Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAS teroka bakat baharu terjun menerusi program atlet muda

Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan memperkenalkan program atlet muda (fast track) bagi mengenal pasti penerjun berpotensi di bawah umur 11 tahun untuk menjalani latihan secara sepenuh masa di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

MAS, dalam satu kenyataan, memaklumkan program itu adalah salah satu daripada lima komponen terkandung dalam pelan pemulihan sukan terjun yang diluluskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Terjun, Khamis lalu, sebagai usaha memulihkan prestasi sukan berkenaan susulan persembahan mengecewakan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, baru-baru ini.

Menurut MAS, seramai 16 penerjun iaitu lapan lelaki dan perempuan bawah umur 11 tahun akan dipilih oleh Institut Sukan Negara (ISN) dalam masa terdekat menerusi beberapa proses seperti mengenal pasti bakat, kem pemilihan serta ujian penilaian.

Kumpulan berkenaan akan diletakkan di bawah pengawasan dua jurulatih sepenuh masa untuk pendedahan latihan dan penyertaan kejohanan lebih teratur di peringkat kebangsaan serta antarabangsa

“Kumpulan atlet ini disasarkan akan bertanding secara kompetitif pada tahun 2026, bermula dengan penyertaan di peringkat remaja kebangsaan, Sukan Malaysia (Sukma) dan juga beberapa kejohanan antarabangsa yang dipilih.

“Sasaran pencapaian pingat bermula seawal umur 16 tahun di peringkat Sukan Sea dan Kejohanan Remaja Dunia dengan penyertaan secara merit dan bersaing untuk pingat pada Temasya Sukan Olimpik Brisbane 2032 pada usia 19 tahun,” menurut MAS hari ini.

MAS turut mengenal pasti empat negeri berpotensi untuk dijadikan pusat latihan utama bagi memulakan program latihan lebih komprehensif.

Fokus utama dalam program pembangunan bakat negeri adalah menambah baik kemudahan dan fasiliti ‘dry gym’ serta penyediaan perkhidmatan awalan sains sukan dan perubatan sukan di peringkat negeri.

Selain itu, penstrukturan semula kejurulatihan turut dilaksanakan dalam pelan berkenaan dengan cadangan tiga jurulatih untuk 13 atlet Program Podium, tiga jurulatih untuk 15 atlet Program Pelapis serta dua jurulatih masing-masing untuk program atlet muda dan program di setiap negeri.

Sementara itu, program latihan bagi persiapan ke temasya sukan termasuk Sukan Sea 2025, Sukan Asia 2026 dan Sukan Olimpik 2028 juga akan disusun semula dengan penetapan darjah kesukaran bersesuaian di setiap temasya.

“MAS juga akan memberi penekanan dalam memperkenalkan markah kelayakan minimum (MQS) pada beberapa kejohanan pemilihan dan kejohanan tempatan ditetapkan bagi memilih atlet ke sesuatu pertandingan dan temasya sukan utama.

“MQS bagi atlet pelapis adalah minimum ranking ke-24, manakala MQS bagi atlet podium adalah sekurang-kurangnya ranking ke-12,” tambahnya.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Qian sambar kejuaraan Kejohanan Skuasy Remaja 2024

Kuala Lumpur: Pemain skuasy lelaki Selangor, Tay Jun Qian berjaya mengubat kekecewaan hanya menduduki kelompok lapan terbaik tahun lalu selepas dijulang sebagai juara Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan 2024 bawah 19 tahun (B-19) di Kompleks Skuasy Jalan Duta di sini hari ini.

Jun Qian bagaimanapun terpaksa bermandi peluh menempuh perlawanan sukar sepanjang 50 minit untuk merangkul kejuaraan pertamanya itu sebelum dapat mengetepikan wakil Kuala Lumpur, Hasvind Kugan dalam lima set 11-6, 9-11, 7-11, 11-6 dan 11-6.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Jun Qian berkata ini adalah permulaan baik untuknya sebelum memulakan karier sebagai pemain elit tahun depan.

“Sangat berpuas hati dengan kemenangan hari ini yang juga permulaan baik sebagai kali terakhir (pemain) kategori junior, selepas ini saya akan fokus untuk bermain sebagai pemain profesional.

“Saya akan tumpu pada Jelajah Persekutuan Skuasy Profesional (PSA) untuk memburu kedudukan ke-100 dunia, sekarang saya jauh di kedudukan ke-500,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu, kategori wanita B-19 pula menyaksikan pemain Melaka, U Thanusaa merangkul kejuaraan selepas mengetepikan Chen Yu Jie dari Negeri Sembilan dalam perlawanan tiga set 11-7, 11-12, 12-10 yang mengambil masa 18 minit.

