Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia juara ragbi 7s Sekolah Asia

Kuala Lumpur: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) remaja negara mengharungi detik mendebarkan sebelum menewaskan Singapura 31-26 pada aksi final untuk muncul juara Kejohanan Ragbi 7s Sekolah Asia di Hong Kong, hari ini.

Aksi di Padang King’s Park Sports Ground itu terikat selepas tamat masa permainan, memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Penentuan berakhir dramatik apabila Anas Nizam muncul wira negara selepas melakukan ‘try’ yang menghadiahkan kejuaraan sulung buat Malaysia dalam sejarah penyertaan di kejohanan itu.

Malaysia sebelum itu menundukkan Thailand 24-5 di separuh akhir, selain menewaskan Kazakhstan 40-5 dan China 29-15 untuk menjuarai Kumpulan B.

Ketua jurulatih, Nazeer Nesharah menyifatkan kemenangan itu sebagai detik membanggakan buat seluruh pasukan.

“Pemain menunjukkan kerjasama yang sangat baik dan memberikan segalanya di padang. Saya amat berpuas hati dengan persembahan mereka.

“Saya percaya pemain ini mampu melangkah lebih jauh jika terus dibimbing dan diberikan persiapan rapi untuk bersaing dengan pasukan yang lebih kuat,” katanya.

Untuk saingan kali ini, Nazeer memanggil pemain dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

Kejohanan edisi keempat itu lazimnya dianjurkan setiap tiga tahun sekali namun tertangguh selepas pandemik COVID-19.

Pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini adalah naib juara pada edisi 2019 di Johor, tewas kepada Hong Kong di final.

Azeem menang emas di India

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menutup kempen di Terbuka India 2025 dengan bergaya apabila merangkul pingat emas acara 100 meter (m) di Stadium Kalinga, hari ini.

Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s), tidak berdepan masalah untuk menakluk pentas dengan mencatat masa 10.35s, sekali gus menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Chamod M Yodhasing dari Sri Lanka yang meraih perak dengan 10.43s.

Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi wakil negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang merekodkan 10.50s.

Catatan itu menyamai masa direkodkan Azeem ketika menduduki tempat keempat di Kejohanan Universiti Dunia di Jerman, baru-baru ini.

Bagaimanapun, masa yang dilakar hari ini masih jauh daripada rekod peribadinya 10.20s yang dilakukan pada Kejohanan NCAA di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat, Mei lalu dan juga seterus utamanya dari Thailand, Puripol Boonson yang konsisten mencatatkan masa sekitar 10.20s.

Sementara itu pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang turut layak ke pentas akhir 100m tidak memulakan aksi (DNS).

Hong Kong musnah impian skuad ragbi B-20

Kuala Lumpur: Harapan skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara Bawah 20 Tahun (B-20) mara ke final Kejohanan Ragbi Asia 7s B-20 2025 tidak kesampaian selepas tewas 5-33 kepada Hong Kong pada aksi separuh akhir di Bihar, India, hari ini.

Pasukan bimbingan Syed Shazril Syed Mahadzir terpaksa akur dengan kehebatan Hong Kong yang lebih menguasai permainan apabila meraih 33 mata, berbanding skuad negara yang hanya mampu mengutip lima mata menerusi try tunggal dilakukan Luqmanul Hakim Ramli.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan menentang China bagi perebutan tempat ketiga.

“Sudah tentu kami kecewa gagal ke final dan mengekalkan rekod tanpa kalah. Lawan Hong Kong, kami kurang tajam melaksanakan pelan permainan serta terikut rentak mereka.

“Pemain sedar kelemahan dan akan berusaha memastikan tempat ketiga milik negara,” kata pengurus pasukan Dr Muhammad Hazwan Khair dalam kenyataan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Pada edisi 2023 di Kathmandu, Nepal, skuad negara menamatkan saingan selaku naib juara.

Aaron gesa beregu muda galas misi Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia mencadangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan gandingan muda negara untuk beraksi di temasya Sukan SEA, Thailand hujung tahun ini.

Jelas Aaron ia jalan terbaik untuk barisan pemain muda negara seperti Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menimba pengalaman dan membuktikan kemampuan mereka beraksi di pentas berprestij itu.

“Kita ada ramai pemain muda bagus. Baik untuk mereka rasai pengalaman. Ini juga peluang terbaik untuk mereka bawa pulang pingat.

“Macam Arif-Roy King mereka baru menang, Hon Jian-Haikal pun bagus. Macam saya sudah rasa menang,” kata Aaron yang pernah memenangi pingat emas bersama Soh Wooi Yik di Sukan SEA 2019 di Filipina.

Hujung tahun lalu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan badan induk itu merancang menghantar barisan terbaik ke Thailand selepas BAM sebelum ini mempertaruhkan barisan pemain muda dalam dua edisi terakhir Sukan SEA iaitu di Vietnam 2022 dan Kemboja 2023.

Kali terakhir skuad badminton negara meraih pingat emas adalah di Vietnam menerusi beregu campuran Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Pada edisi Kemboja dua tahun lalu, Malaysia membawa pulang dua perak menerusi acara berpasukan dan beregu campuran Yap Roy King-Chen Su Yin, selain empat gangsa yang disumbangkan Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang (perseorangan lelaki), Lee Xin Jie-Low Yee Yuan serta Cheng Su Hui-Su Yin (beregu wanita).

Namun dua beregu muda negara menunjukkan peningkatan prestasi membanggakan apabila minggu lalu, Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-22 dunia meraih gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Terbuka Macau 2025, menumbangkan pilihan utama Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18 di pentas final.

Sementara itu, pasangan ranking ke-43 dunia, Hon Jian-Muhammad Haikal yang bergelut dengan kecederaan musim ini, pernah meraih tiga gelaran iaitu Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India pada 2023, selain Masters Orleans di Perancis tahun lalu.

Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Mitsuki raih gelaran kedua

Kuala Lumpur: Pemain tenis muda berbakat, Mitsuki Leong merangkul gelaran beregu ITF pertamanya sejak beralih ke saingan senior di Kazakhstan, semalam.

Bergandingan dengan pemain Czech, Dominik Palan, pasangan itu menewaskan beregu Uzbekistan, Damir Abdusamadov-Amir Milushev 6-0, 6-2 pada aksi final untuk meraih gelaran (M15) di Astana.

Terdahulu, Mitsuki-Palan menewaskan Aleksandr Lobanov (Rusia)-Grigoriy Lomakin (Uzbekistan) 7-6 (9-7), 6-3 di separuh akhir dan menyingkirkan Alexey Aleschev (Rusia)-Adrian Arcon (Australia) 6-3, 6-1 di suku akhir.

Ia gelaran kedua dalam kerjaya Mitsuki selepas menjuarai acara perseorangan di Nakhon Si Thammarat (M15), Thailand pada 2023.

Mitsuki, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 6 Ogos lalu, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas menjulang trofi berkenaan.

“Saya tidak pernah bergandingan dengan pemain ini sebelum ini dan sejujurnya, saya tidak menjangkakan kami mampu menjuarai gelaran ini.

“Tetapi kami serasi di gelanggang dan berjaya melangkah hingga ke perlawanan akhir.

“Perasaan ini sangat hebat kerana berjaya memenangi gelaran beregu pertama saya. Saya bekerja keras untuk meningkatkan permainan saya dalam tempoh enam bulan lalu.

“Saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi pada kejohanan-kejohanan seterusnya,” kata Mitsuki.

Mitsuki menjadi pemain Malaysia pertama sejak Christian Didier Chin memenangi gelaran beregu ITF. Christian, yang bergandingan dengan Ng Hao Yuan dari Singapura, menjuarai saingan di Singapura (M15) pada 2019.

