PENGARAH Teknikal baharu Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Megan Oesting optimis mampu membantu untuk mengembalikan kegemilangan sukan itu pada masa depan.
Beliau yang berasal dari Amerika Syarikat mempunyai kepakaran selama dua dekad dalam sukan renang dan kejurulatihan yang kompetitif bakal bergabung dengan jurulatih baharu skuad kebangsaan, Eric Anderson.
Megan berkata, satu penghormatan mendapat tawaran daripada MAS dan beliau percaya mempunyai misi serta visi sama dengan badan induk tersebut bagi melahirkan perenang bertaraf dunia.
“Saya memerlukan anda, seperti anda memerlukan saya.
“Saya yakin untuk projek jangka panjang ini kita semua perlu bersatu dalam mencari jalan terbaik meningkat tahap perenang di setiap peringkat bukan hanya di bahagian atas sahaja,” ujar Pemilik MOSTswimtech Inc itu.
Beliau tiba di Malaysia pada 8 Februari lalu.
Sebagai jejak pertama Megan berharap dapat menyeragamkan dan menyokong setiap langkah yang bakal dilakukan selepas ini.
“Kita akan cuba mengatasi segala kelemahan dan meningkatkan kemahiran perenang bagi membentuk skuad renang yang lebih konsisten.
“Saya sudah membincangkan perkara ini dengan beberapa perenang seperti Steven (Khiew Hoe Yean) dan Wilson (Sim). Malah mereka teruja dengan peralihan ini demi masa depan sukan renang negara,” katanya.
Beliau yang juga bekas ketua jurulatih kelab Bend Swim itu turut berharap kepada perenang utama seperti Hoe Yean dan Wilson agar bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi, sebaliknya perlu mempunyai daya kepimpinan.
“Memang mereka sangat penting untuk mempamerkan prestasi sebenar demi negara tetapi saya menyatakan bahawa mereka juga adalah suri teladan untuk masa depan sukan ini,” katanya.
MAS dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut kepakaran dan kepimpinan kedua-dua individu itu diharapkan membawa perubahan transformatif kepada program renang negara dan memacu perenang untuk meningkatkan prestasi di persada antarabangsa.
Selepas meraih lima emas di laman sendiri pada Sukan SEA 2017, pungutan berkenaan menurun dengan skuad renang negara hanya membawa pulang dua emas ketika di Filipina (2019), serta satu emas ketika di Hanoi (2021) dan Kemboja (2023).-Sinar Harian