Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Perak rangkul tiga emas silambam

KUCHING: Skuad silambam Perak membuka saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dengan langkah kanan apabila menyapu tiga daripada empat pingat emas ditawarkan di Hikmah Exchange Event Centre di sini.

G Aswin membawa pulang pingat emas acara kuthu aarisai lelaki (tanpa senjata) selepas mendapat markah tertinggi 8.67 mata, mengatasi T Yoganath (8.13) dari Wilayah Persekutuan untuk perak dan gangsa milik wakil Selangor, S Kahlisswaran (8.10).

Perak turut mendominasi acara wanita menerusi B Laashmita dalam acara thanithiramai (kemahiran individu) dengan mengutip 7.87 mata.

Atlet Negeri Sembilan L Kavinarasi (7.57) untuk perak dan gangsa dimenangi wakil Terengganu S Keertika (7.37).

Acara kuthu varisai wanita pula menyaksikan A Vidyasri memenangi pingat emas dengan 8.33 mata, meninggalkan M Iswari dari Terengganu yang mendapat 8.17 mata untuk perak manakala gangsa dimenangi M Harini (7.77) dari Selangor.

Perak terlepas satu lagi emas apabila H Sharvanish ketinggalan 0.3 mata di belakang pemenang pingat emas acara thanithiramai dari Selangor, M Sarveeshaa (8.10 mata) manakala S Nivess dari Wilayah Persekutuan (8.03 mata) gangsa.

Silambam kembali dipertandingkan pada temasya SUKMA selepas kali terakhir diadakan pada edisi 2013.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad petanque Sarawak lepasi sasaran

KUCHING: Pasukan petanque Sarawak melepasi sasaran tiga pingat emas pada temasya SUKMA Sarawak 2024 apabila meraih satu lagi pingat emas di Arena Petanque Sarawak di Santubong, di sini, malam ini.

Pingat emas keempat itu diperoleh menerusi beregu campuran, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom-Nur Durratul Sahira Yazit.

Mereka menewaskan gandingan Perak, Mohamad Yusman Haizad Mohamad Yusof dan Nur Zafirah Zafri 13-9 pada perlawanan akhir manakala gangsa dimenangi Selangor menerusi Muhamad Arif Irfan Zainudin-Nur Alya Farzana Rushazlir Effeny.

Bagi acara beregu lelaki, Selangor meraih pingat emas, perak dimenangi Perlis manakala Pulau Pinang membawa pulang gangsa.

Perak pula meraih pingat emas beregu wanita, Sarawak menang perak manakala Negeri Sembilan meraih gangsa.

Sementara itu Akhtar Shauqi, 17, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023 berkata, dia puas dapat menyumbang pingat emas buat Sarawak dalam penyertaan keduanya pada SUKMA.

“Pada SUKMA di Kuala Lumpur pada 2022, saya meraih pingat gangsa dan rezeki saya disenarai dalam pasukan kebangsaan selepas itu untuk saingan Sukan SEA di Kemboja.

“Memang puas dengan kemenangan ini dan saya berazam untuk terus menyumbang kepada Sarawak dalam dua edisi SUKMA akan datang,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Umar kemudi emas kuartet 4x400m lelaki Johor

KUCHING: Kehadiran pelari 400 meter negara, Umar Osman memberi impak besar buat kuartet 4x400m Johor yang memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi 2024 di Sarawak.

Umar bersama Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar, Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dan Wills Harnessy Gindal mempamerkan larian konsisten untuk merakamkan catatan terpantas 3 minit 12.35 saat pada aksi final di Stadium Sarawak di sini.

Catatan itu membolehkan mereka memadamkan rekod temasya 3:12.66s milik kuartet Melaka terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Amirul Haziq Borhan, Mohd Azam Masri dan Badrul Hisyam ketika melakukannya pada edisi 2016 juga di Sarawak.

Pingat perak acara itu dimenangi kuartet Perak dibarisi D Samuel, Muhammad Anas Muhammad Zubair Kanan, Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin dan N Kanishkann (3:12.99s) manakala gangsa diraih Sabah menerusi Aubrey Aron, Muhammad Fahami Samsudin, Edrick Feivel Florentius dan Muhammad Khalil Helmi (3:13.40).

Semalam, Umar turut membantu kuartet 4x400m campuran Johor meraih emas acara itu.

