Kuala Lumpur: Perebutan mahkota kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) 2024 (Wanita) kian mendebarkan menjelang aksi penutup tirai Khamis ini apabila pasukan Malaysian University (MU) berjaya merampas tangga teratas liga selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan jemputan dari China, Liaoning, hari ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan MU memimpin liga dengan 20 mata selain mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lapan perlawanan manakala Liaoning pula turun satu anak tangga di tempat kedua dengan 18 mata.
Penyerang Nur Zafirah Aziz muncul wira pasukan MU kendalian Lailin Abu Hassan apabila jaringan padang seawal minit kedua sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat mereka pada aksi berlangsung di Padang 1 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini.
Keampuhan benteng pertahanan MU termasuk menghalang deretan pukulan sudut penalti dimiliki lawan dibimbing Ren Ye juga menjadi kunci utama kemenangan tersebut.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Lailin memuji komitmen tinggi anak buahnya yang mendambakan kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka menjuarai liga musim ini.
“Walaupun setiap kali kena serang tetapi pemain dapat mengurus benteng pertahanan dengan baik. Saya harap kemenangan hari ini akan bakar semangat pasukan untuk menang ke atas CS Mustang HT, Khamis ini seterusnya rangkul kejuaraan liga,” katanya kepada Bernama.
Dalam satu lagi aksi di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, jaringan hatrik Nur Amirah Jasmi Apindi pada minit ke-17, 29 dan ke-50 serta gol sumbangan Nuratyra Sajali pada minit ke-34 membantu CS Mustang HT membenam MSP-PHP-SSNP, 4-0.
CS Mustang HT kini berada di kedudukan keenam dengan sembilan mata manakala MSP-PHP-SSNP pula di tempat kesembilan dengan tiga mata.-Berita Harian