Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKSAR III: 13 acara sukan akan dipertandingkan

KUCHING, 21 Disember- Sebanyak 13 acara sukan dipertandingkan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) III yang bakal diadakan di Sibu dari 15 hingga 18 Januari depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kelayakan atlet menyertai SUKSAR III itu adalah mereka berusia 21 tahun ke bawah serta tidak pernah memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) serta tidak terlibat dalam program pelapis kebangsaan.

Jelasnya, penganjuran SUKSAR III sebagai platform mencari atlet berbakat untuk membentuk skuad pelapis SUKMA yang akan berlangsung pada Ogos tahun hadapan.

“Penganjuran SUKSAR juga untuk membantu persatuan kurang aktif dalam penganjuran pertandingan untuk bersiap sedia menghadapi SUKMA kelak.

“Selain itu, penganjuran SUKSAR juga bertujuan untuk memperkenalkan sukan teras di seluruh Sarawak mengikut pecahan Zon,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ujarnya, bahagian Kuching, Samarahan dan Serian mewakili Zon Selatan; bahagian Sri Aman, Betong dan Sarikei (Zon Barat); bahagian Sibu, Mukah dan Kapit (Zon Tengah) dan Zon Utara gabungan tiga bahagian iaitu Bintulu, Miri dan Limbang.

Antara acara sukan yang dipertandingkan selama empat hari berlangsung ialah angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, futsal, hoki, judo, karate, pencak silat, sepak takraw, tinju, taekwondo dan wushu.

Abdul Karim berkata acara perasmian yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Sibu akan dihadiri oleh beliau manakala Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menyempurnakan majlis penutup.

SUKMA 2024 di Sarawak akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos. -RTM

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Empat atlet karate wanita ‘naik pangkat’ ke Program Podium

KUALA LUMPUR: Skuad karate kebangsaan bakal menerima nafas baharu apabila empat atlet wanita dijangka diserapkan ke dalam Program Podium tahun depan sebagai usaha memantapkan pasukan negara.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata empat individu terbabit merupakan atlet pembangunan yang dicadang ‘naik pangkat’ ke program kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu.

Bagaimanapun, di sebalik perkembangan positif tersebut, Nur Azmi memaklumkan terdapat empat nama turut dicadang untuk digugurkan daripada Program Podium.

“Akhirnya atlet di peringkat pembangunan dinaikkan kepada Program Podium dan sekarang kita mendapat satu pasukan pembangunan yang begitu baik,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa (JKK) Sukan di MSN, di sini pada Rabu.
Menerusi senarai cadangan dikemukakan MAKAF kepada MSN, empat atlet itu membabitkan atlet wanita Lovelly Anne Robberth, Niathalia Sherawinnie Yampil, Naccy Elly Evvaferra Rojin dan Zakiah Adnan.

Katanya, pihaknya akan menilai terlebih dahulu senarai dicadang untuk digugurkan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
“Setakat ini yang digugurkan kita bagi tempoh pengesahan kepada mereka.
“Ada yang cedera, ada yang mempamerkan prestasi tidak berapa baik… jadi kita akan tunggu sehingga Kejohanan Karate Terbuka MMAKAF di Kuala Lumpur pada Februari dan Kejohanan Karate-do Asia Tenggara (SEAKAF) di Thailand pada April nanti,” katanya.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik fokus aksi konsisten hadapi Paris 2024

PETALING JAYA: Beregu badminton lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan memberikan tumpuan untuk memperbaiki kelemahan yang menghalang mereka daripada beraksi secara konsisten menjelang tugasan penting dan mencabar tahun depan.
Aaron berkata antara kelemahan yang perlu ditangani terutama sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 adalah aspek mental di gelanggang selain perlu berusaha meningkatkan tahap kecergasan fizikal bagi menempuh fasa persediaan mencabar yang melibatkan sesi latihan dan siri kejohanan antarabangsa.
“Tahun depan akan jadi tahun yang mencabar untuk kami dengan banyak sasaran…jadi perlu bersedia dengan cukup baik,” kata pemain berusia 26 tahun itu ketika ditemui pada majlis 2023 Haier Media Engagement di sini, hari ini.
Wooi Yik pula berpendapat gandingan mereka berdua menunjukkan peningkatan prestasi tahun ini, namun masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki bagi menyaingi kehebatan barisan pencabar dalam memburu kilauan pingat emas di Paris.
“Kita nampak apa kelemahan kita dan apa yang membezakan kita berbanding lawan, jadi perkara itu yang harus kita perbaiki dan bersedia untuk tahun depan yang sangat penting,” kata pemain berusia 25 tahun berasal dari Kuala Lumpur itu.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan gandingan keempat dunia akan membuka musim baharu dengan menyertai kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 9 sehingga 14 Jan depan.
Tanpa mendedahkan sasaran di Terbuka Malaysia, Aaron berkata mereka yang dijadual bertemu pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama akan memberikan aksi terbaik memandangkan ia adalah kejohanan pertama di laman sendiri selepas enam bulan.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di Terbuka Malaysia adalah mara ke peringkat separuh akhir pada edisi 2022 sebelum terkandas di pusingan kedua tahun ini.
Terdahulu, pada majlis hari ini Aaron-Wooi Yik menandatangani kontrak lanjutan sebagai duta sebuah syarikat pembekal peralatan elektrik global.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad Boccia wajib menang emas di Portugal

Kuala Lumpur: Pasukan Boccia perlu memenangi pingat emas di kejohanan di Portugal, Mac depan, untuk melayakkan diri ke temasya Paralimpik Paris 2024.

Presiden Persatuan Boccia Malaysia, Siti Zaharah Abdul Khalid berkata, kelayakan untuk Paralimpik Paris 2024 agak mencabar kerana terdapat beberapa kesukaran dalam pemilihan pasukan.

“Untuk layak ke Paralimpik Paris 2024, kami (Boccia) perlu lalui proses kelayakan melalui pertandingan pasukan. Oleh itu, pasukan kami akan menyertai kejohanan terakhir di Portugal padaMac untuk meraih tempat di Paralimpik Paris.

“Jika dapat mencapai matlamat dan memperoleh kelayakan, pingat emas yang kami dapat di Portugal bakal membawa kami ke Paralimpik Paris 2024.

“Pasukan boccia berpasukan tiga orang dan kami berusaha untuk mendapatkan kelayakan dalam kategori BC4. Oleh itu, lima atlet akan menghadiri acara kelayakan di Portugal untuk Paralimpik Paris nanti.

“Antara persedian yang dibuat untuk ke Olimpik adalah latihan yang berterusan di Majlis Sukan Negara (MSN) Kampung Pandan,” katanya.

Acara yang diadakan di Olimpik Paris 2024 membabitkan Individu BC1, Individu BC2, Individu BC3, Individu BC4, Berpasukan Campuran BC1-2, Beregu Campuran BC3 dan Beregu Campuran BC4.

Untuk rekod pasukan Boccia negara membuat kemunculan sulung mereka di temasya Paralimpik Tokyo 2020 ketika Chew Wei Lun meraih pingat perak.

Wei Lun, yang dikenali sebagai ‘pembunuh sayap’, memperoleh pingat perak selepas kalah 2-4 kepada wakil Great Britain, David Smith, dalam final acara individu BC1.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama Kelab dan Persatuan Bola Sepak

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah hadir ke Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama Kelab dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Negara bertempat di Bukit Jalil pada Selasa.

Perbincangan ini merupakan satu inisiatif YB Menteri untuk mendengar cadangan serta penambahbaikan daripada pemegang-pemegang taruh bola sepak bagi menjadikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) lebih efisien dan efektif.

Turut hadir sama, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN dan YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kejohanan Junior Cycling Malaysia

KANGAR, 19 DISEMBER 2023 – Kejohanan Junior Cycling Malaysia Ujian Masa Perseorangan Siri 4-2023 Perlis telah bermula dan tamat di Hadapan Taman Ular, Sg Batu Pahat.

Seramai 50 orang pelumba bersaing dalam mewakili 17 pasukan dengan jarak perlumbaan sejauh 19.8km pada selasa.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dekwan, Ammar akan dibantu layak ke Paralimpik Paris

Kuala Lumpur: Persatuan Olahraga Para Malaysia (MPAA) akan membantu dua atlet para olahraga negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presiden MPAA, Mohd Zarrawi Abdullah berkata, kedua-dua atlet itu akan dihantar menyertai kejohanan penting tahun depan dalam usaha memastikan mereka layak secara merit ke temasya terbesar dunia itu.

Jelasnya, mereka bakal menyertai Kejohanan Grand Prix di Fazza ke-15 Dubai pada 15 Februari depan dalam usaha memburu kelayakan ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 yang dijadual berlangsung di Kobe, Jepun tiga bulan kemudian.

“Kita letak harapan tinggi kepada Dekwan (Ridzuan) dan Ammar ke Paris 2024 namun mereka perlu bekerja keras bagi memastikan prestasi sentiasa terbaik.

“Yang pertama sekali, mereka perlu mendapatkan kedudukan 10 terbaik di UAE dan selepas itu perlu meraih pingat emas atau perak di Jepun untuk melayakkan diri secara merit ke Paris 2024. Ini pilihan terakhir buat atlet negara sekiranya ingin melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Untuk rekod, setakat ini hanya dua atlet para olahraga sudah melayakkan diri ke Paris 2024 iaitu Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Latif menempat slot secara merit ke Paris selepas meraih emas dalam kategori T20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Julai lalu manakala Ziyad pula membawa pulang perak dalam acara lontar peluru kategori F20 di kejohanan sama.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MS, MSN tidak perbaharui kontrak jurulatih renang Chris Martin

KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk tidak memperbaharui kontrak Chris Martin sebagai jurulatih kebangsaan.

Martin, yang telah bersama pasukan kebangsaan sejak 2019, akan tamat kontrak hujung tahun ini.

Setiausaha Kehormat MS Andy Low berkata jurulatih kelahiran Amerika itu maklum akan perkara tersebut malah membantu mereka mencari penggantinya.

“Memandangkan Martin akan meninggalkan kami tidak lama lagi, saya ingin berterima kasih atas khidmat dan kerja kerasnya selama ini terutama dalam membantu Khiew Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan selama 32 tahun dalam 1,500 meter gaya bebas lelaki pada Queensland Championships di Australia baru-baru ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Hoe Yean, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, mencatat 15:21.92 saat (s) untuk memadamkan rekod sebelum itu, 15:23.61s, dicipta Jeffrey Ong pada 1991.

Sementara itu, Andy berkata mereka telah menyenarai pendek beberapa calon untuk menggantikan Martin dan akan mengumumkan jurulatih kebangsaan baharu bulan depan.

“Kami mempunyai calon dari Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada. Kesemua mereka mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan di negara mereka. Kami harap dapat selesaikan (perkara ini) bulan depan.

“Kami turut berharap untuk melantik pengarah teknikal baharu bulan depan. Dua daripada calon akhir kami adalah dari Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, Andy berharap mereka mempunyai dana mencukupi untuk menghantar perenang kebangsaan menyertai kem latihan di Thailand bulan depan, sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha, Qatar, pada 2-18 Feb.

— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis penyerahan Pusat Latihan Skuasy Negeri Kedah

Majlis penyerahan Pusat Latihan Skuasy Negeri Kedah telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan pada majlis yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Pusat Latihan Skuasy Negeri Kedah ini diserahkan oleh YB Menteri kepada YB Tuan Haji Muhammad Radhi Mat Din, Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah mewakili YAB Menteri Besar Negeri Kedah.

Pembinaan yang membabitkan kos sebanyak RM10.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12 itu siap sepenuhnya pada 20 Ogos 2023 dan dilengkapi kemudahan gelanggang yang berhawa dingin, astaka penonton, bilik persalinan, surau, bilik jurulatih, bilik teknikal dan bilik sokongan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Liek Hou cemerlang di Dubai

Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menutup kalendar 2023 dengan membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak di Kejohanan 5TH Fazza Dubai Para Badminton Antarabangsa (Peringkat 2) 2023, semalam.

Pada aksi final perseorangan lelaki SU5, Liek Hou turun dengan hasrat memenangi emas pertama, tetapi terpaksa akur dengan perak selepas tewas kepada rakan senegara, Muhammad Fareez Anuar straight set 19-21, 19-21.

Bagaimanapun, kekecewaan itu ditebus apabila gandingan Liek Hou-Fareez Anuar yang turun dalam acara beregu lelaki SU5 mencatat kemenangan mudah menewaskan pasangan dari Taiwan Fan Jen-yu- Gui Yu Pu 21-1, 21-10.

Leik Hou yang berada di ranking nombor satu dunia untuk perseorangan lelaki kategori SU5 berkata, dia akan sentiasa tampilkan prestasi terbaik dalam kejohanan dihadapi.

“Kejohanan terakhir untuk tahun ini (2023) selesai dengan menang emas di beregu lelaki SU5 dan perak di perseorangan SU5. Tidak mudah mengekalkan prestasi luar biasa di setiap pertandingan, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pingat di setiap kejohanan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.

Dia akan berehat sebentar sebelum memulakan latihan bagi menghadapi kejohanan utama pada 2024.

“Tibalah waktu saya rehat sekejap dan kembali ke latihan untuk persiapan kejohanan akan datang tahun depan iaitu Kejohanan Dunia Para Badminton di Pattaya, Thailand pada Februari nanti.

“Terima kasih 2023 dan saya berharap 2024 akan memberikan saya kekuatan dan kesihatan. Mohon doakan yang terbaik bagi saya untuk tahun depan,” katanya.

Dalam kejohanan itu, pasukan para badminton negara berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu pingat perak.

ejohanan berkenaan yang terakhir untuk 2023 bagi mengumpul mata kelayakan ke temasya Paralimpik Paris 2024.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia