Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Kedah Dan Perlis serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-
NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/020/2024 (SP) TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN MENGURUSKAN PEMBELIAN TIKET FERI DAN TEMPAT LETAK KERETA DI KUALA KEDAH DAN KUALA PERLIS BAGI PENGANJURAN LTDL 2024 TARIKH BUKA : 26 OGOS 2024 (ISNIN) TARIKH TUTUP : 2 SEPTEMBER 2024 (ISNIN) SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI
Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)
Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.
Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :
Lobi Aras 1 (Belakang)
Bangunan Pentadbiran
Majlis Sukan Negara Malaysia
Kompleks Sukan Negara
57000 Bukit Jalil
Kuala Lumpur
Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.
Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066 En. Mohd Fairul Fadzli Ahmad Muzni (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929012
PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) menyifatkan pencarian Aniq Kasdan 2.0 masih jauh berdasarkan pencapaian diraih barisan atlet pelapis pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang melabuh tirai pada Sabtu.
Malah Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat menegaskan prestasi angkatan secara keseluruhan ditampilkan atlet pelapis yang mewakili negeri masing-masing masih berada pada tahap biasa.
“Jadi jika ditanya saya untuk melahirkan Aniq Kasdan 2.0 dari Sukma 2024 untuk saingan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, jawapannya masih jauh lagi.
“Ini kerana kita lihat secara keseluruhan angkatan yang ditampilkan atlet-atlet pelapis angkat berat yang mewakili negeri-negeri masih di bawah keupayaan sebenar sama ada berat angkatan menurun atau gagal raih emas.
“Apapun saya masih menunggu laporan penuh setiap kategori daripada setiausaha sebelum kita nilai semula prestasi mereka ini sama ada perlu bersaing dalam kategori lain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Pada masa sama Ayub mengakui terdapat beberapa atlet sukan tersebut yang menyerlah di temasya dwi tahunan berkenaan yang perlu konsisten diberikan latihan mencukupi secara berterusan.
“Sukma 2024 kali ini kita lihat ramai atlet muda berusia sekitar 15 tahun ke atas yang perlu terus diberi ruang untuk mengembangkan lagi potensi mereka.
“Ada juga beberapa atlet Sukma 2024 yang berpotensi diketengahkan untuk mewakili skuad kebangsaan. PABM akan hantar surat kepada mereka ini, namun sama ada mereka menerima atau menolak semuanya bergantung kepada atlet.
“Saya tegaskan di sini, panggilan menyertai pasukan kebangsaan ini merupakan khidmat seseorang itu dalam membawa nama Malaysia, yang tiada syarat-syarat tertentu,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, Sukma 2024, atlet Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin antara paling menonjol apabila memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali Kategori 81 kilogram (kg) lelaki.
Hafizuddin yang berusia 20 tahun melakukan angkatan snatch 141kg, mengatasi rekod milik Nasir Roslan 140kg semasa Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan pada 2021, sebelum melakukan dua lagi angkatan yang memadam rekodnya, 146kg dan terbaru 151kg.
Muhammad Hafizuddin kemudian melakukan angkatan pertama Kategori Clean and Jerk 165kg, memecah rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 316kg untuk memadam rekod lama Nasir (315kg).
Seterusnya, Muhammad Hafizuddin memecah rekod kebangsaan Kategori Clean and Jerk pada angkatan kedua dengan 176kg sebelum memperbaharui rekod sendiri dengan angkatan 181kg menjadikan keseluruhannya 332kg.
Qistina Qharisya Suffia antara atlet angkat berat wanita menyerlah dalam temasya Sukma Sarawak 2024 yang berakhir Sabtu lalu. Foto Bernama
Kategori wanita 45kg pula menyerlahkan potensi atlet Perak, Qharisya Suffia Mohd Muzani apabila rekod kebangsaan baharu Kategori Snatch dengan angkatan 65kg, Kategori Clean and Jerk (79kg) dengan angkatan keseluruhan 144kg.-Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Satu perbincangan bersama barisan kejurulatihan dan pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pelan jangka panjang skuad kebangsaan.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bakal meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional bermula 1 September ini.
