Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jing Xuen ketuai cabaran negara di Piala QSC 2024

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Sea 2023 Ng Jing Xuen mengetuai cabaran negara di Piala Queen Sirikit (QSC) 2024, bersama dua pemain lain di Christchurch, New Zealand pada Mac depan.

Naib Presiden Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga) Dr Noor Aziah Mohd Ariffin berkata dua pemain berkenaan ialah Sohniya Chandra Mohan dan Pang Hee Jie terpilih selepas mereka berjaya mengetepikan tiga calon lain semasa proses pemilihan di ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata pemilihan itu bukan berdasarkan ranking dunia semata-mata tetapi juga berdasarkan semangat yang dipamerkan oleh atlet berkenaan ketika proses pemarkahan dilakukan dalam disiplin puttingchipping dan drivingrange oleh jurulatih khas Chris Marrs.

“Tiga orang ini (Jing Xuen, Sohniya dan Hee Jie) terpilih walaupun ada lagi tinggi ranking namun mereka tidak menunjukkan aksi memberangsangkan jadi (mungkin) tidak memuaskan hati jurulatih khas semasa proses pemilihan.

“Setakat ini semua latihan hanya berlaku di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara selain mereka juga mempunyai jurulatih sendiri namun macam Hee Jie, berlatih di Johor sebab dia tinggal di sana,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengenai persiapan pemain-pemain negara itu, Noor Aziah berkata ia berjalan lancar dan ketika ini mereka giat mempertingkatkan prestasi masing-masing sebelum berangkat pada 17 Mac depan bagi memastikan kontinjen negara meraih keputusan positif pada kejohanan itu.

Beliau turut berharap lebih banyak sektor korporat sudi bekerjasama dengan badan induk sukan golf itu bagi membolehkan persatuan terus mengangkat martabat pemain golf wanita di Malaysia.

“Persiapan berjalan lancar namun berharap masih ada pihak korporat yang sudi menaja kami (sebab kos tinggi). Setakat ini kami ada penaja pakaian iaitu Carro (untuk ke New Zealand),” katanya.

Malga sebelum ini mensasarkan atlet negara berada dalam kelompok lima terbaik di kejohanan berkenaan bagi mengatasi keputusan tahun lepas di Manila, Filipina yang menyaksikan Jing Xuen dan Foong Zi Yu berkongsi tempat ke-22, Wang Xin Yao (ke-27) bagi acara individu manakala tempat ke-11 daripada 12 negara acara berpasukan.

Piala QSC 2024 yang berlangsung pada 20 hingga 23 Mac depan adalah acara tahunan golf berpasukan membabitkan pemain wanita amatur dari 12 hingga 14 negara Asia Pasifik.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Fadhil sedia perkasakan skuad pecut berpasukan

Nilai: Pelumba berpengalaman berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis sedia menggunakan segala pengalamannya untuk membimbing pasukan trio pecut lelaki kebangsaan yang terdiri daripada dua pelumba muda, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah bagi merealisasikan memburu emas pertama dalam kejohanan akan datang.

Jelas Fadhil, dia yakin skuad itu mampu mempamerkan kayuhan lebih pantas sekiranya mereka dapat memperbaiki beberapa kelemahan kecil serta menggilap kelebihan sedia ada yang dimiliki setiap individu bagi membentuk satu pasukan yang terbaik.

“Saya rasa prestasi kami boleh pergi lebih jauh, banyak faktor yang kami boleh tambah baik. Perlumbaan sebelum ini (Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024) kami tak ada latihan sangat dan ia lebih kepada individu, tapi prestasi kami ok.

“Kita akan fokus jika ada peluang. Saya yakin kita boleh pecahkan rekod kebangsaan (pecut berpasukan lelaki). Bagi saya, masih banyak faktor boleh ditambah baik dan mereka masih muda, banyak masa lagi, saya yang perlu bimbing mereka kerana mereka pelumba berbakat besar, “katanya.

Terdahulu, ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India minggu lepas, trio lelaki yang dibarisi Fadhil, Umar dan Ridwan berjaya memberikan prestasi terbaik apabila memenangi pingat perak acara pecut lelaki dengan catatan masa 44.607 saat (s) tewas.

Ia satu keputusan membanggakan meskipun tewas kepada juara bertahan dari Jepun Yuta Obara, Kento Yamasaki dan Minato Nakaishi (44.367s) pada final.

Bagi atlet berusia 25 tahun itu, dia dan rakan-rakan tidak jangka boleh mencapai kemenangan itu kerana pada awalnya mensasarkan untuk layak ke final sahaja.

“Bila sudah di final, kami berusaha untuk dapatkan pingat emas tapi pasukan kita boleh dapat perak, tapi kita bersyukur sangat. Kita boleh rasa untuk pecut berpasukan itu kerana ada peluang tapi bila sudah masuk sebelum final saya rasa dah sakit tekak,” katanya.

Sebagai rekod, pasangan trio berbasikal trek negara itu sudah bergandingan sejak Jun tahun lalu bermula di ACC 2023 di Nilai, Negeri Sembilan dan mereka terus mempamerkan prestasi yang cukup memukaukan dengan peroleh pingat gangsa.

Untuk maklum, Fadhil sebelum ini turut pernah bergandingan bersama Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di ACC Jakarta 2019 untuk memenangi gangsa sebelum sekali lagi bersama Shah Firdaus dan Ridwan di ACC India 2022 untuk peroleh pingat perak.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nurul Izzah sasar lebur rekod kebangsaan di Hong Kong

NILAI: Selepas berjaya membolot dua pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 baru-baru ini, bintang muda berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri kini menanam misi memperbaharui rekod kebangsaan di Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara (UCI) Hong Kong bulan depan.

Jaguh dalam pembikinan itu berkata kejayaannya baru-baru ini telah menjadi tonik tambahan buatnya melebur rekod yang dimilikinya bagi acara ujian masa 200 meter (m) dan pecut berpasukan yang masing-masing merupakan rekod diciptanya tahun lepas.

“Mengenai UCI Hong Kong, saya sasar untuk acara ujian masa 200m, pecut berpasukan saya boleh perbaiki lagi, mungkin pecahkan rekod kebangsaan.

“Untuk naik podium boleh, tapi agak susah sikit sebab saya pun masih di top 20, saya akan cuba yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di Velodrom Nasional Nilai di sini hari ini.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi baru-baru ini, Nurul Izzah Izzati yang diberi julukan “The Pocket Rocket Woman” mencipta sensasi apabila muncul juara acara keirin dan acara ujian masa 500m wanita.

Pada kejohanan yang sama, beliau juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi tiga acara melibatkan ujian masa 200m (10.903 saat), ujian masa 500m (34.226s) dan pecut berpasukan 750m (49.025s).

Pelumba kelahiran Kedah itu berharap beliau dimasukkan ke dalam Program Road to Gold (RTG) bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dalam usaha merebut tiket ke temasya sukan berprestij itu empat tahun akan datang.

Menurut Nurul Izzah Izzati beliau telah mula mempersiapkan diri untuk ke temasya berprestij itu sejak berakhirnya Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September lepas.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati berkata beliau tekad meningkatkan kepantasannya setanding dengan kelajuan pelumba berkelas dunia untuk memastikan mampu memberi saingan sengit terhadap pelumba negara lain.

“Banyak saya perlu kerja keras untuk perbaiki masa setanding level dunia, dan saiz juga saya perlu besarkan sikit, naikkan otot, berat badan saya okey, naik dari sebelum saya datang Majlis Sukan Negara, tetapi perlu naikkan otot lagi,” katanya. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Gol Mickey boleh cipta lagi satu sejarah’

KUALA LUMPUR: Pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri tidak menolak kemungkinan jaringan pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim mampu mencipta satu lagi sejarah untuk merangkul Anugerah Puskas FIFA buat kali kedua.

Pemain berusia 36 tahun itu menyifatkan jaringan Faisal yang dinobatkan sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 menepati kriteria yang ditetapkan badan induk itu sekali gus berpeluang untuk dicalonkan bagi merebut anugerah berprestij terbabit.

“Kalau kita lihat jaringan Faisal, kita boleh lihat gerakannya, gelecekannya dan juga kepintarannya (dalam menghasilkan gol). Kita pun tahu bahawa Anugerah Puskas FIFA ini adalah untuk jaringan yang tercantik.

