Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hantar Aniq jalani latihan di luar negara

KUALA LUMPUR: Peluang menjalani lebih banyak latihan di luar negara menerusi Program Road To Gold (RTG) mampu meningkatkan prestasi atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan di persada antarabangsa, demikian menurut ketua jurulatih negara Edmund Yeo.

Menurutnya langkah itu amat penting untuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu bagi mendorong atlet berkenaan supaya lebih bermotivasi dan menambah keyakinan dalam kejohanan antarabangsa akan datang.

“Dengan bantuan program RTG harap lebih mudahkan Aniq untuk latihan di luar negara, ia sangat penting supaya lebih kompetitif serta menimba pengalaman daripada barisan atlet terbaik dunia,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Sarawak itu turut berharap Aniq diberikan rakan sepelatih dari luar negara untuk meningkatkan daya saing atlet kelahiran Johor berkenaan.

“Sekurang-kurangnya ada dua atau tiga orang untuk saling ‘push’ antara satu sama lain. Kita ada dua lagi atlet iaitu Muhammad Erry Hidayat dan Muhamad Aznil Bidin tetapi kalau dapat rakan sepelatih dari negara lain lebih bagus,” katanya.

Aniq membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menamatkan cabaran di tempat keempat dalam kategori 61 kilogram (kg) lelaki dengan hanya satu kilogram menjadi pemisah untuknya membawa pulang pingat gangsa biarpun berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 297kg.

Beliau turut memecahkan rekod kebangsaan dalam acara snatch, 129kg dipegang oleh Muhammad Aznil Bidin dengan angkatan 130kg tetapi berjaya mengangkat 167kg dalam clean and jerk.

Pingat emas dipertahankan atlet China, Li Fabin dengan jumlah angkatan keseluruhan 310kg manakala wakil Thailand, Theerapong Silachai membawa pulang perakdengan angkatan 303kg.

Aniq dimasukkan dalam program RTG November tahun lepas. – BERNAMA