“Buat masa ini, ramai jurulatih yang berada di luar untuk Terbuka Jepun dan Korea.
“Sebaik mereka pulang, kita akan adakan pertemuan bersama (pemangku) presiden.
“Datuk Subramaniam sudah meminta saya serta jurulatih untuk membincangkan pelan 2028 (Olimpik Los Angeles). Tetapi sebelum itu, kita ada Sukan SEA, kami juga perlu bincangkan mengenai pemain yang bukannya kita hantar untuk peroleh pengalaman semata-mata tetapi mampu membawa pulang pingat.
“Bukan seperti sebelum ini yang kita dikejutkan Filipina, selepas itu kita ada Sukan Komanwel dan Sukan Asia dan terakhir sekali Olimpik. Buat masa ini, kita boleh lihat semua pemain atau beregu berkemampuan di beregu lelaki.
“Lima termasuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik… dan (beregu lain) boleh mencabar untuk Aaron-Wooi Yik bagi 2028 nanti,” kata Rexy.
Semalam, BAM mengesahkan Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bakal meninggalkan kem kebangsaan dan bergerak secara profesional bermula 1 September ini.-Berita Harian
KEJAYAAN tuan rumah menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang mendapat pujian sebagai antara terbaik dalam sejarah temasya itu sejak 38 tahun lepas, membuktikan Sarawak layak menjadi penganjur kejohanan bertaraf antarabangsa.
Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan bersetuju Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Penganjuran Sukma 2024 yang berjalan lancar tanpa insiden besar serta upacara perasmian dan penutupan yang gilang gemilang turut menunjukkan kemampuan Bumi Kenyalang untuk menjayakan temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sukma 2024, Datuk Hii Chang Kee berkata, temasya Sukma menjadi platform terbaik bagi kesemua 25 jawatankuasa terlibat untuk mendapatkan kepakaran dan pengalaman bagi penganjuran acara lebih besar pada masa hadapan termasuk Sukan SEA.
“Kami gembira dan berpuas hati dengan penganjuran keseluruhan Sukma. Segalanya berjalan lancar sejak hari pertama walaupun terdapat beberapa masalah dari segi penginapan, makanan dan pengangkutan tetapi kami berjaya menyelesaikannya.
“Terdapat satu insiden kecil dalam acara silat (larangan memasuki stadium selama sehari susulan insiden membaling objek dipercayai botol ke dalam gelanggang) tetapi ia dapat dikawal dan keesokan harinya kami membuka semua acara dengan kawalan keselamatan lebih ketat,” katanya kepada Bernama.
Anwar menyaksikan persembahan bunga api pada Majlis Penutup Sukma Sarawak 2024 di pekarangan Stadium Sarawak pada Sabtu. Foto Bernama
Beliau berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut berpuas hati dengan penganjuran Sukma edisi ke-21 itu.
Chang Kee berkata, cabaran cuaca yang menyebabkan beberapa acara seperti memanah dan final bola sepak wanita ditunda atau dilewatkan adalah di luar jangkaan kerana taburan hujan bagi Jun hingga September di negeri ini biasanya rendah.
Berbaki tiga tahun lagi untuk menghadapi Sukan SEA, Sarawak perlu menaik taraf beberapa venue dan kemudahan untuk bersedia sepenuhnya bagi menganjurkan temasya dwitahunan kebangsaan itu.
Sukma, kali pertama dianjurkan pada 1986 di Kuala Lumpur dan ini kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah selepas edisi 1990 dan 2016.
Sementara itu, walaupun ada cadangan had umur 21 tahun ke bawah bagi Sukma dihapuskan untuk membuka ruang kepada atlet senior bersaing, temasya berkenaan seharusnya kekal sebagai medan mencungkil bakat baharu dan memberikan peluang kepada atlet muda melonjak ke tahap seterusnya.
Ia terbukti apabila hanya 161 daripada 488 emas yang ditawarkan dimenangi oleh atlet di bawah program podium dan pelapis kebangsaan, manakala selebihnya dibolot oleh atlet di bawah program negeri atau di luar program.
Edisi kali ini juga menyaksikan tujuh rekod kebangsaan dalam angkat berat (tiga), renang (dua), olahraga (satu) dan memanah (satu), serta 28 rekod temasya dalam renang (16), olahraga (sembilan) dan menembak (tiga) berjaya dipecahkan, tidak termasuk catatan bagi beberapa acara baharu diperkenalkan.
Sarawak berjaya mencipta beberapa sejarah baharu kerana Sukma kali ini merupakan edisi paling banyak pingat ditawarkan, iaitu 488 emas dalam 37 jenis sukan melibatkan venue pertandingan di sembilan bahagian.
Satu lagi keistimewaan adalah sukan tradisi seperti wushu, silambam dan kabaddi yang sebelum ini majoritinya disertai oleh satu kaum sahaja, mendapat penyertaan daripada pelbagai etnik sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan keterbukaan menerima sukan baharu.
Sukma 2024 yang melabuhkan tirainya secara rasmi semalam, menyaksikan kontinjen tuan rumah mengesahkan gelaran juara keseluruhan buat kali keempat selepas kejayaan edisi 1990, 1992 dan 1994, dengan merangkul 76 butir emas, 55 perak dan 70 gangsa.
Wilayah Persekutuan yang memberikan tentangan sengit hingga hari terakhir, terpaksa akur sebagai naib juara selepas meraih 75-65-72, diikuti Selangor (56-64-61), Pulau Pinang (41-45-52) dan Terengganu (41-36-47). – Bernama
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) pastinya ‘pening kepala’ memilih pemain ke Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China, bulan depan, susulan prestasi cemerlang dipamerkan pemain muda di pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang berakhir semalam.
Mungkin ini menimbulkan dilema kepada barisan kejurulatihan, namun pada masa sama ia memberikan isyarat positif bahawa sukan badminton masih belum ketandusan pemain berbakat di peringkat akar umbi.
Jurulatih skuad remaja kebangsaan, Ameer Amri Zainuddin berkata, Sukma kali ini mencerminkan tiada jurang yang besar antara pemain muda dan pemain senior sekali gus mencipta situasi menarik tapi mencabar buat BAM.
“Sukma kali ini sangat sengit. Kalau dulu tengok pemain senior berusia bawah 21 tahun selalunya ada jurang yang jauh dengan pemain junior, namun kali ini pemain muda lebih menyerlah.
“Hal ini memberi tekanan kepada senior, namun secara tidak langsung menunjukkan wujud persaingan sihat dalam badminton untuk pemain remaja terutamanya mereka yang berada dalam pemerhatian BAM untuk disenaraikan di Kejohanan Remaja Dunia,” katanya kepada Bernama.
Menurut Ameer Amri, antara pemain remaja yang mencuri tumpuan pada edisi kali ini ialah perseorangan wanita, Oo Shan Zi dari Pulau Pinang yang berjaya mencipta kejutan menewaskan perseorangan wanita, K Letshanaa dari Selangor pada pusingan separuh akhir.
Pemain lain ialah beregu Muhammad Faiq Haziq Masawi-Lok Hong Quan dari Selangor yang meraih emas selepas menewaskan senior mereka, Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun Meng (Pulau Pinang).
Beregu wanita Johor, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu turut menyerlah selepas meraih emas manakala Aaron Tai Wei Qin cemerlang dalam acara beregu campuran bersama Noraqilah Maisarah Ramdan dari Melaka.
