Kuala Lumpur: Beregu campuran nombor satu negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie membuktikan pengalaman cukup penting membantu meraih kemenangan apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, sebentar tadi.
Pasangan suami isteri itu tidak berhadapan masalah mengatasi cabaran pasangan India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-19 pada aksi pusingan pertama di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China.
Namun, pasangan itu perlu melakukan persiapan rapi apabila dijadual bertemu gandingan Thailand yang juga juara Terbuka Malaysia, Dechapol Puavaranukroh-Suppissara Paewsampran bagi merebut tempat ke suku akhir.
Ini adalah kali keempat kedua-dua pasangan akan membuat perhitungan musim ini.
Dalam tiga pertemuan terakhir, Soon Huat-Shevon tewas di separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum mencatat kemenangan pada pusingan pertama Seluruh England di Birmingham tetapi tewas kepada lawan berkenaan di suku akhir Terbuka Switzerland di Basel.
Rekod pertemuan kini memihak kepada Dechapol-Supissara dengan kedudukan 3-2.
Turut melangkah ke pusingan kedua ialah gandingan muda negara, Yap Roy King-Valeree Siow yang bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani dari India, 18-21, 21-17, 21-19.
Mereka dijadual bertemu sama ada pasangan Macau, Leong Lok Chong-Ng Weng Chi atau pilihan kelapan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, dalam pusingan kedua.
Bagaimanapun, dua lagi wakil negara dalam beregu campuran gagal meneruskan kemaraan apabila Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, 21-15, 12-21, 11-21 manakala pasangan profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin, turut tersingkir selepas tunduk 16-21, 14-21 di tangan wakil Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara.