Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron, Su Yin sah beraksi di Seluruh England

Kuala Lumpur: Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia dan pemain beregu campuran, Cheng Su Yin bersedia mengenepikan kecederaan masing-masing untuk beraksi di Seluruh England, bermula esok.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengesahkan kedua-dua pemain itu akan turun beraksi di Birmingham.

“Mereka akan bermain dan sudah bersedia untuk beraksi,” katanya.

Sebelum ini, penyertaan Aaron-Soh Wooi Yik menjadi tanda tanya selepas Aaron mengalami kecederaan bahu ketika tewas di pusingan pertama Masters Orleans di Perancis, minggu lalu.

Situasi hampir sama turut menimpa Su Yin, yang nyaris terlepas penampilan sulungnya di Seluruh England akibat kecederaan buku lali selepas tergelincir di tangga di Orleans.

Insiden itu menyebabkan dia dan Hoo Pang Ron terpaksa menarik diri daripada suku akhir menentang beregu Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Widjaja, Jumaat lalu.

Untuk Seluruh England 2025, Aaron-Wooi Yik yang juga finalis edisi lalu, akan membuka tirai kempen menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama.

Sementara itu, Pang Ron-Su Yin akan berdepan cabaran Ki Dong Ju-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.

Arif-Roy King perlu lebih berani hadapi lawan ‘elit’

Kuala Lumpur: Selepas perjalanan cemerlang di Masters Orleans, gandingan muda negara, Arif Junaidi-Yap Roy King, kini bersiap sedia untuk berdepan cabaran lebih besar di Seluruh England yang bakal membuka tirai esok hingga 16 Mac ini.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky kejayaan mara ke separuh akhir sebelum ini membuktikan Arif-Roy King semakin matang namun perlu tampil berani berdepan lawan berstatus elit.

“Dari pusingan pertama hingga suku akhir, saya puas dengan prestasi mereka. Tetapi dalam perlawanan menentang pasangan China (separuh akhir), mereka terlalu mahu bermain ‘sempurna’ dan sering memaksa pukulan hingga banyak melakukan kesilapan.

“Di Seluruh England nanti, mereka perlu lebih berani kerana tiada apa yang perlu ditakutkan,” kata Rexy yang pernah merangkul gelaran juara beregu lelaki bersama Ricky Subagja dua kali berturut-turut pada 1995 dan 1996.

Jelasnya lagi, kekalahan di separuh akhir Masters Orleans sudah dibincangkan, dan diharap ia menjadi pengajaran buat Arif-Roy King menjelang aksi di Birmingham.

Harapan kini disandarkan agar mereka mampu menampilkan permainan lebih agresif, terutama apabila berdepan pasangan-pasangan elit dunia.

Selain Arif-Roy King, beregu lelaki turut dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Hannah yakin kemarau Seluruh England berakhir

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis skuad badminton negara mampu menamatkan kemarau kejuaraan di kejohanan berprestij Seluruh England yang bermula esok hingga 16 Mac di Utilita Arena Birmingham, England.

Beliau yakin pengalaman dimiliki barisan pemain negara, sama ada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau pemain profesional, mampu memberi kelebihan buat Malaysia untuk melakar kejayaan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain kita. Kita ada barisan kepimpinan jurulatih baharu dan ramai pemain profesional yang akan ke sana untuk mewakili Malaysia.

“Saya yakin mereka hanya perlu bertenang dan lakukan yang terbaik kerana dari segi kemahiran, mereka sudah ada. Cuma perlu lebih fokus dan bertenang,” katanya selepas majlis perasmian Stadium Pickleball KWC di ibu negara, semalam.

Dalam kejohanan itu, perseorangan lelaki BAM diwakili Leong Jun Hao, manakala beregu lelaki menampilkan pasangan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Beregu wanita pula dipikul gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, sementara beregu campuran menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin membawa cabaran Malaysia.

Barisan profesional turut hadir dengan misi menggegar kejohanan dengan Lee Zii Jia mengetuai cabaran perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki mempertaruhkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Beregu campuran profesional turut diperkuatkan oleh Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai Seluruh England adalah menerusi Lee Zii Jia yang menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark empat tahun lalu.

Jun Hao, Zii Jia miliki karakter berbeza – Jonassen

KETUA jurulatih perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen, enggan membuat perbandingan antara Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia menjelang Kejohanan Seluruh England yang bermula Selasa ini.

Menurutnya, kedua-dua pemain memiliki karakter berbeza, justeru tidak adil untuk mengukur kemampuan mereka berdasarkan pencapaian masing-masing.

Jun Hao bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan berprestij itu, manakala Zii Jia pernah menjuarainya pada edisi 2021 selain meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya tidak akan membandingkan mereka. Fokus saya ialah terhadap Jun Hao, menilainya dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya,” katanya.

Sehubungan itu, jurulatih dari Denmark itu mahu Jun Hao beraksi dengan lebih tenang serta bermain secara agresif menerusi variasi pukulan bagi mengancam pihak lawan.

“Saya fikir dia mempunyai gaya permainan yang bagus. Apabila mendapat rentak yang betul, dia mula bermain secara agresif dan menunjukkan perkembangan yang baik dalam beberapa aspek permainan,” katanya.

Kejohanan Seluruh England dijadual berlangsung di Birmingham dari 12 hingga 16 Mac ini.

Pada pusingan pertama, Zii Jia dijadual berdepan Ng Ka Long dari Hong Kong, manakala Jun Hao bakal menentang pemain Indonesia, Jonatan Christie.

Syafiq optimis magis Ken Nee

ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh optimis kehadiran pengarah teknikal baharu, Yeoh Ken Nee mampu memberi impak positif buat kem terjun negara untuk lebih menyerlah pada masa akan datang.

Beliau berkata, Ken Nee memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk merupakan salah seorang juri akuatik dunia.

“Menerusi pengalaman itu, dia dapat membantu semua atlet dengan lebih praktikal.

“Malah saya harap dengan pengalaman itu, ia dapat membuatkan skuad terjun negara lebih menyinar pada kejohanan dunia,” katanya.

Renang Malaysia (MS) baru-baru ini mengumumkan Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan berkuat kuasa Isnin lalu, menggantikan Bryan Nickson Lomas yang meletakkan jawatannya pada Disember.

Setiausaha Agung MS, Andy Low berkata, bekas atlet berusia 41 tahun itu dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam kolam terjun.

Mengulas mengenai kemungkinan wujud perbezaan corak latihan antara Ken Nee dan Bryan, Syafiq berkata, tidak banyak perubahan yang dilakukan.

Malah tambah beliau, ia juga tidak memberi sebarang impak terhadap prestasi para penerjun.

“Kami di kem terjun giat menjalani latihan menjelang sesi pemilihan untuk mewakili negara pada bulan depan,” katanya.

Elmi mahu lupa episod hitam, tekad lakar nama di KPN

Kuala Lumpur: Bagi mengukuhkan kedudukan dalam skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Elmi Jumari yakin dapat membina momentum awal dengan mempamerkan aksi cemerlang di Piala Ketua Polis Negara (KPN), kejohanan kebangsaan dan Sukan Polis dan Bomba Dunia (WPFG) 2025.

Dia yang mengetuai skuad kebangsaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu, mengakui bahawa perlu menarik perhatian jurulatih negara, Yussof Nasir agar diberi peluang sekali lagi beraksi di kejohanan berprestij Asia itu dan perlu mula melakukan gerak kerja sebaik sahaja berakhir sambutan Aidilfitri.

“Selepas tidak jadi menyertai Tour Thailand yang berlangsung bulan ini, fokus saya adalah untuk beraksi cemerlang di ketiga-tiga kejohanan awal itu sebelum memikirkan mengenai perlumbaan jelajah lain yang pasti menjadi medan pemilihan ke LTdL tahun ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Elmi yang menjadi tular tahun lalu akibat kemalangan di peringkat kedua LTdL dari Arau ke Butterworth sehingga hampir menyebabkan jarinya putus dan gagal meneruskan perlumbaan, seakan mengiyakan bahawa dia masih lagi mempunyai urusan belum selesai.

“Tahun lalu amat perit buat saya selepas terbabit dalam kemalangan ngeri ketika menuju garisan penamat. Jadi kali ini saya berazam untuk kembali semula ke kejohanan berkenaan dengan syarat saya perlu mencapai keputusan cemerlang di semua kejohanan awal yang disertai.

“Sudah tentu saya mahu memburu podium di ketiga-tiga kejohanan awal itu sekali gus mendapat lampu hijau untuk kembali menyarung jersi kebangsaan dan kembali berkayuh di LTdL,” katanya yang juga seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Elmi idam untuk meraih pingat di kejohanan kebangsaan seperti yang dilakukannya pada 2021 di Melaka dan mengulangi pencapaian menaiki podium di WPFG Chengdu 2019.

Kejohanan kebangsaan bagi saingan lebuh raya akan berlangsung di Johor pada hujung Mei, manakala WPFG pula diadakan di Alabama, Amerika Syarikat (AS) dari 27 Jun hingga 6 Julai.

“Disebabkan WPFG kali ini diadakan di AS mungkin ia agak sukar buat saya untuk bersaing dengan pencabar dari Eropah, namun saya akan berikan yang terbaik dan persiapan sudah dilakukan bermula dari sekarang termasuk latihan di gimnasium serta berkayuh di sebelah malam,” kata pelumba berusia 35 tahun itu.

Strategi pukulan sempurna Wan Arif-Roy King undang padah – Rexy

Kuala Lumpur: Strategi pasangan beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King untuk menghasilkan pukulan sempurna mengundang padah apabila tersingkir di separuh akhir Masters Orleans 2025, pada Sabtu.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, langkah pasangan bukan pilihan itu menyebabkan mereka terpaksa akur tunduk kepada pilihan utama Liang Wei Keng-Wang Chang, 14-21, 13-21 pada kejohanan bertaraf Super 300 di Palais des Sports, Orleans.

“Dari pusingan pertama hingga ke suku akhir, saya berpuas hati dengan persembahan mereka tetapi ketika lawan pasangan China (Wei Keng-Wang Chang) macam terlalu mahu main sempurna dalam semua pukulan.

“Mereka (Wan Arif-Roy King) selalu dipaksa dalam setiap pukulan mereka sehingga banyak buat kesilapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kekalahan itu memusnahkan impian mereka untuk memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama, selepas sekadar naib juara Masters Sepanyol 2024 di Madrid.

Kekalahan itu juga merekodkan buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun Malaysia pulang tanpa sebarang gelaran juara di Masters Orleans.

Pada 2023, beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dinobatkan sebagai juara, manakala Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri memenangi gelaran beregu lelaki tahun lalu.

Walaupun kecewa dengan keputusan itu, Rexy berharap Wan Arif-Roy King akan bangkit semula dengan menampilkan aksi yang lebih bertenaga pada penampilan sulung di Seluruh England 2025, bermula Selasa ini hingga 16 Mac ini.

Pasangan yang menduduki ranking ke-18 dunia itu akan memulakan kempen pada kejohanan badminton tertua dunia di Utilita Arena Birmingham, Birmingham menentang Huang Di-Liu Yang dari China.

Wan Arif-Roy King bagaimanapun mempunyai kelebihan apabila menentang pasangan China itu di Birmingham selepas menang 21-16, 16-21, 21-14 dalam satu-satunya pertemuan mereka di Ruichang China Masters 2023.

Berdasarkan undian All England 2025, ada kemungkinan Wan Arif-Roy King akan menentang Wei Keng-Wang Chang sekali lagi, sekiranya kedua-dua pasangan itu mara ke pusingan kedua.

“Tiada apa yang perlu dikhuatiri pada Seluruh England, harap dapat jumpa lagi (Wei Keng-Wang Chang),” kata Rexy.

Wei Keng-Wang Chang, pilihan ketiga di Seluruh England 2025 akan menentang pemain Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Sukma: KBS perlu tetap dasar kekal sukan teras

Johor Bahru: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu menetapkan satu dasar bagi mengekalkan sukan teras yang mampu menyumbang pingat pada kejohanan antarabangsa, agar tidak digugurkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pengguguran sukan teras seperti kanu, tinju dan bola sepak oleh negeri terlibat pada Sukma dilihat akan merugikan negara dalam membangunkan sukan berpotensi dan memperkembang bakat atlet.

Beliau berkata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga perlu menekankan kepentingan dalam mengekalkan sukan teras berkenaan.

“Saya harap KBS membuat satu keputusan atau dasar supaya sukan teras di peringkat antarabangsa membabitkan atlet yang ramai, harus dikekalkan dalam Sukma.

“MSN dan MOM juga perlu menekankan mana-mana sukan teras yang dapat pingat di Sukan Sea, Sukan Komanwel dan Olimpik, perlu jadi acara tetap dan dipertandingkan dalam Sukma, jika tidak, kita akan rugi dengan bakat-bakat yang kita ada,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Agihan Sup Tulang Merah Sempena Ramadan Dewan Undangan Negeri Larkin, di sini, semalam.

Mohd Hairi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Selangor yang bercadang untuk memperkenalkan sukan pickleball pada Sukma 2026 di negeri itu yang dijangka berlangsung pada Ogos.

Beliau menyambut baik cadangan Selangor, namun berharap agar sukan teras termasuk kanu, tinju dan bola sepak serta sukan teras yang lain tidak digugurkan memandangkan telah ada perbincangan berhubung acara yang akan dipertandingkan dalam temasya berkenaan.

“Saya tahu sekarang ini trending sukan pickleball, tetapi saya bimbang ia hanya akan menjadi trend sahaja, berbanding kita ada sukan teras. Senarai sukan telah dibincang, tetapi bulan 6 akan dibincang semula sukan pilihan yang akan dimasukkan sebab saya difahamkan SUKMA 2026 pada Ogos,” katanya.

Terdahulu Mohd Hairi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Larkin mengagihkan sup tulang merah kepada penduduk kawasan berkenaan, dalam program yang dianjurkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sempena Ramadan.

Puasa bukan alasan turunkan intensiti latihan – Abd Halim

KUALA LUMPUR: Perenang para negara, Abd Halim Mohammad tidak mahu menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan menurunkan intensiti latihan terutama menjelang Kejohanan Siri Dunia Renang Para Fuji-Shizuoka 2025 di Jepun, dari 10 hingga 12 April ini.

Pemenang lima pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Para ASEAN 2023 itu berkata, sama seperti kebanyakan atlet lain, jadual latihannya diatur semula bagi menyesuaikan diri dengan waktu sahur dan berbuka di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.

“Biasanya, latihan pagi bermula pada 8.30 hingga 11 pagi, manakala sesi petang dari 4 hingga 6 petang, tetapi dalam bulan Ramadan, kami mula lebih awal selepas sahur iaitu dari 6.30 hingga 9 pagi dan sesi petang pula dialihkan ke pukul 9 hingga 11 malam setiap hari.

“Latihan memang sangat intensif kerana pada 5 April nanti, kami sepasukan akan berlepas ke Jepun. Jadi, boleh dikatakan tahun ini kami tidak sempat meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti biasa,” katanya kepada BERNAMA.

Anak kelahiran Sabah itu bakal beraksi dalam tiga acara iaitu 100 meter (m) kuak dada, 100m gaya bebas dan 50m gaya bebas, dengan fokus utama untuk memperbaiki catatan masa peribadinya sebagai persiapan menghadapi satu lagi kejohanan besar yang dijadualkan pada September ini.

“Setakat ini, saya belum pasti siapa lagi atlet yang akan bersama saya ke Jepun nanti. Yang pasti, saya perlu terus fokus dalam latihan dan memastikan persiapan berada di tahap terbaik untuk menghadapi kejohanan ini. Lagipun nanti, ada masa untuk cuba berlatih di Jepun dulu ambil mood pertandingan,” katanya.

Abd Halim bukanlah nama asing dalam arena renang setelah menerima ganjaran tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan jumlah RM62,250 hasil kemenangan pada Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja. – BERNAMA

Prestasi Arif-Roy King wajar terima pujian

Kuala Lumpur: Walaupun terkandas di separuh akhir Masters Orleans awal pagi tadi, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King setidak-tidaknya sudah membina keyakinan untuk memulakan misi lebih sukar di kejohanan berprestij Seluruh England minggu ini.

Menurut bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, pujian harus diberikan kepada pasangan nombor 18 dunia itu walaupun gagal mara ke final namun berjaya melangkah jauh berbanding gandingan lain.

“Mereka sudah mendapat keyakinan sebab bermain di kejohanan lebih rendah dengan keputusan yang memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Arif-Roy King terpaksa akur dengan kehebatan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang selepas tumpas straight set 14-21, 13-21 dan bakal berdepan pasangan dari negara sama, Huang Di-Liu Yang di pusingan pertama Seluruh England minggu depan.

Ujar James, sekarang ini Arif-Roy King sudah mampu untuk meraih keyakinan di peringkat tertinggi selepas tidak tumpas awal di Masters Orleans.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat bermain dengan baik sehingga mara ke separuh akhir. Sebagai antara pasangan muda, semakin banyak perlawanan, semakin yakin juga buat mereka untuk bermain dengan lebih baik. Saya lihat mereka juga ada menunjukkan peningkatan.

“Mereka harus bermain dengan menggunakan strategi yang betul, Seluruh England bukan kejohanan yang mudah,” katanya yang turut mengharapkan pasangan lain turut mampu melakar kejutan di kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Selain Arif-Roy King, turut beregu lelaki yang turut beraksi di kejohanan berkenaan ialah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Kali terakhir Malaysia juara dalam saingan beregu lelaki ialah melalui Koo Kien Keat-Tan Boong Heong pada 2007.

Majlis Sukan Negara Malaysia