Dalam pada itu, Ameer Amri berkongsi badan induk itu sudah mengenal pasti beberapa permata baharu untuk diserapkan ke dalam pasukan remaja kebangsaan antaranya Low Zi Yu yang kini berusia 14 tahun.
“Pemain yang kita lihat ada potensi ialah Low Zi Yu yang berjaya meraih emas pada usia 14 tahun.
“Bagi saya ia pencapaian yang bagus buat pemain itu dan dia antara pemain yang berpotensi menyinar pada masa hadapan,” katanya. – Bernama
ACARA olahraga yang berlangsung selama lima hari pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 menyaksikan satu rekod kebangsaan dan 11 rekod temasya baharu dirakamkan.
Isyarat ini menunjukkan terdapat banyak bakat baharu dalam acara trek dan padang, namun persoalannya apakah langkah seterusnya untuk masa depan atlet muda ini?
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang gembira dengan prestasi barisan atlet muda percaya bahawa mereka perlu diberikan peluang untuk beraksi di Sukan SEA sebagai permulaan kepada pendedahan di peringkat antarabangsa.
“Bagi mereka yang menang alhamdulillah tetapi kami di pihak persatuan kita kena pastikan atlet ini akhirnya layak ke Sukan SEA, seterusnya ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kita nak hantar atlet untuk pendedahan dan juga untuk mengutip mata dan akhirnya layak ke Sukan Olimpik.
“Jadi semua kemenangan yang dicatat di sini harus dibentuk supaya mereka ada hala tuju. Persatuan kena pastikan mengikuti perkembangan keberadaan mereka (atlet). Kadang-kadang selepas Sukma mereka hilang begitu saja.
“Jadi kita tak mahu benda ini berlaku, kita nak supaya mereka yang dapat pingat emas ada masa depan,” katanya kepada Bernama.
Untuk rekod, satu-satunya rekod kebangsaan dilebur dalam acara olahraga di Stadium Sarawak menerusi atlet pelapis kebangsaan, Muhammad Fakrul Afizul Nasir memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400 meter (m) lari berpagar lelaki.
Muhammad Fakrul yang mewakili Kelantan mencatat 51.11 saat (s) bagi memperbaharui rekod miliknya 51.26s dilakukan pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Korea Selatan pada Jun tahun lepas.
Catatan tersebut membolehkan atlet berusia 20 tahun itu turut memperbaharui rekod Sukma berusia 20 tahun dipegang Mohd Zafril Mohd Zuslaini dengan masa 51.79s yang dilakukan pada 2004 di Negeri Sembilan.
Lapan daripada 11 rekod Sukma baharu yang dicipta adalah menerusi acara trek manakala bagi acara padang, dua rekod diperbaharui serta satu dalam acara gabungan dekatlon.
Rekod-rekod temasya dicipta menerusi atlet Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong dalam acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki dengan masa satu jam 34 minit 38.20s, Umar Osman dari Johor (400m lelaki – 46.78s dan 800m lelaki -1:51.19s) serta kuartet Johor (4x400m lelaki – 3:12.35s).
Turut menyertai senarai selain Muhammad Fakrul adalah atlet pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (100m wanita – 11.64s dan 200m wanita 23.89s) dan Yee Zhi Xin dari Negeri Sembilan (20,000m lumba jalan kaki wanita – 2’5:47.02s).
Rekod Sukma yang dilakar dalam acara padang pula masing-masing menerusi atlet Sarawak, Jonah Chang Rigan (lontar peluru lelaki – 17.66m) dan Ng Jing Xuan (rejam lembing wanita – 45.12m) sementara atlet Pulau Pinang, Wilson Quaik Zhen Han memperbaharui rekod dekatlon lelaki dengan kutipan mata 6,690.
Johor mempertahankan gelaran juara keseluruhan selepas mengutip sembilan emas, lima perak dan empat gangsa manakala Selangor (8-5-4) dan Wilayah Persekutuan (6-6-2) untuk melengkapkan tiga kedudukan teratas. – Bernama