Bagi Umar, kejayaan yang dilakar setakat ini di Bumi Kenyalang membuatkan dia semakin membara bagi mempertahankan emas acara 400m esok selain turut mengintai peluang untuk meleburkan rekod temasya berusia 22 tahun milik Muhd Zaiful Zainal Abidin 47.34s yang dicipta pada edisi 2002 di Sabah.

“Sasaran utama saya adalah untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada 2022 selain cuba untuk perbaharui rekod SUKMA. Saya akan cuba yang terbaik untuk capai kedua-dua sasaran itu,” katanya.

Ditanya mengenai peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 46.09s pada temasya kali ini, Umar bagaimanapun enggan meletakkan harapan yang tinggi meskipun dirinya berada dalam keadaan terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan.

Saingan 4x400m wanita menyaksikan kuartet Terengganu muncul juara selepas merakam masa terpantas 3:54.83s diikuti Johor kedua (3:55.53s) manakala Selangor ketiga (4:01.81s).

Sementara itu, pelari Terengganu, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif memenangi emas dalam acara 110m lari berpagar dengan catatan 14.26s diikuti Muhammad Fiross Mohd Faizal dari Wilayah Persekutuan yang meraih perak (14.51s) manakala atlet Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau membawa pulang gangsa (14.57s).

Dalam saingan 100m lari berpagar wanita, emas dimenangi pelari Selangor, Lie Yee Teng dengan catatan 14.28s diikuti Nur Shaqirah Cik Mat Kilau dari Johor perak (14.87s) manakala gangsa menjadi milik atlet Perak, Farah Syakira Azifsafrin (14.97s).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pauline raih emas dalam gugup

KUCHING: Atlet Sarawak, Pauline Ului membuktikan usia muda bukan halangan untuk dia mencipta kejayaan apabila merangkul pingat emas dalam acara lempar cakera wanita di SUKMA Sarawak 2024, hari ini.

Pauline yang baru berusia 16 tahun cemerlang apabila melakukan balingan sejauh 38.50 meter sekali gus menduduki tempat pertama pada aksi final di Stadium Sarawak di sini.

Catatan itu bagaimanapun gagal untuk menyamai rekod peribadi terbaiknya 40.00m.

ADVERTISING

Pingat perak dimenangi atlet Perlis, Farhana Izurein Faizal Amizul dengan catatan 38.41m manakala atlet Selangor, Sasha Alyssa Philip membawa pulang gangsa dengan 37.62m.

“Secara jujurnya saya agak gugup kerana ini adalah SUKMA pertama yang juga kejohanan terbesar saya. Dengan keadaan cuaca hujan hari ini, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Pada masa sama, saya terlalu fokus untuk memperbaharui rekod peribadi terbaik saya.

“Sejak dari balingan pertama hingga akhir, saya berasa gugup tetapi apabila disahkan sebagai pemenang, saya sangat lega,” kata pelajar Sekolah Menengah Long Bedian di Ulu Baram itu.

Sementara itu, atlet Wilayah Persekutuan, Kristian Tung terus cemerlang apabila merekodkan emas kedua peribadinya selepas mengungguli saingan acara 1,500m lelaki dengan masa 4 minit 04.62 saat diikuti atlet Perak, Shawn Roshan Singh (4:04.94s) dan Mohamad Ahsan Atta Ur Rahman dari Sabah (4:07.54s).

Pagi tadi, Kristian yang berpangkalan di United Kingdom merangkul emas pertama selepas menjuarai saingan 10,000m lelaki.

Saingan 1,500m wanita pula menyaksikan atlet Johor, S Geetha merangkul emas (4:45.16s) diikuti Clezendra Chanda Cevester Empari dari Sarawak (4:54.29s) dan atlet Selangor, C Taarini (4:58.52s).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukma 2024 : Olahraga

Beberapa aksi menarik atlet-atlet olahraga di Stadium Sarawak, Petra Jaya hari ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukma 2024 : Menembak

Sekitar aksi 10 meter air rifle individu wanita pada 20 Ogos bertempat di Lapang Sasar Menembak, Petra Jaya.

Keputusan Akhir:

Individu

🥇– Gan Chen Jie (248.2 FGR) – NSE

🥈Nur Maisarah (245.9) – PNG

🥉– Kaira Ramadhani (220.4) – SWK

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Mikail teruskan legasi emas Jojo, Elias

BINTULU: Atlet MuayThai Sarawak, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar meneruskan legasi emas abangnya apabila menjuarai kategori 51-54 kilogram pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 hari ini.

