Kuala Lumpur: Rekod baharu dalam acara 60 meter (m) dicatatkan Muhammad Azeem Fahmi, kelmarin meletakkan pelari kelahiran Perak itu di kelas tersendiri.
Azeem merekodkan 6.56 saat (s) untuk merangkul pingat gangsa di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025 memadamkan rekod lama miliknya 6.60s yang dilakukan dalam tempoh kurang sebulan, sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pelari terbaik Universiti Auburn.
Azeem kini berada di kedudukan kelapan dalam senarai 10 pelari terbaik, sekali gus mencerahkan peluangnya untuk beraksi di pusingan akhir kejohanan NCAA pada 14-15 Mac ini.
“Ia satu proses, masa tidak pernah gagal, perlahan tetap pasti,” tulis Azeem di laman sosial miliknya selepas diumumkan berada di dalam kedudukan kelapan terbaik universitinya.
Pencapaian itu dilihat satu permulaan memberangsangkan buat pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2022 dengan tiga kejohanan besar menjadi keutamaannya tahun ini iaitu Kejohanan Universiti Dunia, Kejohanan Dunia dan Sukan Sea, Thailand, Disember ini.
Terdahulu, Azeem mencipta sensasi apabila mencatatkan rekod baru 60m dengan catatan 6.56s untuk berada di tempat ketiga pada aksi final yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat (AS).
Catatan itu menyaksikan atlet berusia 20 tahun itu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, 6.60s dalam acara sama yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California, AS pada 14 Februari lalu.
Emas acara 60m itu dimenangi Jordan Antony dari AS yang mewakili University of Arkansas dengan catatan 6.54s manakala rakan sepasukan Azeem, Israel Okon dari Nigeria akur di tempat kedua yang hanya dibezakan 0.01s.