Ini juga gelaran kedua pemain berusia 19 tahun itu yang sebelum ini pernah meraih johan bagi kategori B-17 pada edisi 2022.

Thanusaa berkata kemenangan kali ini begitu bermakna kerana tahun ini juga musim terakhirnya beraksi dalam kategori remaja sebelum melangkah sebagai pemain senior tahun depan.

“Puas hati sebab sudah berlatih bersungguh-sungguh dan ini kejohanan junior terakhir jadi (saya) gembira dapat gelaran, gelaran ini akan memberi motivasi kepada saya untuk menjadi pemain senior bermula tahun depan,” katanya yang akan memberi fokus pada Kejohanan Remaja Asia dan Kejohanan Dunia Remaja.

Sementara itu, dalam kategori lelaki B-17, Altamis Aqhar Sallam A Sufian dari Sarawak mengungguli saingan selepas menumpaskan pemain Kedah, Aqil Mirza Naim 11-8, 11-8, 8-11, 11-2, 11-7.

Kategori wanita B-17 pula dimenangi atlet Pulau Pinang, Whitney Isabelle Wilson yang menewaskan pemain Kuala Lumpur, Najwa Zara Mohd Fakhrur 11-7, 11-6, 11-6.-Harian Metro

LAWATAN CHEF DE MISSION SUKAN OLIMPIK PARIS 2024

Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama timbalannya, Datuk Nicol David mengadakan lawatan dan tinjauan persiapan atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir di Velodrom Nasional Nilai.

Aisyah dipilih menggalas cabaran negara dalam acara lebuh raya wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menghabiskan perlumbaan di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas di kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

Pemilihan Aisyah yang berasal dari Terengganu menyaksikan dia mencipta sejarah menjadi pelumba wanita pertama negara yang layak beraksi di pentas Sukan Olimpik bagi acara itu.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aisyah mahu peralatan baharu

NILAI: Pelumba berbasikal lebuh raya negara Nur Aisyah Mohamad Zubir berharap diberikan kelengkapan dan peralatan baharu bagi menghadapi saingan Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata peralatan groupset (gear, brek) dan bahagian tayar memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pada perlumbaan yang turut disertai pelumba wanita terkemuka dunia.

Aisyah, pelumba lebuh raya wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik ketika ini menggunakan kelengkapan yang dianggap sudah ketinggalan berbanding peralatan lebih canggih digunakan pencabar lain.

“Kita pun tahu nak lawan pelumba terbaik dunia, mereka pakai kelengkapan terbaik. Kalau kita pakai bawah daripada mereka, ia menyukarkan kita untuk lawan. Peralatan pun memainkan peranan… dalam 30 peratus.

“Saya harap dapat (kelengkapan baharu) sebelum bertolak ke Belgium pada Mei ini untuk kem latihan terakhir, yang turut mempunyai beberapa kejohanan peringkat Eropah kerana perlu menyesuaikan diri dengan peralatan berkenaan,” katanya kepada pemberita di Velodrom Nasional hari ini.

Dia ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David.

Menurut Aisyah, hasratnya itu sudah disampaikan kepada Hamidin ketika pertemuan hari ini dan mendapat jawapan yang positif.

Mengenai latihan menjelang temasya empat tahun sekali itu, Aisyah berkata pada masa ini tumpuan diberikan untuk meningkatkan daya ketahanan dan kekuatan sebelum menyertai Jelajah Biwase Vietnam pada 6 hingga 15 Mac, diikuti kem latihan selama dua minggu di Chiang Mai, Thailand dan Jelajah Thailand pada 8 hingga 10 April sebelum ke Belgium.

“Perlumbaan di Vietnam menjadi pengukur prestasi sebelum ke kejohanan lain kerana laluan di Paris hampir 160km dan sangat mencabar. Saya melakukan latihan agak keras untuk memberikan yang terbaik kerana Olimpik ibarat peluang sekali seumur hidup,” katanya.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia pada November lalu, mengumumkan Aisyah sebagai wakil negara ke Paris, selepas mendapat makluman daripada Kesatuan Berbasikal Dunia Malaysia mendapat satu slot sebagai wakil Asia dalam acara lebuh raya wanita berdasarkan ranking.

Aisyah pernah meraih dua perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan dan satu gangsa acara kriterium pada Sukan SEA Hanoi 2021, serta dua gangsa bagi acara lepas beramai-ramai individu dan kriterium pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

Pada Sukan Asia Hangzhou, China, Aisyah menamatkan saingan di tempat ke-11 acara lepas beramai-ramai selain konsisten dalam kedudukan 10 teratas bagi Jelajah Biwase Vietnam 2023 serta Jelajah Thailand 2022 dan 2023, selain enam emas pada Sukan Malaysia Perak 2018. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Terbuka Switzerland satukan semula Roy King-Wan Arif

KUALA LUMPUR: Kejohanan badminton Terbuka Switzerland dari 19 hingga 24 Mac ini menjadi medan membentuk kembali keserasian beregu lelaki negara Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi yang digandingkan semula selepas tiga bulan ‘terpisah’.

Roy King-Wan Arif yang mula berganding pada Mac tahun lalu mencuri tumpuan selepas meraih beberapa kejuaraan termasuk muncul juara kebangsaan sebelum langkah mereka terhenti apabila Roy King mengalami kecederaan lutut pada Disember.

Roy King ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini mengakui teruja apabila dapat kembali menyertai kejohanan selepas berehat panjang, namun pada masa sama berwaspada supaya kecederaan itu tidak berulang.

“Sekarang apa boleh dikatakan keadaan saya berada pada tahap 100 peratus bersedia untuk beraksi. Ini minggu pertama saya jalani latihan, boleh dikatakan proses itu baik sekali,” katanya.

Selain turun dalam acara beregu lelaki, pemain berusia 23 tahun itu akan berpasangan dengan Valeree Siow dalam acara beregu campuran.

Sementara itu, Wan Arif yang teruja gandingannya sudah pulih dan kembali ke gelanggang berharap mereka dapat mengatur rentak secepat mungkin bagi membina semula keserasian sekali gus mencipta keputusan yang baik di kejohanan Super 300 itu.

“Perasaan itu lain sebab sejak Disember lagi kami tidak berlatih bersama dan saya turut bertukar-tukar gandingan.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu sasaran (suku akhir) itu dijadikan beban kerana apa yang penting kami hanya nak berikan persembahan terbaik setiap kali beraksi,” katanya yang tekad memperbaiki kelemahan mereka khususnya ketika detik penting menuju mata kemenangan. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad badminton latih di Perancis, berbasikal di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Skuad badminton kebangsaan akan berkampung selama 10 hari di wilayah Aire-sur-la-Lys, Perancis dari 10 hingga 20 Julai ini bagi menjalani kem latihan pra-Sukan Olimpik Paris 2024.

Penyelaras Program Road To Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam berkata, selain kem latihan pra-Olimpik, jawatankuasa itu turut menunaikan dua lagi permintaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menjalani kem latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan di China iaitu Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo (9 hingga 14 April) serta Piala Thomas dan Uber 2024 di Chengdu (28 April hingga 5 Mei).

“Kem latihan pertama sebelum BAC akan bermula dari 26 Mac hingga 6 April, manakala kem latihan kedua sebelum Piala Thomas dan Uber dari 15 hingga 24 April,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG semalam.

Setakat ini, tujuh pemain di bawah naungan BAM disenaraikan dalam Program RTG iaitu pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong, juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Dalam pada itu, Stuart berkata Jawatankuasa RTG memberi lampu hijau buat jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menjalani kem latihan berpusat sebelum ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Beliau berkata, kedua-dua pelumba berkenaan akan menyertai dua kem latihan di Brisbane, Australia dari 23 Mac hingga 13 April ini dan Silverstone, Britain dari 9 hingga 13 Jun ini, manakala kem latihan pra-Olimpik pula akan diadakan di Mallorca, Sepanyol dari 13 Jun hingga 1 Ogos.

Stuart pada masa sama memaklumkan pihaknya turut memantau perkembangan kesihatan Azizulhasni selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022 di Hospital Epworth Richmond, Melbourne dan terus menyokong keperluan latihan serta perubatannya dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Bersama RTG Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Tze Yong selamat menjalani pembedahan di bahagian belakang oleh Institut Sukan Negara baru-baru ini dan mendoakan pemain berusia 23 tahun itu segera sembuh.

Selain kecederaan belakang, impian Tze Yong untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2024, dijadual dari 26 Julai hingga 11 Ogos, sukar dipastikan selepas turut mengalami kecederaan otot bawah belakangnya semasa Kejohanan Terbuka Malaysia Januari lalu.

Pembedahan di bahagian belakang dijangka mengetepikan Tze Yong daripada beraksi di gelanggang selama beberapa minggu dengan tempoh kelayakan ke Paris 2024 akan berakhir pada 28 April.

Sesebuah negara hanya boleh mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada kedudukan 16 teratas dunia dalam ranking Race to Paris menjelang tempoh akhir kelayakan, dengan pemain profesional Lee Zii Jia kini menduduki ranking ke-10, sementara Tze Yong di tangga ke-15, tetapi berisiko kehilangan kedudukan itu jika dia terus tidak beraksi dalam kejohanan kelayakan. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ee Yi-Yew Sin cemas sebelum mara

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin cemas sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Jerman, hari ini.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan beregu Denmark yang berada di kedudukan ke-35 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada pusingan kedua di Westenergie Sporthalle di Mulheim an der Ruhr.

