Majlis Sukan Negara Malaysia
ACC 2025: Aisyah kutip perak kedua

Nilai: Pelumba wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengutip pingat perak kedua pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 selepas menamatkan saingan perlumbaan mata elit di tempat kedua, hari ini.

Aisyah yang membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik Paris tahun lalu dalam acara berbasikal lebuh raya, mengumpul 20 mata pada saingan dengan jarak 25 kilometer (km) yang berlangsung di Velodrom Nasional.

Dia tewas kepada pelumba Jepun, Maho Kakita yang mengutip 44 mata manakala pelumba Uzbekistan, Nafosat Kozieva meraih gangsa selepas meraih 19 mata.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya meraih pingat perak dalam acara ini. Saya sendiri tidak menyangka akan berada di podium kerana perlumbaan ini memang sangat mencabar kemampuan.

“Ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental kerana ada 100 pusingan selain setiap 10 pusingan ada pecutan,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Semalam, pelumba negara itu turut meraih pingat perak menerusi acara scratch elit wanita.

Sementara itu, impian Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk memenangi pingat dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa tidak kesampaian.

Catatan masa 1 minit 896 saat (s) yang dilakukan Fadhil tidak mampu untuk memberikannya kemenangan di pentas podium.

Pingat emas dimenangi pelumba Jepun, Ryuto Ichida sementara perak diraih oleh pelumba dari China, Qi Liu manakala pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi merangkul gangsa.

“Saya sudah memberikan 100 peratus dan langsung tidak rasa saya kurang dalam apa-apa aspek. Cuma, hari ini saya tewas kepada pelumba yang lebih baik,” kata Fadhil.

Fadhil akan beraksi dalam acara keirin esok dengan sasaran layak ke final.

Sawda fokus pecutan emas

Kuala Lumpur: Pelumba remaja meningkat naik, Sawda Hasbullah beralih tumpuan kepada acara pecut wanita, bermula esok dalam usaha menampilkan satu lagi kayuhan memukau di hadapan penyokong sendiri pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

Baginya, kemenangan pingat emas dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa semalam akan menaikkan semangat untuk dirinya memburu kedudukan podium sekali lagi selain berusaha menambah koleksi pingat peribadi ketiga pada kejohanan itu.

“Saya cuba menggunakan kemenangan pingat emas ini sebagai motivasi untuk perlumbaan akan datang (pecut) dan untuk pingat, saya sasar untuk dapatkan pingat dan tidak kisah warna apa pun. Janji menang,” katanya.

Terdahulu, atlet berusia 17 tahun itu mempamerkan prestasi luar biasa apabila bukan sahaja menghadiahkan pingat emas buat kem berbasikal remaja negara, malah dia juga berjaya mencipta rekod baharu Asia dengan catatan masa 1:10.818 saat (s) di pentas final.

Ia sekali gus memadam rekod lama yang dilakukan oleh wakil Taiwan, Liu Shang Ying, 1:12.722s pada sesi kelayakan di sebelah pagi.

Menurut Sawda, dirinya bergelut sedikit dalam acara itu tetapi sangat gembira selepas berjaya mempamerkan kayuhan emas di gelanggang sendiri sekali gus mengubati luka dalam acara keirin kelmarin apabila gagal menghadiahkan pingat susulan berakhir di tempat keempat.

“Semalam saya sangat kecewa kerana dapat nombor empat dan hari ini, Alhamdulillah saya dapat menggantikan kemenangan dengan lebih baik.

Dalam final ini, saya cuba yang terbaik dan tidaklah aspek 100 peratus (untuk menang) tapi saya yakin boleh lakukannya,” katanya selepas final acara itu, di sini.

Pada aksi final itu, Shang Ying meraih pingat perak (1:11.936s) sementara Harshita Jakhara dari India pula meraih gangsa (1:12.848s).

Untuk rekod, selain emas acara 1km ujian masa, Sawda turut cemerlang dalam acara pecut berpasukan wanita selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan mencatat masa 51.93 saat (s) pada aksi final pada hari pertama.

Hafiz raih trofi sulung di UAE

Kuala Lumpur: Pemain boling negara,, Muhammad Hafiz Zainuddin mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya meraih kejuaraan sulung pada Kejohanan Boling Antarbangsa Dubai ke-11 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Meskipun Hafiz turun dalam kategori terbuka, dia tetap memberikan persembahan terbaik untuk melakukan 1,744 jatuhan pin pada aksi di Pusat Boling Antarabangsa Dubai itu.

Kejuaraan itu amat bermakna kerana dia dan seorang lagi wakil negara, Muhammad Syazirol Shamsudin mengeluarkan dana sendiri bagi membolehkan mereka menyertai kejohanan itu.

“Kedua-dua atlet ini menanggung sendiri perbelanjaan mereka untuk beraksi pada kejohanan tersebut dan tidak ada atlet Malaysia yang lain selain mereka berada di sana,” kata Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok.

Dalam pertandingan itu, wakil Bahrain, Ahmed Al Mahri meraih pingat perak selepas melakukan 1,731 jatuhan pin diikuti wakil tuan rumah, Hassan Al Zaabi memenangi gangsa dengan 1,729 jatuhan pin manakala Syazirol di tempat kelima selepas melakukan 1,722 jatuhan pin.

Dengan status juara, Hafiz mendapat durian runtuh apabila membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah 50,000 AED (RM60,000) berserta trofi.

Dalam perkembangan lain, tiga atlet sandaran seperti Muhammad Rafiq Ismail, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol sedang melakukan persiapan sebelum ke Amerika Syarikat 27 Februari ini.

Ketiga-tiga atlet berkenaan akan menyertai seorang lagi atlet negara, Timmy Tan sebelum beraksi pada kejohanan Siri Boling Dunia yang berlangsung di Nevada bermula 3 hingga 22 Mac depan.

Izzah laung amaran

Kuala Lumpur: Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri melaungkan amaran awal bahawa dirinya akan turun pada acara keirin esok dalam misi menambah koleksi pingat peribadi ketiga di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

Selepas cemerlang meraih dua pingat sebelum ini, motivasi Izzah Izzati kini dilihat cukup tinggi dan sudah pasti berada di landasan terbaik untuk meneruskan momentum kayuhan pingat buat kem berbasikal negara.

Jelasnya, dia tetap akan berikan persembahan yang terbaik walaupun menyedari persaingan hebat daripada negara lain dalam perlumbaan keirin esok.

“Untuk keirin, memang saya nak cuba buat yang terbaik seperti sebelum ini sebab keirin salah satu acara pilihan saya juga. Saya nak jadi lebih berani dan berikan saingan kepada pelumba yang lain.

“Untuk pingat, tiada sasaran spesifik tetapi saya nak (dapatkan) pingat. Tiada yang mustahil dan akan berikan yang terbaik sebab saya pun sudah berlatih banyak kali. Contoh kalau ada kesilapan di keirin, saya harap lepas ini akan terus tingkatkan semangat,” katanya.

Sebelum ini, pelumba berusia 22 tahun itu berjaya meraih pingat perak pertama dalam acara pecut berpasukan pada Jumaat lalu sebelum menghadiahkan gangsa bagi acara pecut wanita semalam.

Selain itu, dirinya akan turun dalam satu lagi acara iaitu 1 kilometer ujian masa dan dirinya tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik serta cuba berusaha mendapatkan pingat.

Skuad takraw Bihar 2025 buat simulasi awal Ramadan

KETUA jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengingatkan pemain yang mengalas cabaran Piala Dunia 2025, tidak menjadikan puasa alasan untuk tidak menampilkan aksi terbaik.

Sebaliknya, Ahmad Jais yang juga bekas tekong negara mahu pemain menggandakan usaha dalam membentuk kekuatan mental dan fizikal dalam baki sesi latihan.

Jelasnya, pemilihan pemain untuk Bihar 2025 adalah berdasarkan prestasi semasa juga perancangan selepas temasya tersebut.

“Ya, kita sedia maklum selain berdepan cabaran pasukan lawan sepanjang Piala Dunia Dunia, Ramadan juga antara ujian untuk skuad negara di Bihar.

“Kita juga sedar dengan perubahan terkini dalam permainan sepak takraw selain beraksi dalam bulan Ramadan akan menguji pemain.

“Biarpun begitu, saya percaya prestasi pemain tidak menjadi masalah kerana pernah beraksi pada bulan puasa. Dan bagi tujuan itu, kita akan memanfaatkan sesi latihan dengan buat simulasi pertandingan bulan Ramadan.

“Ini bagi membolehkan pemain membiasakan lebih awal sebelum mengharungi cabaran dahaga dan lapar terutama untuk perlawanan sebelah pagi dan petang di Bihar,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, Piala Dunia dijadualkan berlangsung di Bihar, India dari 20 hingga 25 Mac depan dijangka disertai 18 pasukan.

Saingan kali ini menyaksikan skuad lelaki dan wanita negara akan menyertai acara Quadrant dan Double.

Vikneswaran pertahan jawatan presiden KLHA

Kuala Lumpur: I Vikneswaran mengekalkan jawatan sebagai presiden bagi penggal 2024-2025 Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan jawatankuasa persatuan itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MPM) di sini hari ini.

Pemilihan yang diadakan di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KLHA itu turut menyaksikan pencalonan bekas presiden Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bagi mencabar Vikneswaran dibatalkan.

Vikneswaran berkata, ia selepas dokumen pencalonan yang dihantar Megat D Shahriman tidak lengkap dan persatuan menghantar notis pembatalan pencalonan pada 23 Januari lalu.

“Keputusan itu diambil oleh Pengerusi (Datuk Michael Wong), bukan kami, kami hanya mengikut apa yang dimaklumkan kepada kami,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, pemilihan menyaksikan Joherman Amir mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden selain Datuk Rosal Azimin Ahmad, Nasrun Mustapha dan Jasbere Singh Poopindar kekal Naib Presiden.

Seorang lagi Naib Presiden baharu turut dilantik iaitu S Balakrishnan manakala Naib Presiden wanita kekal digalas Hebzibah Sudin.

Vikneswaran berkata, beliau akan memberi fokus kepada membangunkan akar umbi sukan hoki negeri.

“Kalau kita mahu lihat pasukan kebangsaan ke Sukan Olimpik kita perlu lihat bermula di akar umbi, jadi kita perlu pastikan kita buat perkara yang betul,” katanya.

Sebagai rekod, Vikneswaran bergelar presiden PHKL sejak 2022 selepas pernah memangku jawatan berkenaan dan menggantikan penyandang Megat D Shahriman.

Shah Firdaus, Izzah Izzati lengkapkan sasaran tiga pingat

Nilai: Kem berbasikal negara terus mempamerkan persembahan cemerlang apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori pecut individu bagi acara masing-masing dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

Dalam perlumbaan itu, Shah Firdaus dilihat sedikit bergelut dengan masalah kecederaan lututnya tapi tetap membuktikan dirinya antara pelumba terbaik selepas berjaya menewaskan adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom 2-0 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Biarpun hanya meraih pingat gangsa, dia tetap berpuas hati dengan pencapaian itu meskipun dia tahu sebenarnya boleh melakukan lebih baik daripada persembahan yang ditampilkan dalam acara berkenaan.

“Sebenarnya saya tidak mahu menjadikan kecederaan lutut sebagai penghalang untuk saya menampilkan aksi terbaik. Saya perlu terima keputusan ini kerana sudah menjalani latihan cukup baik dalam tempoh dua minggu untuk ACC.

“Sasaran awal pasukan saya adalah untuk ke suku akhir sahaja tetapi tidak tahu bagaimana dapat mara ke final (penentuan gangsa). Pujian juga harus diberikan kepada adik saya (Ridwan) kerana sudah melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan, di sini, hari ini.

Kemenangan itu juga menyaksikan dia mengulangi pencapaian lalu dan itu sedikit sebanyak bakal memberi semangat tambahan untuk dia tampil dalam acara keirin lelaki pada Selasa ini bagi menjelmakan sebutir lagi kilauan pingat.

Pingat emas dimenangi pelumba Jepun, Kaiya Ota yang menewaskan rakan senegara, Shinji Nakano, 2-0.

Sementara itu, Izzah Izzati berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya tahun lalu selepas menamatkan acara pecut individu wanita di tempat ketiga.

Malah dia turut berhasil menambah pungutan pingat peribadi kedua pada kejohanan itu.

Pada aksi penentuan pingat gangsa itu, atlet berusia 22 tahun itu terpaksa melakukan kebangkitan selepas tewas dalam perlumbaan pertama sebelum menang di perlumbaan kedua dan ketiga sekali gus menghadiahkan pingat gangsa untuk dirinya.

“Untuk hari ini, saya memang rasa teruja sebab tahun ini banyak pasukan menghantar pelumba utama pada kejohanan kali ini. Pelumba yang saya kalahkan tadi adalah pemenang pingat emas bagi acara pecut berpasukan Olimpik Tokyo 2020 dan saya tahu perlumbaan ini akan sangat mencabar,” katanya.

Pingat emas dimenangi pelumba Jepun, Mina Sato yang yang menewaskan wakil China, Yufang Guo, 2-0.

Jumaat lalu, Nurul Izzah membantu pasukan negara meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan wanita yang turut dibarisi Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd Farid selepas tewas kepada China pada aksi final.

Dengan meraih dua pingat gangsa itu, ia sekali gus melengkapkan sasaran awal yang diletakkan sebelum ini oleh ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Mohd Harnizam Basri iaitu mensasarkan sasaran tiga pingat tanpa mengira warna.

Ketika ini, skuad berbasikal negara sudah mengumpul lima pingat secara keseluruhan.

Sawda raih emas, pecah rekod remaja Asia

Nilai: Pelumba wanita remaja negara, Sawda Hasbullah terus mencipta nama apabila berjaya meraih emas dalam acara 1 kilometer ujian masa dengan catatan masa 1:10.818 saat (s) pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, hari ini, atlet berusia 17 tahun itu turut mencipta rekod baharu Asia dan memadam catatan lama yang dilakukan oleh pelumba dari Taiwan, Liu Shang Ying, 1:12.722s di sebelah pagi.

Menurut Sawda, dirinya bergelut sedikit dalam acara itu untuk menampilkan aksi terbaik dan dia sangat gembira selepas berjaya mempamerkan kayuhan emas di gelanggang sendiri.

Malah, kemenangan hari ini juga membolehkan dia mengubati luka dalam acara keirin semalam apabila gagal menghadiahkan pingat selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

“Sebab acara ini, kita bermula dengan kelajuan terus dan bagi saya, untuk kekalkan (momentum) sehingga habis empat pusingan itu sedikit susah kerana bagi kita akan mati langkah dari segi kelajuan itu.

“Semalam saya sangat kecewa kerana dapat nombor empat dan hari ini, Alhamdulillah saya dapatkan menggantikan kemenangan dengan lebih baik.

“Dalam final ini, saya cuba yang terbaik dan tidaklah aspek 100 peratus (untuk menang) tapi saya yakin boleh lakukannya,” katanya selepas final acara itu, di sini.

Pada aksi final itu, Shang Ying meraih pingat perak (1:11.936s) sementara Harshita Jakhara dari India pula meraih gangsa (1:12.848s).

Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Sawda mengumpul dua pingat selepas turut cemerlang dalam acara pecut berpasukan wanita remaja yang dibarisi oleh Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan dan Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas mencatat masa 51.93 saat (s) pada aksi final pada hari pertama.

Selepas ini, dia akan turun dalam acara pecut pada hari Selasa ini untuk memburu pingat ketiga.

Skuad ragbi 15s kebangsaan rangka persiapan rapi

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih baharu ragbi 15 sebelah (s) negara, Saizul Hafifi Md Noor kini menyusun beberapa langkah untuk memperkuatkan pasukan Malaysia termasuk mengadakan beberapa siri kem sebelum menentang Sri Lanka pada aksi play off Kejohanan Ragbi Asia yang berlangsung April depan.

Jelasnya, beliau akan terus memantau perkembangan pemain daripada semasa ke semasa dan akan memanggil mereka ke kem latihan bagi membentuk keserasian sebelum memilih yang terbaik.

Malah, dirinya juga akan memberi penekanan kepada beberapa aspek yang penting untuk memastikan setiap pemain berada di tahap terbaik ketika hari perlawanan itu.

“Saya akan cuba membentuk pasukan (terbaik) yang kita mula memantau daripada tahun lalu dan akan terus melihat perkembangan pemain lama dan baharu yang beraksi dalam saingan Piala Agong 2024 dan Liga Super Korporat.

“Apa yang kami rancang, kami akan adakan empat kem sebelum menentang Sri Lanka, kita akan memanggil semua pemain yang ada termasuk pemain lama dan baru. Mereka akan lalui sesi pemilihan untuk pastikan setiap orang berada di tahap terbaik.

“Dan pada tahun ini juga, kita akan lebih memberi tumpuan struktur asas pemain dan akan meningkatkan dari segi kekuatan mereka. Tahun ini, tempat latihan kita masih sama iaitu si UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris),” katanya.

Selain itu, beliau dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan terus memantau pemain naturalisasi yang beraksi di luar negara untuk memastikan mereka benar-benar berada di tahap tertinggi sebelum dipanggil ke skuad kebangsaan.

Katanya, kehadiran mereka sangat diperlukan bagi memastikan Malaysia mampu mencatatkan kemenangan ke atas Sri Lanka sekali gus berpeluang untuk kekal berada di Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier musim ini.

Waktu terbaik untuk bersara-Faizal Saari

Kuala Lumpur: Pemain berpengalaman Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari menyifatkan perlawanan akhir Piala TNB menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah antara perlawanan paling sengit untuk dirinya sekali gus masa terbaik mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan.

Bagi Faizal yang sudah 15 tahun menabur bakti buat pasukan negara bukanlah sesuatu yang mudah selepas mengharungi pelbagai cabaran bersama pemain lain dalam pelbagai kejohanan yang dilalui bersama-sama dalam tempoh itu.

Namun, selepas mengambil kira pelbagai perkara, dirinya mengambil keputusan itu dan akan membuka lembaran baharu iaitu berkecimpung dalam bidang kejurulatihan bagi menurunkan ilmu kepada generasi baharu.

“Sepanjang 12 tahun bersama THT, saya rasa final ini paling terbaik kerana begitu sengit dan mungkin rezeki THT, kita dapat gelaran treble tahun ini.

“Hari ini (semalam) sedih juga, bagi saya sepanjang 15 tahun berkhidmat untuk negara dan hari ini adalah hari persaraan. Saya pun sudah beri surat (persaraan) kepada pihak pengurusan dan selepas ini, tidak nampaklah kelibat saya dalam skuad kebangsaan.

“Saya rasa tempoh itu sangat lama kerana sudah pasti ada naik turun, ada pengalaman bersama pasukan tapi sudah tiba masa untuk saya bersara. Saya ada perancangan selepas ini iaitu mengajar kanak-kanak melalui akademi saya yang berpusat di Lembah Klang,” katanya selepas tamat aksi final Piala TNB di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, semalam.

Selain itu, pemain berusia 34 tahun itu juga memaklumkan, dia dan rakan turun dalam aksi final itu dengan satu matlamat iaitu melengkapkan kejuaraan hatrik pada musim ini meskipun dirinya mempunyai potensi untuk dinobatkan penjaring terbanyak.

“Bagi saya itu adalah nombor dua. Sasaran kita adalah tiga piala dan alhamdulillah kita peroleh dan kita dapat penjaring terbanyak. Itu kira bonus untuk saya,” katanya.

Untuk rekod, Faizal memilih untuk menggantung kayu hoki selepas mula menyertai pasukan negara pada usia 18 tahun dan sudah membuat 302 penampilan sepanjang tempoh bersama Speedy Tigers.

Terdahulu, THT melengkapkan musim yang gemilang dengan meraih kejuaraan treble musim ini selepas mengalahkan TNB 3-0 menerusi shoot out selepas kedudukan terikat 1-1 dalam aksi final Piala TNB.

Majlis Sukan Negara Malaysia