KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari meneruskan rentak cemerlangnya apabila berjaya melangkah ke final Klasik London 2024, malam tadi.
Juara Sukan Asia 2022 itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melakar kemenangan 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 ke atas pemain nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 94 minit di Alexandra Palace London.
Kejayaan itu menyaksikan Sivasangari, pemain raking ke-16 dunia, menjadi pemain pertama Malaysia berjaya mara ke final kejohanan bertaraf Emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sejak kali terakhir Datuk Nicol David melakukannya pada tahun 2015.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Sivasangari mengatasi Gilis selepas tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini.
“Saya gembira dengan corak permainan saya hari ini selepas tewas kepada Nele dalam tiga perlawanan sebelum ini.
“Saya cuba untuk berfikir positif sepanjang perlawanan dan menjadikan kemenangan semalam (menang ke atas pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini di suku akhir) sebagai motivasi dan sentiasa percaya dengan kemampuan diri sendiri.
“Kemenangan ini cukup bermakna selepas perjalanan yang cukup panjang untuk saya. Ia sesuatu yang saya usahakan, seperti yang saya katakan tahun lepas saya mahu cuba menewaskan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia dan secara perlahan ia membuahkan hasil.
“Saya sangat gembira berjaya melangkah ke final,” kata Sivasangari kepada PSA selepas tamat perlawanan.
Kelmarin, Sivasangari mencipta kejutan apabila menjadi pemain pertama yang berada di luar kelompok 10 terbaik dunia menewaskan juara dunia tujuh kali, El Sherbini sejak tahun 2015 pada aksi suku akhir menerusi kemenangan 11-9, 11-9.
Sivasangari berpeluang untuk menumbangkan seorang lagi pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila dijadual bertemu pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Hania El Hammamy di pentas final, malam ini.
Terdahulu, Hania mara ke final selepas menundukkan rakan senegara, Nouran Gouhar 11-4, 12-10, 7-11, 11-6 dalam satu lagi aksi separuh akhir.-Berita Harian