Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Legenda sukan meriahkan Larian Keluarga Malaysia 2024

KUALA LUMPUR: Legenda-legenda sukan tanah air bakal memeriahkan Larian Keluarga Malaysia 2024 yang dijadual berlangsung di Persiaran Flora, Cyberjaya pada 29 September ini.

Antara legenda yang bakal hadir pada program larian anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) itu adalah bekas atlet bina badan, Datuk Malek Noor; Datuk Zainal Abidin Hassan (bola sepak); Datuk Zaiton Othman (olahraga); Datuk Santokh Singh (bola sepak); Roslin Hashim (badminton) dan Datuk Marina Chin (olahraga).

Bekas pemain bola sepak dan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal serta dua bekas pemain badminton, Goh Liu Ying dan Soo Beng Kiang turut mengesahkan penyertaan pada aktiviti ‘Meet&Greet’ yang menjadi aktiviti sampingan larian yang dikelolakan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Larian ini menyediakan tiga kategori, 5 kilometer (km), 10km dan 21km selain turut menawarkan cabutan bertuah kepada peserta dengan misi utama untuk mengumpul dana bagi anak-anak mangsa COVID-19.

“Skuad YAKEB sentiasa komited dalam menyokong usaha murni demi membantu mereka yang memerlukan, terutama melalui platform sukan,” kata YAKEB dalam hantaran di akaun Instagram mereka.

Untuk rekod, YKM berperanan membantu anak-anak yatim yang kematian ibu, bapa atau ibu-bapa, atau penjaga akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

Untuk tahun ini, YKM yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menyalurkan bantuan kepada lebih 1,000 penerima yang layak menerusi bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan dan Bantuan Menara Gading dengan implikasi kewangan mencecah RM1.3 juta setahun.-Berita Harian