Anak kelahiran Ipoh itu turut mara ke suku akhir perseorangan di Astana sebelum tewas kepada pilihan kedua dari Rusia, Petr Bar Biryukov 7-5, 6-4.

Mitsuki, yang mendapat sokongan daripada KLKCare, WEIL Hotel, HTM Pharmacy dan Sanctband Global, bakal beraksi pada beberapa kejohanan Jelajah Cabaran ATP di Greece dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Sejarah tercipta, Li Tian dinobat Grandmaster catur pertama Malaysia

Kuala Lumpur: Buat julung kalinya dalam sejarah negara, Malaysia akhirnya boleh berbangga apabila melahirkan Grandmaster (GM) pertama dalam sukan catur gelaran tertinggi yang dianugerahkan oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Yeoh Li Tian, 25, anak jati Petaling Jaya, secara rasmi menerima gelaran berprestij itu selepas meraih norma ketiga dan melepasi penarafan 2500 dalam ranking FIDE, susulan kejayaan menjuarai Kejohanan Jemputan Catur GM-IM 2025 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Pengiktirafan itu menjadikan Li Tian sebahagian daripada kelompok elit kurang 2,000 Grandmaster di seluruh dunia, dan menjadi satu penghormatan sepanjang hayat dalam dunia catur.

Li Tian yang mula bermain catur seawal usia tiga tahun mengakui bahawa perjalanan untuk mencapai tahap ini bukan mudah dan menuntut pengorbanan besar.

“Saya selalu beritahu orang bahawa saya tiada zaman kanak-kanak. Itu mungkin pengorbanan terbesar saya. Sejak kecil, malah semasa di sekolah rendah, saya pergi sekolah, balik, buat kerja rumah dan terus fokus kepada catur,” katanya.

Mengulas kejayaan meraih gelaran GM di tanah air sendiri, Li Tian menyifatkan ia sebagai momen paling bermakna, selepas hampir mencapai sasaran itu pada Sukan SEA 2022 di Hanoi.

“Saya rasa sangat lega dan gembira kerana berjaya melengkapkan norma terakhir di Malaysia. Saya harap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain tempatan untuk terus bermain catur,” katanya.

Mengintai ke hadapan, Li Tian masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya, namun memberi bayangan akan menyertai Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.

“Persekutuan Catur Malaysia (MCF) sudah pun menghubungi saya berkenaan Sukan SEA. Saya rasa peluang untuk saya bermain kali ini sangat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCF Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menyifatkan pencapaian Li Tian sebagai satu detik bersejarah dalam arena catur negara.

Katanya, MCF kini lebih bersemangat untuk melahirkan lebih ramai Grandmaster tempatan dalam usaha memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan itu di peringkat nasional.

“Saya rasa pencapaian ini adalah satu perkembangan yang sihat buat sukan catur di Malaysia.

“Kita tidak mahu ia terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya kita mahu lebih ramai GM dari Malaysia sebagaimana yang dilakukan negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina,” katanya.

Remaja negara gegar Doha, boling Malaysia terus digeruni

Kuala Lumpur: Kejayaan skuad remaja negara meraih tujuh pingat emas, satu perak dan lima gangsa pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, menjadi petanda bahawa masa depan sukan berkenaan berada di landasan tepat.

Lebih manis, Malaysia muncul juara keseluruhan kejohanan sekali gus membuktikan kesinambungan bakat masih kukuh, selain mengukuhkan status sebagai kuasa besar Asia dan dunia dalam sukan itu.

Pengurus pasukan yang juga Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok menyifatkan pencapaian di Doha adalah hasil pembangunan akar umbi yang tersusun dan sistem yang terus berkembang secara positif.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka. Jurulatih Azidi Ameran dan Alex Liew memainkan peranan besar dalam memastikan pemain kekal fokus sepanjang kejohanan, sesuatu yang bukan mudah,” katanya.