Mikail, 16, adik kepada petarung sensasi negara Mohammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo Ghazali jelas tiada tandingan apabila menewaskan Muhammad Zulfakar Othman dari Melaka 24-14 pada aksi final di Naim Street Paragon Mall di sini.

Mikail yang membuat penampilan sulung pada temasya SUKMA menyempurnakan tugasnya untuk meraih satu daripada dua pingat emas yang disasarkan oleh Sarawak menerusi MuayThai.

Untuk rekod, skuad MuayThai Sarawak memenangi pingat emas dalam kategori 60-63.5 kg menerusi Jojo Ghazali manakala abangnya Muhammad Elias Ghazali bagi kategori 63.5kg pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.

Sukan MuayThai yang mempertandingkan sejumlah 18 pingat emas berakhir hari ini. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukma 2024: Nur Afrina si gadis ‘bionik’

KUCHING – Pelari Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal kini sah memegang status ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2024 selepas raih emas kedua dalam acara 200 meter (m) di Stadium Sarawak, sebentar tadi.

Seperti dalam saingan 100m semalam, Nur Afrina yang merakamkan catatan 23.89 saat turut meleburkan rekod kejohanan milik pelari Perak, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri yang melakukan 24.37s pada Sukma 2016.

“Seperti saya harapkam emas kedua untuk Selangor. Saya pecahkan rekod buat kali kedua.

“Saya gembira masa saya dapat, ia diluar jangkaan walaupun sebenarnya saya mampu lakukannya.

“Apa saya buat ialah fokus sebelum turun beraksi, saya pastikan saya kekal tenang dan tidak memikirkan tentang pesaing. Saya hanya melawan diri saya sendiri,” katanya.

Semalam Nur Afrina turut mencipta rekod baharu Sukma 100m selepas merekodkan 11.64s.

Tempat kedua dimenangi pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira (24.52s) dana gangsa dimenangi Ormila Octavia Codday Nyadau (24.94s).

Dalam saingan lelaki, pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan cipta kejutan untuk meraih emas ketika kemenangannya hanya dipisakan 0.004s dengan Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang berpuas hati dengN pingat perak.

Muhammad Sayyid merekodkan 21.221s manakala Pengiran Aidil Auf Hajam @ Pg Roslie memenangi gangsa (21.60s). – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Terbuka Jepun: Zii Jia terkandas di pusingan pertama

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berdepan kejutan terbesar apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Yokohama Arena itu, Zii Jia dilihat bergelut untuk mengeluarkan permainan sebenar sebelum tewas 18-21, 13-21 kepada pemain Perancis, Alex Lanier dalam tempoh 41 minit.

Zii Jia yang baru sahaja memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 berdepan kejutan apabila Lanier menampilkan permainan cukup kemas di set pertama sehingga menyebabkan aksi pemain berusia 26 tahun itu serba tidak menjadi.

Tewas di set pertama, pemain No.6 dunia itu kemudiannya cuba memperkemaskan permainan pada set berikutnya, namun Lanier mengekalkan aksi konsisten dan menguasai sebahagian besar perlawanan.

Harapan untuk kembali mengejar seolah-olah terpadam apabila Lanier mendahului permainan 19-13 sebelum dia melengkapkan kemenangan 21-13 bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Turut tersingkir di pusingan pertama adalah perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei yang terpaksa akur tewas 18-21, 10-21 kepada pilihan ketiga dari China, Wang Zhi Yi.

Sementara itu, dua beregu lelaki kebangsaan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SIRI LAWATAN KETUA KONTINJEN NEGARA KE PARALIMPIK PARIS 2024 – SUKAN PARA RENANG

KAMPUNG PANDAN – Ketua Kontinjen Negara ke Temasya Paralimpik Paris 2024 YBhg. Laksamana Pertama (B) Dato’ Subramaniam Raman Nair meneruskan siri lawatan untuk sukan Para Renang di Pusat Akuatik Kampung Pandan pagi tadi.

Pada lawatan tersebut beliau sempat bertemu dengan atlet para renang Muhammad Imaan Aiman yang bakal membawa cabaran negara dalam acara 100M Kuak Lentang (S14).

Seorang lagi perenang negara ialah Muhammad Nur Syaiful Zulkafli yg bakal bertanding dalam acara 4 jenis acara 50m, 100m dan 200m Gaya Bebas serta 100m Kuak Dada (S5/SB4).

Sukan Para Renang bakal berlangsung di Paris La Defense Arena bermula 29 Ogos hingga 7 September 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia