Majlis Sukan Negara Malaysia
Rhodict tebus keyakinan, tutup musim dengan emas

KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises menutup tirai musim 2025 dengan bergaya apabila meraih pingat emas dalam acara 10 meter (10m) platform lelaki Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia selepas mengumpul 417.55 mata di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas tempoh panjang dia berdepan krisis keyakinan susulan prestasi hambar di Olimpik Paris tahun lalu.

“Ramai mungkin tak tahu, tapi sebenarnya saya agak lama bergelut untuk dapat balik keyakinan selepas kejohanan di Paris. Waktu itu saya hilang terus keyakinan diri.

“Latihan memang berjalan lancar, tapi bila masuk pertandingan, saya susah nak ‘perform’. Proses untuk pulih semula ambil masa lebih setahun juga, jadi saya bersyukur dapat tahan dan teruskan sampai hari ini,” katanya.

Rhodict yang pernah mencatat mata tertinggi 449 mata pada Kejohanan Dunia 2023 di Jepun, berkata kejayaan kali ini memberi semangat baharu menjelang musim depan.

“Masih ada ruang untuk diperbaiki. Terjunan kelima sepatutnya jadi yang terbaik, tapi saya sedikit tersilap. Saya akan tengok semula video dan bincang dengan jurulatih,” ujarnya.

Atlet berusia 20 tahun itu turut mengesahkan kejohanan kali ini menjadi penampilan terakhir tahun ini sebelum memberi tumpuan ke arah kelayakan Piala Dunia dan Sukan Asia tahun depan.

“Tumpuan utama saya sekarang adalah untuk layak ke Piala Dunia berdasarkan mata yang dikumpul di kejohanan diiktiraf FINA. Lepas itu, fokus saya beralih ke Sukan Asia,” jelasnya. KOSMO! ONLINE

Aaron-Wooi Yik simpan tenaga untuk dua misi besar

Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak akan menyertai dua kejohanan utama terakhir dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai langkah mengembalikan prestasi terbaik mereka menjelang dua tugasan penting akhir tahun ini.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengesahkan pasangan ranking kedua dunia itu tidak akan beraksi di Masters Kumamoto di Jepun (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November).

Pengendali yang diberi julukan ‘Naga Api’ itu berkata, keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada Aaron-Wooi Yik untuk menjalani latihan intensif selama empat minggu sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Thailand dan Jelajah Akhir Dunia.

Katanya, langkah terpaksa diambil susulan prestasi tidak menentu yang dipamerkan mereka terutama dalam siri kejohanan di Eropah, baru-baru ini.

“Aaron-Wooi Yik tidak akan bermain di Kumamoto dan Australia kerana mereka sudah pun layak ke Jelajah Akhir Dunia. Apa yang lebih penting, mereka memerlukan rehat.

“Fokus utama sekarang adalah untuk mereka menjalani latihan berkualiti dalam tempoh empat minggu akan datang bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk Sukan SEA dan Jelajah Akhir Dunia,” kata Herry.

Dalam kempen di Eropah, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik adalah muncul naib juara di Terbuka Artik sebelum mereka kemudiannya tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark, mara ke separuh akhir Terbuka Perancis serta suku akhir di Terbuka Hylo di Jerman.

Mengulas prestasi anak buahnya, Herry mengakui walaupun pasangan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu tampil dengan corak taktikal yang betul, tetapi kadangkala tidak berjaya menyempurnakannya dengan baik.

Malah menurut pengendali dari Indonesia itu, mereka turut cenderung untuk bermain secara terburu-buru, yang akhirnya membawa kepada kesilapan mudah.

Setakat ini, Aaron-Wooi Ying mengharungi jadual padat yang menyaksikan mereka menyertai 20 kejohanan dengan keletihan turut dikenal pasti sebagai salah satu punca prestasi mereka terjejas.

Setakat ini, gandingan itu sudah berjaya merangkul tiga kejuaraan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Empat emas jadi buruan skuad skuasy negara di Thailand

Kuala Lumpur: Barisan pemain skuasy negara akan berusaha menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan Sea Thailand, bulan depan.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro berkata, beliau dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin agar berusaha meraih pencapaian itu.

“Ada empat pingat emas yang dipertandingkan. Sebenarnya, KP (Ketua Pengarah) Majlis Sukan Negara sudah memberitahu saya untuk membawa pulang keempat-empat pingat emas. Ia bukan sasaran kami, tetapi kami akan cuba,” katanya.

Di Sukan Sea Thailand, skuasy menawarkan empat pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan campuran.

Barisan pemain lelaki negara diwakili oleh Duncan Lee, Sanjay Jeeva, Low Wa Sern dan Harith Danial, manakala pemain wanita diwakili oleh K Sehveetrraa, Ainaa Amani dan Yee Xin Ying.

“Kita mempunyai barisan pemain yang terbaik dan dalam Asia Tenggara, kita sepatutnya mampu mempamerkan prestasi terbaik,” kata Gerard.

Kali terakhir skuasy dipertandingkan pada temasya Sukan Sea adalah pada edisi 2019 di Filipina yang menyaksikan skuad negara meraih empat emas serta masing-masing satu perak dan gangsa.

Pada dua edisi selepas itu iaitu di Sukan Sea Hanoi 2021 serta Kemboja 2023, skuasy tidak dipertandingkan.

Wei Chong–Kai Wun mara ke suku akhir Terbuka Perancis

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, melangkah ke suku akhir Terbuka Perancis 2025 selepas menewaskan pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy, dalam aksi tiga set yang sengit sebentar tadi.

Pasangan pilihan ketujuh itu bermula perlahan apabila tewas 13-21 di set pertama, namun bangkit dengan corak permainan lebih agresif untuk memenangi dua set berikutnya 21-19, 21-14 bagi menamatkan pertarungan hampir sejam di Glaz Arena.

Kemenangan itu sekali gus memastikan kemaraan wakil negara ke kelompok lapan terbaik dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 itu.

Wei Chong–Kai Wun akan berdepan sama ada pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae atau beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh–Wang Chi Lin.

Nurul Izzah akur kepada juara Olimpik

Kuala Lumpur: Perjuangan wakil tunggal negara, Nurul Izzah Izzati Asri, dalam acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 berakhir selepas tewas di pusingan pertama kepada jaguh New Zealand, Ellesse Andrews, di Velodrom Penalolen, Santiago, Chile, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Izzah mengulangi pencapaian tahun lalu apabila turut terkandas di peringkat sama selepas tumpas kepada wakil Jerman, Alessa Catriona Propster, meskipun berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Terdahulu, pelumba kelahiran Kedah berusia 22 tahun itu mencatat masa 11.019 saat (s) untuk menduduki tangga ke-26 daripada 34 pelumba pada pusingan kelayakan, sekali gus melayakkan diri ke pusingan pertama.

Namun catatan itu jauh daripada rekod kebangsaan 10.578s miliknya yang dilakukan di Kejohanan Piala Negara-Negara di Turkiye, Mac lalu.

Menentang Ellesse sememangnya satu ujian getir buat wakil negara, apatah lagi lawannya itu merupakan juara dunia pecut 2023 dan pemenang pingat emas berganda dalam acara pecut serta keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tumpuan kini beralih kepada acara keirin yang bakal berlangsung Ahad ini, dengan Izzah berazam untuk menebus kekecewaan dan memperbaiki kedudukannya.

Tahun lalu, dia berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir sebelum menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan.

Tang Jie–Ee Wei ‘mandi peluh’ sebelum ke suku akhir

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, menempah slot ke suku akhir Terbuka Perancis selepas menundukkan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei–Nicole Chan, dalam aksi sengit di Arena Glaz sebentar tadi.

Tang Jie–Ee Wei terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 22-20, 17-21, 22-20 dalam pertarungan yang memakan masa 72 minit, apabila pasangan ranking ke-18 dunia itu memberikan tentangan hebat sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, ketenangan dan ketahanan mental menjadi kunci kejayaan gandingan negara itu untuk memastikan tiket ke suku akhir menjadi milik mereka.

Tang Jie–Ee Wei bakal berdepan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man–Tse Ying Suet, bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Chun Man-Ying Suet sebelum itu menumpaskan gandingan Jepun,Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-23, 21-10, 21-14.

Sebelum ini, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Scotland, Alexander Dunn–Julie Macpherson, 21-13, 21-10, dalam masa hanya 27 minit.

Pasangan suami isteri itu dijadual berdepan pilihan kedua dari China, Feng Yanzhe–Huang Dongping, pada aksi seterusnya.

Gabungan pemain skuasy senior, junior ke Sukan Sea Thailand – Cross

Kuala Lumpur: Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) menyifatkan persiapan skuad negara ke Sukan Sea Thailand, Disember depan berada pada landasan tepat dengan semua pemain menunjukkan prestasi positif.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Andrew Cross berkata, kebanyakan pemain kini sedang bersaing dalam kejohanan siri Persatuan Pemain Skuasy Profesional (PSA) bagi meningkatkan tahap kecergasan optimum agar dapat tampil dengan prestasi terbaik di Thailand.

“Semua pemain berada dalam keadaan baik untuk Sukan Sea dan kebanyakan mereka kini beraksi dalam kejohanan PSA di seluruh dunia serta akan kembali ke Malaysia pada akhir November.

“Kami akan menghantar skuad gabungan antara pemain muda dan berpengalaman mengikut kategori masing-masing untuk bersaing terutama dalam usaha memburu pingat emas.

“Skuad kali ini bukanlah pasukan junior semata-mata, namun bagi acara perseorangan, semua pemain adalah kategori senior.

“Bagi acara jumbo (beregu), syarat umur ialah bawah 21 tahun, sebab itu semua pemain dalam acara itu berusia bawah 21 tahun,” katanya.

Beliau menjangkakan saingan sengit bakal hadir daripada Filipina, Singapura dan Indonesia.

Di Sukan Sea Thailand, skuasy menawarkan empat pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan campuran.

Kontinjen Sukan Deaflympics Tokyo yakin bawa pulang tiga emas

Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara ke Sukan Deaflympics Tokyo 2025, Mohd Yusri Abdul Ghani optimis Malaysia mampu melakar pencapaian lebih baik berbanding edisi sebelum ini dengan meraih tiga pingat emas.

Beliau berkata, semua atlet ketika ini berada pada tahap terbaik dan mempunyai momentum cemerlang selepas mencipta rekod baharu 25 pingat emas, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada edisi kedua temasya Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia, Ogos lalu.

Justeru, katanya, sukan badminton dan boling akan menjadi sandaran utama kontinjen negara kerana atlet dilihat mempunyai peluang cukup baik dalam acara berkenaan.

“Antara sukan sasaran adalah badminton dan boling. Mungkin kita ada peluang untuk menang dua emas daripada badminton dan sasaran keseluruhan ialah tiga pingat emas pada Deaflympics di Jepun kali ini,” katanya.

Sementara itu, pemain boling Deaflympics negara, Syabil Azam Syamsul Azam yakin mampu meraih pingat emas dan membalas kepercayaan jurulatih.

Untuk rekod, pada edisi Deaflympics 2022, kem Malaysia membawa pulang dua pingat emas menerusi Boon Wei Ying-Foo Zu Tung (beregu wanita) dan boling berpasukan wanita.

Sukan Sea 2025: Silat sasar kekalkan momentum

Nilai: Pasukan silat negara berhasrat untuk mengekalkan momentum cemerlang yang pernah dicapai dengan menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara di pentas Sukan Sea termasuk di pentas yang sama edisi akan datang di Thailand, Disember depan.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Bibi Aishah Golbal Shah, bahawa pasukan di bawah pengurusannya itu akan memastikan pingat emas dapat terus diraih pada temasya berprestij rantau ini itu.

“Setakat ini, pasukan Malaysia di bawah kendalian saya belum gagal dari segi pungutan pingat terutama pingat emas dari apa yang kami sasarkan, malah lebih menjangkau daripada sasarannya.

“Jadi, pada Sukan Sea di Thailand ini, memang hajat saya dan pasukan hendak kekalkan prestasi di tahap yang tertinggi itu, jika di Kemboja sebelum ini, sasaran hanya tiga pingat emas, tapi kami berjaya membawa balik empat emas.

“Kami berharap perkara sama akan berlaku di Songkla (Thailand) nanti, walaupun empat pingat emas itu datang daripada atlet kita yang berpotensi, tapi kali ini kita kehilangan dua atlet itu, namun ia tidak akan menjejaskan misi kita,” katanya kepada media di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, petang tadi.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Sea Thailand 2025, Nazmizan Muhammad, yang menemui pasukan pesilat negara yang kini dalam persiapan terakhir menjelang temasya berkenaan, Disember depan.

Mengulas lanjut, Bibi Aishah berkata, pihaknya mengharapkan keajaiban berlaku kepada pesilat berprestasi tinggi negara, Nor Farah Mazlan, yang bakal beraksi bagi kategori Kelas B.

“Saya mengharapkan keajaiban kepada Farah dengan ketinggian fizikal, dia mampu mempamerkan aksi terbaik dan menewaskan pencabarnya kelak. Kami sasarkan untuk dia meraih pingat emas sebagai bonus kepada pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PESAKA sedia menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk pasukan pesilat merealisasikan kutipan empat pingat emas.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi sasaran berkenaan atau menyumbang emas seberapa banyak yang mungkin.

“Beberapa atlet kita seperti Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Robial Sobri, Muhammad Amirul Hakim Jaafar dan Mohamad Akmal Azman, berada pada persiapan serta pretasi terbaik ketika ini,” katanya yang yakin atlet silat negara mampu mengekalkan prestasi cemerlang ini di Sukan Sea nanti.

Sementara itu, Nazmizan menegaskan bahawa kontinjen negara berada pada landasan yang baik untuk menggalas cabaran dan menyerlah pada temasya Sukan Sea 2025 ini.

Menurut beliau, persiapan latihan bukan saja baru bermula tetapi atlet sentiasa melakukannya sepanjang masa.

“Saya melihat dari segi persiapan atlet, mereka kini rasa tidak sabar untuk beraksi dan ini suatu perkembangan yang positif.

“Kita mengharapkan mereka semua diberikan kesihatan yang baik untuk memastikan momentum ini dapat dikekalkan sehingga kejohanan dan seterusnya dapat merealisasikan sasaran yang kita tetapkan di Thailand nanti,” katanya.

Hoe Yean, Ariana dinobat Olahragawan dan Olahragawati ASWP 2023/24

Putrajaya: Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean dan pemanah sensasi, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, petang ini.

Kedua-dua atlet yang pernah membawa cabaran negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu masing-masing membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM8,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Hoe Yean, 23, yang turut beraksi cemerlang di pelbagai kejohanan antarabangsa menewaskan dua calon lain iaitu pemanah, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan penerjun, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim untuk gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan.

Kejayaan itu menyaksikan sukan renang kembali merangkul anugerah tertinggi ASWP selepas kali terakhir dimenangi perenang Ian James Barr pada edisi 2013/2014.

Bagi kategori wanita, Ariana, 20, membuktikan keunggulannya apabila mengetepikan cabaran atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan atlet wushu, Kwan Yong Xin untuk dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan.

Pemanah recurve muda kelahiran Kuala Lumpur itu menempah tiket ke temasya Paris 2024 dalam acara individu dan berpasukan selepas cemerlang di Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok serta Final Olympic Qualifier Archery In Paris 2024.

Sukan renang turut mendominasi ASWP kali ini apabila dua perenang muda, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Chong Xin Lin, diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Wilayah Persekutuan sebelum masing-masing membawa pulang Piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Olahragawan Para Wilayah Persekutuan menjadi milik Cheah Liek Hou, pemenang dua pingat emas Paralimpik yang terus menjadi inspirasi sukan para negara, manakala kategori Olahragawati Para Wilayah Persekutuan dimenangi perenang Asyiil Raziin Razman, pemegang rekod kebangsaan baharu acara 100 meter gaya bebas multi-class S14.

Dalam kategori berpasukan, Pasukan Bola Sepak Wilayah Persekutuan yang meraih pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024, diumumkan sebagai Pasukan Lelaki Terbaik Wilayah Persekutuan.

Manakala Pasukan Bola Jaring Wilayah Persekutuan pula mengekalkan penguasaan apabila sekali lagi membawa pulang trofi Pasukan Wanita Terbaik Wilayah Persekutuan, menjadikannya kejuaraan tiga kali berturut-turut.