Nilai: Pelumba berpengalaman berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis sedia menggunakan segala pengalamannya untuk membimbing pasukan trio pecut lelaki kebangsaan yang terdiri daripada dua pelumba muda, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah bagi merealisasikan memburu emas pertama dalam kejohanan akan datang.
Jelas Fadhil, dia yakin skuad itu mampu mempamerkan kayuhan lebih pantas sekiranya mereka dapat memperbaiki beberapa kelemahan kecil serta menggilap kelebihan sedia ada yang dimiliki setiap individu bagi membentuk satu pasukan yang terbaik.
“Saya rasa prestasi kami boleh pergi lebih jauh, banyak faktor yang kami boleh tambah baik. Perlumbaan sebelum ini (Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024) kami tak ada latihan sangat dan ia lebih kepada individu, tapi prestasi kami ok.
“Kita akan fokus jika ada peluang. Saya yakin kita boleh pecahkan rekod kebangsaan (pecut berpasukan lelaki). Bagi saya, masih banyak faktor boleh ditambah baik dan mereka masih muda, banyak masa lagi, saya yang perlu bimbing mereka kerana mereka pelumba berbakat besar, “katanya.
Terdahulu, ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India minggu lepas, trio lelaki yang dibarisi Fadhil, Umar dan Ridwan berjaya memberikan prestasi terbaik apabila memenangi pingat perak acara pecut lelaki dengan catatan masa 44.607 saat (s) tewas.
Ia satu keputusan membanggakan meskipun tewas kepada juara bertahan dari Jepun Yuta Obara, Kento Yamasaki dan Minato Nakaishi (44.367s) pada final.
Bagi atlet berusia 25 tahun itu, dia dan rakan-rakan tidak jangka boleh mencapai kemenangan itu kerana pada awalnya mensasarkan untuk layak ke final sahaja.
“Bila sudah di final, kami berusaha untuk dapatkan pingat emas tapi pasukan kita boleh dapat perak, tapi kita bersyukur sangat. Kita boleh rasa untuk pecut berpasukan itu kerana ada peluang tapi bila sudah masuk sebelum final saya rasa dah sakit tekak,” katanya.
Sebagai rekod, pasangan trio berbasikal trek negara itu sudah bergandingan sejak Jun tahun lalu bermula di ACC 2023 di Nilai, Negeri Sembilan dan mereka terus mempamerkan prestasi yang cukup memukaukan dengan peroleh pingat gangsa.
Untuk maklum, Fadhil sebelum ini turut pernah bergandingan bersama Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di ACC Jakarta 2019 untuk memenangi gangsa sebelum sekali lagi bersama Shah Firdaus dan Ridwan di ACC India 2022 untuk peroleh pingat perak.-Harian Metro