Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Program Terjun Kebangsaan Yeoh Ken Nee berpuas hati dengan persembahan ditampilkan penerjun muda negara Enrique Maccartney Harold pada Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico, Sabtu lepas.
Menurut Ken Nee, Enrique berasal dari Sarawak dan berusia 19 tahun berjaya mencapai markah kelayakan minimum ditetapkan, namun masih perlu memperkemaskan aspek teknikal dalam terjunan.
“Enrique setakat ini menunjukkan prestasi yang sepadan dan berjaya mencapai skor kelayakan minimum. Bagaimanapun, dia kurang bernasib baik untuk mara ke final kerana saingan yang sangat sengit, terutama sekali daripada penerjun tuan rumah yang menunjukkan peningkatan ketara.
“Namun, ini berita baik buat acara platform lelaki negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam aksi kelayakan di Mexico, Enrique menamatkan saingan di tempat ke-13 dengan kutipan keseluruhan 372.05 mata.
Sementara itu, ketika diminta mengulas prestasi ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong, Ken Nee mengakui atlet Olimpian itu gagal mencapai markah kelayakan minimum iaitu 290 mata.
Namun begitu, beliau memuji peningkatan prestasi Pandelela berbanding penampilan terakhirnya pada kejohanan tahun lepas.
“Prestasi Pandelela menunjukkan perkembangan positif. Tahun lalu, dia meraih 258.80 mata di Terbuka Malaysia dan kali ini berjaya mencatat 267.85 mata.
“Saya berharap markah itu akan terus meningkat apabila beliau beraksi di Piala Dunia Terjun di Windsor, Kanada hujung minggu ini,” katanya.
Untuk rekod, Pandelela turut terlepas slot final 10m platform individu wanita selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 dengan mengumpul 267.85 mata pada pusingan kelayakan.