan Chameleon di Reno, Nevada dengan menewaskan Kevin McCune dari Amerika Syarikat 269-227 pada final di National Bowling Stadium sekali gus memenangi AS$20,000 (RM89,000) sebagai juara.

Sebagai rekod, awal tahun ini, gandingan Siti Safiyah bersama Natasha Roslan, Sin Li Jane, dan Gillian Lim berjaya menjelmakan kilauan pingat perak di Kejohanan Boling Piala Dunia Persatuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Wan Abdul Rahman pelumba ASEAN terbaik Peringkat 1 Jelajah Thailand

KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan diangkat sebagai pelumba ASEAN terbaik bagi perlumbaan Peringkat 1 Jelajah Thailand, hari ini.

Dalam perlumbaan sejauh 121.42 kilometer (km) di sekitar Aranyaprathet itu, Abdul Rahman berjaya menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan dua jam 27 minit dan 21 saat (s) di belakang pemenang, Simon Pellaud (Li Ning Star).

Kejayaan nyata memberi tambahan semangat buat pemenang Grand Prix (GP) Antalya pada Februari lalu itu untuk mengharungi Peringkat 2 dari Taman Bersejarah Sadek Kok Thom ke Kok Lan di daerah Ta Phraya sejauh 148.5km esok.

“Alhamdulillah, hari ini Achik boleh dapat pelumba ASEAN terbaik bagi Peringkat 1 ini. Dalam perlumbaan hari ini, memang laju dan semua pelumba mempamerkan corak agresif manakala cuaca pun agak panas sedikit.

“Apapun, InsyaAllah untuk Peringkat 2 esok, saya akan buat yang terbaik lagi,” kata Abdul Rahman atau lebih selesa disapa Acik dalam satu hantaran video oleh pasukan kepada media, semalam.

Dalam pada itu, TSG turut memaklumkan, Harrif Saleh terjatuh pada selekoh terakhir baki perlumbaan namun menyatakan tiada kecederaan serius dihadapi pelumba berpengalaman mereka itu.

Jelajah Thailand 2025 membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan menyediakan laluan keseluruhan sejauh 807.4km.

Dr Ramlan, Mae Chen sertai RTG

KUALA LUMPUR: Dua nama baharu disenaraikan dalam jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) bagi penggal 2025-2026 dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa manakala Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berperanan sebagai Timbalan Pengerusi.

Ahli jawatankuasa baharu itu adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan bekas Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia, Mae Chen.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, barisan jawatankuasa RTG turut mengekalkan beberapa individu utama dari KBS dan institusi sukan negara, termasuk Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts. Dr. K Nagulendran; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang baharu dilantik, Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr. P Vellapandian.

Tiga bekas atlet kebangsaan yang disegani – Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Datuk Mirnawan Nawawi – turut dikekalkan sebagai mentor bagi membimbing dan memberi inspirasi kepada para atlet RTG sepanjang kitaran Olimpik akan datang.

Datuk Stuart Ramalingam pula kekal sebagai Penyelaras Projek RTG dan akan dibantu oleh Ketua Cawangan RTG MSN, Halif Asro Ramzi Sulaiman.

“Pelantikan Datuk Dr. Ramlan Abd Aziz dan Mae Chen akan membawa nafas baharu kepada kepimpinan RTG khususnya dalam bidang sains sukan dan pentadbiran.

“Kedua-dua tokoh ini sangat dihormati dalam bidang masing-masing dan kami amat menantikan kerjasama bersama mereka dalam merancang hala tuju program ini ke hadapan,” kata Hannah dalam kenyataan berkenaan.

Mesyuarat Jawatankuasa RTG yang seterusnya dijangka berlangsung selepas cuti Hari Raya Aidilfitri dan senarai atlet untuk kitaran RTG 2025 dijangka akan diumumkan selepas mesyuarat berkenaan.

Senarai Jawatankuasa RTG bagi penggal 2025–2026

Pengerusi: Hannah Yeoh

Timbalan Pengerusi: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

Ahli Jawatankuasa:

– Datuk Ts. Dr. K Nagulendran

– Jefri Ngadirin

– Dr. P Vellapandian

– Datuk Lee Chong Wei

– Datuk Nicol Ann David

– Datuk Mirnawan Nawawi

– Datuk Dr. Ramlan Abd Aziz

– Mae Chen

Penyelaras Projek: Datuk Stuart Ramalingam

Penolong Penyelaras Projek: Halif Asro Ramzi Sulaiman

PEMBEKALAN LOGO JATA NEGARA DAN LOGO MAJLIS SUKAN NEGARA UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

010401- PAPAN TANDA DAN AKSESORI

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/010/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBEKALAN LOGO JATA NEGARA DAN LOGO MAJLIS SUKAN NEGARA UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 26 MAC 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 9 APRIL 2025 (RABU)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin (Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Nur Azrul Che Zabani (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929754

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

PEMBELIAN KERTAS DAN PERCETAKAN SAMPUL UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA BAGI TAHUN 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

010201- KERTAS
DAN
221015- REKABENTUK PERCETAKAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/009/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN KERTAS DAN PERCETAKAN SAMPUL UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA BAGI TAHUN 2025
TARIKH BUKA : 26 MAC 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 9 APRIL 2025 (RABU)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin (Urusetia Perolehan) : 03-89929066
Pn. Norain Ahmad (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929088

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi Pencetak

Spesifikasi Kertas

Jawatankuasa RTG lebih kecil, umum minggu hadapan – Hannah

Kuala Lumpur: Senarai baharu Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) bakal diumumkan minggu hadapan dengan struktur yang lebih kecil, namun tetap mengekalkan kesinambungan dan kepakaran bagi memastikan persiapan atlet negara menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) berjalan lancar.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa baharu itu dijadualkan selepas Aidilfitri bagi memuktamadkan senarai atlet yang akan menerima fasiliti dan sokongan tambahan dalam program RTG.

“Akan ada nama baharu dan juga yang lama, tetapi yang penting adalah kesinambungan serta kepakaran dalam membangunkan atlet elit kita. Saya tak rasa banyak perubahan, tetapi kita nantikan.

“Jawatankuasa ini juga akan berskala lebih kecil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Segambut di sini hari ini.

Hannah bagaimanapun menegaskan pembaharuan kali ini tidak membawa kejutan besar, sekali gus meyakinkan semua pihak agar tidak perlu bimbang.

Program RTG dilancarkan untuk membantu atlet negara meraih pingat emas pertama Malaysia di Olimpik menerusi sokongan menyeluruh dari segi latihan, fasiliti, pemulihan serta bantuan kepakaran teknikal.

Sementara itu, menyentuh mengenai Majlis Berbuka Puasa Parlimen Segambut, Hannah berkata, ia adalah hasil kerjasama bersama Korean Society, yang turut dihadiri oleh Menteri & Konsul Jeneral Kedutaan Republik Korea di Malaysia, Lee Han-il.

Prestasi hambar perkara biasa – Peng Soon

Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara, Chan Peng Soon menyifatkan apa yang dilalui beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei susulan prestasi hambar mereka selepas tersingkir awal pada dua kejohanan Eropah sebelum ini adalah perkara biasa dialami mana-mana pasangan.

Peng Soon yang memenangi pingat perak acara beregu campuran di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying berkata, dia bersama bekas gandingannya itu sering berselisih faham sebelum ini.

Namun, katanya, mereka melihat situasi itu sebagai salah satu cara untuk mematangkan pemikiran mereka di atas gelanggang.

“Saya dan Liu Ying selalu gaduh dahulu, tetapi ada bagusnya kerana kami akan cuba cari penyelesaian untuk mara.

“Memang perselisihan faham dengan pasangan beregu adalah perkara biasa, prestasi ada naik turunnya,” katanya.

Spekulasi kini bertiup kencang sama ada terdapat ‘persengketaan’ antara pasangan keempat dunia itu apabila Ee Wei memadam semua gambar bersama Tang Jie di laman Instagram, baru-baru ini selepas mereka tersungkur di pusingan pertama Seluruh England 2025.

Tang Jie-Ee Wei tunduk kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-18, 20-22, 11-21, dalam kejohanan tertua badminton dunia yang berlangsung di Birmingham.

Sementara itu, Peng Soon berkata, beregu campuran sedang meningkat naik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin perlu memiliki karakter berani dan bermain lebih garang seandainya mahu melangkah lebih jauh pada masa depan.

Katanya, pasangan ke-14 dunia itu perlu mencontohi karakter dimiliki Tang Jie-Ee Wei sehingga muncul antara pasangan terbaik dunia ketika ini.

“Mereka (Pang Ron-Su Yin) masih perlu kerja keras dan lebih matang, mereka mungkin bukan gandingan yang baik di Malaysia pada masa ini, tapi di masa depan kita tidak tahu.

“Jangan terlalu awal putus asa kerana masih ada peluang. Mereka perlu konsisten dan lebih berani, sekali gus dapat bina keyakinan diri dalam gelanggang, itu sangat penting,” katanya kepada Bernama.

Pang Ron-Su Yin mengalami musim yang kurang menentu setakat ini apabila hanya mara ke suku akhir sebanyak dua kali daripada tujuh kejohanan disertai mereka.

Pencapaian terbaik mereka sejak digandingkan pada 2023 adalah muncul naib juara Masters China 2024 selepas tumpas kepada gandingan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 23-21, 23-25, 16-21.

Kaedah baharu pastikan Malaysia juara

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bakal menggunakan resipi baharu untuk memastikan wakil Malaysia mampu muncul juara dalam setiap kategori disertai di Kejuaraan Esports Dunia (WEC) 2025.

Presiden MESF, Muhammad Naim Al-Amin berkata, beliau percaya kaedah itu mampu membentuk keserasian lebih baik selain dapat mengekalkan momentum serta strategi yang sudah digunakan selama ini dalam permainan mereka.

Jelasnya, jika sebelum ini gabungan pemain campuran dari pelbagai pasukan dipilih mewakili Malaysia, ia dilihat kurang berkesan kerana terdapat beberapa situasi harus diambil kira termasuk menyesuaikan diri dengan taktikal diterapkan.

Selain itu, katanya, acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Piala Esports Malaysia 2025 yang berakhir hari ini menjadi pentas terbaik bagi wakil setiap pasukan mempamerkan persembahan cemerlang untuk ke sesi pemilihan terakhir peringkat kebangsaan yang dijangka akan diadakan penghujung April depan.

“Kita memilih empat terbaik daripada kejohanan ini (Piala Esports) dan juara sebelum ini (barisan pemain Malaysia yang muncul juara WEC di Arab Saudi tahun lalu) untuk kita adakan satu lagi pemilihan dan mereka berlima akan bersaing sesama sendiri.

“Bagi pasukan yang muncul juara , keseluruhan skuad termasuk jurulatih dan pengurus akan mendapat slot ke WEC.

“Kita tak nak pisahkan mereka kerana kita faham, kadang-kadang meta atau resipi pasukan itu tidak mahu dikongsi.

“Jadi, kita sudah tahu kerana sebelum ini sudah dibuat dengan cara menggabungkan semua pemain daripada pasukan berlainan, tapi mereka tak dapat keserasian terbaik,” katanya.

Sebagai tambahan, format Global Ban turut digunakan dalam peringkat Playoff Piala Esports Malaysia 2025 apabila setiap hero yang digunakan akan diharamkan secara automatik untuk keseluruhan siri perlawanan.

Langkah ini bukan saja menaikkan aras kesukaran kejohanan, malah mencabar kreativiti serta fleksibiliti setiap pasukan dari segi strategi dan pemilihan hero.

Peminat MLBB Malaysia sudah lama menantikan kejohanan rasmi yang menyaksikan pasukan profesional negara berentap dalam format seperti ini, yang sebelum ini jarang diketengahkan di peringkat tempatan.

Sementara itu, bagi beberapa sukan lain, dijangka akan diadakan sesi pemilihan dalam masa terdekat untuk mencari wakil terbaik negara ke WEC.

Untuk makluman, pada tahun ini, lima acara e-sukan dipertandingkan iaitu eFootball Mobile, Counter Strike 2, DOTA 2, PUBG Mobile dan MLBB.

Skuad takraw double kena ‘libas’

Kuala Lumpur: Hasrat skuad sepak takraw double Malaysia melangkah ke pentas akhir tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2025 di Bihar, India hari ini.

Thailand membariskan pemain baharu, Phutawan Sopa, Rachan Viphan dan Thawisak Thongsai mengejutkan wakil negara yang diwakili Shahril Aiman, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi di set pertama apabila menang 15-9.

Namun, anak buah Ahmad Jais Baharun bangkit di set kedua apabila menampilkan permainan lebih meyakinkan dan kurang melakukan kesilapan untuk menang 17-15 dan membawa perlawanan ke set penentuan.

Meskipun Thailand menurunkan pemain baharu tetapi mereka berjaya mengawal gelanggang dan bola pertama dengan sangat baik sementara Malaysia juga cuba memberi tentangan sengit bagi menjarakkan kedudukan, tetapi tidak berjaya sehingga kedudukan terikat 14-14.

Ketika Thailand mendahului 16-15 dan Phutawan bijak memerangkap Aidil Aiman melalui servis laju hingga gagal mengapungkan bola pertama dengan baik sekali gus memastikan skuad Gajah Putih ke pentas akhir dengan kemenangan 17-15 sementara Malaysia perlu berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

Kemenangan itu membolehkan Thailand membalas dendam atas kekalahan di pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang lalu.

Program terbaru PSM mampu lonjak prestasi skuad takraw

Kuala Lumpur: Apit kiri berpengalaman negara, Farhan Adam yakin perubahan dilakukan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dengan mewujudkan Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP) dan Pusat Akademi Sepaktakraw Malaysia di Kampung Baru, bakal membawa sinar baharu buat sukan itu.

Jelas Farhan, dengan ada program seperti itu, sudah pasti ia akan membantu sukan sepak takraw untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan dalam setiap kejohanan disertai selepas ini.

“Saya lihat, ia salah satu kemajuan untuk sepak takraw. Di bawah kepimpinan PSM sekarang di bawah Datuk Sumali (Reduan), ia satu perubahan besar.

“Ia mungkin berpunca daripada kemenangan kita di Piala Dunia (tahun lalu) dan memperkuatkan lagi sepak takraw untuk diperkembangkan,” katanya.

Tambahnya, akademi diwujudkan PSM itu mampu membawa perubahan buat generasi muda untuk mula mendekati sukan berkenaan dan itu akan membantu mewujudkan lebih ramai bakat di akar umbi.

“Pada pandangan saya, ia akan membuatkan sepak takraw berkembang dengan adanya akademi ini dan pembangunan di bawah pengurusan (PSM) baharu ini.

“Saya lihat sukan sepak takraw akan ada lebih banyak saingan dalam negara dan ramai pemain akan bermain sepak takraw,” katanya.

Sebelum ini, Sumali pernah menyatakan hasrat iaitu ingin mewujudkan pusat latihan mempunyai teknologi terkini dan canggih, sekali gus membantu perkembangan pemain menjadi lebih baik.

Katanya, jika perkara itu dapat diwujudkan, sudah pasti ia akan membawa satu sinar baharu dan boleh digunakan oleh pelbagai pihak, sama ada persatuan di dalam negara atau pasukan dari luar negara.

Katanya, jika perkara itu dapat diwujudkan, sudah pasti ia akan membawa satu sinar baharu dan boleh digunakan oleh pelbagai pihak, sama ada persatuan di dalam negara atau pasukan dari luar negara.

Malah, SJRM juga kini dikenali sebagai Pusat Akademi Sepaktakraw Malaysia dan NSTDP dijangka menjadi tonggak utama dalam usaha melahirkan generasi baharu tekong, apit kiri dan kanan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Majlis Sukan Negara Malaysia