Pada aksi itu, Ee Yi-Yew Sin menang set pertama 21-14 tetapi tewas 19-21 di set kedua sebelum kembali bangkit memenangi set ketiga 21-10 sekali gus mara ke kelompok lapan terbaik.

Sebagai rekod, ini kali kedua Ee Yi-Yew Sin berjaya melayakkan diri ke suku akhir selepas Terbuka Malaysia, awal bulan lalu.

Pasangan itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan akan berdepan pemenang perlawanan antara beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dengan Christopher Grimley-Matthew Grimley dari Scotland bagi perebutan tiket ke separuh akhir esok.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Badminton paling banyak terima peruntukan dalam Program RTG

Kuala Lumpur: Atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) antara yang paling banyak menerima peruntukan dalam Program Road To Gold (RTG) sepanjang 2023 dengan jumlah lebih RM1.82 juta daripada jumlah keseluruhan RM 3.53 juta.

Menurut Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, segala perbelanjaan itu digunakan untuk lima jenis sukan bagi membantu atlet di dalam program khusus di Olimpik Paris 2024 untuk menamatkan ‘kemarau’ emas pertama buat Malaysia.

Jelasnya, selain atlet di bawah BAM, atlet lain yang terbabit adalah atlet profesional badminton negara, hoki, angkat berat, terjun dan berbasikal.

“Antara pecahan perbelanjaan itu adalah atlet terjun, mereka menerima peruntukan sebanyak RM458,177.45, berbasikal RM 465,239.66 dan angkat berat RM20, 025.44.

“Sementara pemain hoki Malaysia terima RM342, 903.62 dan atlet profesional badminton negara pula terima RM1,068,085. 24,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Program RTG yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Terdahulu Arena Metro melaporkan nasib dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri akhirnya terjawab apabila mereka digugurkan daripada Program RTG.

Ini susulan prestasi mereka kurang memberangsangkan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha sekali gus gagal menempah slot ke Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi wakil satu-satunya dari sukan terjun turut diletakkan dalam Program RTG.

Senarai terkini atlet Program RTG menyaksikan seramai 13 atlet berada dalam program berkenaan.

Bagi sukan badminton ialah Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin Teo Ee Yi, Pearly Tan, M Thinaah, Ng Tze Yong, Chen Tang Jie dan Toh Eei Wei.

Untuk wakil dari sukan berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Mohammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Rhodict (terjun). -Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Program Fast Track diperkenal bagi LA2028

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memperkenalkan Program Fast Track dalam misi memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Program berkenaan turut mendapat kerjasama dan diletakkan di bawah Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

Timbalan Ketua Pengarah MSN (Pembangunan Sukan), Jefri Ngadirin berkata, program itu diwujudkan bagi melahirkan atlet muda berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul emas di LA2028.

Beliau berkata sukan yang dipilih bagi program itu setakat ini adalah terjun dan skuasy.

Katanya, setakat ini enam atlet sudah disenaraikan dalam Program Fast Track iaitu dua penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold serta empat pemain skuasy negara – Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.

“Antara kriteria ditetapkan atlet perlu memenangi pingat di Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta menghuni ranking 20 terbaik dunia.

“Jadi kami berharap prestasi semua atlet yang diserap ke dalam Program Fast Track dapat melonjak menjelang Sukan Olimpik 2028,” katanya ketika sidang media Jawatankuasa RTG di sini, hari ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hadiah kereta buat pemenang pingat Paris 2024

KUALA LUMPUR: Ganjaran berupa sebuah kereta menanti atlet negara yang berjaya memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya mendapat komitmen daripada syarikat antarabangsa yang menawarkan ganjaran berupa kereta kepada pemenang pingat di Paris.

“Dalam persiapan RTG (Road to Gold) ke Paris, kita sudah mula menerima tawaran daripada satu syarikat yang menawarkan kereta untuk atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun Hannah berkata pihaknya turut berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat jenama Malaysia akan tampil memberi sokongan untuk memberikan ganjaran kepada atlet negara khususnya yang berjaya memenangi emas pertama Malaysia di Paris.

“Kita menjemput kalau ada GLC atau jenama Malaysia yang berminat untuk memberikan ganjaran sekiranya ada atlet yang boleh dapatkan emas Olimpik pertama Malaysia.

“Jika ada yang berminat boleh hubungi Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

“Kita mahu beri peluang kepada jenama Malaysia kerana sekarang jenama dari luar negara sudah datang untuk bagi kita tawaran,” katanya.

Ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta kepada pemenang emas Sukan Olimpik.

Bagi pemenang perak pula, mereka akan menerima ganjaran RM300,000 manakala gangsa RM100,000.

Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia