Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Aiman pertahan gelaran

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan gelaran juara kebangsaan dalam acara ujian masa elit lelaki hari ini.

Lebih menggembirakan ia gelaran kelima buat pelumba kelahiran Johor itu yang merekodkan masa 55 minit 0.446 saat membabitkan jarak laluan sejauh 30.3 kilometer (km).

Aiman berkata, ia kejayaan bermakna buat dirinya dan sememangnya meletakkan sasaran untuk bergelar juara sekali lagi di Kejohanan Berbasikal Leburaya Kebangsaan tahun ini.

“Sangat gembira dengan kemenangan ini kerana dapat kekalkan gelaran juara kebangsaan buat lima kali. Saya cuba untuk fokus kepada kekuatan, pernafasan dan menjaga laluan supaya saya dapat menguasai perlumbaan,” katanya.

Bermula di Bangunan Stor JKR, Kuala Kubu Bharu ini, Aiman diberi tentangan sengit oleh lawan dari pasukan Malaysia Pro Cycling A (MPC), Muhammad Zawawi Azman yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas merekodkan masa 56:34.436s.

Manakala tempat ketiga milik pelumba Kelapa Gading Bikers Jakarta, Daniel Purwanto 58:28.089s.

Sementara itu dalam saingan ujian masa perseorangan lelaki bawah 23 tahun, emas dimenangi pelumba Terengganu A, Kee Zhe Yie dengan masa 55:33.411s, mengatasi Tsen Ren Bao, dari Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur dan Muhammad Syawal Mazlin (MPC) ketiga._Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nasib berbeza Sivasangari, Eain Yow

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Land Open di Cleveland, Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pemenang pinga emas Sukan Asia Hangzhou berkenaan mengatasi pemain England, Alicia Mead 11-6, 11-8, 11-8 pada aksi suku akhir.

“Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa yang terlalu lama.

“Jadi saya mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” kata Sivasangari yang kali ketiga mara ke separuh akhir dalam saingan Jelajah Dunia musim ini.

Sivasangari akan berdepan pemenang perlawanan antara dua pemain England iaitu pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft bagi perebutan tiket ke pentas final, awal pagi Ahad ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain lelaki negara, Ng Eain Yow apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan Leonel Cardenas dari Mexico dalam pertarungan yang berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu, 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan untuk mara ke separuh akhir dengan 11-6.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari mara, Eain Yow kandas

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, S Sivasangari berjaya mara ke separuh akhir Skuasy Terbuka Cleveland di Amerika Syarikat (AS) ketika pemain lelaki negara yang juga pilihan utama kejohanan, Ng Eain Yow dikejutkan pemain Mexico di suku akhir.

Sivasangari menghadiahkan khabar gembira apabila terus konsisten melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia yang ketiga musim ini apabila mengatasi pemain England, Alicia Mead.

Sivasangari membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu tidak berdepan masalah untuk menyaingi lawan biarpun pada satu ketika Alicia mengatasinya 5-6 sebelum bangkit melakar kemenangan 11-6, 11-8, 11-8 dalam masa 23 minit.

Mengulas mengenai kemenangannya itu Sivasangari berkata, kerja keras dan tidak mengenal erti putus asa menjadi kunci kejayaannya hari ini.

“Kunci kemenangan saya hari ini adalah kerja keras. Paling penting mara ke peringkat seterusnya. Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa terlalu lama.

“Jadi kami mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” katanya.

Sivasangari seterusnya bakal berdepan sama sama ada pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft, kedua-duanya dari England.

Sementara itu hasrat melihat Eain Yow mara lebih jauh tidak kesampaian apabila dikejutkan Leonel Cardenas dari Mexico, dalam pertarungan epik berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan mara ke separuh akhir dengan 11-6.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tang Jie-Ee Wei perlu canai ‘resipi’ baharu

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu segera mencari formula bagi melonjakkan prestasi mereka andai tidak mahu sekali lagi tersingkir di pusingan awal apabila beraksi di Seluruh England yang bermula Selasa ini.

Semalam, pasangan nombor sembilan dunia itu ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Perancis selepas tewas di tangan pilihan keempat kejohanan dari China, Feng Yan Zhan-Huang Dong Ping 18-21, 14-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

“Kami banyak melakukan kesilapan dan ini menjadi punca kepada kekalahan kami dalam perlawanan ini.

“Kami seharusnya lebih bersabar dan yakin dengan diri sendiri,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan, semalam

Tang Jie-Ee Wei akan berdepan satu lagi ujian getir apabila memulakan cabaran di Seluruh England selepas diundi menentang juara dunia 2021 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama

Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei hanya menang sekali ke atas pasangan Thailand itu dalam enam pertemuan sebelum ini.

Dua pertemuan terakhir antara kedua-dua pasangan itu yang berlangsung tahun ini iaitu di pusingan kedua Terbuka India dan final Masters Thailand turut memihak kepada Dechapol-Sapsiree.

Satu-satunya kemenangan yang dicatat Tang Jie-Ee Wei adalah ketika suku akhir Terbuka Artik di Finland pada Oktober tahun lalu.

Justeru, Tang Jie-Ee Wei yang berada di bawah bimbingan Nova Widianto perlu menampilkan aksi ‘kelas A’ bagi mengelak daripada tersingkir di pusingan awal buat kali kedua berturut-turut.

Pada edisi Seluruh England tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.

Tang Jie-Ee Wei adalah satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melangkah ke final saingan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas muncul naib juara di Masters Thailand, bulan lalu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Izzat Shamee pertahan gelaran ‘raja’ Asia

KUALA LUMPUR: Skuad boling padang negara menuai satu pingat emas dan dua perak pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand hari ini.

Dalam acara berlangsung di Kompleks Huai Yai itu, perseorangan negara Izzat Shamee Dzulkeple mempertahankan pingat emas dimenanginya pada edisi ke-14 di Ipoh, Perak selepas menundukkan lawan dari Hong Kong, James Po 21-9 pada acara akhir single lelaki.

Dua pingat perak skuad kebangsaan dimenangi masing-masing menerusi acara fours lelaki dan triples wanita.

Kuartet negara yang dibarisi Mohamed Fadley Abd Jabal, Hizlee Rais, Amin Ramlan dan Soufi Rusli tewas kepada wakil India 10-15 pada aksi final fours lelaki.

Pasukan wanita diwakili Alyani Jamil, Nor Farah Ain Abdullah dan Syafiqa Rahman pula terpaksa akur dengan pingat perak apabila tunduk kepada lawan mereka dari Filipina 14-18 dalam aksi final triples. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Yan Zhan-Dong Ping buat Tang Jie-Ee Wei gigit jari lagi

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih belum menemui jawapan untuk kembali mengatasi pasangan nombor empat dunia dari China, Feng Yan Zhan-Huang Dong Ping.

Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kesembilan dunia sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan lawan berkenaan apabila tewas 18-21, 14-21 pada aksi pusingan kedua Terbuka Perancis yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut Tang Jie-Ee Wei tunduk di tangan Yan Zhan-Dong Ping selepas turut mengalami nasib sama ketika aksi peringkat kumpulan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember lalu.

Mereka sebelum itu berjaya mengatasi Yan Zhan-Dong Ping ketika pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan di Terbuka Thailand yang berlangsung di Bangkok pada Mei tahun lalu.

Tang Jie-Ee Wei selepas ini akan mengalihkan fokus kepada saingan Seluruh England yang akan berlangsung di Birmingham dari 12 hingga 17 Mac ini.

Mereka berdepan ujian getir bagi melepasi pusingan pertama di Birmingham apabila dijadual bertemu bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad recurve buru tiket ke Paris di Antalya

KUALA LUMPUR: Empat pemanah lelaki negara mahu memastikan perjalanan mereka ke Antalya, Turkiye pada Jun depan berakhir dengan kejayaan mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Antalya akan menjadi tuan rumah Kejohanan Kelayakan Akhir Memanah Berpasukan dan Individu bagi Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Jun.

Ketika ini, skuad negara yang dibarisi kuartet pemanah negara yang dibarisi Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli, Muhammad Syafiq Busthamin, Muhammad Danish Amsyar Norazlan dan Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi mengintai peluang untuk layak dalam acara berpasukan recurve lelaki.

Zarif yang juga pemanah paling berpengalaman dalam pasukan, berkata peluang masih terbuka untuk mereka layak ke Paris.

Katanya, dalam acara berpasukan, pemanah perlu mempunyai keserasian dan kerjasama yang baik dan itulah cabaran perlu ditanganinya, ketika dia hanya biasa bersama Firdaus ketika menyertai Sukan SEA di Hanoi 2021.

“Ketiga-tiga pemanah lain boleh dianggap baharu, tetapi saya pernah bersama dengan Firdaus di Sukan SEA Hanoi.

“Setiap kali berlatih, saya sentiasa berbincang dengan jurulatih, bagaimana dan apa tindakan diperlukan, begitu juga setiap kali kami mahu ke kejohanan.

“Setiap kekurangan dalam pasukan baik dari segi individu kami akan berbincang bersama jurulatih,” kata Zarif Syahiir.

Menurut Zarif, sebelum ke Antalya, mereka akan mengambil bahagian pada dua Piala Dunia iaitu Stage 1 di Shanghai, China, pada 23 hingga 28 April dan Stage 2 di Yecheon, Korea Selatan pada 21-26 Mei sebelum ke Stage 3 di Antalya, yang menjadi pusingan kelayakan ke Olimpik Paris.

“Di China dan Korea menjadi pemanas badan dan kami perlu berada di kedudukan pingat, nombor 1, 2 atau tiga di Antalya untuk melayakkan pasukan ke Paris.

“Di Antalya, peluang bagi acara berpasukan lebih cerah berbanding individu, jadi kami perlu melakukan persiapan sebaiknya,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Bungkus’ awal tapi Pearly-Thinaah pamer peningkatan prestasi

KUALA LUMPUR: Di sebalik kekalahan pada pusingan pertama Terbuka Perancis awal pagi tadi, ada petanda positif yang ditunjukkan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.

Pasangan negara itu gagal dalam usaha untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu apabila tewas di tangan beregu nombor lima dunia dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 16-21, 12-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Pada edisi 2022, Pearly-Thinaah mencipta sensasi apabila berjaya muncul juara Terbuka Perancis yang bertaraf Super 750 sekali gus menjadi pencapaian terbaik mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF.

Tahun lalu, mereka tidak dapat mempertahankan kejuaraan selepas Pearly mengalami kecederaan belakang.

Kekalahan di pusingan pertama Terbuka Perancis kali ini adalah yang ketiga buat Pearly-Thinaah dalam lima kejohanan Jelajah Dunia terakhir mereka.

Atas kertas, prestasi tidak menentu Pearly-Thinaah ketika ini pastinya menimbulkan kebimbangan ketika hanya berbaki empat bulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 bermula.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan Pearly-Thinaah menunjukkan peningkatan prestasi dan menampilkan permainan yang lebih baik menentang salah satu beregu terbaik China.

“Pearly-Thinaah secara perlahan-lahan kembali mendapat keyakinan mereka selepas menurun susulan kecederaan yang membelenggu Pearly sebelum ini.

“Pergerakan mereka di dalam gelanggang juga bertambah baik dan mereka bermain kembali bermain secara agresif.

“Mereka sepatutnya mampu melakukan persiapan yang lebih baik jika tidak kerana Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang mana mereka hilang dua minggu tempoh latihan.

“Kami akan terus membantu mereka. Mereka boleh lakukan yang lebih baik lagi berbanding sekarang dan semuanya kini adalah mengenai untuk mendapatkan semula keyakinan mereka,” kata Rexy.

Pearly-Thinaah selepas ini akan menyertai saingan Seluruh England dari 12 hingga 17 Mac ini dan akan membuka tirai kempen menentang rakan senegara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Mereka bagaimanapun berdepan ujian getir sekiranya layak ke pusingan kedua apabila diramal bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Humaira intai gegar pentas lebih berprestij

KUALA LUMPUR: Selepas memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja tahun lalu, atlet taekwondo wanita, Nur Humaira Abdul Karim mengintai peluang mencipta kejayaan di pentas yang lebih besar.

Atlet berusia 22 tahun itu, berkata fokus dia ketika ini adalah untuk menghasilkan keputusan positif di Kejohanan Taekwondo Asia yang dijadual berlangsung di Vietnam pada Mei depan.

Katanya, dia sedang giat menjalani latihan untuk kejohanan itu yang bakal menampilkan atlet terbaik di rantau Asia.

“Tumpuan saya pada tahun ini sememangnya adalah Kejohanan Taekwondo Asia selain Kejohanan Poomsae Dunia. Saya letak sasaran untuk berada dalam kedudukan lapan terbaik di kedua-dua kejohanan ini.

“Untuk Kejohanan Asia, selaku tuan rumah, Vietnam memang ada kelebihan dan kuat. Kejohanan ini memang kompetitif terutamanya membabitkan atlet Vietnam dan Thailand.

“Sekarang saya tak mahu fikirkan sangat saingan di sana, hanya fokus kepada latihan dan saya juga berada pada tahap terbaik tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang merangkul gelaran Olahragawati Universiti Malaya pada Anugerah Sukan UM (MASUM) 2023, malam tadi.

Humaira mencipta kejutan di Kemboja apabila memenangi acara poomsae individu wanita ketika dia tidak meletakkan harapan tinggi.

Dia turut meraih perak menerusi acara berpasukan wanita bergandingan bersama kakaknya, Nurul Hidayah dan Lim Jia Wei dengan emas milik Filipina dan gangsa diraih Thailand.

Humaira berharap dia terpilih untuk beraksi di Sukan SEA Thailand tahun depan sekali gus cuba mempertahankan emas yang dimenangi di Kemboja tahun lalu.

“Apapun segala keputusan terletak di tangan jurulatih. Saya hanya mahu persiapkan diri sendiri dengan fokus ketika latihan,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Badang negara berkampung sebulan di Acheh

KEM angkat berat negara berkampung di Acheh, Indonesia sebagai pentas pemanas badan sebelum menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand bulan depan.

Tiga badang yang terlibat dalam kem latihan tersebut terdiri daripada Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Erry Hidayat dan Muhamad Aznil Bidin.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka yang berlepas ke Acheh pada Selasa akan berlatih selama sebulan dalam bulan Ramadan sebelum terbang ke Phuket.

“Kejohanan di Phuket adalah pertandingan wajib terakhir yang perlu disertai sebelum nama atlet terkini dikeluarkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sama ada layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menjelaskan, Aniq dan Aznil akan bertanding dalam kategori 61 kilogram (kg), manakala Erry bersaing bagi kategori 73kg.

“Marilah rakyat Malaysia doakan agar antara mereka akan terpilih,” katanya.

Menurut Ayub, selain tiga badang itu, kem angkat berat negara turut disertai pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim, jurulatih, Edmund Yeo dan seorang pegawai dari Majlis Sukan Negara (MSN).

“Buatlah yang terbaik untuk negara, misi penting agar sukan angkat berat mampu mencipta sejarah buat Malaysia.

“Perlu sedar kita sukan yang bukan popular, namun kita telah sumbangkan pingat untuk negara pada Sukan Komanwel,” katanya.

Sebagai rekod, Aniq sebelum ini mencipta sensasi apabila memecah rekod kebangsaan kategori 61kg dalam Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar pada Disember lalu berada di ranking ketujuh kategori 61kg Kelayakan Olimpik Paris 2024.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia