Majlis Sukan Negara Malaysia
ISSF hanya iktiraf rekod dunia kejohanan sendiri

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) hanya mengiktiraf rekod dunia dalam kejohanan yang dikendalikan oleh badan induk itu.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari berkata, ISSF sudah memberikan penjelasan mengenai perkara itu dan kebanyakan penganjur memahami situasi itu.

Beliau berkata, kejohanan yang dianjurkan di rantau Asia mahupun di mana-mana tempat, mereka tetap mengikut segala peraturan ditetapkan ISSF cuma bezanya dikendalikan oleh pihak tuan rumah itu.

“Contohnya Kejohanan Rifel/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, kita mengikut undang-undang ISSF tapi tidak dikendalikan oleh badan induk itu sebaliknya dibantu oleh Konfederasi Menembak Asia.

“Jadi mereka bekerjasama untuk menjalankan kejohanan itu mengikut peraturan yang sudah ditetapkan oleh pihak ISSF. Contohnya seperti Kejohanan Dunia dan Piala Dunia, itu memang sepenuhnya dikendalikan oleh ISSF dan siapa buat rekod di situ, akan diakui,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, kekangan bajet menjadi faktor utama kenapa kebanyakan penganjur tidak melantik wakil ISSF untuk mengendalikan kejohanan itu.

Katanya, untuk memanggil mereka dan kendalikan kejohanan itu, ia memerlukan sumber kewangan besar selain terdapat beberapa peraturan lain yang mesti diikuti oleh pihak penganjur.

Terdahulu, Jasni Shaari menyatakan persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada ISSF untuk mengiktiraf pencapaian penembak negara, Alia Sazana Azahari sebagai rekod dunia.

Pada Ahad lalu, penembak berpengalaman itu berjaya memecahkan rekod Asia sekali gus membidik emas dalam acara 25m pistol wanita pada Kejohanan Rifel/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok.

Dalam aksi final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 sasaran sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Malah pencapaian itu mengatasi rekod dunia rasmi milik atlet Korea Selatan, Kim Ye-ji dengan 42 hit yang dilakukan di Piala Dunia ISSF 2024.

Isaac, Esther sandaran Malaysia

Kuala Lumpur: Dua atlet triatlon terbaik negara, Isaac Tan dan Esther Joy Chen bakal menjadi sandaran Malaysia dalam saingan Piala Asia Triatlon (ATC) Putrajaya yang kembali untuk edisi kedua di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan itu turut menyaksikan penyertaan tiga atlet Olimpik Paris 2024, Max Struder dari Switzerland, Jason Ng (Hong Kong) dan Barbaros Riveros (Chile), sekali gus menjanjikan persaingan sengit.

Perlumbaan kali ini membabitkan jarak pecut dengan gabungan renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian 5 kilometer.

Antara nama besar dalam kelompok 10 terbaik Asia yang turut bertanding adalah Robin Elg dari Hong Kong (No 8) dan wakil Jepun, Kyotaro Yoshikawa (No 10), kedua-duanya antara pencabar utama gelaran lelaki.

Bagi kategori wanita, saingan dijangka dikuasai bintang Asia seperti Bailee Brown dari Hong Kong (No 3), Sato Yoshiko (No 9) dari Jepun dan Jeong Hye-rim (No 10) dari Korea Selatan.

Turut menjadi perhatian adalah atlet Indonesia, Martina Ayu Pratiwi, yang menjuarai pusingan pembukaan musim ATC di Chennai minggu lalu.

Dalam kategori lelaki, atlet berpengalaman Riki Shinozuka, pemenang pingat perak Sukan Sea Singapura 2015 serta bintang muda Yap Qi Yi, bakal memberi tentangan hebat.

Manakala dalam kategori wanita, Esther akan disertai kakaknya, Sara Joy, bersama Teo Sze Hui dan Ng Wen May, yang mahu membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Selain mencabar kehebatan atlet luar, pertarungan sesama atlet tempatan dijangka sengit kerana ATC Putrajaya turut diiktiraf sebagai Kejohanan Kebangsaan serta salah satu acara pemilihan ke Sukan Sea Thailand 2025 pada Disember nanti.

Presiden Malaysia Triathlon, Tony Tan berkata, kejohanan itu kini memasuki tahun kedua dan mendapat sokongan penuh daripada badan induk antarabangsa.

“ATC Putrajaya 2025 adalah perlumbaan pertama di Asia Tenggara tahun ini dan sangat penting kerana ia juga menjadi medan pemilihan ke Sukan Sea Thailand serta Sukan Belia Asia.

“Banyak negara, termasuk Malaysia, menggunakan acara ini sebagai sebahagian daripada proses pemilihan dan kelayakan atlet mereka. Oleh itu, perlumbaan ini juga berfungsi sebagai Kejohanan Kebangsaan,” katanya.

Duduki ranking ke-7 dunia lonjak semangat Sivasangari

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari terus membuktikan dirinya antara pemain terbaik negara dan layak menjadi sandaran utama di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) apabila kini berada di ranking ketujuh dunia.

Bagi Sivasangari, pencapaian itu tidak hadir dengan mudah dan dia akan terus meningkatkan lagi usaha bagi memastikan prestasinya benar-benar berada di tahap terbaik sekali gus terus memburu kedudukan tertinggi dunia.

“Saya gembira dapat mencapai kedudukan ranking tertinggi setakat ini dengan segala usaha keras yang dilakukan selama ini membuahkan hasil. Saya berharap, selepas ini dapat terus meningkatkan ranking lagi dan melakukan yang lebih terbaik,” katanya.

Untuk makluman, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berjaya meraih gelaran pertama tahun ini selepas muncul juara Piala Cincinnati Gaynor di Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini.

Melihat prestasi semasa atlet berusia 25 tahun itu, dia mempunyai peluang cerah untuk mengikuti jejak bekas pemain skuasy negara, Datuk Nicol David dan Low Wee Wern dalam memburu gelaran lebih banyak termasuk menduduki ranking tertinggi dunia.

Selepas ini, Sivasangari akan menyertai Terbuka New Zealand dan Terbuka Australia bulan hadapan dalam usaha memburu gelaran kedua kejohanan musim ini.

Wei Chong-Kai Wun temui cara atasi beregu handalan

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melaungkan keyakinan untuk mendapatkan keputusan positif dalam setiap aksi ketika bertemu pasangan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Jelas Kai Wun, mereka semakin yakin meraih kemenangan selepas beberapa kali bertemu dan dapat mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pihak lawan.

“Setiap pemain dalam ranking 10 dunia, mereka ada mentaliti yang baik. Sekarang kami sudah belajar sesuatu serta sudah tahu taktik dan cara untuk mengawal keadaan ketika bertemu lawan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Dia juga memaklumkan mereka kini giat berlatih untuk menghadapi beberapa kejohanan termasuk kejohanan penting iaitu Seluruh England bulan depan.

“Sekarang kita baru balik dari China dan baru mula latihan. Kita akan terus berlatih sebelum ke kejohanan seterusnya dan yang penting (jaga) kesihatan selain kita mahu kekalkan perkara positif dalam permainan.

“Kita harap di setiap kejohanan boleh dapat keputusan yang bagus. Kalau tak bagus pun, kita kena terima juga. Kita berikan yang terbaik untuk setiap perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, Wei Chong-Kai Wun berada di prestasi terbaik selepas berjaya muncul juara di Masters Indonesia termasuk mencatat kemenangan bersih di  Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC).

Rekod Asia Alia tak diiktiraf rekod dunia

Kuala Lumpur: Rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita yang dicipta penembak berpengalaman negara Alia Sazana Azahari di Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok baru-baru ini, tidak akan dikira sebagai rekod dunia.

Perkara itu disahkan Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Mejar (B) Jasni Shaari, yang menyatakan persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) untuk mengiktiraf rekod berkenaan sebagai rekod dunia.

Beliau berkata persatuan itu sudah sedia maklum bahawa sebarang rekod dunia yang dicipta di Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 itu tidak akan dikira kerana kejohanan berkenaan tidak diiktiraf oleh ISSF.

“Sama seperti kejohanan menembak kebangsaan, kalau kita pecah rekod Olimpik di kejohanan kebangsaan, rekod itu tidak akan dikira sebagai rekod Olimpik. Bagi Alia walaupun rekodnya melebihi rekod dunia ia tetap tidak akan dikira kerana kejohanan Asia tidak diiktiraf oleh ISSF.

“(Persatuan) tak boleh (membuat rayuan), sebab peraturannya sudah memang begitu, buat sementara ini rekod Asia sahajalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alia Sazana memecahkan rekod Asia sekali gus membidik emas dalam acara 25m pistol wanita pada kejohanan tersebut Ahad lepas.

Pada pusingan final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Pingat perak menjadi milik penembak Korea Selatan, Lee Siyoon dengan catatan 32 hit manakala Teh Xiu Yi dari Singapura mencatatkan 28 hit untuk memenangi pingat gangsa.

Lebih mengagumkan, pencapaian Alia Sazana turut mengatasi rekod dunia semasa iaitu 42 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Kim Ye-ji pada Kejohanan Dunia di Baku tahun lepas.

Ini emas kedua Malaysia dalam kejohanan tersebut selepas Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mendominasi acara 10m air pistol wanita dengan 239.3 mata Khamis lepas.

Kejohanan yang bermula 9 Feb lepas akan berlangsung hingga 22 Feb ini.

Shah sertai dua acara di ACC

Kuala Lumpur: Meskipun mengalami kecederaan lutut, pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom tetap menunjukkan semangat juang tinggi apabila bakal tampil dalam dua acara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri memaklumkan, selepas mengadakan perbincangan bersama pengarah teknikal program berbasikal negara, John Beasley, mereka memutuskan agar Shah Firdaus tetap turun dan berlumba pada kejohanan ACC kali ini.

Jelasnya, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kedudukan ranking dunianya kekal tinggi, sekali gus membuka peluang lebih cerah untuk layak ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile, pada Oktober ini.

“Shah mengalami kecederaan di lutut sejak dua minggu lalu. Kami sudah melakukan imbasan MRI pada Jumaat lalu. Namun, dia tidak memerlukan sebarang suntikan untuk berlumba.

“Kami memutuskan untuk menurunkannya dalam acara pecut individu dan keirin di ACC. Dia kini berada di kedudukan ke-10 ranking dunia dan matlamat kami untuk mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 terbaik.

“Sasaran untuk Shah sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik bagi acara pecut individu dan, jika boleh, mara ke final acara keirin untuk mengutip mata ranking yang baik.

“Dia masih boleh berlumba, tetapi dalam keadaan sakit. Berkemungkinan dia perlu mengambil ubat tahan sakit ketika berlumba. Namun, dia sudah menyatakan dengan jelas bahawa dia mahu berlumba,” katanya.

Untuk makluman, kejohanan peringkat benua seperti ACC menawarkan mata ranking UCI yang tinggi, menjadikannya rebutan setiap pelumba bagi mendapatkan kedudukan terbaik.

Dengan keadaan Shah yang kurang baik ketika ini, Harnizam menetapkan sasaran lebih jelas iaitu tiga pingat tanpa warna untuk skuad negara menerusi keirin wanita serta acara pecut berpasukan lelaki dan wanita.

Yusri sasar podium ATC

SEREMBAN: Selepas menerima pengalaman berharga ketika beraksi pada Siri Piala Presiden 2025 bulan lalu, pelumba kebangsaan, Muhammad Yusri Shaari kini bersedia untuk memperagakan aksi lebih mantap pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025, yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, dari 21 hingga 27 Februari ini.

Yusri yang berasal dari Perak dan berusia 26 tahun, bakal beraksi dalam acara endurance (elimination race).

Meskipun bukan pertama kali mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij ini, namun dia mahu menjadikan edisi kali ini di tempat sendiri sebagai medan untuknya mencapai impian ke podium.

“ATC 2025 adalah kali ketiga saya beraksi pada kejohanan berprestij ini selepas 2019 di Korea Selatan dan Malaysia pada 2023.

“Saingan ini bukan mudah malah dijangka lebih sengit terutama pelumba dari Jepun, namun saya sudah mempunyai sasaran tersendiri untuk berusaha mendapat tempat di podium,” kata Yusri.

Dia yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, setakat ini persiapannya sudah mencapai 80 peratus. Malah dia yakin prestasi terbaiknya akan memuncak menjelang aksi pembuka tirai cabaran pada Jumaat ini.

Menurutnya, walaupun bakal berentap dengan pelumba terbaik dari Asia, namun dia mahu menggunakan peluang sebaik mungkin beraksi di Velodrom Nasional itu untuk memperagakan aksi lebih baik berbanding kejohanan yang lalu.

“Melalui bimbingan jurulatih (Amir Mustafa Rosli) dan pengalaman menyertai dua kejohanan sama sebelum ini, saya kini lebih bersedia untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya yang meraih pingat gangsa pada Siri Piala Presiden 2025 di gelanggang sama, bulan lalu.

Bagi Yusri, dia mahu memulakan cabaran ATC 2025 ini sebagai permulaan yang baik untuknya berada sebaris dengan pelumba kebangsaan terbaik yang lain dalam usaha agar misinya tidak mahu terlepas peluang mewakili negara di pentas Sukan SEA di Bangkok, Thailand, hujung tahun ini.

Tang Jie tak puas hati permulaan musim 2025

KUALA LUMPUR: Bintang beregu campuran negara Chen Tang Jie masih belum berpuas hati dengan permulaan musim 2025 selepas gagal merangkul sebarang gelaran setakat ini.

Tang Jie berkata dia dan pasangannya Toh Ee Wei banyak mensia-siakan peluang untuk melakar kejayaan membanggakan sepanjang tiga kejohanan yang disertai biarpun menampilkan prestasi baik di gelanggang.

“Semua pertandingan pun ada peluang untuk pergi lebih jauh dan boleh jadi juara, tetapi selalu berhenti di separuh akhir atau suku akhir. Saya rasa sudah bagus tapi akhirnya masih kalah lagi.

“Macam di Terbuka India, kami main bagus tapi di separuh akhir kena tekan. Di tanah air sendiri (Terbuka Malaysia) kami memulakan permainan dengan bagus tapi kalah juga. Jadi saya rasa tak puas hati (permulaan musim),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, di sini hari ini.

Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen 2025 dengan kekalahan di separuh akhir kepada beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-19, 21-14 pada Terbuka Malaysia dan terkandas di peringkat sama apabila dikejutkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-17, 21-15 pada Terbuka India.

Penampilan ketiga mereka tahun ini pada Masters Indonesia pula terhenti di suku akhir selepas tumpas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 21-18, 20-22, 18-21.

Justeru, Tang Jie berkata tempoh rehat daripada sebarang pertandingan ketika ini digunakan dengan fokus meningkatkan aspek mental dan fizikal selain cuba memiliki variasi dari segi strategi permainan sebelum kembali berjuang di Eropah termasuk Orleans Masters di Perancis (4 hingga 9 Mac) dan Seluruh England di Birmingham (11 hingga 16 Mac).

Pemain berusia 27 tahun itu juga berharap untuk mengulangi kejayaan merangkul gelaran Orleans Masters selepas kali terakhir memenanginya pada 2023, yang juga kejayaan sulung mereka pada kejohanan Jelajah Dunia.

Mengenai cabaran di Seluruh England, pemain kelahiran Perak itu berharap dapat memberikan persembahan lebih baik tahun ini selepas masih belum berjaya menjejakkan kaki sekurang-kurangnya ke suku akhir sejak membuat penampilan sulung pada kejohanan badminton tertua dunia pada 2023.

Sementara itu, dia tidak berkecil hati dengan mana-mana kritikan peminat badminton tempatan di media sosial terhadap prestasinya dan masih boleh menerima teguran daripada mereka selagi tidak menyentuh hal peribadi.

“Saya hormati dan hargai komen mereka sebab kadangkala ada positif dan ada negatif tapi saya terima sahaja.

“Saya tidak marah cuma rasa mungkin saya ada buat silap ke apa, namun akan cuba bangkit lagi dan apa yang boleh dijanjikan saya akan beri yang terbaik,” katanya. – BERNAMA

Pelumba bertaraf dunia gegar ACC 2025

Nilai: Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang akan membuka tirainya bermula 21 Februari ini menjanjikan saingan sengit apabila lebih 300 pelumba bertaraf dunia daripada beberapa negara Asia akan mengambil bahagian.

Selepas berjaya menobatkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai status legenda Asia pada penganjuran kejohanan sama pada 2023, kini tiba masanya pelumba kebangsaan yang lain seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta beberapa pelumba, untuk memperagakan aksi terbaik menjulang nama negara.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh ternyata menaruh harapan tinggi terhadap pelumba kebangsaan untuk memperagakan aksi terbaik dengan meraih pencapaian membanggakan.

“Setakat ini ada lebih 300 pelumba akan ambil bahagian termasuk pelumba para. Ada pasukan besar dari Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Arab Saudi, Kazakhstan, Hong Kong, dan Iran.

“Jadi, saya yakin kejohanan ini mempunyai statusnya yang tersediri dan apa yang penting untuk kita memberi peluang kepada setiap pelumba negara ini bertanding dalam satu kejohanan besar bertaraf dunia.

“Ini adalah titik permulaan bagi kita untuk menonjolkan kejohanan kita, yang dijangka mampu menarik perhatian lebih 50 negara di Asia Pasifik,” katanya kepada media di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, walaupun Azizulhasni yang bergelar ‘The Pocket Rocketman’ tidak lagi menyertai kejohanan berprestij itu, namun beliau sentiasa memberikan rangsangan kepada pelumba kebangsaan lain.

“Walaupun beliau (Azizulhasni) tidak mengambil bahagian tapi beliau sentiasa tampil memberikan perhatian untuk melihat pelumba lain seperti Shah Firdaus dan Nurul Izzah serta atlet baharu tunjukkan bakat dan prestasi cemerlang mereka,” katanya.

Hannah jumpa Azizulhasni bincang hala tuju karier

Hulu Selangor: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijadual akan mengadakan pertemuan dengan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini dengan jangkaan membincangkan masa depan serta hala tuju karier bekas juara dunia keirin berkenaan.

Hannah berkata pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu telah bertemu dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini dan beliau sendiri pernah berbincang secara ringkas dengan pelumba itu sewaktu di Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyatakan beliau memerlukan ruang untuk berfikir dan bertenang.

“Saya tidak pasti apa yang akan dibincangkan hari ini, tetapi saya datang dengan hati terbuka kerana beliau adalah seorang atlet yang telah banyak menyumbang kepada negara.

Disember lalu, atlet berusia 37 tahun itu dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Hannah sebelum memberi kata putus berhubung masa depannya.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni mengesahkan bahawa dirinya tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dari 21 hingga 27 Februari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kembali berkayuh, tetapi masih belum menetapkan tempoh masa untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Hannah berkata terdapat 120 belia berisiko yang diberikan latihan kemahiran di sini, namun kurang pendedahan kepada aktiviti sukan.

“Oleh sebab itu, MSN telah masuk hari ini bersama jurulatih (NHDP) Program Pembangunan Hoki Negara dan jurulatih olahraga untuk mencungkil bakat mereka dan ini akan dibuat secara berkala.

“Keduanya, saya telah peruntukan RM50,000 daripada peruntukan menteri khas untuk kegunaan pembangunan sukan di MySkills Foundation,” kata beliau.

Beliau berkata pihaknya juga akan meminta bantuan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selaku Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) untuk membantu belia di sini dari aspek program kekuatan dan pelaziman.

Majlis Sukan Negara Malaysia