Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Cheot ukir nama di gelanggang muay thai

Kota Bharu: Kemunculan seorang petinju muay thai daripada komuniti Cina Peranakan mencuri tumpuan bukan hanya kerana gerakannya di atas gelanggang, malah, keberaniannya menjadikan seni bela diri itu, yang jarang diceburi oleh masyarakatnya, sebagai jalan hidup.

Berasal dari Kelantan, Cheot Yao Zong, 34, mula tertarik kepada sukan yang sinonim dengan negara jiran itu pada usia 25 tahun selepas terpukau menyaksikan kelincahan bintang aksi terkenal Thailand, Tony Jaa, dalam filem Ong Bak.

Beliau berkata, teknik yang dipamerkan dalam filem blockbuster itu telah membakar semangatnya untuk mencuba sendiri sukan yang penuh disiplin itu.

“Saya kagum bagaimana muay thai bukan sekadar pertarungan fizikal, tetapi satu seni yang menuntut kecekapan, ketahanan dan strategi.

“Dari situlah saya melangkah ke Kelab Muay Thai Gajah Putih di Kota Bharu untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sebelum menceburi dunia muay thai, Cheot sebenarnya sudah tidak asing dalam seni bela diri dan pernah mewakili Kelantan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 bagi acara wushu.

“Sukma hanya untuk mereka di bawah usia 21 tahun, jadi saya perlu mencari hala tuju baharu. Muay thai menjadi pilihan kerana saya mahukan cabaran yang lebih besar,” katanya.

Bagaimanapun, Cheot mengakui, menjadi seorang peninju muay thai daripada komuniti Cina Peranakan di Kelantan bukan perkara mudah, malah pada mulanya, beliau berasa sedikit terasing.

“Memang agak janggal pada awalnya kerana tidak ramai dari komuniti saya yang terlibat dalam sukan ini.

“Namun, semakin lama saya bertarung, saya sedar muay thai sebenarnya mampu merapatkan jurang budaya. Saya diterima baik oleh rakan Melayu dan lain-lain,” katanya.

Sepanjang 10 tahun bergelar peninju, Cheot menyertai pelbagai kejohanan amatur dan memenangi beberapa pertarungan penting.

Di peringkat profesional, beliau telah bertarung dalam tiga kejohanan dan mengakui saingan semakin sengit terutama dalam kategori 70 kilogram.

“Peninju muda kini lebih agresif dan bertenaga. Namun, saya tetap berjuang selagi mampu.

“Lagipun, dengan persediaan rapi, risiko kecederaan dapat diminimumkan,” katanya.

Di sebalik ketekunan Cheot, terdapat sokongan padu daripada ibu bapa dan isterinya yang sentiasa memberi dorongan untuk beliau terus melangkah dalam dunia muay thai.

“Apa yang membuatkan saya terus bertahan bukan hanya kemenangan, tetapi bagaimana sukan ini membentuk saya menjadi lebih disiplin dan bersemangat.

“Lebih bermakna, saya dapat bergaul dengan ramai orang dari latar belakang berbeza, berkongsi ilmu dan pengalaman bersama mereka,” katanya.

Cheot menyifatkan muay thai sebagai lebih daripada sekadar sukan.

Baginya, ia adalah cara hidup dan beliau berharap dapat melihat lebih ramai anak muda menceburi sukan itu.

“Ia bukan hanya tentang bertarung tetapi membina diri. Jika ada minat, teruskan. Jangan takut untuk melangkah,” katanya dengan penuh harapan.

Yakeb pujuk bekas atlet berstatus bintang

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan berusaha memujuk bekas atlet berstatus bintang untuk menjadi ahli dalam usaha mengajak mereka bersama-sama menyumbang dan membantu bakas atlet negara yang berdepan kesusahan.

Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, selama ini kebanyakan bekas atlet yang menjadi ahli Yakeb hampir keseluruhannya memerlukan bantuan.

Justeru katanya, menerusi pendekatan terbaru, Yakeb akan cuba memujuk bekas atlet ternama seperti legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta ratu skuasy, Datuk Nicol David untuk menjadi ahli Yakeb.

“Kami mahu tukar konsep iaitu kalau boleh kami mahu bekas atlet yang sudah berjaya memohon untuk menjadi ahli Yakeb.

“Buat masa sekarang, ramai atlet yang sudah berjaya dalam kehidupan mereka tidak menjadi ahli Yakeb kerana mungkin mereka merasakan tidak memerlukan bantuan.

“Sebab itu kalau boleh sekarang kami mahu mereka bersama-sama Yakeb untuk membantu ahli yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan persediaan Hari Raya Aidilfitri oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) kepada 50 bekas atlet terpilih, hari ini.

Ahmad Shapawi memberi contoh jaguh paralimpik negara, Cheah Liek Hou sudi menghulurkan bantuan meskipun bukan ahli Yakeb.

Jelas Ahmad Shapawi ketika ini kira-kira 3,077 bekas atlet sudah berdaftar di bawah Yakeb dan beliau berharap jumlah keahlian itu akan bertambah selepas ini.

“Jadi seperti yang saya katakan tadi, kami akan cuba memujuk beberapa nama besar yang sudah berjaya dalam kehidupan mereka untuk bersama-sama Yakeb,” katanya.

Justin sedia gegar BAC

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh akan memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 8 hingga 13 April ini.

Keputusan perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak mengambil bahagian di Ningbao menyaksikan Justin yang berada dalam senarai pemain simpanan, peroleh peluang untuk menggantikan tempat Zii Jia.

Mengakui terkejut dengan peluang diperolehinya itu, Justin yang menduduki ranking ke-50 dunia ketika ini berkata, dia perlu segera memperbaiki prestasinya di bawah bimbingan ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen menjelang kejohanan itu.

“Memang ada banyak perkara yang perlu saya tingkatkan prestasi. Saya juga kena berbincang dengan jurulatih (Jonassen) sebab dia mengajar corak permainan berbeza, jadi saya perlu segera ikut cara dia,” katanya.

Mengulas lanjut, Justin berkata, ketika ini Jonassen menekankan aspek cara berfikir yang lebih baik ketika beraksi selain turut mementingkan aspek taktikal.

“Beliau seorang yang sangat mementingkan aspek taktikal. Saya rasa masih ada masa lagi untuk berbincang dan membina persefahaman antara kami,” katanya.

Ditanya adakah dia mengharapkan untuk turut terpilih beraksi di Piala Sudirman yang akan berlangsung dari 27 April sehingga 4 Mei depan, Justin belum memikirkan perkara itu lagi.

“Fokus saya sekarang adalah untuk persediaan ke BAC. Untuk Piala Sudirman terpulang kepada BAM memilih pemain. Kalau saya terpilih, sudah pasti saya akan berikan yang terbaik dan jika sebaliknya, saya perlu tunggu (peluang beraksi) kejohanan seterusnya,” katanya.

Justin melalui kempen yang mengecewakan di Eropah apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Switzerland di tangan pemain Jepun, Yushi Tanaka 7-21, 13-21.

Sebelum itu, dia turut terkandas di pusingan kedua Terbuka Jerman dan gagal melepasi pusingan kelayakan Masters Orleans di Perancis.

Nur Hazlinda tekad bantu Malaysian Tigress

SEREMBAN: Penjaga gol utama pasukan hoki wanita kebangsaan, Nur Hazlinda Zainal Abidin berhasrat membantu pasukan negara melakar pencapaian terbaik pada penyertaan sulungnya di Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Wanita 2025, yang akan berlangsung di Poland, Jun depan.

Pemain berusia 22 tahun berasal dari Tampin Negeri Sembilan ini mahu memastikan penyertaannya dalam kejohanan berkenaan kelak, dapat memberi impak positif kepada kekuatan pasukan kebangsaan walaupun belum pasti sama ada akan diturunkan atau sebaliknya.

“Berbanding pemain lain, ia adalah penyertaan pertama saya dalam kejohanan berprestij itu dan saya mahu memberikan persembahan terbaik sekiranya diberikan amanah menjaga gawang pasukan kebangsaan.

“Saya sedar perlu bekerja keras meningkatkan tahap prestasi serta disiplin dalam permainan jika mahu memastikan tempat dalam skuad kebangsaan.

“Memang ia satu cabaran, tetapi saya sedang memberikan fokus ke arah itu dan mahu memastikan amanah yang digalas nanti dapat dilakukan dengan terbaik yang mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengalaman berharga Nur Hazlinda dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Asia di Hangzhou China 2022, Sukan SEA Kemboja 2023, Piala Remaja Wanita Asia 2023 di Jepun dan Piala Remaja Wanita Asia 2024 di Muscat Oman, hampir pasti menjadi pilihan ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim.

Menurutnya, fokusnya kini adalah meningkatkan tahap prestasi terbaiknya sebagai persiapan kerana cabaran di kejohanan antarabangsa terbabit adalah sengit.

“Setiap pemain perlu berada pada tahap terbaik bagi memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan dan soal terpilih untuk beraksi atau sebaliknya adalah terletak kepada jurulatih,” katanya yang akan bersaing dengan dua lagi penjaga gol iaitu, Siti Zalia Nasir dan Fitrinur Amiera Ramlee.

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MSN BAGI BULAN MAC 2025

Majlis Perhimpunan Bulanan MSN bagi bulan Mac 2025 telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang bulan Mac serta amanat terakhir YBrs. KP sebelum bersara pada 3 April 2025.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan integriti dan amanah dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab kepada warga MSN.

MESYUARAT JAWATANKUASA WANITA DALAM SUKAN BIL 1/2025

Mesyuarat Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan Bilangan 1/2025 telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Hamidah Naziadin, Pengerusi Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan dan Ahli Lembaga Pengurusan MSN bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk membincangkan halatuju dan perancangan strategik dalam memperkasakan wanita dalam sukan bagi tahun 2025.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

Penstrukturan semula kejurulatihan, ringankan beban Rexy – BAM

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memuktamadkan pelantikan kejurulatihan utama dengan menamakan Kenneth Jonassen sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan manakala Rexy Mainaky akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranannya sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu, kata Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam.

Keputusan ini dicapai selepas pertimbangan teliti oleh BAM bagi mengoptimumkan kepakaran kejurulatihan dan meningkatkan pembangunan pemain merentas semua peringkat.

“Kami membincangkan perkara ini secara mendalam dan mencapai kesepakatan dengan matlamat kesatuan. Dengan Rexy kini fokus pada beregu dan Jonassen mengendalikan perseorangan, kedua-dua bahagian ini akan mendapat manfaat daripada kepakaran mereka masing-masing.

“Kami mahu meringankan Rexy daripada bebanan tertentu supaya beliau dapat menumpukan perhatian kepada beregu. Beliau mempunyai tiga bidang untuk difokuskan – beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Katanya jawatankuasa prestasi menyemak secara menyeluruh permintaan itu dengan teliti sebelum membuat keputusan.

“Pihak pengurusan telah menilai situasi ini dengan teliti sebelum memuktamadkan pelantikan. Jonassen berkemampuan tinggi untuk mengetuai bahagian perseorangan dan kami yakin mengamanahkannya dengan tanggungjawab itu,” katanya.

Bagi penggantian Jeffer Rosobin, yang sebelum ini berkhidmat sebagai jurulatih perseorangan wanita, Subramaniam berkata Jonassen masih berada dalam senarai pendek calon terbaik.

Penstrukturan semula kejurulatihan terkini mencerminkan komitmen BAM untuk memperkukuhkan sistem kejurulatihan, memastikan kedua-dua skuad junior dan senior menerima bimbingan terbaik untuk bergerak ke hadapan.

Mengenai kemungkinan perubahan pasangan, terutamanya membabitkan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, beliau menyatakan bahawa perbincangan masih berjalan.

“Kami terlebih dahulu perlu memuktamadkan sama ada perubahan akan berlaku. Jika terdapat perubahan, kami kemudian akan menilai aspek kontrak bersama BAM. Kebiasaannya, perkara seperti ini boleh diselesaikan,” katanya.

PROGRAM PENYERAHAN SUMBANGAN MSN-F&N-YAKEB SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 2025

Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama F&N dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, program ini melibatkan penyerahan sumbangan kepada para atlet serta bekas atlet kebangsaan yang memerlukan dah aktiviti ziarah amal ke rumah.

Program penyerahan sumbangan berupa wang tunai serta produk F&N yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Pengerusi YAKEB, En. Muhammad Fauzi Ahmad, Pengurus Pengurusan Acara & Penajaan F&N serta Puan Puah Pei Ling, Pengarah Bahagian Korporat MSN.

KBS mungkin ubah kriteria pemilihan ke RTG

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa kriteria pemilihan atlet yang akan disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) berkemungkinan mengalami perubahan bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurut Hannah, perubahan berkenaan akan dibincangkan dalam Jawatankuasa RTG bagi memastikan strategi lebih efektif dalam memburu pingat emas pertama negara di temasya terbesar dunia itu.

“Jawatankuasa akan bincang dan kita akan dapatkan maklum balas mereka kerana berbanding dengan RTG semasa kita tubuhkan tahun 2022, kita hanya ada dua tahun sebelum Olimpik. Tetapi sekarang kita ada empat tahun sebelum LA 2028.

“Jadi saya rasa kriteria itu mungkin akan ada perbezaan sedikit, mungkin ada ‘mid-term review’. Dan dua tahun sebelum LA 2028, kita kena tengok lagi sama ada top 3 ke ataupun top 5 ke ataupun top 10,” katanya.

Atlet yang disenaraikan sebelum ini dipilih berdasarkan dua kriteria utama yang ditetapkan jawatankuasa RTG iaitu pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Malah, ada juga kriteria tambahan yang mana atlet Program Podium yang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa turut dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam RTG.

RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merealisasikan impian memenangi pingat di temasya terbesar dunia itu termasuklah sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain disediakan ISN.

Atlet juga diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan.

Norza dilantik Timbalan Pengerusi RTG

BANGI: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Road to Gold (RTG) bagi memastikan program itu kekal stabil dan tidak terjejas sekiranya berlaku ketidaktentuan politik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta supaya mereka diberikan peranan sebagai timbalan pengerusi dalam struktur baharu RTG bagi penggal 2025-2026.

“Kita kekalkan struktur ini bagi memastikan RTG dapat berjalan tanpa gangguan. Sekiranya berlaku sebarang isu politik yang menyebabkan ketiadaan menteri, timbalan pengerusi boleh mengambil alih dan memastikan perjalanan program ini tidak terjejas.

“Fokus utama kita adalah memastikan atlet yang berpotensi meraih pingat emas Olimpik mendapat persiapan terbaik,” kata Hannah ketika ditemui pada Majlis Aspirasi Rakan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Pada penggal yang lalu, Hannah dan Norza memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersama RTG.

Sementara itu, Hannah berkata, kriteria pemilihan atlet dalam RTG mungkin mengalami perubahan dengan mengambil kira tempoh persiapan lebih panjang menjelang Olimpik Los Angeles 2028.

“Kita ada empat tahun sebelum Olimpik, jadi mungkin ada sedikit perubahan. Mungkin ada ‘mid-term review’ dan dua tahun sebelum temasya itu, kita akan lihat semula sama ada mahu kekalkan kriteria 10 terbaik atau disesuaikan kepada tiga atau lima terbaik,” jelasnya.

Jawatankuasa RTG dijadual mengadakan mesyuarat pertama selepas Aidilfitri bagi membincangkan hala tuju program dalam tempoh empat tahun akan datang.

Majlis Sukan Negara Malaysia