KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berharap gandingan Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal Nazri yang mara ke pusingan utama Masters Indonesia 2024 dapat mempamerkan persembahan terbaik seperti yang sudah dilakukan ketika latihan.
Hon Jian-Haikal yang berada di ranking ke-51 dunia itu bakal menyertai saingan Jelajah Dunia BWF berstatus Super 500 pertama sejak mula digandingkan Julai lalu di Jakarta minggu ini dan bagi Bin Shen, dia mengharapkan gandingan itu melepasi ‘ujian’ berkenaan.
“Ini adalah kejohanan Super 500 pertama mereka yang sebelum ini bermain di Super 300 (ke bawah), bagi saya ini adalah ujian pertama untuk mereka sebelum melangkah ke kejohanan lebih besar selepas ini.
“Apa yang saya pesan dan mahukan adalah sebaik saja turun beraksi, tunjukkan prestasi yang mereka lakukan dalam latihan,” kata Bin Shen ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Hon Jian-Haikal sepatutnya perlu menyertai pusingan kelayakan namun selepas pilihan utama yang juga pemain ranking kedua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menarik diri, mereka dinaikkan ke pusingan pertama.
Sekiranya melepasi pusingan pertama, mereka dijadual bertemu sama ada gandingan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei ataupun dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (38) di pusingan kedua.
Pada tahun lalu, Hon Jian-Haikal berjaya meraih dua gelaran pada penghujung musim 2023 iaitu di Kejohanan Antarabangsa India dan Masters Guwahati selain muncul naib juara di Masters Indonesia II.-Berita Harian