IPOH: Penyerang skuad hoki negara, Muhammad Azrai Abu Kamal mencetuskan resah Jepun apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu pada aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), esok.
Perkara itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih skuad Samurai, Yoshihiro Anai yang menjangkakan pertembungan dengan juara bertahan PSAS itu pasti sukar.
“Barisan pemain kami perlu lebih bekerja keras untuk mengawal pergerakan lawan kerana Malaysia adalah pasukan yang mempunyai corak permainan pantas.
“Bagi saya, pemain nombor 23 (Azrai) sangat berbahaya kerana dia pernah menjaringkan gol ketika bertemu Pakistan dan Kanada,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan anak buahnya terikat 1-1 dengan Pakistan, hari ini.
Keputusan itu pastinya mengecewakan Jepun yang sebelum ini menewaskan Korea Selatan 2-1 dan New Zealand 4-1.
Ken Nagayoshi meletakkan Jepun di depan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-33 dan ketika skuad Samurai itu hampir pasti meraih tiga mata penuh, Waheed Ashraf Rana muncul penyelamat Pakistan apabila menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat perlawanan, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Bagi Anai, ia sememangnya keputusan yang mengecewakan kerana beliau mengharapkan barisan pemainnya dapat mencatatkan kemenangan pada perlawanan itu.
“Pakistan sememangnya bagus dalam pukulan sudut penalti dan kita memberi peluang kepada mereka untuk menyamakan kedudukan di hujung perlawanan.
“Barisan pemain sepatutnya dapat menjaringkan lebih banyak gol tetapi mereka gagal melakukannya. Pakistan adalah lawan yang sangat agresif,” katanya.
Sementara itu, naib juara edisi dua tahun lalu, Korea akhirnya melakar kemenangan pertama selepas dua kekalahan berturut-turut apabila menewaskan Kanada 1-0.
Oh Seyong yang baharu membuat penampilan kali ketiga bersama Korea, menjaringkan gol tunggal minit ke-13.-Berita Harian