Liek Hou janji aksi terbaik di Paris

KUALA LUMPUR: Mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi keutamaan buat jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou di Paris 2024.

Liek Hou yang juga juara dunia lapan kali dijadual bertemu wakil Poland, Bartlomiej Mroz di Porte de La Chapelle Arena dalam aksi peringkat Kumpulan A lelaki SU5, esok.

Saingan kumpulan itu turut menyaksikan Liek Hou, 36, yang juga pilihan utama dijadual bertemu wakil tuan rumah, Meril Loquette dan pemain Indonesia, Suryo Nugroho pada 31 Ogos ini.

Hanya pemain yang berada di kelompok dua teratas bakal mara ke pusingan separuh akhir dengan aksi Kumpulan B menyaksikan pemain Taiwan, Fang Jen Yu diletakkan sebagai pilihan kedua.

Berdasarkan saingan kumpulan, laluan berliku mungkin pada pertemuan dengan Suryo – pesaing yang meraih gangsa di Tokyo 2020 namun Liek Hou nyata sudah bersedia untuk mengharungi kempen kali ini.

“Doakan yang terbaik. Saya berjanji akan buat yang terbaik demi Malaysia, menang untuk Malaysia,” kata Liek Hou dalam satu hantarannya di akaun Facebook miliknya.

Liek Hou yang secara peribadi sudah meraih 14 emas di kejohanan dunia termasuk dalam acara beregu lelaki turut menyatakan proses latihannya menjelang perlawanan berjalan lancar di bumi Paris.

Untuk rekod, kontinjen paralimpik negara berjaya meraih tiga emas pada edisi Tokyo 2020 dengan salah satunya disumbangkan Liek Hou dan bakinya menerusi atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran), Datuk Abdul Latif Romly.

Kontinjen Malaysia di Paris 2024 disertai 30 atlet para negara yang akan bertanding dalam lapan jenis sukan di temasya yang dijadual berlangsung sehingga 8 September ini.-Berita Harian