“Kita lihat pun bagi edisi 2020, Son Heung Min menang dengan gerakan daripada tengah padang. Jadi tak mustahil Faisal pun mampu juga (menang Anugerah Puskas FIFA),” katanya.

Terdahulu, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022-23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.

Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey menyambar bola sebelum memperdaya pertahanan Bayern Munich itu dan juga penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo yang ‘terduduk’ sebelum meledak gol pertama Malaysia.

Jaringan itu menjadi pilihan penyokong di laman media sosial apabila mendapat 85 peratus undian dan kemenangan itu sememangnya sudah dijangka memandangkan jaringan itu mendahului undian sejak awal undian dibuka.

Sebagai rekod, FIFA menetapkan beberapa kriteria bagi anugerah Puskas terbabit antaranya ia adalah jaringan yang benar-benar cantik termasuklah jaringan jarak jauh, jaringan berpasukan, rabona, sepakan gunting dan jaringan individu namun tertakluk kepada undian dan penilaian pakar.

Jaringan itu juga perlu dianugerahkan tanpa perbezaan mengenai kejohanan, jantina ataupun kewarganegaraan dan bukannya terhasil daripada tuah, kesilapan ataupun biasan pemain lain ataupun pemain yang berada dalam keadaan ofsaid.

Ia juga perlu menyokong permainan bersih (fair play) contohnya pemain tidak bertindak keterlaluan dalam perlawanan ataupun pernah terbabit dengan isu doping.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ariana asah panah di tiga negara

PEMANAH recurve negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi akan terbang ke luar negara pada April untuk menajamkan panahan dalam tiga kejohanan dunia menuju 149 hari Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.

Piala Dunia Shanghai, China pada April disusuli Piala Dunia Yecheon, Korea Selatan pada Mei dan kejohanan Piala Dunia Antalya, Turkiye (Jun) akan menjadi pentas pemanas badan buat pemanah berusia 19 tahun itu sebelum temasya terbesar itu membuka tirai pada 26 Julai.

Jurulatih memanah negara, Muhammad Marbawi Sulaiman berkata, tiga kejohanan tersebut menjadi platform terbaik buat Ariana menguji kemampuan diri sebelum berada di pentas sebenar di Paris.

Muhammad Marbawi. Foto Bernama

Muhammad Marbawi. Foto Bernama

Beliau berkata, Piala Dunia di Shanghai penting buat Ariana kerana ia merupakan kejohanan pertama di luar negara pada tahun ini.

“Kejohanan kompetitif penting buat Ariana untuk kita merancang langkah seterusnya. Shanghai menjadi medan persediaan dan pendedahan pertama Ariana bagi kejohanan antarabangsa pertama tahun ini.

“Kita juga nak tengok reaksi Ariana semasa pertandingan. Adakah dia boleh kawal situasi semasa pertandingan bersaing dengan pemanah handalan. Dari situ kita akan perbaiki apa sahaja kelemahan,” katanya.

Mengulas sasaran terhadap Ariana pada Sukan Olimpik Paris, Muhammad Marbawi enggan memberi tekanan dan meletakkan sasaran tinggi kerana ia merupakan penampilan pertama pada temasya tersebut.

“Olimpik pertama Ariana, tak adil bagi saya untuk letak sasaran tinggi. Ia satu pendedahan berharga buat Ariana. Apapun kita akan cuba beri yang terbaik,” katanya.

Muhammad Marbawi (tengah) memantau sesi latihan Ariana.

Muhammad Marbawi (tengah) memantau sesi latihan Ariana.

Ariana sebelum ini merupakan atlet pelapis, namun setelah mengesahkan tiket Sukan Olimpik menerusi Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand 2023, pemanah yang berasal dari Kuala Lumpur itu dinaikkan pangkat ke Program Podium.

Bagaimanapun Ariana tiada dalam senarai Program Road To Gold (RTG), namun sebarang keperluan pelajar Kejuruteraan Mekanikal di German-Malaysian Institute (GMI), Selangor itu menjadi keutamaan jawatankuasa tersebut.-Sinar Harian

Yew Sin-Ee Yi lepasi halangan awal

BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2024 Super 300 di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim dengan langkah kanan pada Selasa.

Beregu nombor 12 dunia itu tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi, 21-13, 21-14 dalam masa 38 minit.

Yew Sin-Ee Yi akan berdepan pemenang perlawanan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (Denmark) menentang Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa (Taiwan).

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut mara selepas mengatasi pasangan dari Austria, Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir, 21-9, 21-13 dalam masa 32 minit.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei berstatus nombor 62 dunia pula akan menyingkap cabaran berdepan pemain dari Perancis, Lucas Claerbout pada pusingan pertama.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (25 dunia) akan menentang pasangan dari England, Gregory Mairs-Jenny Mairs manakala satu lagi gandingan negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (14 dunia) berdepan wakil dari India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Haikal sasar juarai Masters Orleans

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri meletakkan sasaran membawa pulang mahkota kejuaraan sulung tahun ini bersama pasangannya, Choong Hon Jian pada kejohanan Badminton Masters Orleans 2024 di Orleans, Perancis, pada 12-17 Mac ini.

Muhammad Haikal berkata beliau mahu mengecap kejayaan membanggakan di Orleans bagi menambat hati jurulatih untuk menyenaraikan mereka ke dalam skuad Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, pada 28 April-5 Mei ini.

“Setakat ini persediaan baik, kalau tengok undian agak bagus dan ada peluang (juara di Orleans). Sekiranya nak tunjuk (kami) layak (Piala Thomas 2024) kena buktikan ketika di Orleans ini .

“Jika menang gelaran dapat beri kepercayaan kepada jurulatih, jika kalah macam mana nak masuk ke skuad Piala Thomas,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Hon Jian-Muhammad Haikal bakal membuat perhitungan dengan satu lagi wakil negara, Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 300 tersebut.

Biarpun dibelenggu prestasi kurang meyakinkan pada permulaan musim, Muhammad Haikal berkata beliau dan Hon Jian sedang berusaha keras mencapai semula persembahan terbaik mereka Disember lepas sehingga bergelar juara dua kali berturut-turut di India pada saingan Antarabangsa India Syed Modi 2023 dan Masters Guwahati.

Muhammad Haikal-Hon Jian memulakan kempen 2024 dengan tersingkir seawal pusingan kedua pada Masters Indonesia 2024 kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark, 17-21, 19-21.

Nasib ternyata tidak menyebelahi pasangan ranking ke-39 dunia itu apabila terpaksa menarik diri pada pusingan pembukaan Masters Thailand 2024, baru-baru ini, susulan kecederaan buku lali dialami Muhammad Haikal sewaktu ketinggalan 7-16 pada set pertama kepada Kim Won Ho-Na Sung Seung dari Korea Selatan. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pentas rebut tiket ke Kejohanan Dunia

SHAH ALAM: Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak Amerika Syarikat 2024 yang dianjurkan pada 5 hingga 7 Mac di sini bakal menjadi pentas buat pemain muda negara merebut tiket ke Kejohanan Remaja Dunia pada Julai depan.

Pengarah Eksekutif Sports Excel C Sivanandan berkata kejohanan yang dianjurkan Sports Excel dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu merupakan platform mencungkil bakat pemain muda negara selain memberi peluang kepada mereka untuk melayakkan diri ke pentas antarabangsa.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Kelab Golf & Country Glenmarie di sini.

“Kejohanan ini untuk pembangunan akar umbi bagi sukan golf di Malaysia, sekiranya pemain dapat mata-mata tertentu mereka berpeluang untuk layak ke Kejohanan Remaja Dunia yang dianjurkan di Pinehurst, North Carolina, Amerika Syarikat pada Julai.

“Langkah bagus untuk menggalakkan pemain muda negara keluar negara, bertanding di luar negara tunjuk kebolehan seterusnya mendapatkan biasiswa sukan dari Amerika Syarikat, sekiranya mereka keluar, mereka boleh mohon biasiswa untuk karier sukan dan akademik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak A.S di sini hari ini.

Sivanandan berkata, Kejohanan Golf Malaysia Kanak-kanak A.S merupakan pusingan akhir bagi Jelajah Tempatan U.S Kids Golf Malaysia 2023 bermula 31 Oktober hingga 2 Disember tahun lalu.