Menurut Maradona, skuad kali ini membabitkan gabungan pemain pelapis kebangsaan dan atlet negeri memandangkan bilangan pemain bawah 18 tahun dalam skuad sedia ada tidak mencukupi, terutama bagi kategori lelaki.

“Kejohanan ini membenarkan setiap negara menghantar lapan pemain lelaki dan lapan perempuan untuk membentuk Pasukan A dan B. Jadi kami ambil peluang ini untuk memberi pendedahan kepada seramai mungkin pemain dari pelbagai negeri,” katanya.

Skuad wanita Pasukan A yang sepenuhnya terdiri daripada pemain skuad remaja kebangsaan, mempamerkan aksi cemerlang dengan bintang utama, Qurratu’ain Izdihar Pozi menyapu bersih lima pingat emas yang dipertandingkan.

Pasukan B yang diwakili sepenuhnya oleh pemain negeri turut cemerlang apabila menyumbang gangsa berpasukan.

Dalam kategori lelaki, Pasukan A hanya dibarisi dua pemain pelapis kebangsaan namun anak jati Pulau Pinang, Muhammad Aqil Faizal menyerlah apabila menggondol dua emas dalam acara berpasukan dan Masters serta dua gangsa dalam acara individu dan All Events.

Pasukan B turut menyinar menerusi gandingan Muhammad Affan Azmi dan Kho Yek Zhen yang meraih gangsa dalam acara beregu.

“Kejayaan ini membuktikan sekali lagi bahawa kita memiliki sistem pembangunan akar umbi bertaraf dunia dan program yang mampan,” kata Maradona.

“Elemen utama adalah Liga Remaja Kebangsaan yang kukuh hasil kerjasama dengan semua pemegang taruh. Pusingan terbaru di Perak menyaksikan penyertaan seramai 956 pemain.

“Pemain negeri yang terpilih ke Doha adalah antara yang terbaik daripada Liga Remaja. Mereka melalui sesi pemilihan roll off yang kompetitif bagi mendapatkan tempat dalam skuad.”

Gabungan pemain pelapis kebangsaan dan bintang muda negeri ini jelas memberi sinar harapan baharu kepada skuad boling negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa utama di peringkat Asia.

Jimmy-Pei Jing gagal sempurnakan misi di Macau

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing terpaksa akur sekadar muncul naib juara pada saingan Terbuka Macau yang melabuhkan tirai di East Asian Games Dome, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-127 dunia itu gagal menyekat kemaraan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje apabila tumpas 13-21, 16-21 dalam aksi final yang berlangsung kurang dari sejam.

Kekalahan itu hadir sehari selepas mereka mencipta sensasi menyingkirkan pilihan keenam dari Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah di separuh akhir.

Bagaimanapun, semangat juang yang ditampilkan tetap membanggakan apabila mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$14,060 (RM60,141) dan pingat selaku naib juara.

Lawan dari Denmark pula meraih AS$29,230 (RM125,031) serta pingat kemenangan.

Ini adalah gelaran naib juara keempat buat Jimmy-Pei Jing tahun ini selepas muncul finalis di Cabaran Antarabangsa Vietnam, Siri Antarabangsa Phuket dan Terbuka St Denis Reunion.

Permainan kedua, ketiga bunuh momentum SRG – Arcadia

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Red Giants OG Esports (SRG.OG), Michael Angelo Bocado mengakui kehilangan momentum selepas aksi permainan kedua dan ketiga menjadi titik tolak kekalahan pasukannya kepada Team Liquid PH (TLPH) dalam final Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2025 Piala Pertengahan Musim (MSC).

SRG.OG yang memulakan aksi dengan garang apabila memenangi permainan pertama, akhirnya akur bergelar naib juara selepas tewas 1-4 dalam pertarungan epik di Riyadh.

“Pada permainan pertama, kami bermain dengan sangat baik, segala perancangan, ‘draft’ dan gerakan kami menjadi. Tapi selepas itu, bermula permainan kedua dan ketiga, walaupun kami mendahului, kami gagal kekalkan rentak.

“Dua permainan itu sebenarnya kami sudah ada tempo, tapi gagal tamatkan dengan kemenangan. Dari situ, moral dan keyakinan pemain mula terjejas,” katanya.

Menurut Bocado atau dikenali sebagai ‘Arcadia’, permainan ketiga menjadi titik kritikal yang mengubah keseluruhan hala tuju perlawanan.

“Permainan ketiga adalah detik paling kritikal. Kami sudah kuasai permainan, tapi tetap gagal menang. Dari situ, pihak lawan mula ambil alih dan kami pula makin hilang arah.”

Mengulas kejutan taktikal pasukan lawan, Bocado menyatakan keputusan TLPH memberi keutamaan kepada hero Gloo dalam permainan kelima memberi kejutan besar kepada anak buahnya.

“Pilihan mereka letak keutamaan pada Gloo sangat di luar jangkaan. Ia bukan ‘pick’ biasa dalam situasi sebegitu. Tapi mereka berjaya manfaatkan dengan sangat baik.”

SRG.OG tetap pulang dengan reputasi meningkat selepas layak ke final buat kali pertama, namun persoalan kini mula timbul tentang masa depan Bocado bersama pasukan Malaysia itu.

Ketika ditanya sama ada dia akan terus kekal, Bocado hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.

SRG.OG membariskan pemain terbaik mereka yang diketuai Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), dan John Vincent Banal (Innocent).

Selaku naib juara MSC 2025, SRG.OG tetap boleh tersenyum lebar apabila membawa pulang hadiah wang tunai melebihi RM2.1 juta daripada kejohanan itu, selain berjaya mencipta sejarah baharu di MSC apabila menjadi pasukan pertama yang layak ke Grand Final dua tahun berturut-turut sejak kejohanan ini dimulakan pada 2017.

Arif-Roy King juara Terbuka Macau, bawa pulang RM125,031

Kuala Lumpur: Biarpun diganggu dengan masalah air menitik di dalam gelanggang dan proses mengelap lantai yang tidak berkesudahan ia tak mampu menghalang beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King untuk muncul juara Terbuka Macau.

Aksi yang sepatutnya berlangsung lebih sengit seolah-olah diselang-seli dengan sukan ‘curling’ sebelum Arif-Junaidi menoktahkan kemenangan straight set 22-20, 21-18 ke atas wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di Macao East Asian Games Dome.

Kemenangan itu juga membolehkan pasangan 23 dunia itu meraih kejuaraan sulung Jelajah dunia dan membalas dendam ke atas Gutama-Pahlevi yang mengalahkan mereka dalam final Masters Sepanyol tahun lalu.

Kemenangan Arif-Roy King membolehkan mereka membawa pulang wang tunai AS$29,230 (RM125,031), manakala, Gutama-Pahlevi yang menghuni ranking kelapan dunia meraih AS$14,060 (RM60,141).

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tidak mampu untuk mencipta kejutan ketika berdepan Alwi Farhan juga dari Indonesia.

Justin yang beraksi buat kali pertama dalam final Jelajah Dunia, terpaksa akur apabila kalah straight set 15-21, 5-21 ketika perlawanan berlangsung kurang daripada sejam.

Dia yang berada di ranking 45 dunia harus akui dengan kehebatan pilihan kelima kejohanan itu terutama di set kedua selepas semuanya serba tidak menjadi.

Alwi yang juga pemain ranking ke-25 dunia ternyata berada di kelas tersendiri dan mengukuhkan reputasi selaku bekas juara remaja dunia 2023.

Juara Masters Indonesia 2024 itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$27,750 (RM118,700), manakala Justin berpuas hati dengan AS$14,060 (RM60,141).