Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Aaron, Wooi Yik kesuntukan masa raikan kejayaan

BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu berkorban sekali lagi apabila tidak mendapat cuti panjang meskipun baru pulang daripada menjalankan tugasan pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini kerana bekas juara dunia itu perlu kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi melakukan persiapan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun bermula 20 hingga 25 Ogos ini serta Terbuka Korea (27 Ogos hingga 1 September).

Aaron berkata, dia sedia memanfaatkan tempoh rehat singkat yang diberikan bagi meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali meneruskan saingan pada saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Mungkin kami akan rehat beberapa hari sahaja, selepas itu akan menyertai Terbuka Jepun dan mungkin Terbuka Korea. Oleh itu, tidak ada banyak masa untuk kami rehat dan berjumpa ahli keluarga.

“Selepas itu, kami akan kembali bekerja (menjalani latihan). Sudah tentu gembira dapat pulang ke Malaysia dan bagi saya, ini adalah salah satu pembakar semangat untuk kami terus berjuang,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Terdahulu, pasangan No. 3 dunia itu menyumbang pingat pertama kontinjen negara di Olimpik Paris apabila meraih pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.

Sebagai rekod, gangsa yang dimenangi merupakan pingat kedua Aaron-Wooi Yik dalam dua penampilan di Sukan Olimpik selepas penyertaan pada Olimpik Tokyo 2020 turut menyaksikan mereka meraih gangsa.

Sementara itu, Wooi Yik menganggap aksi pada Olimpik kali ini lebih berbeza memandangkan beraksi di hadapan ribuan penonton berbanding stadium kosong ketika menggalas tugasan di Tokyo tiga tahun lalu.

“Memang berbeza kerana Tokyo sebelum ini tiada penonton tetapi kali ini apabila masuk ke stadium, boleh rasa gementar dan tekanan. Mungkin kita tidak dapat pingat emas tetapi kami tetap dapatkan pingat untuk Malaysia,” ujarnya.-kosmo