Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia dapat laluan mudah di pusingan pertama Seluruh England

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Seluruh England di Utilita Arena Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.

Berdasarkan keputusan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia selaku pemain pilihan ketujuh kejohanan dijadualkan bertemu pemain ranking ke-20 dunia dari Hong Kong Angus Ng Ka Long, yang hanya menang empat kali dalam 10 pertemuan mereka.

Zii Jia, 27, memenangi lima pertemuan terakhir menentang pencabarnya itu sejak Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, yang diadakan pada Oktober 2023.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao yang membuat penampilan sulung pada kejohanan berprestij itu bakal berdepan laluan sukar di pusingan pertama apabila diundi bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia Jonathan Christie.

Bagaimanapun, pemain ke-26 dunia itu tidak mustahil untuk mencipta kejutan ke atas Christie berdasarkan rekod pertemuan terakhir mereka sebelum ini, yang menyaksikan kemenangan memihak kepada Jun Hao.

Sementara itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah pula memperoleh laluan mudah di pusingan pertama apabila diundi bertemu Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun dari Taiwan.

Sekiranya Pearly-Thinaah berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka dijadual bertemu sama ada Yin Hui Hsu-Jhih Yun Lin dari Taiwan atau Apriyani Rahayu-Siti Fadia Sliva Ramadahanti dari Indonesia yang juga merupakan tugas mudah bagi mereka.

Dua lagi pasangan yang bakal menjadi tumpuan negara iaitu beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga berdepan tugas mudah di pusingan pertama.

Aaron-Wooi Yik yang menjadi pemain pilihan kelima kejohanan bagaimanapun perlu berhati-hati bertemu gandingan tuan rumah Ben Lane-Sean Vendy yang merupakan pemain ke-15 dunia, manakala Sze Fei-Nur Izzudin diundi bertemu Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan.

Bagi wakil beregu campuran negara yang menjadi pilihan pertama kejohanan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut menarik nafas lega apabila dijadual bertemu Dechapol Puavaranukroh-Supisara Paewsampran, manakala Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia.

Nasib baik Nor Farah tak bersara, kini nombor 1 dunia

Kuala Lumpur: Hanya tiga tahun lalu, jaguh boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah sudah berputus asa dan membulat tekad untuk berhenti daripada sukan itu.

Namun, kini dia berhak untuk berasa bangga apabila melakar sejarah selaku pemain nombor satu dunia.

Nor Farah mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencapai kedudukan tertinggi itu selepas sering kecewa terutama di pentas Sukan Malaysia (Sukma) apabila gagal meraih kemenangan sehingga mendorongnya untuk berhenti.

“Memang saya tak pernah jangkakan untuk berada di tahap sekarang sebab kalau nak ikutkan cerita, selepas Sukma 2022, memang saya sudah berputus asa untuk main sukan ini.

“Tetapi disebabkan jurulatih saya ketika itu (Ariffin Abdul Ghani) paksa untuk teruskan, saya pun teruskan.

“Matlamat utama adalah dapatkan hadiah pingat kepadanya dan Alhamdulillah, saya dapat kalungkan pingat (di Kejohanan Kebangsaan) yang bernilai kepadanya.

“Sejak itu saya mula mewakili Malaysia dan dapat bawa balik pingat untuk jurulatih. Sebab sebelum ini, setiap kali Sukma, saya tak dapat beri hadiah kemenangan pingat kepadanya,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, atlet negara berusia 24 tahun itu kini menduduki kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 683 mata manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.

Nama Nor Farah mencuri perhatian selepas dia melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Tambah Nor Farah, kejayaan muncul pemain nombor satu dunia adalah kejayaan terbesar dalam kariernya.

Justeru, kejayaan itu melonjakkan lagi semangatnya untuk mempertahankan gelaran di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Scotland, bulan depan.

“Saya letak sasaran untuk mengekalkan kejuaraan pada tahun ini selepas menang tahun lalu.

“Kalau sekiranya tak dapat kekalkan (kejuaraan), sekurang-kurangnya saya mahu membawa pulang sesuatu untuk Malaysia,” katanya.

Andre disasar raih emas hatrik lompat kijang di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar disasarkan untuk meraih emas hatrik pada temasya Sukan Sea Thailand, Disember depan.

Ini kerana, sekiranya atlet berusia 25 tahun itu mampu merealisasikannya, Malaysia bakal mencipta sejarah mendominasi acara itu buat kali keenam berturut-turut.

Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim berkata, Andre berpeluang mengikut jejak langkah bekas atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail yang melakar emas hatrik pada edisi di Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.

Andre meneruskan dominasi negara menerusi acara itu selepas merangkul emas di Hanoi 2021 serta Kemboja 2023.

“Untuk Andre sasaran kami mudah saja iaitu mahu dia kekalkan kejuaraan acara lompat kijang yang sudah kita menang selama lima edisi lalu.

“Jadi kami akan berusaha memastikan Andre menang buat kali keenam dan jika dia dapat melakukannya, Malaysia sudah dua kali meraih kemenangan hatrik, iaitu tiga menerusi Hakimi dan tiga kali daripada Andre,” katanya menerusi video dikongsikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Jelas Ahmad Firdaus, beliau mahu melihat Andre terus menguasai pentas di Asia Tenggara serta peringkat lebih tinggi selepas ini.

“Walaupun atlet seperti Andre bertubuh kecil, dia sudah buktikan yang dia mampu menjuarai saingan di peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Andre memenangi emas kali kedua berturut-turut dalam acara lompat kijang dua tahun lalu di Kemboja dengan catatan 16.06 meter (m).

Hakimi masih lagi pemegang rekod Sukan Sea kebangsaan dengan catatan 16.77m yang dilakukan ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Andre pula adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara lompat jauh dengan catatan 8.02m yang dilakukannya ketika Sukan Sea Filipina 2019.

Nor Farah kini pemain boling padang nombor satu dunia

Kuala Lumpur: Jaguh boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah terus mengharumkan nama Malaysia apabila mencipta sejarah dengan bergelar pemain nombor satu dunia hari ini.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, Nor Farah kini menduduki kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest, berada di posisi kedua selepas mengumpul 683 mata, manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.

Nama Nor Farah mencuri perhatian selepas dia berjaya melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Pemain berusia 24 tahun ini turut memberi sumbangan besar kepada skuad negara apabila membantu meraih pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.

Izzat Shameer turut menyumbang pingat perak dalam acara individu lelaki.

BAM enggan terburu-buru cari pengganti Jeffer

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan tergesa-gesa untuk mencari pengganti Jeffer Rosobin bagi menggalas tugas selaku jurulatih perseorangan wanita negara.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, apa yang penting adalah calon jurulatih itu perlu mempunyai semangat juang tinggi serta mampu bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Bagi saya, ia lebih kepada seorang jurulatih yang memahami kami adalah satu pasukan. Bukan mengenai jurulatih yang datang dan kemudian membawa haluannya sendiri. Saya ada beberapa perkara yang ingin saya pastikan iaitu barisan pemain (wanita) kami dapat tingkatkan corak permainan mereka.

“Saya lebih gemar melihat semua jurulatih berkumpul dan berbincang bersama-sama. Kemudian kita bersama-sama mencari formula terbaik untuk terus maju ke depan,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan, hari ini.

Jonassen berkata, beliau bersikap terbuka mengenai jurulatih yang akan menggantikan tempat Jeffer dan ia tidak semestinya datang dari negara asalnya, Denmark.

“Saya agak terbuka, tetapi ia perlu seseorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan di peringkat lebih tinggi dan mempunyai rekod pencapaian membanggakan.

“Tetapi bagi saya, perkara paling penting adalah seperti saya sebutkan tadi, iaitu seorang yang boleh bekerjasama dalam pasukan,” katanya.

BAM pada Jumaat lalu mengesahkan Jeffer membuat keputusan sukar untuk meninggalkan BAM selepas 16 bulan bersama badan induk itu kerana komitmen keluarganya di Jakarta, Indonesia.

Jeffer menyertai BAM pada Oktober 2023 sebagai ketua jurulatih remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum dipindahkan ke bahagian perseorangan wanita senior pada Oktober tahun lalu.

Sepanjang tempohnya sebagai ketua rurulatih remaja, Aaron Tai-Kang Khai Xing meraih pingat emas beregu lelaki di Kejohanan Remaja Dunia Oktober lalu, manakala Dania Sofea-Low Zi Yu membawa pulang perak dalam acara beregu wanita.

Ken Nee sasar pingat Olimpik untuk penerjun negara

Kuala Lumpur: Bekas penerjun negara, Yeoh Ken Nee yang dilantik sebagai pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan berkuat kuasa kelmarin sudah mempunyai perancangan tersendiri dengan sasaran utama untuk meraih pingat di temasya Olimpik.

Olimpian negara yang pernah beraksi di Olimpik Sydney 2000 dan London 2012 itu berkata, dia sedia menyambut cabaran berkenaan dan bertekad akan memberikan yang terbaik buat skuad terjun negara.

Katanya, beliau sangat gembira dan bersyukur kerana diberikan kepercayaan bagi memikul tanggungjawab berkenaan dan berpeluang kembali menabur bakti bersama pasukan kebangsaan.

“Saya sangat bersyukur dan gembira diberikan tanggungjawab ini. Ini peluang saya menabur berbakti kepada negara jadi saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan terjun.

“Sasaran sudah pasti untuk menang pingat di Olimpik selain berusaha membangunkan sukan ini di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengulas mengenai perancangannya bersama skuad terjun, Ken Nee yang sebelum ini bergelar jurulatih Wilayah Persekutuan berkata, buat ketika ini beliau akan meneruskan program yang ditinggalkan pengarah teknikal sebelum ini iaitu Byran Nikson Lomas yang memilih menjadi jurulatih di luar negara.

“Tiada sebarang perubahan setakat ini, saya akan menggunakan semula apa yang sudah dimulakan oleh Bryan untuk pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, Ken Nee yang diberikan kontrak selama dua tahun pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan terjun Wilayah Persekutuan selain salah seorang pegawai dari Asia yang menjadi juri pada Olimpik Paris 2024.

Izzah tekad pamer kayuhan cemerlang walaupun berpuasa di Turkiye

Kuala Lumpur: Ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berjanji akan menampilkan aksi cemerlang meskipun beraksi ketika berpuasa di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye pada 14 hingga 16 Mac ini.

Atlet mendapat julukan The Pocket Rocketwomen itu mengakui walaupun berpuasa bakal menjadi cabaran besar, beliau tetap menyasarkan untuk menaiki podium selain berhasrat memperbaiki pencapaian tahun lepas pada kejohanan bertaraf dunia itu.

“Sasaran saya memang hendak melakukan lebih baik daripada edisi sebelum ini dan tahun lepas, saya ke final acara keirin. Saya mahu timba pengalaman baharu dengan beraksi bersama pelumba bertaraf dunia.

“Tahun ini, hendak naik podium kalau diberi rezeki. Kejohanan (berlangsung) waktu siang dan saya berpuasa, jadi ia cabaran juga untuk saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sempena Ramadan, Nurul Izzah berkata jadual latihannya kini ditukar ke lewat petang, hampir waktu berbuka atau jika tidak, dilakukan pada awal pagi, dengan beliau menambah latihan pada waktu itu berjalan lancar.

Selain itu, Nurul Izzah juga mengubah corak pemakanan seperti melebihkan pengambilan karbohidrat bagi memastikan dirinya kekal bertenaga sepanjang latihan.

“Air pula saya minum secukupnya ketika sahur dan berbuka. Memang (perlu) minum banyak untuk mengelakkan dehidrasi selain kami turut mengambil minuman protein sebelum tidur dan juga semasa bersahur,” katanya.

Baru-baru ini, anak jati Sungai Petani, Kedah itu menyinar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 dengan merangkul dua pingat emas menerusi acara keirin dan 1 kilometer (km) ujian masa wanita serta gangsa pecut individu selain membantu Malaysia memenangi perak pecut berpasukan.

Lebih manis, atlet berusia 22 tahun itu juga memecahkan rekod Asia 1km ujian masa sebanyak dua kali dengan catatan 1:06.229 saat (s), selain memperbaharui rekod kebangsaan (48.458s) pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid.

Sarah tak sabar kembali berlatih

Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah wanita negara Nor Sarah Adi yang dalam fasa kritikal pemulihan kecederaan buku lali kanan meneruskan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) bagi merealisasikan impiannya beraksi pada Sukan Sea 2025 di Thailand.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2021 berusia 24 tahun itu berkata doktor menjangkakan beliau boleh kembali berlatih hujung bulan ini dan beraksi di pentas kompetitif seawal Mei sekiranya proses pemulihan itu berjalan lancar tanpa sebarang halangan.

“Sekarang saya sudah tiga bulan menjalani pemulihan selepas pembedahan buku lali kanan pada Disember tahun lepas. Pagi dan petang saya masih melakukan sesi rehabilitasi. Sebelum ini saya pernah cedera di tempat sama. Kesakitan itu tidak hilang dan sampai tumbuh tulang seperti spur.

“… dan dah alang-alang, doktor juga membetulkan ligamen kaki saya. Alhamdulillah, setakat ini progres sangat baik, cuma tempoh pemulihan dipanjangkan sedikit supaya saya dapat kembali ke trek dalam keadaan terbaik,” katanya.

Nor Sarah berkata, pasukan perubatan ISN memberikan tumpuan kepada pemulihan menyeluruh termasuk pengukuhan pergelangan kaki, senaman sokongan, latihan mobiliti serta rawatan mobilisasi yang perlu dilakukan secara konsisten.

Beliau berjanji akan mengikuti setiap prosedur pemulihan dengan penuh disiplin kerana tidak mahu sejarah kecederaan berulang apabila kembali beraksi nanti, malah beliau juga tidak sabar untuk berlatih semula menggunakan ‘galah kesayangannya’ yang sudah lama menunggu di trek latihan.

“Saya yakin dengan tempoh yang ada, saya boleh pulih sepenuhnya dan mendapatkan slot ke Sukan Sea 2025 pada Disember ini,” katanya penuh optimis.

Nor Sarah sebelum ini pernah berdepan dugaan besar apabila galahnya ‘hilang’ sebelum aksi final pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Nasib juga kurang menyebelahinya pada Sukan Sea 2023 apabila gagal melepasi dua lompatan awal, sekali gus pulang hampa tanpa mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2021.

Jadual latihan Natasha tidak berubah sepanjang Ramadan

Kuala Lumpur: Tiada istilah rehat buat ratu boling negara, Natasha Roslan selepas bergelar juara dunia apabila dia kini bertekad untuk memburu lebih banyak kejayaan dalam arena boling antarabangsa.

Juara dunia itu yang mengukuhkan nama sebagai pemain boling digeruni apabila menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas di Kejohanan Boling Piala Dunia Persatuan Boling Antarabangsa (IBF) Januari lalu berkata, jadual latihannya tetap padat seperti biasa biarpun di bulan Ramadan.

Katanya, latihan berlangsung setiap hari iaitu lima kali seminggu dan tiga hari akan berlangsung di gimnasium.

“Jadual latihan tetap berjalan seperti biasa dan tiada penukaran untuk program latihan di bulan ini.

“Ini kerana selepas bulan puasa ini, saya akan menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia di Sunway Pyramid dan Antarabangsa Sonic di Singapura,” kata anak jati Selangor itu.

Natasha berkata, tiada apa yang berubah dalam kehidupannya biarpun sudah berjaya menakluk dunia apabila fokusnya tetap sama dengan jadual latihan akan menjadi bertambah sibuk sekiranya ada kejohanan.

Sejak menyertai pasukan wanita kebangsaan pada 2014, Natasha menunjukkan prestasi yang luar biasa.

Dia mula mengukir nama dalam arena boling negara pada 2015 dan 2016 apabila meraih emas Masters di Kejohanan Remaja Asia dan Dunia.

Dia terus menonjol sebagai pemain utama dalam pasukan wanita Malaysia yang memenangi emas di Sukan Sea Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017, diikuti dengan kejayaan di Kejohanan Dunia di Las Vegas 2017.

Ken Nee dilantik pengarah teknikal terjun

Kuala Lumpur: Bekas penerjun negara, Yeoh Ken Nee kembali ke kem terjun negara selepas dilantik secara rasmi menjawat jawatan pengarah teknikal terjun kebangsaan yang baharu sekali gus mengesahkan spekulasi bertiup kencang beberapa minggu ini.

Ken Nee dilantik menggantikan kekosongan ditinggalkan bekas rakan sepasukannya, Bryan Nickson Lomas yang meletakkan jawatan untuk bergelar jurulatih di luar negara.

Untuk rekod Bryan memegang jawatan itu sejak Oktober 2023. Setiausaha Agung Malaysia Aquatics (MAS), Andy Low, memaklumkan Ken Nee sudah melapor diri di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil hari ini.

“Ken Nee menandatangani kontraknya hari ini dan terus melapor diri. Kami memilih beliau untuk menggantikan Bryan kerana kepakaran dan pengalaman luasnya dalam sukan ini, baik sebagai pesaing mahupun jurulatih.

“Ken Nee akan meneruskan pelan digariskan oleh Bryan dan akan melakukan penambahbaikan di mana perlu,” katanya.

Semasa tempoh Bryan sebagai pengarah teknikal, beliau membantu mewujudkan rangka kerja untuk menghidupkan semula sukan terjun Malaysia yang mengalami penurunan prestasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Nama Ken Nee bukanlah asing dalam sukan terjun dan menjadi sebahagian daripada kumpulan perintis penerjun untuk latihan sepenuh masa di bawah program Jaya ’98.

Beliau mencatatkan sejarah sebagai penerjun lelaki Malaysia pertama yang berjaya ke peringkat akhir Olimpik, menduduki tempat ke-10 dalam acara individu papan anjal 3m lelaki di Olimpik London 2012.

Selepas bersara dari terjun kompetitif, beliau beralih ke bidang kejurulatihan dan yang terbaru berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan terjun Wilayah Persekutuan (FT).

Selain daripada kejurulatihan, Ken Nee juga seorang juri bertauliah dan salah seorang daripada pegawai dari Asia yang menghakimi acara terjun di Olimpik Paris tahun lalu.

Majlis Sukan Negara Malaysia