Olimpik Paris: Pecut bukan fokus Azizulhasni

KEM berbasikal trek negara hanya menjadikan aksi pecut sebagai pemanas badan terutama buat kedua pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang memberi tumpuan kepada acara keirin yang bermula malam esok.

Jika diikutkan keputusan yang dicapai dalam acara pecut Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines awal pagi semalam seakan-akan sama seperti Olimpik Tokyo tiga tahun lalu di mana ‘The Pocket Roketman’ terkandas di repechages 1/8.

Ketika aksi tersebut, pelumba berusia 36 tahun itu tewas kepada pelumba No. 1 Poland, Mateusz Rudyk dan dilihat tidak memberikan 100 peratus tenaga untuk memberi tumpuan kepada acara kegemarannya iaitu keirin.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek, John Beasley berkata, acara pecut adalah aksi pemanas badan buat pelumba sebelum memberi tumpuan untuk membawa pulang pingat emas dalam acara keirin nanti.

“Fokus kami tidak pernah diberikan dalam acara pecut kerana ia sentiasa akan menjadi acara pemanas badan untuk keirin di mana kami menetapkan beberapa penanda aras untuk dicapai supaya kami tahu kami mempunyai kelajuan untuk memenangi keirin.

“Ini adalah persiapan yang sama seperti di Tokyo 2020, cuma kami lebih pantas sekarang berbanding ketika di Tokyo. Kami berada di tempat yang tepat menjelang acara keirin nanti,” kata Beasley.

Dalam pada itu, Azizulhasni mengakui dia mengikuti perancangan jurulatihnya untuk memberi tumpuan dalam acara kegemarannya.

“Perancangan awal kita adalah untuk berlumba satu demi satu pusingan. Saya gembira dapat kalahkan Luca Spiegel dari Jerman dan Hamish Turnbull dari Great Britain. Perancangannya untuk kalahkan Hoogland, tapi sebaliknya.

“Ia merupakan satu perlumbaan yang hebat dari segi teknikal dan taktikalnya cuma saya tidak cukup laju. Ketika pusingan repechage, Beasley berkata simpan tenaga untuk keirin.

“Jika ke pusingan repechage akan berdepan dengan pelumba-pelumba hebat seperti Harrie Lavreysen (Belanda) di suku akhir dan saya membazir tenaga. Saya akan simpan tenaga untuk perlumbaan seterusnya pada 8 malam esok (Sabtu),” katanya kepada agensi Bernama.

Seorang lagi pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut akan mengalih tumpuan dalam acara keirin selepas tersekat di pusingan 1/32 kepada pelumba Israel, Mikhail Yakovlev.

Hasratnya untuk meneruskan kemaraan melalui peluang terakhir di repechages 1/32 juga menemui jalan buntu apabila dinafikan oleh Vasilijus Lendel dari Lithuania.

Untuk rekod, Azizulhasni yang membuat penampilan kelima di pentas Olimpik pada Paris 2024 berjaya meraih pingat perak acara keirin di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.-Kosmo