Beliau berkata seramai 106 peserta berusia lima hingga 18 tahun daripada 16 buah negara layak ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu dengan 37 daripadanya pemain Malaysia. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ penghormatan besar – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ yang diberikan kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dianggap sebagai satu penghormatan yang begitu besar oleh bintang berbasikal trek negara itu.

Pelumba berusia 21 tahun itu mencipta sensasi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 selepas berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan juga 500 (m) ujian masa pada saingan yang berlangsung di New Delhi itu.

Pelumba kelahiran Sungai Petani itu turut merangkul pingat perak dalam acara pecut berpasukan dan juga pingat gangsa dalam acara pecut.

“Saya tumpang gembira dengan gelaran yang diberikan oleh John (Beasley) itu dan gelaran itu dipegang oleh Datuk Azizulhasni Awang. Tetapi perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seperti beliau.

“Saya harap gelaran itu dapat membantu memberi motivasi yang lebih baik dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk masa depan,” kata Izzah.

Mengulas lanjut prestasinya bagi edisi kali ini, Izzah mengakui dia agak berpuas hati dengan pencapaian yang diraih namun menegaskan dia tidak boleh cepat selesa sekali gus perlu terus meningkatkan lagi prestasinya.

“Masih banyak yang perlu dipelajari selepas saya memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Saya harap saya dapat mengekalkan prestasi selepas ini.

“Selain itu, saya mahu meningkatkan lagi pengalaman dan persembahan saya supaya dapat lebih maju di hadapan. Terima kasih juga pada ibu bapa saya yang banyak menyokong saya sejak dari awal dalam sukan berbasikal.

“Begitu juga kepada jurulatih saya di Kedah dan Majlis Sukan Negara (MSN). Tidak lupa juga kepada penyokong di Malaysia yang banyak memberi kata-kata positif sebagai semangat untuk terus berjaya,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Beasley tabik prestasi pelumba di India

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley menyifatkan ‘kunjungan’ ke New Delhi bagi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 berjaya menghasilkan pencapaian yang begitu baik.

Skuad berbasikal negara pulang dari edisi kali ini dengan dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa untuk berada di tangga ketiga secara keseluruhan di belakang Jepun dan China.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti kelibat pelumba wanita yang digelar ‘The Pocket Rocketwoman’, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang berjaya menggondol dua pingat emas menerusi acara keirin dengan acara 500 (m) ujian masa.

Jelas Beasley, meskipun beberapa negara lain tidak menghantar pelumba terbaik mereka, Malaysia turut mengambil pendekatan yang sama dan ACC sememangnya adalah satu pertandingan yang sengit serta bertaraf tinggi.

“Saya rasa kita memberikan saingan yang baik dan secara keseluruhan, kita memperoleh keputusan yang sangat hebat. Kami tidak bermimpi dengan tahap yang kita ada buat masa ini walaupun kita ada pasukan yang begitu muda.

“Sasaran kita adalah untuk menyiapkan mereka bagi temasya Sukan Olimpik 2028 dan sepanjang enam hari ini, bakat yang sedang kita bangunkan dan kembangkan ini begitu menyerlah. Ada lagi yang boleh ditunjukkan jadi kita harus sentiasa konsisten.

“Saya gembira dengan persembahan ditunjukkan barisan pelumba kita dan ia dibalas dengan pingat yang kita menangi,” kata Beasley.

Dalam masa sama, Beasley juga menegaskan pencapaian di New Delhi dapat dilakar atas usaha keras yang ditunjukkan oleh pelumba negara dan ia diterjemahkan dengan pungutan pingat yang berjaya dibawa pulang.

“Kejayaan ini datang hasil proses yang baik dan usaha keras mereka selain banyak pengorbanan yang sudah dilakukan.

“Kami bertuah kerana ada pasukan hebat yang sentiasa bekerjasama dengan sangat baik,” katanya.

Selain emas acara keirin wanita dan 500 (m) ujian masa wanita, Malaysia turut memenangi perak dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta gangsa dalam acara pecut lelaki, pecut wanita dan keirin wanita.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia