BIARPUN sukar, namun tidak mustahil buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Penganalisis Sukan, Zakaria Rahim berkata, peluang buat Azeem masih terbuka, namun pelari berusia 20 tahun itu perlu bekerja keras berganda ketika temasya tersebut berbaki 94 hari lagi.
Beliau berkata, berdasarkan catatan terbaik Azeem pada musim ini iaitu 10.31 saat (s) agak sukar buat pelari Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) itu layak secara merit ke Paris yang menetapkan syarat 10s.
“Kenyataan yang pedih, tapi ia satu kebenaran. Namun ini tak bermakna dia tak boleh capai langsung. Cuma Azeem perlu bekerja double-time untuk mencapainya.
“Hanya kerja keras semasa latihan dengan sistem diet yang tersusun mampu membantu Azeem. Setakat ini saingan di Universiti Auburn dan pada kejohanan-kejohanan di AS banyak membantu, tapi belum mencukupi.
“Peluang masih terbuka, hanya menunggu masa mendengar khabar gembira. Layak secara merit acara 100m Sukan Olimpik sudah satu pingat emas buat Malaysia. Semoga Azeem berjaya mencapai cita-citanya,” katanya.
Azeem pada Ahad melakar rekod peribadi terbaik tahun ini apabila mencatat masa 10.31s dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan satu.
Catatan tersebut dibuat dalam Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama, AS pada Ahad.
Zakaria menjelaskan, Azeem mempunyai masa hingga 30 Jun untuk merekod catatan 10s yang berbaki lebih dua bulan menjelang temasya terbesar dunia itu.
“Untungnya apabila berada di AS, selain latihan yang lebih sistematik, di sana juga ada banyak kejohanan untuk dia berpeluang memperbaiki masa dari semasa ke semasa. Azeem perlu bekerja lebih keras lagi.
“Acara 100m lelaki pada Sukan Olimpik akan bermula pada 3 Ogos. Andai gagal layak secara merit dia masih berpeluang untuk bertanding di Paris secara wildcard.
“Namun dia kena melalui pusingan kelayakan terlebih dahulu sebelum ke saringan awal. Bagi mengelak tersingkir di peringkat kelayakan, Azeem perlu tingkatkan kemampuan sekurang-kurang konsisten melakukan di bawah 10.1s,” katanya.-Sinar Harian