KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara dijangka berdepan laluan berliku dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dari 13 hingga 18 Februari ini.
Pada edisi kali ini yang turut berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) seperti dua tahun lalu, Malaysia menyenaraikan kombinasi antara pemain senior dan muda bagi menggalas cabaran pasukan.
Cabaran perseorangan akan diketuai Lee Zii Jia selain Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eugene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Andai mengambil kira keputusan dalam empat kejohanan awal musim ini – Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Masters Thailand, barisan pemain negara perlu melipat gandakan usaha untuk sekali lagi bergelar juara.
Pencapaian terbaik pemain negara dalam keempat-empat kejohanan itu adalah menerusi Aaron Chia-Wooi Yik yang mara ke separuh akhir Terbuka India diikuti Zii Jia yang dua kali ke suku akhir – Terbuka India dan Masters Indonesia.
Pemain lain, Jun Hao dan beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tersingkir di pusingan awal.
Tze Yong pula bernasib malang apabila dia terlepas keempat-empat kejohanan berkenaan apabila mengalami kecederaan otot belakang ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dia mampu berada pada tahap terbaiknya pada saingan BATC kali ini.
Bagi pemain muda seperti Eugene dan gandingan Hon Jian-Haikal, BATC menjadi pentas terbaik untuk mereka menyerlahkan potensi sebenar jika diberi peluang untuk beraksi.
Berbanding pasukan seperti India, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun yang boleh dikatakan mempertaruhkan barisan pemain terkuat, ia akan menjadi ujian besar buat Malaysia terutama di pusingan kalah mati apabila kemungkinan berdepan dengan mana-mana lawan itu.
Justeru, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menjadi juara Kumpulan B yang turut dibarisi Taiwan selain Brunei dan Kazakhstan bagi mengelak bertemu pasukan utama di peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, skuad negara perlu melepasi halangan Taiwan terlebih dahulu yang hadir tanpa jaguh perseorangan lelaki mereka, Chou Tien Chen.
Meskipun tanpa kelibat Tien Chen, Lin Chun Yi yang mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia akan mengetuai cabaran perseorangan selain turut diperkuatkan dengan kehadiran pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Muncul juara kumpulan bakal menyaksikan Malaysia mampu mengelak daripada bertemu pasukan gergasi seperti India, Jepun, Korea Selatan yang diramal menjuarai saingan peringkat kumpulan masing-masing sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir.
India kali ini dianggap sebagai pencabar utama kejuaraan apabila membariskan tujuh pemain yang membantu pasukan itu muncul juara Piala Thomas pada 2022 diketuai beregu nombor satu dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
China dan Indonesia kali ini menyenaraikan pasukan kedua mereka tetapi tetap dilihat mampu memberikan cabaran sengit.
Saingan BATC turut menjadi medan pusingan kelayakan ke Piala Thomas, Mei depan dengan empat pasukan terbaik layak automatik ke kejohanan berprestij itu selain ia turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.-Berita Harian