Majlis Sukan Negara Malaysia
Memori final Seluruh England 2019 beri perangsang Aaron-Wooi Yik

Kuala Lumpur: Selepas memenangi halangan pertama di Seluruh England, semalam, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mula membayangkan mereka mampu mengulangi detik indah pada 2019.

Ketika itu, Aaron-Wook Yik melakar kejutan apabila mara ke final sebelum tumpas kepada pasangan berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000.

Di pusingan pertama yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, malam tadi, Aaron-Wooi Yik diberikan cabaran oleh rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebelum menang 21-19, 21-17 dalam tempoh 33 minit.

Menurut Wooi Yik, dia berasa gembira dapat memenangi perlawanan pertama dan mengakui Seluruh England sentiasa menjadi kejohanan istimewa sejak mula menyertainya.

“Kami pernah mara ke pentas final dan berharap dapat mencipta memori lagi di sini,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan semalam.

Ujarnya, bukan mudah untuk bersaing dengan rakan senegara (Sze Fei-Nur Izzuddin) kerana diberi tentangan sengit, tetapi pada akhirnya mereka mampu untuk mengawal permainan.

Gandingan di ranking kelima dunia itu dijadual bertemu lawan dari Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei di pusingan kedua, esok, sekali gus menjadi pertemuan kedua mereka selepas kali terakhir di Masters Malaysia 2022.

Pada ketika itu, Aaron-Wooi Yik menewaskan beregu di ranking ke-39 dunia itu, 23-21, 21-16 di suku akhir sebelum perjalanan mereka ke final disekat beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir.-Harian Metro

Pemain takraw jalani latihan ala komando

Kuala Lumpur: Kem sepak takraw negara terus menagih sentuhan anggota 69 Komando (VAT 69) dalam usaha menanam kekuatan mental pemain dan memperkukuh semangat berpasukan sebagai persediaan menggempur Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Mei ini.

Walaupun berlangsung dalam masa singkat iaitu selama tiga hari (9-11 Mac) sahaja, namun latihan itu padat dengan pengisian aktiviti lasak yang memerlukan pemikiran kritis 27 atlet untuk diaplikasi dalam kejohanan disertai mereka kelak.

Berkongsi pengalaman di Markas 69 Komando, Ulu Kinta, Perak, tekong kebangsaan Muhammad Syahir Mohd Rosdi mengakui pengalaman itu tidak boleh dijual beli terutamanya apabila program berkenaan bukan sewenang-wenangnya disertai orang awam.

Malah atlet berusia 28 tahun itu mengakui beliau tidak pernah bosan menyertai agenda dirangka Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila pernah melalui latihan sama pada 2018 bersama Pasukan Khas Udara (Paskau) dan VAT 69 pada tahun lepas.

“Kita dapat rasai latihan fizikal berbeza berbanding di Bukit Jalil. Kami sahut (apa jua) cabaran diberikan jurulatih komando dan apa diberikan (program) PSM dan Majlis Sukan Negara (MSN) kita akan buat yang terbaik.

“(Terutamanya) apabila kali ini kita jadi tuan rumah jadi MSN mengharapkan sesuatu daripada pemain ini. Namun kami pasti akan buat yang terbaik,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan ke kejohanan berprestij itu, Muhammad Syahir berkata beliau akan dihantar menyertai Piala Princess di Bangkok, Thailand pada 25 Mac ini untuk mendapatkan momentum sebelum ke Piala Dunia 2024.

Beliau berkata kesemua persiapan berjalan lancar di bawah kendalian Ahmad Jais Baharun selain dua jurulatih dari Thailand, Poonsak Permsap dan Seksan Tubtong.

Pada kejohanan dunia di sini, sebanyak 21 negara mengesahkan penyertaan dengan 12 pasukan bersaing bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1.-Harian Metro

Dua sasaran Ziyad

KUALA LUMPUR: Merampas semula status pemegang rekod dunia dan beraksi cemerlang di Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi dua misi utama jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tahun ini.

Pada tahun lalu, Ziyad terpaksa akur apabila rekod dunia dipegangnya iaitu 17.29 meter (m) dalam acara lontar peluru F20 dipadamkan pesaing dari Ukraine, Maksym Koval yang melakukan 17.57m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Paris.

Peluang itu boleh ditebus Ziyad di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun Mei depan bagi membolehkan dirinya memperoleh suntikan semangat sebelum melangkah ke temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Sudah tentu saya mahu cipta semula rekod dunia yang pernah saya pegang dulu kerana ia sudah dipecahkan. Saya perlu bekerja keras pada setiap sesi latihan untuk mencapai sasaran itu.

“Kalau boleh saya mahu berada di puncak prestasi tahun ini. Yang pertama di Kejohanan Olahraga Para Dunia… di sini saya letak sasaran untuk pecahkan rekod dunia dan keduanya di Paralimpik Paris,” kata Ziyad.

Ziyad adalah antara prospek pingat di Paris 2024 dan atlet berusia 33 tahun itu sendiri pernah membanggakan kontinjen negara dengan meraih emas di Rio 2016 dan gangsa (London 2012).

Ziyad pernah melakukan 17.94m di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 namun penyertaannya dibatalkan susulan lewat tiba ke bilik panggilan sebelum turun beraksi di Stadium Olimpik Tokyo.-Berita Harian

Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua Seluruh England

KUALA LUMPUR: Dua beregu negara – gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berdepan nasib berbeza pada pusingan pertama Seluruh England di Birmingham, hari ini.

Gandingan Aaron-Wooi Yik berjaya menepati ramalan apabila menyingkirkan satu lagi pasangan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menerusi keputusan 21-19, 21-17.

Yew Sin-Ee Yi pula ditunjuk jalan keluar oleh wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selepas tumbang 21-23, 14-21 meskipun berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-15.

Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia 2022 itu bakal berdepan cabaran gandingan dari Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei di pusingan kedua nanti.

Mengiringi Aaron-Wooi Yik ke pusingan kedua adalah beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengetepikan pasangan dari Perancis, Thom Gicquel-Delhine Delrue 12-21, 21-19, 21-14.

Menanti mereka di pusingan kedua adalah sama ada wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet ataupun gandingna dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati.-Berita Harian

Para SUKMA 2024: Sarawak sasar rampas gelaran juara daripada Sabah

KUCHING: Sarawak belum menetapkan sasaran jumlah pingat untuk diraih pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 pada 20 hingga 28 September tahun ini tetapi menyasarkan untuk merampas gelaran juara yang diungguli Sabah pada edisi lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebagai tuan rumah Para SUKMA kali ini, Sarawak optimis dalam merealisasikan cita-cita tersebut dan telah melakukan penilaian secara mendalam membabitkan kekalahan pasukan negeri semasa temasya lalu. 

”Menerusi post-mortem, kita mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan Sarawak pada kejohanan terdahulu. Saya percaya kali ini peluang kita lebih cerah daripada sebelumnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Persediaan Penganjuran Para SUKMA Ke-21 di kediamannya di Petra Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Colliner Gohe.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata kontinjen Sarawak dijangka akan menghantar seramai 240 atlet yang akan menjalani saringan pada 31 Julai 2024.

Jelasnya, temasya itu juga akan melibatkan seramai 120 pegawai untuk Sarawak sahaja.

Sementara mengenai acara sukan, Fatimah berkata sebanyak 10 acara sukan akan dipertandingkan pada temasya Para SUKMA edisi kali ini.

”Antara lainnya adalah Para Olahraga, Para Renang, Para Badminton, Para Pingpong, Para Tenpin Boling, Boccia, Para Lawn Bowls, Para Powerlifting, Para Memanah dan Para Catur.

”Kesemua acara yang dipertandingkan ini akan diadakan di Kuching,” katanya. 

Jelas beliau, antara lokasi terlibat adalah Stadium Sarawak, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Dewan Persatuan Badminton Sarawak BDC, SJK Chung Hua No.3, Megalane E-Mart Batu Kawa, Dewan Persatuan Bola Keranjang Sarawak, Multipurpose Arena Petra Jaya, Dewan Serba Guna Jabatan Belia dan Sukan, Lapang Sasar Memanah Petra Jaya dan Hotel Raia. 

Fatimah menambah, turut dijadual diadakan pada 21 September 2023 di Hikmah Exhange Kuching adalah Majlis Makan Malam Temasya Para SUKMA yang bakal dihadiri tetamu kehormat, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

”Sementara Majlis Perasmian Temasya Para SUKMA Ke-21 bakal diadakan pada 22 September 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya. 

Setakat ini sebanyak 15 negeri seluruh Malaysia telah mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini. Ia juga dijangka akan dihadiri seramai 1,400 atlet para dan 600 pegawai.

Antara lainnya adalah dari Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelancaran rasmi maskot iaitu Satria dan Satrina (Burung Kenyalang), lagu (SUKMA Sarawak, Kesukanan dan Perpaduan) dan logo untuk temasya kali ini telah diadakan pada 9 Mac 2024 di sini yang telah dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Premier Sarawak.-Utusan Borneo

Penganjuran Sukan Komanwel 2026 disyor ikut model Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesyorkan penganjuran Sukan Komanwel 2026 mengikut model pengelolaan Sukan SEA yang menyaksikan tidak perlu membina perkampungan sukan bagi penginapan atlet dan pegawai bertanding.

Sambil mengakui kos penganjuran yang tinggi menjadi kebimbangan ramai, penaung badan sukan kebangsaan itu turut mencadangkan supaya gelanggang sedia ada di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil digunakan.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan dalam menganjurkan temasya itu buat kali kedua memandangkan negara mempunyai pelbagai fasiliti yang boleh meringankan beban kewangan penganjuran.

“Bagi saya, orang ramai bimbangkan mengenai kosnya. Kita juga mungkin boleh ikut model seperti (penganjuran) Sukan SEA sahaja… guna hotel mengikut venue. Jadi perkara seperti ini tidak diterangkan secara mendalam kepada rakyat.

“Kalau dulu kita kena buat perkampungan sukan… ini semua memerlukan tiga tahun dan kosnya pasti tinggi. Victoria menarik diri atas pelbagai faktor antaranya jarak ke satu venue ke venue lain sangat jauh selain penggunaan sistem keselamatan yang canggih, jadi sudah tentu kosnya akan meningkat.

“Tetapi kita buat yang memadai sahaja. Kita boleh gunakan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun tentera… sekiranya mereka boleh hulurkan bantuan, sudah tentu kita dapat kurangkan kos.

“Jadi ia sama seperti kita nak jadi hos bagi Sukan SEA… kita ikut model yang memadai, tak perlu bangunan baharu ataupun perbelanjaan luar biasa. Kita memang nak gunakan apa yang sudah sedia ada,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia merangkap Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria, Australia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Tawaran itu disifatkan beliau sebagai peluang terbaik apatah lagi ia hadir dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

Julai lalu, Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah menarik diri bagi menganjurkan edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Nazifuddin berkata, kos penganjuran mungkin boleh dikurangkan lagi apatah lagi Malaysia kini dalam persiapan menjelang penganjuran Sukan SEA 2027.

“Kita akan mempunyai bajet juga untuk Sukan SEA 2027. Semua venue antarabangsa (yang ada), kita kena kekalkan dan harus disediakan untuk Sukan SEA 2027.

“Jadi bajet Sukan SEA 2027 itu sekali jalan dengan Komanwel 2026 dan diawalkan lagi supaya boleh bersedia untuk Komanwel dan juga Sukan SEA tahun berikutnya.

“Venue masih sama (untuk kedua-dua temasya), seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Axiata, Pusat Akuatik Nasional dan olahraga,” katanya.

Justeru, Nazifuddin menyarankan kerajaan supaya mempertimbangkan sebaik mungkin tawaran CGF itu kerana menganggapnya sebagai peluang keemasan.

“Mungkin tak ada peluang lagi yang kita boleh dapat temasya sukan sebesar ini tanpa ‘sanction fee’ dan mereka juga berikan satu geran yang besar 100 juta pound. Harap kerajaan pertimbangkan dengan baik kerana perkara seperti ini boleh janakan ekonomi, pelancongan dan semangat kenegaraan.

“Mungkin ramai sudah lupa 1998 tapi apabila kita berjaya melaksanakannya, orang ramai masih ingat temasya sebesar itu (1998),” kata Nazifuddin.-Berita Harian

Bukan masalah buat Harimau Malaya – Laine

PETALING JAYA: Di sebalik hanya satu aksi persahabatan berdepan Nepal dan saingan domestik masih lagi ‘berehat’ sebelum skuad Harimau Malaya berdepan Oman, pemain tengah negara, Nooa Laine mengakui situasi itu bukanlah satu masalah untuk pemain negara.

Ini kerana pemain berdarah kacukan itu percaya skuad bimbingan Kim Pan Gon memiliki masa yang cukup untuk berlatih bagi dua aksi penting Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat pada 21 Mac sebelum aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, 26 Mac.

“Sudah tentu ada perbezaan untuk beraksi ketika musim berlangsung dan kita baru sahaja menjalani pra musim. Ada perbezaan khususnya daripada segi kecergasan perlawanan.

“Tetapi saya lihat perkara ini bukanlah satu masalah kerana kita masih ada cukup masa. Barisan kejurulatihan melakukan kerja yang baik untuk persiapan kita menentang Oman,” kata Laine ketika ditemui di sesi latihan, petang tadi.

Pada masa sama, pemain yang bakal mewakili Selangor FC (SFC) bagi musim 2024/25 meletakkan fokus sepenuhnya untuk membantu skuad kebangsaan bagi aksi menentang Oman sebelum mengalihkan tumpuannya bagi saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar, bulan depan.

“Fokus saya adalah untuk skuad kebangsaan dan sangat bagus bermula dengan skuad senior. Jika kemudiannya perlu beralih ke skuad B-23, itu bukanlah satu masalah buat saya.

“Sudah tentu ketika ini, tahap permainan lebih tinggi dan sesi latihan pun berjalan dengan baik. Ia satu penghormatan untuk mewakili Malaysia dan sasaran saya untuk bermain seberapa banyak yang mungkin,” katanya.-Berita Harian

Bertrand ‘korban’ dua Piala Dunia

Kuala Lumpur: Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises terpaksa ‘mengorbankan’ penyertaan pada dua siri Piala Dunia Terjun 2024, bagi memberi perhatian kepada meningkatkan tahap kesukaran terjunannya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Atlet terjun tunggal negara yang layak ke Sukan Olimpik 2024 itu berkata ia melibatkan kejohanan di Berlin, Jerman dari 21-24 Mac, diikuti dengan final super di Xi’an, China, dari 19-21 April.

Selepas beraksi pada tahap kesukaran 3.0 sebelum ini, Bertrand memaklumkan Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas sedang membimbingnya mengadaptasi terjunan 3.7 dengan memperkenalkan rutin pike.

“Saya tidak pergi dua Piala Dunia sebab takut tidak cukup masa untuk tingkatkan kesukaran terjunan. Perubahan dari 3.0 ke 3.7 melibatkan tukar (rutin) back 3 1/2 ke pike dan baru sahaja belajar selepas tiba di Malaysia pada Rabu lepas,” katanya kepada Bernama.

Bertrand, 19, sebelum ini menamatkan acara 10 meter (m) platform lelaki di tempat ke-10 daripada 11 penerjun dengan mencatatkan 389.85 mata, pada Piala Dunia Terjun 2024 di Montreal Kanada pada 2 Mac.

Penerjun China Yao Hang menjuarai acara itu dengan mengumpulkan 533 mata, sementara penerjun dari Mexico Randal Willards Valdez menang perak (530.90 mata) manakala seorang lagi penerjun China Lian Junjie di tempat ketiga (514.65 mata).

Ditanya sekiranya beliau berpuas hati dengan pencapaian berkenaan, Bertrand tanpa berselindung mengakui kecewa dengan persembahan dipamerkan apabila buat pertama kali merekodkan bawah 400 mata.

“Pertama kali lompat bawah empat ratus (mata), jadi kurang puas hati namun pertandingan di Kanada merupakan pengalaman yang baik, apabila semua yang masuk final benar-benar berkelayakan sebab ada yang bekas (juara) Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Bryan yang juga bekas penerjun kebangsaan berkata pihaknya masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada beberapa negara yang dipohon MAS, untuk menjadi pangkalan latihan kepada pemenang pingat perak Sukan Sea Kemboja 2023 itu.

Beliau bagaimanapun berkata Bertrand terlebih dahulu perlu memastikan dirinya bebas daripada kecederaan pergelangan tangan, sebelum dihantar untuk ‘berkampung’ di luar negara bulan hadapan.

“Banyak negara kita mohon seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, namun tidak dapat seperti yang kita mahu seperti berlatih bersama pasukan pertama mereka. Jadi kita masih tunggu sampai hujung bulan ini dan kalau tidak dapat daripada negara lain, kita berlatih di negara biasa iaitu China.

“… namun dia perlu sembuh dari kecederaan pergelangan tangan yang merupakan kecederaan lama. Institut Sukan Negara (ISN) kata ia mengambil masa beberapa minggu untuk kembali pulih, supaya di sana (luar negara) boleh capai matlamat (pembelajaran),” katanya.

Bryan memaklumkan Bertrand tidak memerlukan sebarang suntikan bagi meredakan kesakitan berkenaan, sebaliknya hanya perlu menjalani pemeriksaan bersama ISN selama dirinya masih berlatih di Bukit Jalil di sini.

Ditanya sekiranya Bertrand mampu ‘menyerap’ darjah kesukaran baharu dengan keadaannya sekarang, Bryan berkata ia adalah suatu proses yang memerlukan masa, namun tetap melahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan anak kelahiran Sarawak itu.

“Benda (terjunan) itu suatu proses dan ia ambil masa, sebab kita mahu dia selamat masa terjunan itu. Kalau terburu-buru nanti takut kecederaan dekat bahagian lain,” katanya.

Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-Harian Metro

Aaliyah raih gangsa di Melbourne

KUALA LUMPUR: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah meneruskan kecemerlangannya di Australia apabila meraih pingat gangsa keseluruhan wanita pada kejohanan Moomba Masters 2024 di Melbourne semalam.

Atlet berusia 20 tahun yang membuat penampilan ke-11 pada kejohanan berkenaan mengumpul keseluruhan 2,215.25 mata dalam pertandingan yang berlangsung di Sungai Yarra.

Aliaksandra Danisheuskaya dari Amerika Syarikat memenangi pingat emas dengan 2,911.11 mata diikuti atlet New Zealand, Sade Ferguson yang mengumpul 2,477.89 mata.

Bagaimanapun, Aaliyah terlepas podium dalam acara jump terbuka wanita apabila menamatkan saingan di tempat kelima selepas melakukan lompatan 44.5 meter dan keenam dalam acara tricks dengan 5,030 mata.

“Saya amat teruja dapat tempat ketiga keseluruhan. Realitinya untuk saya berada di podium acara tricks atau jump boleh berlaku jika melakukan latihan intensif. Tetapi saya tidak dapat melakukan latihan sebanyak itu enam bulan lalu kerana pelajaran dan peperiksaan di universiti.

“Saya tetap akan terus melakukan yang terbaik dan menyasarkan untuk menjadi antara atlet luncur air peringkat teratas dunia dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA

Hidayat kongsi hajat jika Malaysia jadi hos Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Walaupun belum pasti namun sekiranya Sukan Komanwel 2026 dianjurkan di Malaysia, ia bakal memberi nilai sentimental buat keluarga legenda angkat berat negara, Hidayat Hamidon.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan pada ketika itu Hidayat menggembirakan negara apabila meraih pingat emas dalam kategori 69 kilogram (kg) dan lebih membanggakan, bekas atlet berusia 49 tahun itu berjaya memecahkan rekod temasya untuk clean&jerk dengan angkatan 167.5kg.

Detik itu masih bermain di fikiran Hidayat dan sekiranya Malaysia menjadi tuan rumah pada 2026, dia bersedia untuk menggembleng tenaga mempersiapkan barisan badang negara termasuk anaknya yang juga pemegang rekod kebangsaan 73kg, Muhammad Erry Hidayat.

“Berdasarkan pengalaman yang ada pada 1998, rasanya kita mampu dengan infrastruktur yang kita ada… stadium yang ada pun mengikut standard antarabangsa.

“Namun semuanya itu bergantung kepada bajet negara kita.

“Kalau jadi, ia sangat luar biasa dan ia akan memberikan peluang untuk barisan atlet angkat berat terutama Erry untuk dapatkan kembali pingat emas ayahnya di tempat yang sama. Sebagai bekas atlet, saya bangga (sekiranya menjadi tuan rumah 2026) dan ini dapat menaikkan semangat atlet kita secara keseluruhan.

“Saya pasti semua atlet sekarang mengalu-alukannya. Bagi saya, semua atlet yang ada pada masa ini sudah bersedia kerana kita mempunyai banyak program seperti Podium dan sebagainya dan bila lagi masanya untuk kita bersaing dengan pesaing antarabangsa.

“Saya juga bersedia untuk mempersiapkan Erry berdasarkan pengalaman saya sebelum ini dan saya rela latihnya di luar. Kalau betul jadi, saya akan berikan sokongan penuh kepada semua atlet. Perasaan itu berbeza sekiranya kita menjadi tuan rumah,” kata Hidayat.

Dalam pada itu, Erry berkata, dia merasakan penganjuran temasya bakal memberikan manfaat kepada negara namun apa yang penting untuk seorang atlet adalah memberi tumpuan penuh daripada sudut prestasi.

“Kalau ada peluang, memang saya nak sertai Sukan Komanwel di Malaysia kerana ia akan mengimbau kenangan ayah. Saya rasa, kalau dapat beraksi di laman sendiri, tentunya lebih bersemangat kerana ada keluarga bersama dan juga sokongan peminat,” kata Erry yang sebelum ini menghadiahkan pingat perak dalam kategori 73kg di Birmingham 2022.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia